Oleh: Dr Mohd Fadhli Mohd Fauzi


Kebelakangan ini banyak produk makanan tambahan atau supplemen dalam pasaran bersilih ganti. Saya tiada apa-apa masalah dengan produk supplemen, namun apabila beberapa perkara dilanggar terutamanya bab pemasaran, ini memang pantang terutamanya bagi kami yang bekerja di bidang kesihatan.
Antara teknik pemasaran bagi melariskan jualan ialah dengan meletakkan pelbagai testimoni kononnya produk mereka ‘menyembuhkan penyakit’ atau ‘membantu kepada pemulihan penyakit’ terutamanya 20 penyakit yang dilarang pengiklanan mengikut akta seperti kencing manis, kanser, dan penyakit jantung.
Pesakit dengan 20 penyakit ini dikategorikan sebagai golongan yang ‘terdesak’ dan akan mencuba apa-apa sahaja atas nama ikhtiar. Di sinilah agen jualan akan ‘masuk jarum’ dengan pelbagai testimoni berkaitan penyakit ini. Demi bisnes yang dicari-cari, mereka hilang moral diri.
.
Testimoni.
Untuk makluman, penggunaan testimoni perubatan untuk produk makanan adalah melanggar Peraturan-Peraturan Iklan Makanan 2014. 
➡ [Bahagian II, 4(2)] Tiada  seorang  pun  boleh  mengiklankan  apa-apa  yang menyerupai testimonial,  pengendorsan  atau  mewakili  pendapat  atau  keutamaan mana-mana individu  atau  persatuan. 
➡ [Bahagian I] “testimonial”  ertinya  pernyataan  atau  pengakuan  atau  gambaran  secara langsung  atau  secara  tersirat  yang  dikeluarkan  oleh  mana-mana  individu berkenaan  keberkesanan  sesuatu  produk. 
Lebih malang, saya tidak nampak apa tindakan syarikat terhadap agen jualan mereka yang melanggar peraturan ini. Melalui satu komen, seorang agen mendakwa bahawa agen yang tidak beretika adalah kerana tidak hadir sesi taklimat berkala, maka ia bukan salah syarikat. Bolehkah syarikat mencuci tangan begitu sahaja? 😕
.
Testimoni realiti atau fantasi?
Testimoni yang bagus mereka ambil untuk dijadikan bahan pemasaran, malah ada juga yang merekacipta sahaja ataupun ciplak testimoni produk lain. Walaupun pelanggan mendapatkan rawatan moden pada masa yang sama, namun hanya produk yang akan dijulang namanya tanpa bukti bahawa ia disumbangkan oleh keberkesanan produk.
Manakala, apa-apa kesan buruk atau yang menyebabkan kematian, mereka akan nafikan dan minta bukti kukuh bahawa ia disebabkan oleh produk. Nampak double-standard mereka?
.
Produk, bukan bahan dalam produk.
Apabila diminta bukti kajian bahawa produk mereka ini memberi manfaat seperti yang diiklankan contohnya menyembuhkan penyakit atau membantu penyembuhan penyakit, maka diberinya kajian tentang ‘salah satu bahan dalam produk’, bukannya kajian tentang poduk ‘as a whole’. 
Nampak sama namun sebenarnya sangat berbeza. Lebih menampakkan kedangkalan mereka, diberinya blog atau testimoni semata-mata. Yang bijak sikit walau masih dangkal, mereka beri kajian peringkat makmal tentang ‘bahan dalam produk’.
.
Kajian RCT bukti sejati.
Seharusnya, bagi membuktikan keberkesanan produk, pihak syarikat perlu menjalankan kajian bertaraf ‘Clinical Trial’ atau ‘Randomized Controlled Trial’ (RCT) dengan menjadikan produk mereka sebagai Investigational Product. “Produk”, bukan “bahan dalam produk” dan pada dos-dos yang ditetapkan, bukan tentukan berapa sachet sesuka hati.
Kajian tahap RCT ini pun sebenarnya hanya mampu menentukan keberkesanan dalam persekitaran terkawal (efficacy), dan bukannya keberkesanan dalam dunia realiti (effectiveness). 
Untuk menentukan ‘effectiveness’, beberapa siri kajian lagi akan dilakukan. Inilah yang dilalui oleh ‘ubat’ sebelum boleh dipasarkan, malah lepas dipasarkan ia tetap dipantau ketat dan boleh ditarik semula jika dibuktikan bahaya. Semua indikasi, kontraindikasi, dos, dan info-info lain tercatat dengan jelas berdasarkan hasil kajian atas ‘produk’, bukan ‘bahan dalam produk’.
.
Doktor pun turut serta bukti produk berkesan.
Apabila ditegur, agen-agen ini akan memetik nama medical advisor mereka dan dijulang sebagai doktor senior. Jika sekadar doktor senior tanpa kepakaran dalam bidang sepatutnya, ia hanya boneka sahaja untuk melariskan jualan mereka. Atau mungkin juga doktor yang kononnya senior tapi sebenarnya Housemanship pun tak habis. 
Malah, mungkin sebenarnya mereka doktor phd dan bukannya doktor perubatan. Namun, apabila masyarakat dengar ia dijual oleh ‘doktor’, ramai terpedaya. Phd beli pun mungkin ada semata-mata untuk lariskan produk mereka.
.
Taja berjuta bukti produk berjaya.
Kejayaan syarikat untuk bertahan atau menaja berjuta-juta juga bukanlah indikator bahawa produk syarikat itu bagus. Ia boleh sahaja disebabkan oleh keuntungan yang dikaut melalui pemasaran tidak beretika. Jika mahu indikator keberkesanan produk, bawakan kajian tentang produk bertaraf RCT.
.
Teguran ikhlas.
Teguran buat agen jualan, janganlah jadi kakaktua mendengar apa yang upline atau syarikat kata. Jangan juga sekadar mendengar apa yang medical advisor syarikat kata yang tentunya ada ‘bias’. Positif positif juga, tapi jangan sampai diperbodohkan.
Mohd Fadhli Mohd Fauzi

19 Februari 2017

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Comments

comments

SHARE
Previous articleUbat Beralkohol itu Bukan Arak
Next articleAir Nyiur Tawarkan Ubat Hospital? 
mm
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com