Saya ingat kembali peristiwa misteri kematian pasukan penyelamat mangsa lemas di lubuk Yu tahun 2010. Penduduk dan masyarakat secara keseluruhan sudah sasau-minda (panik) akan kejadian pelik tersebut. Timbul masa itu pelbagai cerita misteri direka. Wujud jin bunian lah, hantu mengamuk lah dan pelbagai lagi. Akhirnya misteri dirungkai dengan keputusan kematian mengejut para penyelam tersebut akibat dari kuman leptospirosis.
Sudah banyak peristiwa yang hampir sama belaku setiap tahun. Kejadian jangkitan kuman leptospirosis memang selalunya agak pelik. Sakit secara mendadak dan bawa maut dalam masa yang singkat sahaja. Ada juga sesetengah pesakit sakit berpanjangan dan tidak diketahui punca dan akhirnya mati. Setelah kematian baru dapat keputusan darah sebagai leptopsirosis.
Insiden yang serupa juga berlaku terhadap kes kematian “misteri” dari Kelantan yang katanya keluarga mereka berhimpun sempena cuti tahun baru Cina di Selangor. Bagi kami tiada yang menjadi misteri, tetapi sabar menunggu keputusan yang tepat dari makmal. Sudah tentu mengambil masa untuk kesahihan. Dalam masa yang sama mangsa yang terlibat dirawat seoptima mungkin dengan tenaga kepakaran yang ada.
Kita semua sepatutnya berwaspada dengan jangkitan kuman leptospirosis ini, terutama sekali selepas banjir. Kebersihan rumah dan persekitarannya amat-amat dititik beratkan. Ini kerana tikus yang menjadi rantaian sumber kuman leptospirosis amat sukakan kekotoran.
Jika anda mengalami tanda-tanda berikut sila dapatkan rawatan segera:

  1. Masa pengeraman di antara 2 hingga 26 hari (anggaran 10 hari).
  2. Bermula dengan demam yang tinggi, menggigil, sakit anggota tubuh dan sakit kepala.
  3. Batuk tidak berkahak
  4. Loya, muntah dan cirit-birit, sakit sendi, sakit tulang, sakit tekak dan sakit perut.
  5. Radang selaput mata.
  6. Pesakit mungkin mengalami sakit otot, pembesaran limpa atau hati, bengkak salur kelenjar, sakit tekak, kekerasan otot, perubahan bunyi pada peparu atau ruam.

Bagaimana mencegah?

  1. Elakkan berkunjung ke kawasan yang ada air bertakung.
  2. Jika terdedah dan berisiko, dan mengalami tanda-tanda jangkitan, sila ke hospital dengan segera.
  3. Simpan makanan atau minuman dengan baik agar tidak dicemari.
  4. Cuci tangan dengan sabun sebelum makan.
  5. Bersihkan diri selepas melakukan aktiviti luar seperti berkebun dan apa jua aktiviti yang terbuka.
  6. Untuk majikan pula mereka harus memberi perlindungan kepada pekerja mereka yang mempunyai risiko yang tinggi dijangkiti seperti memberi sarung tangan dan sebagainya.
  7. Menjaga kebersihan sekeliling, sediakan tempat membuang sampah yang bertutup, bersihkan tempat bekas air dan kolam renang, pastikan tiada tikus dikawasan sekeliling terutama rumah anda, membuat semburan disinfeksi tempat yang telah dicemari.

Sekian terima kasih
Dr Suhazeli Abdullah

Pakar Perubatan Keluarga
fb.com/drsuhazeli
suhazeli.com
11.2.2017

Gong Badak

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleBahaya Air Botol Plastik dalam Kereta
Next articleMakanan Sejuk Beku Sebabkan Kanser? 
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com