~ Siri 1

Ada pesakit yang datang klinik bertanyakan khasiat bekam. Saya hanya menyatakan boleh berbekam, dengan syarat JANGAN tinggal ubat hospital. Prosedur bekam juga wajib dibuat oleh orang yang mahir serta tahu jaga kebersihan. Malah KKM sendiri pernah mengeluarkan satu garis panduan bagi pembekam dalam hal tersebut.[1] Terdapat kes-kes tertentu yang dilarang keras berbekam. Boleh baca lanjut dalam garis panduan berkenaan.

Jangan sesekali anggap bekam ini menggantikan rawatan utama. Bekam adalah komplimen bukannya asas untuk berubat. Jika kanser, datang awal ke hospital untuk merawat. Bekam bukan rawatannya. Saya sedih jika ada pesakit dikatakan batuk berpanjangan. Setelah periksa kahak, 3 ekor kuman Tb dalam garis-medan kanta pembesar. Pelbagai alasan diberikan beliau untuk mengelak makan ubat Tb. Katanya nak cara alternatif termasuk bekam. Terkedu saya. Lagi tragis dia bacakan hadis Nabi berkaitan habbatussauda dan bekam yang dikatakan sunnah menyuruh berbuat demikian. Kedua-duanya ubat dari zaman Rasul hingga sekarang digunakan mengubat pelbagai jenis penyakit kecuali mati dan tua. Astaghfitullahal’azim, saya rasa beliau mempergunakan sunnah untuk mengelak sahaja. Tapi saya cuba beri hujah balas, namun dituduh saya pula melawan sunnah dan tolak hadis. Dua kali tergamam saya. Dua mingu kemudian beliau datang kembali dan menyerah kalah. Ubat dimulakan tanpa membebel. Beliau sihat sampai sekarang.
Saya bawa perbincangan ini bersama dengan beberapa orang ustaz dan pensyarah kuliah agama Universiti tempatan. Mengucap panjang juga mereka. Mereka semua sependapat: Pemahaman mengenai hadis Rasulullah yang menyarankan agar berbekam tidak boleh difahami serta diamalkan secara literal. Dengan kata lain ia bukan mafhum mukhalafah kepada kaedah merawat semata-mata berbekam sahaja. Tidak dinafikan bekam itu sunnah Rasulullah. Sebagaimana hadis menyebut “pengubatan paling utama untuk kalian adalah bekam”. Adakah bermakna kita mesti menolak kaedah lain?
Dalam kaedah usul fikah, kita tidak gunapakai kaedah mafhum mukhalafah ini. Bukan bermakna Nabi menyebut pasal bekam, menyebabkan selain dari bekam akan tertolak (ini yang dipanggil mafhum mukhalafah). Kita boleh melihat contoh ulama, arwah Dr Harun Din, arwah Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan ramai lagi. Mereka teramat lebih memahami akan mafhum hadis berkaitan ini. Namun sepanjang hidup mereka tidak pula menjadikan bekam itu sebagai pengubatan paling utama dalam merawat penyakit yang mereka alami. Mereka masih menggunakan perubatan terkini dalam berikhtiar dalam berubat.
Suhazeli Abdullah

Ketengah Jaya
fb.com/drsuhazeli

suhazeli.com
9.2.2017
Pautan:

[1] Garis Panduan Bekam. http://tcm.moh.gov.my/v4/pdf/guideline/TerjemahanPGBekam.pdf

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous article10 Isu Penting mengenai Haid Wanita (Wajib Baca) 
Next articleVitamin B17 dan Kanser 
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com