Sudi Daku Tunjukkan Jalan

Nukilan isnin Pakar Perubatan Keluarga
Prof Harmy Mohd Yusoff, Timbalan Dekan UniSZA menulis secara ringkas tahap-tahap kajian saintifik yang dijadikan standard masa kini. Bermula dari aras 1 yang meletakkan analisis meta sebagai hairaki teratas sehinggalah tahap 4, penilaian terbaik pakar (best expert review) atau “case series”.[1] Inilah konsep terkini bagi menentukan sesuatu ubat atau kaedah berubat diterima pakai dalam perubatan. Adakah ianya qati’e dan tidak boleh dibantah oleh para pengamal perubatan? Tidak. Dunia perubatan senantiasa berubah-ubah. Namun inilah kaedah terkini, terbaik dan diterima pakai oleh semua ahli perubatan masa kini.
Perumpamaan ini boleh diiraskan kepada ilmu pengsahihan hadis Nabi. Jika mengkaji kesahihan hadis, para ulama mempunyai kaedah untuk menentusahkan kesahihannya. Samada hadis mutawatir, sahih hasan, hasan, hadith dhaif ataupun palsu.[2]
Ilmu mustholah dan takhrij hadis amat tinggi nilaiannya. Mereka mengkaji bukan sekadar bagaimana, di mana dan apa bentuk ayat yang dikeluarkan, malah siapa periwayat hadis pun diambil kira. Jika periwayat hadis tidak memenuhi kriteria, martabat hadis akan berubah aras. Malah jika periwayat hadis pernah berbohong dalam isu lain, hadis yang diriwayatkan itu juga dipertikaikan aras kesahihannya. Inilah ketelitian yang diberikan dalam ilmu pengeluaran sesuatu hadis.
Apabila berlaku pertembungan antara kesahihan perubatan dengan hadis-hadis perubatan, disinilah memerlukan penelitian dari ahlinya. Ahli dalam perubatan akan kemukakan bukti dari sudut ilmu sains dan pengsahihannya melalui kajian terkini. Mungkin ianya benar atau sebaliknya. Namun itulah cerapan sunnatullah yang dicatat oleh ahli dalam bidang perubatan. Para ulama juga akan dirujuk bagi mempastikan aras kesahihan sesuatu lafaz hadis tersebut. Jika ianya bukan dari Al Quran atau hadis, mungkin dari amalan para sahabat dan alim ulama sehinggakan ianya menjadi peraturan umum dalam mengambil kaedah untuk berubat itu. Andaikata sesuatu amalan perubatan itu masyhur dan banyak ulama diera tersebut amalkan, sudah tentu ianya ditulis dalam manuskrip-manuskrip kitab bagi panduan umat terdahulu.
Pendek kata pembuktian sains perubatan dan pembuktian nas Al Quran, hadis, ijmak ulama dan kias dijadikan panduan bagi menentukan sesuatu kaedah itu boleh digunakan atau tidak. Jika sekiranya ia dakwaan semata-mata tanpa dalil, bermakna satu pembohongan telah berlaku. Dalil tersebut semada dalil sunnatullah (ilmu akal/Sains) ataupun ilmu syariat. Ianya tidak bercanggahan antara satu sama lain.
Jika bab kajian emperikal dalam bidang sains perubatan, Klinik saya terbuka pada tuan-tuan untuk dapatkan khidmat nasihat. Atau jika sudah ada bukti hujah, boleh kemukakan bukti berkenaan secara method kajian yang betul. Jika tak dapat buat case control study pun tak apa. First level buat dulu observational study. Retrospective data collection. Robust study sampling minimum 30 subjects. Dapatkan semua pesakit yang tuan dah rawat guna kaedah tu dan buat statistical analysis. Jika tak pandai buat persampelan, kemasukan data ke program statistik spt SPSS atau seumpamanya, saya offer untuk ajar. Buku panduan statistik dan SPSS pun saya boleh beri free jika nak.
Sedia tunggu.
Pautan
[1] Aras Evidence Based Medicine. http://suhazeli.com/wp/?p=2123
Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
Klinik kesihatan Ketengah Jaya
Dungun.
Fb.com/drsuhazeli
30.1.2017
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...