Saya diheret untuk berhujah berkaitan manfaat air kosong vs mudarat. Pelbagai hujah diberikan mereka berdasarkan beberapa artikel yang diceduk dari laman web. Antaranya:
Cerita 1:
MANFAAT AIR SUAM 👉👉👉
Sekumpulan Doktor Jepun mengesahkan bahawa air suam adalah 💯% berkesan dalam menyelesaikan beberapa masalah👇 kesihatan, termasuk:
penyakit sakit kepala, migrain, tekanan darah tinggi, tekanan darah rendah, sakit sendi, tiba-tiba meningkatkan dan mengurangkan denyutan jantung, epilepsi, tahap peningkatan kolesterol, batuk, rasa tidak selesa badan, sakit Golu, asma, penyakit batuk kokol, penyumbatan pembuluh darah, yang berkaitan dengan rahim & air kencing, masalah perut, kurang selera makan, juga semua penyakit yang berkaitan dengan mata, telinga & tekak.
Katanya lagi, air batu boleh menutup 4 urat jantung menyebabkan sakit jantung, masalah usus dan penyebab kanser….penyembuh kencing manis, asma dll dalam tempoh tertentu.
Bla…bla…bla…
Cerita 2 ini pula kontradik dengan cerita 1 tadi:
TABIAT MINUM AIR SELEPAS BANGUN TIDUR
Minum air selepas bangun tidur ketika perut kosong adalah DILARANG SAMA SEKALI
Jika anda melawat pusat dialisis atau pesakit yang menjalani rawatan dialisis, anda akan dapati 90% daripada mereka mempunyai tabiat minum air selepas bangun tidur sebanyak 2 – 4 gelas setiap hari.
Anda pasti TERKEJUT !!! apabila mengetahui kebenaran bahawa minum air ketika perut kosong adalah salah satu punca kerosakan buah pinggang..!!
…..
Nabi kita Hadrat Muhammad SAW TIDAK PERNAH minum air ketika perut kosong, sebaliknya baginda campurkan air dgn madu.
PERSOALANNYA SEKARANG….kenapa ramai doktor memberitahu kita kebaikan minum air selepas bangun tidur. Sebenarnya doktor memberitahu kpd pesakit apa yg mereka pelajari dari guru-guru mereka yg terdiri dari Yahudi & Nasrani yg tidak mahu ummat islam sihat serta manusia sejagat sihat.
Saya berada dalam bidang ini (dialysis buah pinggang) selama 11 tahun dan itulah pengamatan saya. Majoriti pesakit buah pinggang mempunyai tabiat ini iaitu minum air berlebihan selepas bangun pagi.
Imam Ibnu Qayyim Al Jauwziyyah (rh) (1292 – 1350 ) seorang ulama Islam tersohor pada zamannya. Beliau menulis dalam bukunya “At Tibb An Nabawi” dengan mengambil kata-kata Imam Shafie (rh) iaitu minum air berlebihan dalam keadaan perut kosong boleh melemahkan badan. (Rujuk buku tersebut terjemahan Inggeris mukasurat 422)
Ulama Deobandi dari India, Maulana Ashraf ‘Ali Thanwi (August 19, 1863 – July 4, 1943) menulis dalam buku masyurnya, Bahisthi Zewar tentang air. Beliau melarang keras minum air sejurus selepas bangun pagi. Dalam bab “Kesihatan” (bab 9) dalam buku tersebut beliau juga menyatakan ais merosakkan buah pinggang.
Imam Tabrani (rh) dalam kitabnya Al Mu’jamul Awsat merekodkan dua hadis berikut :-
Abu Sa’id Al Khudri (ra) menyatakan Nabi SAW bersabda,
“Barangsiapa yang meminum air dalam keadaan perut kosong, badannya akan lemah”
– hadis nombor 4643 dan hadis nombor 6553 (Dari Abu Hurairah ra)
Walaubagaimana pun, majoriti ulama berpendapat hadis ini hadis lemah tetapi ianya bukan hadis palsu. Perlu ditegaskan disini bahawa tiada satu hadis pun (samada hadis sahih atau lemah) yang pernah direkodkan Nabi SAW minum air dalam keadaan perut kosong sejurus selepas bangun pagi. Nabi SAW sentiasa menambahkan madu dalam air sebelum baginda minum selepas bangun pagi.
Saya bukanlah ustaz untuk komen tentang hadis tetapi saya adalah doktor perubatan. Kiblat saya untuk nasihat pesakit saya adalah PERUBATAN NABI bukan seperti kebanyakkan doktor-doktor Muslim di Malaysia ini yang berkiblatkan Barat.
Anda nilai sendiri….
Bla…bla..bla..Tulisan seorang doktor tersohor….
[Boleh baca ulasan saya dalam isu ni di http://suhazeli.com/wp/?p=1601]
Cerita ke 3 ini berlainan pula periwayatannya:
*Buah Pinggang Kita. Amanah Allah.. jgn jadikn ia sebahagian dari statistik Pesakit Buah Pinggang Kronik!*
Mengapa *Rasulullah saw* *menganjurkn umatnya utk tidak minum sambil berdiri?*
Dlm perubatan tubuh manusia terdapat *penapis yg dipanggil sbg penyaring *Sfringer.* Saringan tersebut dpt *terbuka* ketika kita *duduk*, dan *tertutup* ketika kita *berdiri.* *Air yg kita minum* belum tentu *100% disteril utk di olah tubuh.* *Bila kita minum sambil berdiri, maka air tidak tersaring oleh penapis kerana tertutup.**Air yg tak *tersaring terus masuk ke* *pundi kencing, yg dapat* *menyebabkan penyakit buah pinggang*. Subhanallah….
Bla…bla…bla… sambil menggesa pembaca menyebarkan ilmu bermanfaat ini…
[Boleh baca ulasan saya di http://suhazeli.com/wp/?p=1310]
Cerita ke 4 pula sebegini,
Air putih merupakan salah satu minuman segar dan sangat baik untuk kesehatan bagi seluruh anggota tubuh Anda. Tak bisa di bayangkan, jika tubuh kekurangan cairan atau air putih dalam jangka waktu yang relatif lama. Haus adalah salah satu respon tubuh yang membutuhkan asupan cairan dalam waktu segera. Berdasarkan faktanya, seluruh organ tubuh manusia membutuhkan cairan atau air dalam jumlah yang cukup untuk menunjang berbagai aktivitas yang dilakukan. Waktu terbaik untuk mulai mencukupi kebutuhan air putih adalah pagi hari setelah kita bangun tidur. Mengapa?
Karena pagi hari tubuh kita terbangun dari istirahat dan proses pemulihan semalaman. Namun selama itu pula kita kehilangan banyak cairan. Jadi, sangat dianjurkan untuk mengonsumsi air putih begitu bangun tidur. Selain itu, masih ada sembilan manfaat di bawah ini yang perlu Anda ketahui.
◾◾◾◾◾◾◾◾◾
*ULASAN SAYA*
Saya teringat kisah sirah sahabat Nabi SAW, Abdullah ibn ‘Umar Al Khattab ketika ditanya mengenai hukum darah nyamuk oleh seorang muslim dari Iraq yang merantau berbulan lamanya ke untuk mencari jawapan. Lalu beliau menempelak sambil berkata: “Wahai ahli Iraq, alangkah sukanya kamu bertanya mengenai perkara remeh-temeh, dalam masa yang sama lagi suka melakukan jenayah besar (seperti membunuh Husain ibn Ali di Karbala, Iraq) sebahagian kamu memenggal sebahagian yang lain.”
Bermakna kita selalu berbincang perkara yang remeh sehingga bermasam muka jika hujah kita tak diterima. Sehinggakan segala rujukan dari hadis palsu atau dhaif serta fakta ulama yang tidak muktabar dibawa bagi menegakkan hujah. Sedangkan hujah dari hadis sahih kita tidak mengambilnya. Lihat hadis sahih berkaitan anjuran Rasulullah SAW berbuka atau bersahur walau seteguk air. Seingat saya hadis yang dhaif boleh digunakan untuk amalan peribadi, bukan menegakkan hujah.
Isu utama adalah merawat pesakit dengan segala keilmuan dan kepakaran yang ada. Mengambil fakta-fakta bagi kaedah merawat tersebut dalam manuskrip yang lebih berwibawa. Walau ianya mungkin sesuatu yang tidak membuahkan kesembuhan total, namun fakta-fakta yang lebih diyakini itu adalah yang terbaik dari sudut kaedah perubatan setakat ini. Berbanding dengan fakta-fakta lemah yang hanya salin-tampal dari web, tidak ada asas saintifik malah bercanggahan satu sama lain.
Ilmu terbahagi kepada dua cabang utama. Ilmu syariat (yg disebut syariatullah) dan ilmu alat/adat/ghalib (diberi nama sunnatullah).
Ilmu syariat wajib diperoleh secara berguru dan talaqqi. Atau bersanad dari guru yang mursyid. Hadis-hadis dalam perubatan ada disebut oleh Rasulullah SAW. Kebanyakannya ia berbentuk al-jibiliyyah, kaedah pengubatan yang terbaik sezaman itu. Hadis-hadis ini juga gunanya ia bagi memandu perkembangan ilmu alat dalam dunia perubatan kini. Bukannya disalin secara literal dengan menidakkan kajian-kajian emperikal berkait sebab-akibat sesuatu penyakit dan kaedah merawatnya.
Ilmu alat atau sunnatullah adalah hasil cerapan dan penelitian para pengkaji. Ia juga diperolehi melalui guru. Asas yang diletakkan oleh para guru adalah menjalankan kajian pada sesuatu ilmu alat tadi kemudian dicatat dalam manuskrip perubatan. Akhirnya terhasillah buku-buku panduan dalam ilmu perubatan. Inilah asas dalam pemahaman, pengkajian ilmu dalam Islam itu sendiri. Bukan semberono diceduk dari barat. Jika kita menganggap semua itu barat dan yahudi, jumudlah agama ini. Kerana lingkungan kehidupan (ad-deen) hanya berkitar ilmu syariat semata-mata. Sedangkan ilmu alat dalam kehidupan manusia tidak diambil kira. Sebagaimana hadis mashyur menceritakan kisah sahabat mendebungakan tamar. Akhirnya ilmu sunnatullah ini diberikan asasnya oleh Rasulullah SAW. “Kamu lebih mengetahui akan urusan (ilmu) dunia kamu”. Maka bertanyalah kepada orang yang ahli jika kamu tidak mengetahui (mafhum ayat 43 surah An Nahl).
Seorang ulama terkenal masa kini, Dr Sulaiman Asghar pernah menulis: Hadis-hadis tersebut (yang berkaitan dengan perubatan)  tidak wajar dijadikan hujah dalam perubatan, bahkan ianya hendaklah dirujuk kepada ahli perubatan. Merekalah yang menentukan ubat yang sesuai dengan penyakit yang dihadapi. Walau bagaimanapun, ubat-ubat yang disebut itu tidak wajar diketepikan secara total.
Dr Asyqar menambah, jalan yang terbaik ialah penentuan ubat-ubatan hendaklah dilakukan melalui kajian, dan hasil ujian tersebut adalah menjadikan hujah untuk diamalkan, bukannya diambil secara literal dari hadis-hadis. Lebih-lebih lagi hadis yang berkaitan ubat atau rawatan kebanyakan bukanlah hadis yang kuat.
Berkenaan hadis yang tiada kaitan dengan pensyariatan ini, al Bazzar meriwayatkan

إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ فَمَا حَدَّثْتُكُمْ عَنِ اللَّهِ فَهُوَ حَقٌّ وَمَا قُلْتُ فِيهِ مِنْ قِبَلِ نَفْسِي فإنما أنا بشر أخطيء وَأُصِيبُ

Sesungguhnya aku adalah manusia, apa yang aku ucapkan dari Allah, maka ianya benar, apa yang aku ucapkan dari pendapatku, maka aku adalah seorang manusia yang mungkin salah mungkin benar.
Berbalik kepada isu air kosong, tidak menjadi apa-apa kemudaratan atau khasiat yang hebat pun samada tidak minum atau meminum air kosong di awal pagi. Pengalaman-pengalaman individu tidak boleh dijadikan asas untuk dipukul sama rata kejadiannya kepada semua orang. Lebih-lebih lagi ia berbentuk testimoni untuk melariskan produk jualan. Lagilah ianya tidak boleh diterima pakai.
Pihak yang lebih berautoriti seperti Kementerian Kesihatan, Persatuan-persatuan professional perubatan telah banyak mengeluarkan garis panduan demi garis panduan bagi memandu para pengamal perubatan merawat pesakit. Hasilan tulisan mereka adalah dari kajian-kajian yang juga berwibawa. Sebagai contohnya CPG (Clinical Practice Guideline) untuk kencing manis, CPG Asma, CPG Penyakit Buah Pinggang Kronik dan banyak lagi. Kaedah perawatan sebegini lah yang perlu kita utamakan berbanding kaedah “remeh” yang tiada hujung pangkal perbahasannya. Malah kaedah “remeh” tersebut boleh menyebabkan ramai masyarakat salah faham, salah tanggapan dan salah amalan dalam mengubati penyakit mereka, lantas meninggalkan perawatan utama penyakit.
Saya selalu menyeru kepada mereka yang bertegang urat menegakkan hujah sebegini, jika benar mereka menemui banyak kejadian samada positif atau negatif, buatlah kajian dan tulislah supaya ia menjadi catatan sejarah perubatan. Tidak menjadi kesalahan membuat kajian emperikal dan menyusunnya ikut kaedah yang betul, kemudian siarkan untuk seluruh dunia perubatan menilai kepercayaan yang kita yakini itu. Ini juga satu perjuangan, bukannya menuduh doktor masa kini tunggangan barat atau yahudi dek kerana kita kekeringan hujah. Jika kita sendiri tidak dapat membawa bukti malah mereka-reka bukti palsu, ianya “bidaah” dalam bidang perubatan.
Fikir-fikirkan lah.
Suhazeli Abdullah
_Insan Faqir_
Fb.com/drsuhazeli
suhazeli.com
18.1.2017
Khartoum
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...