wudhuHari ini banyak dikongsi dalam media maya perbualan seorang pesakit dengan doktor. Tulisan bahasa indonesia itu menyebut doktor Saudi angkat tangan (menyerah kalah dalam merawat) dan menyarankan kes dirujuk ke doktor Swiss. Tidak dinaytakan kejadian ini berlaku di Indonesia atau Saudi. Akhirnya Dr Swiss menempelak pesakit muslim tadi kerana tidak mengambil rawatan stroke yang sudah termaktub dalam kitab suci – Al Quran. Pesakit mendakwa bahawa beliau sembuh total dari stroke dengan hanya melakukan saranan dari doktor Swiss tadi.
Berikut mesej tular yang disebarkan:
⛔ *STOP STROKE*
(dengan wudhu)
Hampir setiap RT di Indonesia ada yg sakit STROKE. Seseorang yg semula gagah dihormati, gara2 stroke runtuh sdh wibawanya, plus merepotkan banyak orang. Dan lain sebagainya.
KISAH NYATA
Ada seorang MILYADER SAUDI-ARABIA turunan Yaman sakit gejala stroke, pusing terus menerus tak berkesudahan. Dokter Saudi angkat tangan. Disarankan pergi berobat ke dokter Swiss.
Setelah diperiksa, dokter Swiss berkata sambil tertawa kecil: “Anda kan orang Arab tentu beragama Islam, obatnya ada didalam Kitab Suci Anda.”
Sang Pasien bengong seribu bahasa, dgn memandang Sang Dokter penuh keheranan. Rasanya ingin cepat2 tahu apa yg akan diucapkan  Professor Doktor barusan.
*”HIRUPLAH AIR DIHIDUNG SETIAP BERWUDHU’ SAMPAI TERASA DI UBUN-UBUN”*.
Masyaa Allooh ini tuntunan Wudlu’ dalam Hadits Bab Bersuci.
Pasien tersebut terdiam malu. Benar2 malu.
Sang Pasien yg orang Arab Muslim itu membenarkan dlm hati omongan Dokter Swiss.
Singkat cerita, tanpa obat alhamdu lillaah sembuh total.
Kemudian disebarkanlah kejadian yg telah dialaminya.
Dia berkata: “Jangan tinggalkan menghirup air 3x ketika berwudlu’. Dimana masih banyak Ummat Muslim menyepelakan sunnah Rosulullooh saw.
*STOP ⛔⛔⛔ STROKE SEKARANG*
Sebarkan sbg amal ibadah berantai. Aamiiin
◾◾◾◾◾◾◾
*Ulasan Saya*
Sedut air dalam hidung semasa wudhuk (Istinsyaq) adalah satu perbuatan yang amat disarankan oleh Rasulullah. Istinsyaq ialah memasukkan atau menyedut air ke dalam hidung dan selepas itu istinsyar mengeluarkannya semula. Sabda Rasulullah SAW:
عَنْ أبى هريرة رَضىَ اللَه عَنْهُ: أنَّ رَسُولَ الله صلى الله عَلَيْهِ وَسَلمَ قَالَ: إذَا تَوَضَّأ أحَدُكُمْ فَلْيَجْعَلْ فِي أنْفِهِ مَاءً ثم لِيَسْتَنْثِرْ وَمَنِ اسْتَجْمَرَ فَلْيُوتِرْ. وَإذَا اسْتَيْقَظَ أحدكم مِنْ نَوْمِهِ فَلْيَغْسِل يَدَيْهِ قبْلَ أنْ يُدْخِلَهُمَا فَي الإنَاءِ ثَلاثاً ، فَإنَّ أحَدَكُمْ لا يَدْرِي أيْنَ بَاتَتْ يَدُهُ
وفي لفظٍ لمسلم: “فَلْيَسْتَنْشقْ بِمِنْخَرَيْهِ مِنَ المَاءِ
وفي لفظٍ: “مَنْ تَوَضَّأ فَلْيَسْتَنْشِقْ
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Jika salah seorang kalian berwudhu maka hendaklah dia memasukkan air ke dalam hidungnya kemudian mengeluarkannya. Barang siapa melakukan istijmar (iaitu beristinjak dengan batu) maka hendaklah dia lakukan dengan bilangan ganjil. Dan jika salah seorang kalian bangun dari tidur maka hendaklah dia membasuh kedua tangannya tiga kali sebelum memasukkan keduanya ke dalam bekas air, kerana sesungguhnya dia tidak tahu di mana tangannya bermalam.”
Di dalam lafaz Muslim: “Hendaklah dia memasukkan air ke dalam dua rongga hidungnya.”
Di dalam lafaz yang lain: “Barang siapa yang berwudhu hendaklah dia istinsyaq (memasukkan air ke dalam hidung dengan nafasnya).”[1]
Sabda Rasulullah sollahu ‘alaihi wasallam:
إذا استيقظ أحدكم من منامه فليستنثر ثلاث مرات ، فإن الشيطان يبيت على خياشيمه
Maksudnya : “Apabila kamu bangun dari tidur hendaklah kamu menyedut air ke dalam hidung kemudian mengeluarkannya semula sebanyak 3 kali kerana syaitan tidur dalam lubang hidung”. (HR Muslim).[2]
*Rawatan Stroke bukan dengan sedut air dalam Hidung*
Tidak disebut secara spesifik dalam hadis atau al Quran supaya menghirup air ke dalam hidung ketika wudhu sehingga terasa di ubun-ubun. Cuma tafsiran para ulama menyebut supaya kaedah kita menyedut air dalam hidung itu dengan bersungguh-sungguh sehingga seolah-olah terasa di ubun-ubun. Ia boleh dilakukan setiap kali berwudhu dan tidak bersangatan/bersungguh ketika berpuasa.
ubun-ubunSecara perubatan, rongga hidung atas terhenti sehingga tulang tengkorak. Ia tidak bersambung dengan ubun-ubun. Mungkin dalam perubatan, kebersihan hidung perlu bagi menghalang kemasukan kuman ke dalam badan. Dengan cara menyedut dan menghembus air semasa wudhu memberi ruang kepada kebersihan itu. Namun, ianya tiada kaitan dalam perawatan stroke (angin ahmar) sekalipun.
Stroke adalah sejenis penyakit yang menyerang otak samada salur darah tersumbat atau pecah. Terdapat dua jenis stroke, iaitu stroke perdarahan (pembuluh darah bocor) dan stroke iskemia (pembuluh tersumbat). Pada peringkat awal serangan stroke, sukar dibezakan antara kedua-duanya kecuali doktor yang sudah berpengalaman. Pengesahan untuk membezakan kedua-dua jenis ini adalah melalui CT Scan. Stroke akan mengakibatkan pengaliran darah ke otak akan terbantut. Akhirnya pesakit akan lumpuh separuh badan kerana saraf otak yang mengawal anggota badan sudah tiada bekalan darah. Ianya boleh membawa maut jika paras stroke yang serius.[3]
Jika ingin dibandingkan jumlah pesakit stroke antara negara Arab dan Switzerland, terdapat perbezaan nyata. Kadar kejadian stroke di Swiss adalah 150 orang dalam 100 ribu populasi setahun (tahun 2000).[4] Manakala semenanjung Tanah Arab pula kadar kejadian stroke adalah 29.8 orang dalam 100 ribu populasi setahun (tahun 1998).[5]
Berbeza pula dengan statistik berikut ini. Dengan anggapan setiap Muslim melakukan istinshaq dan istinshar semasa wudhu, jumlah kematian akibat stroke ssepatutnya telah berkurangan. Di Indonesia, peratus kematian akibat stroke adalah 21%, manakala Mesir 14%, Eropah 14% dan Amerika 6.8%. Data ini tidak menunjukkan kaitan secara tepat samada akibat dari berwudhu atau tidak dinegara-negara berkenaan. Sepatutnya negara-negara muslim paling sedikit jumlah kematian akibat stroke. -Jika benar dakwaan doktor Swiss tersebut.
Saya kira perbualan pesakit Yamen dengan doktor Swiss itu tidak wujud, kerana ianya berbentuk andaian semata-mata tanpa diasaskan kepada satu kesahihan kajian atau mana-mana penulisan berobjektif. Jikalah benar kisah ini berlaku, ketemukan saya dengan pesakit berkenaan untuk dibuat satu laporan secara objektif.
Sembuh dari stroke setelah terkena serangan amat sukar. Tetapi dengan kaedah perawatan terkini, jumlah kejadian, peratus kematian semakin berkurangan. Paling menggembirakan bahawa 80% stroke boleh dicegah dari awal.[7] Ia bermula dengan menguruskan faktor-faktor risiko sebaiknya. Antara faktor risiko berkenaan adalah penjagaan tekanan darah, kawalan gula dalam badan, tidak merokok, penjagaan makanan seimbang, bersenam serta imbang berat badan.
Jika anda diserang stroke, ambillah nasihat dari doktor yang berwibawa. Makanlah ubat yang dibekalkan. Elakkan tekanan darah meninggi. Kawal paras gula dengan cara hidup sihat dan ubatan. Bagi pesakit stroke, biasanya akan dibekalkan dengan ubat cair darah (anticoagulant/antiplatelet) bagi mengelakkan stroke anda semakin merebak atau risiko akan berlaku stroke kedua.
Tidak bermakna ulasan saya ini menghalang anda untuk menyedut air ke dalam hidung semasa wudhu. Istinshaq dan istinshar adalah sunat wudhu yang menjadi sunnah. Teruskan, tiada halangan. Sudah tentu sesuatu sunnah itu mempunyai hikmah yang tertentu samada mempunyai bukti secara saintifik atau sebaliknya. Tidak dinafikan. Cuma jangan menjadikan alasan istinshaq dan istinshar itu sebagai satu-satunya rawatan untuk stroke tanpa mendapatkan rawatan dari ahli dalam bidang kedoktoran.
Semoga Allah mengampuni kita semua dari dosa-dosa.
Rujukan:
[1] Riwayat Al-Bukhari di dalam Al-Wudhu (154), Muslim dalam Al-Taharah (21), Al-Nasai dalam Al-Taharah (85).
[2] Hadis Riwayat Muslim. https://islamqa.info/ar/228261
[4] Incidence of Stroke in Switzerland. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3808045/
[5] Incidence of Stroke in Saudi Arabia. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4048673/
[6] 10 leading cause of Death – global. https://www.cdc.gov/globalhealth/countries/
Dr Suhazeli Abdullah
fb.com/drsuhazeli
suhazeli.com
9.1.2017
Ketengah Jaya
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleBayi Kena Panggang
Next articleAdakah Panadol Perosak Buah Pinggang? 
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com