Saya kira sudah cukup kupasan dan jawapan yang telah diberikan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang atas kewajaran beliau terlibat dalam pergolakan politik antarabangsa. Isu-isu Timur Tengah sejak lebih 30 tahun lalu, beliau telah terlibat. Sehinggakan pernah mendapat perlindungan diplomatik bagi menyelesaikan isu konflik Yaman dan seumpamanya. 

Kini isu khusus yang melibatkan konflik perang di bumi Syiria, beliau berdepan secara langsung mengikut kapasiti yang diberikan kepadanya, berusaha menyelesaikan kemelut politik di Syiria. Sebenarnya konflik di Syiria bukan tertumpu di bumi Allepo semata, tetapi ianya melibatkan tangan-tangan kuasa besar dunia dalam mencapai kepentingan politik mereka. 

Ada juga asatizah yang memberi amaran agar berhati² dengan Syiah. Lantas dikemukakan pelbagai peristiwa sejarah yang melibatkan kemelut Sunni-Syiah. Ianya banyak dibincangkan dalam kitab-kitab sejarah. 

Adakah pernah kita nafikan sejarah ini. Sejarah akan dijadikan iktibar kepada kita untuk berhati². Ibrah dari sejarah inilah perlu kita ambil. Adakah TGHH dangkal dalam ilmu sejarah pergelutan sunnah syiah ini?

Andaikata saranan asatizah supaya berhati² atau ada antara mereka menyeru supaya memerangi syiah atas kezaliman mereka berabad lamanya, adakah gesaan ini menyuruh kita jumpa Ali Khomeini dan tembak beliau? Sama seperti duta Rusia yang di tembak?

Bercakap teori kitab sejarah memang mudah. Tetapi menjadikan usaha kita sebagai salah satu rantaian bait sejarah yang akan dibaca pada masa depan, itu yang susah.

Berikut saya paparkan 2 artikel analisa yang menunjukkan kewajaran beliau menjejakkan kaki di Tehran. 

◼◻◼◻◼

23 FAKTA GEOSTRATEGI IRAN-SYRIA

1) Tindakan Presiden PAS, Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang (TGHH) menyertai Persidangan di Iran ialah tindakan baik dan boleh membawa kepada keadaan yang baik dari perspektif geopolitik.  

2) Waktu yang dipilih beliau untuk menghadiri persidangan di Iran ini juga tepat, iaitu dalam keadaan Iran, Turki, serta Rusia merancang dan melaksanakan proses pemindahan orang awam dari Aleppo.

3) Sebagai seorang yang berkedudukan politik, TGHH boleh memilih untuk menolak jemputan dari Iran namun langkah sedemikian tidak mengubah apa-apa, tidak membawa kebaikan, malah sebaliknya mungkin menyemarakkan lagi persepsi permusuhan Sunni-Syiah dan menutup sebarang ruang positif yang boleh dimanfaatkan.

4) Dari perspektif hubungan antarabangsa, langkah Presiden PAS ini menepati solusi Konstruktivisme (Constructivism in International Relations) yang menekankan proses sosialisasi iaitu proses interaksi untuk mengubah sesuatu hubungan antarabangsa agar menjadi lebih baik – bukannya melalui konfrontasi antara negara (seperti Realism) mahupun diplomasi ganjaran material (seperti Neoliberalism). 

5) TGHH pada hakikatnya memiliki pengalaman yang banyak dalam usaha rundingan keamanan di peringkat antarabangsa khususnya di negara-negara Islam, demikian juga hubungan dialog beliau dengan para sarjana dan ahli politik Iran dan Syiah. Langkah menolak jemputan ke Iran akan membantutkan potensi beliau untuk memanfaatkan hubungan sedia ada untuk berusaha membawa kepada situasi politik yang lebih baik dan aman.

6) Namun pastilah Presiden PAS hanya membataskan solusi Konstruktivisme ini buat hubungan dengan Iran dan bukannya dengan Israel yang dianggap sebagai musuh. Hal inilah mendorong TGHH mengatur hubungan baik dengan Iran untuk mendepani Israel (pendekatan Realism).

7) Sememangnya pergolakan Syria tidak dapat dinafikan disebabkan oleh pemerintahan diktator rejim Basyar Al-Assad dan Iran (serta Rusia) telah membantu rejim untuk berhadapan dengan penentangnya. Namun siapakah yang paling mendapat keuntungan daripada Syria yang bergolak?

8) Wajib diketahui Syria sebelum Arab Spring dari segi geostrategiknya bukan sahaja tidak mengiktiraf Israel dan tidak mempunyai hubungan diplomatik dengannya, bahkan juga menjadi negara perantara buat beberapa musuh Israel, iaitu Iran (Syiah Imamiyyah), Hamas (Sunni), Jihad Islami (Sunni), serta Hizbullah (Syiah). Wakil Hamas dari Palestin turut hadir ke persidangan di Iran tersebut bersama Presiden PAS.

9) Jika Syria membekalkan platform kepada Palestin menentang Israel iaitu Hamas dan Tanzim Jihad, Iran pula turut menyumbang kepada Hamas, Tanzim Jihad dan Hizbullah di Lubnan. Kombinasi kerjasama proksi Syria-Iran ini terbukti mengalahkan tentera Israel di Gaza dan Selatan Lubnan.

10) Syria juga mempunyai sejarah peperangan dengan Israel, bekerjasama dengan pakatan Arab seperti Mesir dalam beberapa siri seperti Perang Ramadan 1973, namun gagal merampas kembali Bukit Golan yang ditawan Israel.  

11) Hasil lobi yang kuat di Washington, pelobi Yahudi telah berjaya menjadikan Amerika Syarikat sebagai sekutu strategik utama Israel dengan pakej bantuan persenjataan bernilai berbilion-bilion Dollar, manakala musuh Israel turut dilihat sebagai musuh Washington. Termasuklah Syria dan Iran yang masing-masing memiliki proksi yang kuat menghalang peluasan wilayah Israel.

12) Disebabkan persaingan kuasa antara negara Arab dengan Iran selepas Revolusi Khomenei menggulingkan Shah Iran pada 1979, Iran telah dianggap sebagai musuh utama beberapa negara Arab, bahkan dimusuhi melebihi Israel. Demikianlah terdapat negara-negara Arab dan juga Turki yang bekerjasama dari segi diplomasi, ekonomi, dan ketenteraan dengan Israel, ditambah pula dengan pelbagai pakej tawaran menarik dari Amerika Syarikat.

13) Perubahan politik sememangnya amat perlu di Syria namun ternyata perang saudara adalah jauh lebih buruk berbanding kediktatoran Basyar sebelum perang. Demikian juga Iran yang kini disasarkan. Siapa yang paling untung dengan pelemahan Iran dan Syria? Jawapannya ialah Israel kerana kekacauan di Syria serta peminggiran Iran telah melemahkan sokongan yang diperoleh Hamas, Jihad Islami dan Hizbullah yang sejak sekian lama mengancam Israel.

14) Beberapa kali Israel terpaksa bertungkus-lumus menyekat pengedaran senjata Iran dan Syria daripada memasuki Gaza untuk disalurkan kepada Hamas dan juga daripada Lubnan. Pengawal Revolusi Iran antara watak penting membantu Hezbollah dalam menghalang kemaraan Israel dalam Perang Lubnan 2006.

15) Malah, akibat pergolakan di Syria dan Timur Tengah sejak 2011, Israel telah beberapa kali mencuba tindakan agresif ke atas Gaza di Palestin kerana Hamas telah mulai kekurangan sokongan daripada Syria dan Iran.

16) Namun Presiden PAS turut perlu menanggapi persoalan kepentingan nasional yang berkait rapat dengan hubungan diplomatik Malaysia sedia ada dan hal ini menarik untuk diketahui kerana beberapa negara Arab pastinya kurang selesa dengan hubungan TGHH dengan Iran ini. 

17) Apa yang pasti, hubungan Malaysia-Iran sedia ada adalah dinamik di mana eksport Malaysia ke Iran yang bernilai RM2.4 bilion pada 2009 telah meningkat kepada RM3.5 bilion pada 2012. Namun, susulan daripada sekatan antarabangsa, eksport hasil utama Malaysia ke Iran seperti kelapa sawit, getah asli dan produk kimia pada 2015 sekadar mencatatkan RM1.3 bilion. Nilai import Iran ke Malaysia pula ialah RM1.1 bilion pada 2009 sebelum menurun kepada sekitar RM200 juta pada 2014. Tiga projek pelaburan Iran di Malaysia pada 2009 adalah bernilai RM151.5 juta manakala pada 2014 pula hanya sebuah projek pelaburan bernilai RM3 juta yang diluluskan dari Iran. 

18) Akan tetapi hal ini berbeza dengan beberapa negara rapat Malaysia yang lain iaitu Arab Saudi, Turki (relatifnya), UAE, Qatar, dan Amerika Syarikat yang kurang mesra dengan Iran. Dalam konteks hubungan dengan Arab Saudi, pada 2009 eksport Malaysia ke Arab Saudi adalah bernilai RM2.9 bilion, manakala jumlah import pula RM3.9 bilion. Pada 2015, jumlah eksport Malaysia meningkat kepada RM3.4 bilion manakala import pula meningkat dengan lebih tinggi dengan nilai RM7.5 bilion. Arab Saudi yang memiliki pelaburan bernilai RM2 juta pada 2008 konsisten melabur di Malaysia di mana terkini pada tahun 2014 terdapat pelaburan yang bernilai RM550,000 dari Arab Saudi di Malaysia. 

19) Hubungan Malaysia-Turki turut signifikan di mana Eksport Malaysia ke Turki pada 2009 yang bernilai RM1.6 bilion telah melonjak menjadi RM3.7 bilion pada 2015, manakala import pula yang bernilai RM395 juta pada 2009 telah meningkat kepada RM1.8 bilion pada 2015. Berbanding nilai projek pelaburan Turki di Malaysia pada 2009 yang bernilai RM10 juta, pada 2014 angka yang dicatatkan hanya berjumlah RM1.5 juta. 

20) UAE meskipun bersaiz lebih kecil berbanding ketiga-tiga kuasa Asia Barat tadi, namun ternyata dari segi ekonomi Abu Dhabi merupakan rakan yang paling signifikan buat Malaysia. Eksport Malaysia ke UAE pada 2009 adalah bernilai RM10 bilion dan melonjak kepada sekitar RM11.8 bilion pada 2015. Import dari UAE juga meningkat mengatasi nilai eksport dengan nilai RM6 bilion pada 2009 menjadi RM12 bilion pada 2015. Tiga projek pelaburan UAE di Malaysia pada 2014 pula bernilai sebesar RM767 juta.  

21) Qatar pula meskipun eksport Malaysia ke sana hanya berjumlah RM834 juta pada 2015, namun import Malaysia dari Qatar adalah cukup tinggi iaitu sebesar RM2.3 bilion pada 2015, meningkat berbanding RM1.1 bilion pada 2014.

22) Walau bagaimanapun, jumlah eksport Malaysia ke kesemua lima negara terbabit (sekitar RM20 bilion) adalah jauh lebih rendah berbanding ke Amerika Syarikat di mana jumlahnya ialah RM73.6 bilion. Amerika Syarikat juga adalah merupakan antara sumber pelaburan langsung asing (FDI) yang utama buat Malaysia. Maka adalah menarik untuk diketahui perancangan atau manifesto Presiden PAS dalam mengimbangi aspek hubungan diplomasi dan juga hubungan dagang antara blok AS-Qatar-Arab Saudi-UAE dengan blok Iran-Syria-Rusia-China untuk hala tuju Malaysia kelak seandainya beliau berhasrat untuk menerajui negara.

23) Apa yang pasti, sewajarnya tindakan beliau yang cuba untuk mewujudkan perdamaian di peringkat antarabangsa ini tidak diburukkan dengan perkelahian di Malaysia, baik dari kekhilafan tentang perbezaan dengan Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS), mahupun dari segi perbezaan pegangan Sunni-Syiah kerana ini ialah isu percaturan geopolitik, bukan isu perbezaan aliran pegangan agama.

Oleh: Abdul Muein Abadi

Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

◻◼◻◼◻

*Catatan Khas: Intipati Sidang Media Penjelasan Isu Syria oleh Tuan Guru Presiden PAS*


1. Semenjak tersebarnya berita Tuan Guru Presiden PAS hadir ke persidangan di Iran, timbul polemik kontroversi yang tidak kurang hebatnya kerana ada pihak yang menganggap kehadiran tersebut seolah bersekongkol dengan Iran yang merupakan sekutu rapat rejim Basyar Assad. 

Antara tokoh yang begitu lantang bersuara di FB ialah Dr RORA, Dr MAZA, Dr Juanda dan yang seangkatan dengannya.

Tidak kurang pelbagai tuduhan dan kecaman dilemparkan ke atas Tuan Guru Presiden PAS, lebih-lebih lagi apabila berlakunya salahfaham kehadiran tersebut dikatakan mewakili Kesatuan Ulamak Islam Sedunia.


2. Suasana di alam maya menjadi lebih hangat apabila ada pula yang memegang watak si batu api melagakan perbezaan pandangan antara Tuan Guru Presiden PAS dan Syeikh Dr Yusof Al-Qardhawi yang merupakan Ketua Kesatuan Ulamak Islam Sedunia. Tidak kurang juga yang membuat kesimpulan mudah kononnya Tuan Guru Presiden PAS menjadi pembela Syiah hanya berpandukan gambar beliau bersalaman dengan Ayatollah pemimpin besar Syiah.


3. Pada siang tadi, Tuan Guru Presiden PAS sendiri yang memperjelaskan isu ini melalui sidang media. 

Beliau memulakan penjelasan dengan menerangkan sejarah awal Syria. 

Berikut intipati sidang media tersebut;


a) Perlu difahami Syria ialah negara yang termasuk dalam perjanjian Sykes-Picot, antara British, Perancis dan Russia, selepas kejatuhan Kerajaan Khilafah Uthmaniyyah.

Syria dengan Lebanon termasuk di dalam bahagian Perancis maka, polisi dan politik Syria berlainan dengan Jordan, Iraq, negeri di bawah pembahagian British.


b) Syria bersempadan dengan Israel, sangat rapat dengan strategi keselamatan Israel. Apa yang berlaku di Syria adalah strategi keselamatan Israel yang diatur oleh Barat. Kita mesti faham bahawa yang penting kepada kuasa-kuasa Barat ialah keselamatan Israel, bukan bumi Syria itu, tanpa mengira siapa yang memerintah Syria.?


c) Selepas berlaku kejatuhan Shah di Iran, kumpulan Islam Syiah memerintah Iran. Mereka mengisytiharkan memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel dan mengisytiharkan Israel adalah sebuah negara haram.

Lalu, Barat menggunakan Saddam Hussein untuk menyerang Iran, semua negeri Arab menyerang Iran di masa itu, kecuali Syria, Yaman, Sudan, Algeria, Libya tidak menyokong serangan Iraq ke atas Iran pada masa itu.


d) Presiden Syria, Hafez al-Assad dan Presiden Iraq, Saddam Hussein sama daripada Parti Ba’ath, tetapi mereka berdua ada krisis dan tidak bersama. Dalam Perang Teluk Pertama,Syria tidak bersama dengan Iraq dalam keadaan Iran dikepung oleh semua negeri di bawah pengaruh Barat. 

Maka Iran mengambil kesempatan mengadakan hubungan dengan Syria. 

Di Syria, terdapat 80 peratus Sunni manakala (Syiah) Alawi dalam 10 peratus ataupun 20 peratus sahaja. Hafez al-Assad adalah Syiah Alawi. Walaupun Barat mengatur supaya Hafez al-Assad menguasai Syria, tapi dalam masa yang sama mereka mesti meraikan Sunni yang menjadi majoriti di Syria.

Hafez al-Assad mengadakan hubungan dengan Iran. Iran mengambil peluang kerana Syria menjadi pintu untuk keluar ke dunia lain dalam Perang Teluk yang pertama.


e) Dalam masa yang sama, Syria termasuk kalangan negeri yang menolak perjanjian Madrid dan Oslo yang mengiktiraf Israel. Mereka menolak penyelesaian dua negara Palestin, satu untuk Yahudi dan satu untuk Israel.

Negara Yaman, Sudan, Libya, Iraq dan Algeria berpendirian sama dengan Syria. Kesemua negara ini dianggap sebagai ancaman kepada Israel.


f) Apabila berlakunya Arab Spring, semua negara ini menjadi sasaran termasuklah Mesir kerana kedudukan Terusan Suez yang menjadi penghubung kepada laluan dunia Barat, bekalan tenaga minyak petroleum daripada negeri Teluk. Mesir juga menjadi perhatian mereka kerana pengaruh Islam juga kuat di Mesir.

Maka Arab Spring dijadikan satu cara untuk membentuk peta baru Asia Barat, peta yang dirangka oleh Barat demi keselamatan Israel. 

Kita melihat semua negeri Arab Spring ini kumpulan Islam gagal walaupun kumpulan Islam yang paling ramai turun ke padang kerana dicaturkan oleh Barat untuk menyelamatkan Israel.


g) Syria yang mengambil kesempatan daripada strategi kedudukan dia, mempunyai hubungan rapat dengan Iran. Pada masa yang sama, Syria membenarkan semua kumpulan Palestin yang dianggap ekstrem iaitu Hamas, Tanzim Jihad, kumpulan Jibrail, dan lain-lain, berpangkalan di Syria. Iran membantu kumpulan-kumpulan ini melalui Syria.


h) Iran telah mencapai kemajuan teknologi yang tinggi dalam membantu Gaza dan Selatan Lubnan. Iran telah menggagalkan serangan Israel ke atas Gaza dan Lubnan sebanyak dua kali. Bantuan senjata kepada melalui Yaman dan Sudan serta Syria. Yaman dan Sudan pangkalannya yang jauh. 

Kita jangan lupa, Israel pernah menyerang Port Sudan dan Syria. Syria dianggap paling bahaya kerana di situ adanya pangkalan kumpulan Palestin yang tidak mengiktiraf Israel, mereka perlu dikacau.


i) Beberapa tahun yang lalu, beberapa media Barat termasuk Al Jazeera mendedahkan penglibatan Arab Saudi dan Barat menghantar Daesh dan kumpulan pelampau yang pernah ditugaskan oleh Amerika di Afghanistan dahulu, dihantar pula ke Syria bagi tujuan mencetuskan kekacauan di Syria di atas nama untuk menentang kezaliman Basyar al-Assad.

Mereka yang bersemangat ini pergi ke sana berperang untuk menentang Basyar al-Assad kerana dia (Syiah) Alawi sehingga mereka lupa bahawa mereka telah dipergunakan untuk mencetuskan kekacauan di Syria.


j) Dalam hal ini kita melihat, ulama-ulama Syria sendiri berbelah bahagi, contohnya Almarhum Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili mengambil sikap diam, (tidak) mengkritik kerajaan Syria dan tidak keluar daripada Syria.

Syeikh Ali As-Sobuni duduk tinggal di Saudi, sebahagian tinggal di Turki. 

Almarhum Syeikh Dr Said Ramadan Al-Bouti mengambil sikap bersama Hafez al-Assad. 

Kita melihat ulama-ulama di Syria pun berbelah bahagi, bagaimana nak menentukan sikap mereka dalam perkara ini.?


4) Seterusnya, Tuan Guru Presiden PAS menegaskan bahawa kita mesti faham, apa yang berlaku di Aleppo pada hari ini adalah rantaian daripada semua yang telah disebutkan. 

Beliau memaklumkan ada berita yang menyatakan PBB minta menanguhkan gencatan senjata dan mahu hantar pengaman.

Wakil Syria di PBB telah mendedahkan ada 12 orang ejen tentera yang telah dikepung di Aleppo; 6 daripadanya ialah setiap seorang dari Israel, Amerika Syarikat, Jordan, Turki, Morocco, Qatar, dan 6 orang daripada Saudi, yang masih berada di Aleppo.

Apa makna ini semua? 

Menandakan betapa campur tangan tentera asing, rakyat menjadi mangsa. Campur tangan semata-mata untuk menyelamatkan Israel. Tuan Guru Presiden PAS menjelaskan ejen tentera Turki itu merupakan rangkaian di bawah Fethullah Gulen bukan Erdogan. 

Turki juga sekarang sudah mengubah pendirian dengan mula berbaik dengan Rusia dan Iran kerana mengetahui percaturan politik yang berlaku di Asia Barat.


5) Apabila ditanya soalan berkenaan kritikan terhadap kehadiran beliau yang tidak kena masa dan teguran daripada Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, Tuan Guru Presiden PAS menyatakan beliau menjadi ahli Majma’ Taqrib yang ditubuhkan tahun 1980. Ini bukan kali pertama hadir, ia program tahunan yang dihadiri melainkan beliau keuzuran. 

Beliau menegaskan kehadiran di situ dengan pandangan bahawa perpaduan ulama tanpa mengira Sunni dan Syiah, mereka perlu bersatu. Beliau minta rujuk ucapan di Tehran yang mana beliau turut mengkritik Iran. Ucapan beliau tidak tunduk kepada mana-mana kerajaan yang terpengaruh dengan Barat ataupun Timur, beliau mengutamakan kepentingan Islam.


6) Tuan Guru Presiden PAS mendedahkan beliau telah menulis surat kepada Kesatuan Ulamak Islam Sedunia bagi menyatakan pendirian beliau yang tidak terpengaruh dengan dasar Qatar, Arab Saudi dan Emirate.

Beliau juga terkilan apabila dalam Persidangan Negara Teluk pada dua minggu lalu telah disertai oleh Perdana Menteri British. 

Apa kedudukan Perdana Menteri British? 

Adakah British ini anggota Negara Teluk? 

Mengapa hadir dalam sidang ini? 

Sidang ini membuat resolusi untuk bersama menentang Iran, 

bukan menentang Israel tetapi menentang Iran, ini apa makna? 

Ini satu benda yang sangat kacau di Asia Barat.


7) Tuan Guru Presiden PAS menyatakan PAS ada pendirian tersendiri. 

Dalam Perang Teluk Pertama tahun 1980, Iraq menyerang Iran, pada masa itu PAS bersama dengan Iran dan menyokong Iran. Semua negara Arab kecuali sedikit menyokong Iraq dan beberapa kumpulan Islam menuduh PAS terpengaruh dengan Syiah. 

Apabila Saddam Hussein berpaling tadah menyerang Kuwait, dan negara Arab menjemput Amerika, PAS dijemput balik untuk ikut mereka

PAS ada pendirian, kita adalah Sunni, tidak Syiah. 

PAS membaca politik antarabangsa bukan politik sempit yang tengok pada satu masa berlaku itu sahaja, kita baca semua.


8) Tuan Guru Presiden PAS turut menyatakan kesediaan beliau meletakkan jawatan dalam KUIS. Bahkan, beliau bukannya meminta jawatan itu dahulu, beliau tidak pun hadir ketika lantikan dibuat.


9) Tuan Guru Presiden PAS memaklumkan mengenai keuzuran Syeikh Dr Yusof Al-Qardhawi. Pendengaran dan penglihatan Syeikh begitu terjejas. Beliau telah diminta oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qardhawi untuk mempengerusikan mesyuarat dalam persidangan KUIS 2,3 bulan lepas atas sebab keuzuran Syeikh. 

Tuan Guru Presiden PAS juga tidak pasti adakah benar kenyataan yang dikeluarkan melalui Facebook KUIS itu. 

Surat penjelasan beliau telah pun dihantar kepada Setiausaha Agung KUIS supaya dibaca oleh mereka.

Adapun berkenaan adanya desakan beliau dipecat hanya disuarakan oleh seorang pensyarah yang menjadi Rektor di Ireland, universiti yang dibiayai oleh Negara Teluk.


10) Akhirnya, Tuan Guru Presiden PAS mengharapkan KUIS ada pendirian tersendiri, tidak dipengaruhi oleh Qatar (tempat ibupejabat KUIS).

Beliau hadir persidangan di Tehran bagi memenuhi jemputan ulama-ulama Sunni di Iran. Terdapat 30 peratus rakyat Iran adalah Sunni.Bahkan, yang hadir persidangan itu sebahagian besarnya adalah ulama-ulama Sunni daripada Iran. Apa kita nak letakkan kedudukan mereka?


11) Demikianlah penjelasan yang diberikan sendiri oleh Tuan Guru Presiden PAS. Terserahlah untuk penilaian masing-masing. 

Jikalau masih enggan menerima, sekurangya belajarlah menghormati dan adab perbezaan pendapat. 

Tidak semestinya mempunyai PhD dalam bidang tertentu bermakna kamu sudah menjadi pakar dalam kesemua bidang termasuklah geopolitik antarabangsa yang penuh dengan simpang siurnya.


_Catatan oleh,_

_Syed Ahmad Fadhli_ 

_Pegawai Pusat Penyelidikan PAS_

23 Disember 2016

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleTegas dengan Prinsip
Next articlePenjelasan Kekeliruan Tulisan “Rebusan Limau Sembuhkan Kencing Manis Pesara Imegresen”
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com