demam-pada-bayiAda sesetengah ibu-bapa yang punyai bayi berumur 10-12 bulan alami sedikit masalah dalam memberikan ubat demam.
Sering kali ubat demam tersebut disembur keluar semula oleh bayi dan ibu-bapa tidak tahu berapa banyak pula hendak ditambah bagi ubat yang keluar dan tidak ditelan oleh anak mereka. Bagaimana atasi masalah ini?
Ramai ibu-bapa berpendapat jika bagi dengan jumlah isipadu ubat yang sedikit boleh atasi masalah ini kerana bayi mudah telan jumlah isipadu yang kecil.
Suka diingatkan dos kanak-kanak adalah mengikut berat badan mereka. Ubat demam yang biasa digunakan adalah Paracetamol. Bagi dos Paracetamol untuk kanak-kanak, ia diberikan mengikut ukuran 15mg/kg (15mg Paracetamol bagi setiap kilogram berat badan bayi) dan diberikan setiap 6 jam.
Mungkin ramai yang tidak perasan dalam pasaran, ubat Sirap Paracetamol ada dua jenis kepekatan iaitu 1. Paracetamol 120mg/5ml & 2. Paracetamol 250mg/5ml. Maka ibu-bapa boleh membuat pilihan.
Ubat Paracetamol 120mg/5ml memerlukan jumlah isipadu ubat yang lebih besar berbanding ubat Paracetamol 250mg/5ml untuk dos yang sama.
Maka dengan ini masalah awal tadi dapat diatasi. Kaedah perkiraan ditunjukkan mengikut gambar. Oleh itu ibu-bapa perlu berhati-hati kerana terdapat dua jenis kepekatan ubat Paracetamol dalam pasaran. Baca label terlebih dahulu.
Kesilapan boleh berlaku sama ada terbagi kurang dos atau terlebih dos. Elakkan mengambil semua dos pada kebiasaannya. Baca label dan buat perkiraan untuk mendapatkan kepastian jumlah dos dan isipadu ubat Sirap Paracetamol yang diperlukan.
Untuk pemberian ubat sirap kepada bayi menggunakan picagari elakkan daripada terus pancut ke dalam mulut bayi ke bahagian tekaknya. Kaedah ini salah dan boleh menyebabkan bayi tersedak dan keluarkan semula ubat.
Cara yang lebih baik adalah untuk pancutkan ubat pada bahagian pipi bayi. Cara ini tidak menyebabkan bayi tersedak.
Ramai juga yang bertanya berapa lama boleh simpan ubat Sirap Paracetamol ini selepas dibuka? Kebanyakkan ubat-ubat sirap dibotolkan dalam botol 60ml. Jika setiap dos memerlukan 5ml ubat maka jumlah isipadu untuk 1 hari (setiap 6jam) adalah 20ml. Oleh itu ubat paracetamol dalam 60ml botol ini cuma untuk 3 hari sahaja.
Mungkin hari kedua anak telah baik demam. Maka adal lebihan 20ml lagi. Boleh jika mahu disimpan, namun dinasihatkan cuma untuk jangka masa sebulan sahaja.
Elakkan daripada menyimpan ubat berlebihan di dalam peti sejuk kerana apabila botol ubat dikeluarkan daripada peti sejuk kepada suhu bilik, titisan kecil cecair akan terbentuk. Dengan kehadiran titisan halus cecair ini membolehkan bakteria membiak dan merosakkan ubat.
Ubat dalam bentuk sirap kebanyakkan hanya perlu disimpan pada suhu bilik sahaja iaitu 25-30°C. Baca label pada botol ubat untuk mendapatkan kepastian berkaitan suhu simpanan.
Elok juga sekiranya sebelum memberi baki ubat dalam bentuk sirap yang disimpan lihat dan nilai dahulu bentuk fizikalnya seperti :

○ Berlaku perubahan warna atau tidak?

○ Berlaku perubahan kelikatan cecair ubat

○ Mengeluarkan bau seperti telah rosak

 

Sekiranya ada perubahan warna atau bertambah likat atau kandungan ubat terpisah membentuk dua lapisan walaupun digoncang namun tidak bercampur atau sudah ada bau yang busuk maka mungkin baki ubat dalam simpanan itu telah rosak.
Elakkan menggunakan ubat dalam bentuk sirap yang telah rosak atau disimpan melebihi sebulan setelah ia dibuka.
———————————————–

Informasi tambahan berkaitan demam
~Suhu badan normal : 36°c – 37.4°c

~Demam ringan: 37.5°c – 38.4°c

~Demam biasa: 38.4°c – 39.9°c

~Demam tinggi: 40°c – 41.4°c
Apakah penyebab demam yang terjadi pada kanak-kanak ;
✅ Batuk dan selsema disebabkan jangkitan kuman atau virus.
✅ Jangkitan tekak atau telinga
✅ Jangkitan pada paru-paru
✅ Jangkitan pada salur kencing
✅Radang otak
✅Demam denggi
✅Demam campak
Walau bagaimanapun, ada masanya suhu badan kanak-kanak juga boleh meningkat walaupun tanpa sebarang penyakit contohnya selepas mendapat suntikan immunisasi atau dipakaikan terlalu banyak pakaian dan balutan selimut terutama bagi bayi yang kecil.
Selain daripada itu ada juga keadaan seperti bayi mula tumbuh gigi juga boleh meningkatkan suhu badan tetapi selalunya tidak melebihi 37.8°C.
Kebiasaannya demam boleh ditangani tanpa ubat-ubatan, ibu dan bapa dinasihatkan membawa anak-anak berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan sekiranya:
○ Demam mencapai 38°C atau lebih bagi bayi berumur kurang daripada 3 bulan
○ Demam mencapai 39°C atau lebih bagi bayi berumur 3 bulan sehingga 6 bulan
○ Demam dan mempunyai tanda- tanda penyakit yang lain bagi bayi dan kanak – kanak berusia 6 bulan ke atas
Demam yang disebabkan penyakit berbahaya jarang berlaku tetapi tanda- tandanya hendaklah diketahui agar keadaan anak dapat dipantau dan sekiranya terdapat tanda-tanda itu, anak tersebut dapat menerima rawatan awal tanpa berlengah.
Antara tanda tanda yang mungkin menandakan jangkitan atau keadaan yang lebih serius termasuklah;
□ Perubahan dalam kelakuan seperti menangis tanpa henti atau dengan suara yang nyaring dan sukar untuk ‘dipujuk’, tidak memberi tindak balas yang biasanya diberikan apabila berinteraksi
□ Kurang aktif atau terlalu banyak tidur daripada kebiasaannya
□ Sawan
□ Kurang minum dan kurang kencing daripada kebiasaanya (minum adalah lebih penting daripada selera makan)
□ Muntah atau cirit birit yang berterusan
□ Demam yang sangat tinggi tetapi tangan dan kaki kesejukkan atau kebiru – biruan
□ Perubahan warna kulit atau kelihatan ‘berpetak-petak’ (mottling) Terdapat ruam yang berwarna merah pekat / keungguan pada kulit badan
□ Bernafas dengan laju atau kesukaran untuk bernafas
□ Bengkak pada sendi-sendi
□ Demam yang berpanjangan
□ Demam dan tinggal di kawasan wabak denggi
🛇 Walaubagaimanapun, anak anak patut dibawa berjumpa doktor sekiranya ibubapa merasa risau tentang keadaan anak.

 

Peringatan;

Ibubapa digalakkan menyimpan ‘thermometer‘ atau alat penyukat suhu badan yang boleh didapati di farmasi-farmasi komuniti bagi tujuan menyukat suhu anak-anak selain menilai keberkesanan rawatan awal yang telah diberikan.
❗Elakkan ambil suhu bayi sejurus selepas dimandikan/dijelum dan juga jika dibedung / diselimutkan untuk jangka masa yang agak panjang kerana bayi anda sudahpun dalam keadaan hangat, ini boleh menjejaskan bacaan. Tunggulah sekurang-kurang 15 minit sebelum mengambil bacaan suhunya.
❗❗Tidak semua jangkitan yang menyebabkan demam perlu dirawat dengan antibiotik.
❗❗❗Elakkan menggunakan Air Sejuk/Ais –

Air sejuk/ais akan menyebabkan badan menggigil, dan badan akan memberitahu otak, bahawa badan kesejukan. Otak akan bertindakbalas dengan meninggikan suhu lagi, dan demam akan menjadi lebih tinggi.
Moga semua informasi berkaitan ubat demam dan dosnya serta informasi berkaitan demam ini dimanfaatkan oleh semua pihak.
Ditulis bersama-sama

Mohd Dziehan Mustapa

Pegawai Farmasi

Dan

Nur Nabilla Masfuzah Abdullah

Jururawat Terlatih

#Medical_Mythbusters_Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleKhatan Terpotong Kepala
Next articleBidaah Air Kosong dalam Perubatan?
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com