Terdapat perbahasan dikalangan ibu hamil dan selepas bersalin mengenai pemberian ubat pencairan darah. Ubat suntikan tersebut diberikan kepada pesakit yang mempunyai risiko tertentu yang mendatangkan bahaya. Ia adalah hasil kajian dan laporan sebelum ini menunjukkan individu berisiko berkenaan akan menghadapai mudarat atau kematian. Antara risiko yang disebut adalah:

1. Umur melebihi 35 tahun.
2. Kelahiran anak ke 3 dan lebih.
3. Berat badan berlebihan. BMI > 30.
4. Status semasa merokok.
5. Pembedahan caesarean elektif
6. Pra-eklampsia (darah tinggi semasa hamil dan tanda² sawan).
7. Kehamilan kembar.
8. Kelahiran pramatang, kurang 37 minggu
9. Penggunaan alat bantu semasa kelahiran seperti forceps/vacumm.
10. Perdarahan semasa bersalin yang banyak. Kehilangan lebih 1 liter atau berlaku transfusi darah.
11. Jangkitan kuman sistemik (seluruh badan)

*2 atau lebih* faktor di atas dikelaskan sebagai risiko pertengahan (intermediate risk); di mana, doktor perlu memberikan ubat cair darah (Heparin – Low Molecular weight) selama 10 hari.

Bagi kes
1) Pembedahan caeserean kecemasan
2) Berat Badan Unggul (BMI) >40
3) Masalah perubatan seperti cancer, sakit jantung, SLE, nephrotic syndrome

Jika ibu terdapat *satu* faktor di atas – perlu mulakan LMW Heparin juga selama 10 hari

Berdasarkan strata risiko ini, doktor yang merawat akan mengenal pasti pesakit mana yang perlu diberikan atau tidak.

Suntikan ini diberi bertujuan utk mencegah dari pembekuan dalam saluran darah (venous thromboembolism prophylaxis). Berkemungkinan, dikalangan anggota kesihatan sendiri masih belum 100% sedar bahawa suntikan ini perlu bukan sahaja utk kelahiran caesarean tetapi kelahiran normal juga berdasarkan faktor-faktor di atas.

Terdapat 3 pilihan ubat pencair darah yang boleh diberikan.[1]
1. Enoxaparin (clexane) atau sejenama dengannya. (Jenis LMWH)
2. Fondaparinux (arixtra) atau sejenama dengannya. (Jenis Sintetik faktor Xa inhibitor)
3. Heparin. (Jenis biasa)

*“`Isu yang diperbincangkan“`*

Terdapat perkara syubhah dalam pembuatan Enoxaparin. Bahan yang digunakan dalam proses awal pembuatannya adalah dari kinzir. Manakala Fondaparinux dan Heparin pula bebas dari unsur kinzir.

Di sini para pakar perubatan akan menggunakan kepakaran mereka dalam memberikan perawatan terbaik bagi menyelamatkan nyawa pesakit. Walaupun terdapat perbezaan antara 3 jenis ubat pencair darah tersebut, dari segi kehalalan dan juga keberkesanan yang yang berbeza-beza, sudah tentu isu keharaman sesuatu bahan akan dikesampingkan, demi menyelamatkan nyawa. Terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira dalam proses perawatan ini.[1]
1) Kajian dengan jelas membuktikan penggunaan Enoxaparin lebih baik berpuluh kali ganda dari sudut kualiti, keberkesanan dan keselamatan kepada pesakit berbanding Heparin.
2) Manakala Fondaparinux pula sama tara kualiti, keberkesanan dan keselamatan dengan Enoxaparin.
3) Tetapi kos mendapatkan Fondaparinux terlalu tinggi berbanding Enoxaparin.
4) Fondaparinux pula tiada satu kajian yang defenitif lagi bagi kegunaan terhadap ibu hamil dan selepas bersalin (post-natal).
5) Penjagaan dan pemonitoran pesakit yang diberikan ubat Heparin terlalu rumit samada semasa berada dihospital mahupun setelah dibenarkan balik rumah.

*“`Hukum berkaitan“`*

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke 87 pada 23 Jun 2009 berpandangan bahawa Islam menegah penggunaan ubat dari sumber yang haram bagi mengubati sesuatu penyakit kecuali dalam keadaan di mana tiada ubat daripada sumber yang halal ditemui dan bagi menghindari kemudaratan mengikut kadar yang diperlukan sahaja sehingga ubat daripada sumber yang halal ditemui.

Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa penggunaan Clexane dan Fraxiparine adalah ditegah kerana ia dihasilkan daripada sumber yang diharamkan oleh Islam, memandangkan pada masa ini telah terdapat ubat alternatif lain iaitu Arixtra (Fondaparinux) yang dihasilkan daripada sumber halal dan mempunyai fungsi serta keberkesanan yang sama dengan Clexane dan Fraxiparine.[2]

Akan tetapi dalam penentuan hukum semasa memberi ubat, walaupun sesuatu itu haram, ia perlu dilihat kepada: 
1. Availability (kebolehcapaian) ubat. 

Jika ubat yang halal tidak ada dalam masa getir (darurat/mendesak) yang diperlukan, demi menyelamatkan nyawa, hukum darurat terpakai. Sebagaimana kaedah fekah menyebut “Keadaan darurat membolehkan sesuatu terlarang”.
2. Feasibility (kemudahcapaian) sesuatu ubat: 

Jika ubat yang halal ada tetapi perlu proses birokrasi, harga terlalu mahal, malah hampir sukar untuk mendapatkannya dalam tempoh yang segera. Maka, ia dianggap sebagai tiada alternatif yang wajib dicari.[3]

Hasil perbincangan dengan Prof Madya Dr Basri Ibrahim dalam forum Venous Thrombo Embolism (VTE) yang diadakan di Hotel Tabung Haji Kuala Terengganu pada 3 Ogos 2016 lepas, mengambil ketetapan bahawa penggunaan Enoxaparin adalah diharuskan berdasarkan darurat dalam perawatan pesakit.

Dr Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
_Insan Faqir_
Ahli #MedicalMysthBustersMalaysia, #MedTweetMY

fb.com/drsuhazeli
5 Ogos 2016

Rujukan
[1] Nota tambahan: Sebagai panduan
Venous Thromboembolism (VTE): In patients undergoing elective major knee surgery, postoperative treatment with 2.5 mg of fondaparinux once daily was significantly more effective in preventing deep-vein thrombosis than 30 mg of enoxaparin twice daily.In patients undergoing elective major knee surgery, postoperative treatment with 2.5 mg of fondaparinux once daily was significantly more effective in preventing deep-vein thrombosis than 30 mg of enoxaparin twice daily.(N Engl J Med 2001; 345:1305-1310) Acute Coronary Syndromes (ACS): Fondaparinux is similar to enoxaparin in reducing the risk of ischemic events at nine days, but it substantially reduces major bleeding and improves long term mortality and morbidity. (PMID:16537663 [PubMed – indexed for MEDLINE)
[2] Ubat Halal & Haram. http://htapah.moh.gov.my/v1/index.php/my/menu-artikel-kesihatan/26-kategori-artikel-kesihatan/121-ubat-halal-ubat-haram-perspektif-islam
[3] Perbandingan Harga: (tahun 2015)
Enoxaparin Sodium 20mg inj (2s’) ~RM 14.25
Enoxaparin Sodium 40mg inj (2s’) ~RM 19.99
Enoxaparin Sodium 60mg inj (2s’) ~RM 24.05
Fondaparinux Sodium 2.5 mg/0.5ml (10s’)~RM197.50

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Comments

comments

SHARE
Previous articlePelajari Adab Media Sosial
Next articleMakan Ayam Daging Telur dan Ikan Penyebab Sakit Buah Pinggang 
mm
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com