Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak | Pegawai Perubatan, Perbidanan & Sakitpuan​

▪▪▪▪▪

Terdapat dua cara untuk menangguhkan haid dengan menggunakan kaedah hormon. Pertama, dengan mengambil pil kombinasi progesteron dan estrogen atau kedua – nama lainnya pil perancang kehamilan gabungan ( combine oral contraceptives ) ATAU mengamalkan pil yang mengandungi progesterone sahaja. 

Dalam kitaran haid yang normal terdapat dua jenis hormone wanita yang penting iaitu estrogen dan progesteron. Progesteron ialah hormon yang terhasil selepas ovulasi berlaku pada hari ke-14 haid. Aras progesteron akan memuncak tinggi dan terus berada pada aras yang tinggi jika berlaku persenyawaan dan implantasi (penempelan) embrio pada dinding rahim. Sekiranya persenyawaan tidak berlaku, maka paras hormon progesteron akan turun dan dinding rahim akan meluluh (luruh) dan keluar sebagai darah haid. Dengan mempunyai pengetahuan berdasarkan kitaran haid ini, hari seseorang wanita sepatutnya didatangi haid boleh diperlambatkan dengan mengawal atur paras hormon di dalam badan

Sekiranya berhasrat untuk menggunakan Pil perancang Kehamilan Gabungan (COCP)

Wanita yang mengamalkan pil perancang keluarga sebagai langkah mencegah kehamilan, pengambilannya boleh diteruskan secara terus menerus ( continuous ) . Apa yang saya maksudkan adalah selepas habis pil 21 biji atau 24 biji itu, teruskan dengan paket yang baharu tanpa mengambil sebarang “cuti rehat selama tujuh hari atau empat hari.” Sesiapa yang mengambil pil perancang sedia maklum bahawa mereka perlu mengambil pil satu biji sehari selama 21 hari (jika satu paket mengandungi 21 biji bagi pil jenama seperti Loette, Yasmin, Minulet, Mercilon, Marvelon, Gynera) atau perlu mengambil pil sebiji sehari selama 24 hari (bagi pil jenama Yaz).
Pengambilan pil terus menerus ini boleh dilakukan berterusan selama tiga hingga lima paket berturut-turut. Lazimnya , wanita  akan berada di Mekah lebih kurang dua minggu bagi yang mengerjakan umrah, saya mencadangkan ambil dua paket sahaja. Bagi jemaah yang akan berada di Mekah dan Madinah selama 30 hingga 45 hari untuk mengerjakan haji, saya mencadangkan pil tersebut perlu diambil dalam 4 atau 5 paket. Bagi sesiapa yang menginginkan kaedah pil perancang kehamilian gabungan ini sebagai cara menangguhkan haid, saya syorkan agar pil ini dapat diambil lebih awal beberapa bulan sebelum bertolak untuk mengerjakan umrah atau haji.

Tujuannya adalah untuk memberikan ‘kesan’ yang lebih efektif. Ketika mengambil pil ini, dinding rahim akan terus menebal tetapi ovulasi tidak akan berlaku. 

Jika mahu menggunakan Pil progesteron sahaja.

Jika puan tidak menggunakan pil perancang diatas, kaedah lain adalah dengan menggunakan hormone progesteron sahaja.

Antara contoh pil hormon tersebut termasuklah Primolut-N (Noretisterone), Provera (Medroxyprogesterone acetate) dan Duphaston (Dydrogesterone). Kesemua pil ini adalah antara contoh hormon progesteron yang biasa digunakan untuk mengawalatur kitaran haid. Pil ini boleh diambil pada dos 5mg atau 10mg sebanyak dua atau tiga kali sehari dan diambil berterusan sehingga pulang daripada mengerjakan haji atau umrah.

Noretisterone perlu diambil 3 hari sebelum haid dijangka datang. Boleh digunakkan selama dua minggu sebelum ‘break through bleeding’ berlaku. Saya rasa memadai untuk puan mengerjakan umrah di Mekah. Walau bagaimanapun, perlu diingatkan terdapat beberapa kesan sampingan ketika pengambilan pil ini. Kesan sampingan – termasuklah mual dan loya, pendarahan yang sedikit yang tidak menentu pada awalnya (breakthrough bleeding) dan kembung perut (bloating). Akan tetapi, bukan semua wanita akan mengalami kesan sampingan ini

Selepas berhenti mengambil pil noretisterone ini, haid akan datang dalam masa dua hingga tiga hari. Perlu saya ingatkan di sini bahawa haid turun selepas ditahan untuk beberapa minggu akan lebih dari biasa. 

Saya syorkan puan-puan berjumpa dengan doktor untuk maklumat lanjut untuk melewatkan haid puan. Penggunaan hormon-hormon tidak 100 % menjamin haid dapat ditangguhkan sehingga puan kembali ke Malaysia kerana masalah ‘break through bleeding’ agak sukar dibendung kerana dinding rahim yang terlalu tebal tetap akan luruh. Tambahan pula, jika selalu terlupa atau tidak mengikut waktu mengambilnya, maka pendarahan boleh terjadi.

Saya doakan agar puan-puan selamat mengerjakan ibadah umrah dan kembali ke tanah air dalam keadaan sihat sejahtera

Sebelum saya mengakhiri penulisan pada hari ini, ingin saya kongsikan kisah lucu yang berlaku beberapa minggu lepas.

Ada seorang wanita umur 30-an, anak 3, yang lewat period, katanya atas sebab jiwa kacau ( hahaha ), dan sah tak mengandung setelah diperiksa, maka saya berikan ubat norethisterone ini untuk induce menses (kegunanaanya bukan sahaja melambatkan haid, boleh juga digunakan untuk mendatangkan haid),

tiba-tiba kedengaran pesakit ni menjerit dan tergelak besar kat kaunter ubat, masa staf saya panggil untuk dispensari, maka saya pun bangun memeriksa apa yang berlaku;

Patient tu cakap kat staf saya – 

” Dik, akak dah lama tak ada dara ”    …… hahahahahhaa

◽◽◽◽◽

Penulis adalah ahli Medical Mythbusters Malaysia. 

NASIHAT: Artikel ini adalah sebagai panduan umum. Setiap individu perlu dapatkan konsultasi sebenar dengan doktor anda. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleSelamat Hari OKU Sedunia
Next articleKami pun Manusia Berperasaan
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com