​Satu perkongsian rasa kehidupan seorang doktor oleh Dr Hana Hadzrami

◽◽◽◽◽


Saya bertugas di Hospital Segamat minggu ini. Tugas gantian (relief duty) kerana pakar di sini dah tinggal seorang, lagi seorang dah resign. Jadi, mana mungkin dia seorang larat on call berturut-turut saban hari.
Hari pertama on call saya dapat kes tumpah darah (Post Partum Haemorrhage; PPH) selepas bersalin normal. Darah keluar macam air terjun, yang melimpah atas lantai dah tak terkira. Lebih 6 liter darah hilang, kalah jumlah darah dalam badan. Sewaktu sedang resus pesakit itu, tiba-tiba diberitahu ada seorang lagi pesakit caesar juga tumpah darah 3 liter di dewan bedah tingkat satu. 
Sakit pinggang saya malam tu sebab berlari sana-sini dan berdiri lama, jadi tukang pam darah. Pertama kali nampak nadi pesakit dewasa yang laju (tachycardia) mencapai 170-180 per minit yang bukan supraventricular tachyarrhythmia. Jantung saya pun nak dekat sama laju. Pakar bersalin pun dah berpeluh-peluh satu badan juga.
Saya fikir esok pasti lebih baik. Takkan saya dapat lebih teruk daripada ini. Rupanya saya silap. 
Hari kedua on call saya dapat pesakit denggi teruk dalam fasa kritikal yang datang dengan sesak nafas dan muka biru. Rupanya dia adalah pesakit jantung berlubang yang dah bertahun-tahun ponteng follow up. Hingga aliran darah jantung bertukar songsang (reversal of shunt). Dah jadi Eisenmenger. Paras haemoglobin nya 23g% dengan haematocrit 68%! Kau hado?
Nak menangis saya rasanya. Kes seperti ini bukan saja mencabar untuk saya. Kalau dia ke hospital besar pun, akan mencabar pakar perunding ICU juga! Dah la ICU kami sesak, nak rujuk ke ICU hospital lain pun penuh. 
Hati saya merintih, kenapalah kau datang ke hospital kecil ini bukan terus ke hospital besar?? Dengan kekurangan bajet, reagen tak cukup; ada banyak limitasi untuk siasatan darah makmal dan sebagainya. Namun dengan segala kekangan pengalaman dan rawatan sokongan kami usahakan juga merawat pesakit itu. Dalam hati bersyukur bos pernah ajar bagaimana nak rawat denggi untuk pesakit istimewa begini. Berdoa panjang semoga Tuhan mengasihani kami semua.
Dan hari ini saya sujud syukur semua pesakit-pesakit tadi dah selamat keluar dari ICU dan pulang ke wad masing-masing. Bukan setakat pesakit saja berterima kasih, pakar bersalin dan pakar perubatan pun turut menghargai bantuan kami. Kata mereka, tak sangka pesakit mereka berpeluang hidup lagi.
Barulah saya selami sendiri maksud ayat:

 “لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

(Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya). Saya mampu rupanya. Tak sangka!
Jadi, apa kaitan celoteh saya dengan gambar kasut terbalik ini? Sebenarnya inilah kasut saya pakai keesokan paginya bila datang kerja. Terlampau letih, jalan pun sambil mamai. Langsung tak perasan dah sarung kasut berlainan.
Kalau dulu saya malu pakai kasut terbalik. Tapi kali ni dah jadi “Ada aku kisah?” Sebab dah terlalu penat, survival lebih penting dari gaya dan paras rupa!
Dr Hana Hadzrami | Pakar Bius 

#Medical_Mythbusters_Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...