Oleh: Dr Rusyainie Ramli 

Gambar hiasan

Kanak-kanak lelaki ini usianya baru 10 tahun. Tubuhnya kerdil sahaja, dan tidaklah setinggi mana. Dia datang dibawa ibunya kerana kakinya tersusuk benda tajam ketika dia menuruti atuknya ke pantai. Lukanya sudah bernanah tetapi tidaklah teruk maka mudah sahaja dicuci dan dibersihkan dengan baik. Mata saya tertumpu pada tapak kakinya yang kotor. Selipar yang dipakai memang jauh lebih besar dari kakinya. Saya meneliti seluar bajunya yang agak lusuh, dan berdaki itu. Hati saya dipaut rasa sedih dan sayu melihatkan anak ini, teringat pula akan anak-anak di rumah.

Mulut saya memang ringan bertanya tentang sosioekonomi pesakit-pesakit saya. Bagi saya, seseorang itu hanya sempurna kesihatannya sekiranya dia sihat dari segala aspek kehidupan. Kanak-kanak lelaki ini anak sulung. Ibunya bekerja kilang yang shifnya 12 jam sehari. Ayahnya pemandu lori dan sebelah malamnya menambah pendapatan dengan membaiki bot sekiranya ada. Adik beradiknya 5 orang. Itu belum dikira dengan ibunya yang mengandung lagi. Dalam usia perkahwinan yang boleh dikatakan tidak berapa lama, dan usia ibu yang baru mencecah awal 30an, sudah berderet-deret anak-anaknya. 

Saya bertanya pada ibu, mengapalah tidak dirancang keluarga dengan lebih baik. Bukan niat saya mahu menidakkan rezeki Allah SWT. Ya. Saya tahu itu suratan takdir. Tetapi, saya berkeras di dalam hati mengatakan yang kita sebagai manusia wajib merancang kehidupan kita dan seterusnya menyerahkan pada Allah SWT. Bukan menyerahkan segalanya pada nasib, untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Ibu mengatakan yang dia tertinggal untuk mengambil pil perancang. Aduh… mudahnya alasan itu. Apakah dia tidak lihat anak sulungnya yang di hadapan mata? Di usia 10 tahun, dia terpaksa menjaga adik-adik yang masih kecil yang bukan 1 atau 2 orang. Itu belum dikira seorang lagi bayi yang akan lahir tidak lama lagi sedangkan yang ada tu pun sudah tidak terjaga. 

Ibunya nampak sungguh kepenatan dan keletihan. Banyak hari dari tidak, dia akan terbaring di atas katil kerana keadaan fizikalnya yang berbadan dua dan kerja rumah seperti menjemur dan melipat kain, membasuh pinggan, dan selainnya dibiarkan pada anak lelaki itulah. Ayah seolah-olah tidak wujud di dalam rumah itu. Saya tidak sanggup untuk bertanya bab makanan sebab saya tahu ala kadarnya hanya mereka yang tahu. 

Usah ditanya keadaan rumah. Serba sederhana itu sudah pasti tetapi tahap kebersihan dan kekemasannya biarlah imaginasi saya yang membayangkannya. Sekiranya ibu bekerja, adik-adik yang masih kecil itu akan dijaga oleh nenek mereka yang sudah lanjut usianya. Selagi boleh ibu akan bekerja shif malam supaya siang hari dia ada di rumah tetapi dengan keadaannya yang sudah tidak berkemampuan itu, entah mana lagi mahu dikorek tenaga untuk menguruskan rumahtangga.

Setiap soalan saya pada anak lelaki itu dijawab dengan bait-bait menunjukkan kematangannya. Tidak seperti usia 10 tahun. Kesusahan mengajarnya menjadi dewasa. Di saat anak-anak orang senang sibuk melayan papan berskrin yang menjadi kegilaan ramai sekarang, dia sudah menguruskan adik-adik setakat yang mampu . ‘Mak selalu pening. Saya kena tolong mak.’ Kerja sekolah pun entah ke mana. Keadaan di rumah tidak kondusif untuk anak ini mengulangkaji pelajaran apatah lagi tiada siapa pun yang ambil pusing pentingnya pendidikan untuk dia. Entah dia sedar atau tidak, dengan pendidikan lah masa depannya bakal berubah.

Ini realiti masyarakat kita. Wahai wanita di luar sana, tolonglah. Tolonglah bertanggungjawab kepada diri sendiri. Kasihanilah diri sendiri. Prihatinlah terhadap diri sendiri. Berusahalah mencari ilmu dalam melayari kehidupan sebagai isteri dan ibu. Usahlah dibiarkan diri diperlakukan seolah-olah diri sendiri tidak berhak mempunyai kata-kata di dalam sebuah perkahwinan. Saya sendiri merasakan yang saya gagal di dalam pekerjaan saya sekiranya seorang wanita tidak tahu apakah yang bakal menanti bila dia seolah-olah tidak ambil kisah tentang merancang keluarga. Saya gagal dan sudah banyak kali saya gagal walaupun saya sudah melakukan yang terbaik dalam memberikan nasihat kepada ramai wanita bergelar ibu. 

Wahai lelaki di luar sana… sebelum mengangkat akad semasa bernikah, tolonglah. Tolonglah lengkapkan diri dengan segala apa yang perlu untuk menjadi seorang suami dan ayah. Bahtera perkahwinan dan keluarga itu adalah amanah Tuhan buat lelaki. Usahlah dibiarkan isteri yang dinikahi dengan baik itu kehanyutan seorang diri dan tenggelam di dalam keributan menangani segala permasalahan. Rancanglah keluarga dengan berbincang dari hati ke hati dengan isteri. Usah diikut hawa nafsu semata-mata. Tenunglah isteri itu semasa dia melelapkan mata, kerana di saat itulah terpancar segala duka lara yang mungkin tersimpan di sudut hatinya yang tidak mahu diketahui. 

Saya tidak mahu isu ini dipolitikkan. Hormatilah saya sebagai tuan punya nukilan ini. Jangan diungkit apa yang kerajaan telah buat untuk keluarga ini kerana saya akan bertanya kembali, apakah kita sebagai anggota masyarakat telah lakukan dalam menangani masalah sosial miskin bandar yang terhidang di depan mata kita. 

Semoga kisah ini menjadi iktibar buat kita kerana saya mengambilnya dengan positif. Saya bersyukur dikurniakan dengan suami yang bertanggungjawab dan sungguh memahami tugas fardhu kifayah saya kepada masyarakat. Saya bersyukur diketemukan kisah-kisah begini untuk memberikan saya kesedaran yang saya kadang-kala lupa tentang nikmat Allah buat saya sekeluarga.

(Kisah ini sudah berlaku tidak lama dahulu, cuma baru sekarang saya ada inspirasi untuk menulisnya.)

◾◾◾

Penulis adalah seorang pegawai perubatan sektor pertahanan awam di utara tanah air. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleIsu Menghalang Anggota MBSA oleh Pasangan Cina 
Next articleRisiko Hidup Seorang Jururawat 
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com