Hari ini seluruh media maya terutama aplikasi wassap menyebarkan video kesihatan kaedah mudah mengubati sakit Gout. Video berdurasi 50 saat itu ringkas dan mudah difahami, dalam bahasa melayu yang memperkenalkan dirinya sebagai Dr Kamarudin Ilias. Pernah belajar di US dan mendapat tips hebat tersebut dari seorang doktor Pakar ortopedik terkemuka Dr Michael Meghini.

1) Saya membuat carian dari web rasmi doktor berdaftar di Malaysia [http://www.mmc.gov.my/], tiada satu nama yang seumpama dengan Dr Kamarudin Ilias itu. Pun begitu saya beranggapan beliau mungkin doktor berdaftar di negara serantau Asia yang lain. Bahasa Melayunya agak senang dan loghat kemelayuan itu wujud. Tak apa..

2) Carian juga saya lakukan ke atas Dr Michael Meghini. Melihat kepada kehebatan beliau sudah pasti maklumat yang berkait dengan segala kajian beliau selama ini wujud dalam dunia maya yang tanpa sempadan itu. Apa yang saya temui adalah Dr R Michael Menenghini [http://meneghinimd.com/] dari Indianapolis. Antara doktor terunggul Pakar Ortopedik di US. Banyak kejayaan yang beliau raih. Antaranya “Top Doctor” 2013, 2014 dan 2015. “Top 22” Doktor bedah lutut seluruh Amerika Utara. Beliau juga menjadi penulis kepada lebih 70 artikel jurnal berkaitan karier sebagai Doktor Pakar Ortopedik. Pendek kata memang tepat dan hebat orangnya. Namun carian saya tertumpu kepada kajian yang mengatakan Jus/koktail Timun Batang + Daun Saleri + Lemon + Halia bagi mengubati sakit Gout, tiada pula dalam database jurnal. Saya kurang pasti samada beliau ada menyatakan dimana-mana artikel atau tidak. Sepatutnya penemuan sehebat ini sudah ada dalam mana-mana manuskrip penulisan jurnal yang terkemuka atau sebaliknya. Malangnya tiada pun.

3) Penemuan oleh Dr Kamarudin Ilias pun tidak dibuat dalam catatan yang berautoriti. Setidak-tidaknya catatan dalam jurnal tempatan dibuat bagi memberi panduan kepada seluruh perawat lain yang merawat pesakit Gout seluruh negara. Apa yang mungkin saya idamkan adalah penulisan beliau sejak lebih 10 tahun merawat pesakit Gout termasuk bapanya adalah gabungan testimoni para pesakit, katakan 500 orang dan dipadukan dengan data klinikal yang menunjukkan benar para pesakit Gout sembuh dari sakit setelah beramal minum jus berkenaan 2 kali sehari dalam tempoh tertentu. Jika ada (mungkin saya naif tak ketemu), sila berikan pautan/link hasil “kajian” beliau.

3) Mungkin juga dikumpul para pesakit gout yang sedia ada dan beramal dengan jus tersebut akhirnya sembuh, PM kepada saya untuk saya ambil perhatian dan membuat penulisan atas kajian tanpa metodologi ini. Jika ada, silakan.
Terima kasih

Dr Suhazeli Abdullah

Pakar Perubatan Keluarga

fb.com/drsuhazeli
P/S: Sudah 20 tahun khidmat, masih belum jumpa ubat mujarab untuk sembuhkan Gout.
30.11.2016

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleAmalan Copy Paste dan Forward Mesej 
Next articleIsu Blockade Orang Asli di Gua Musang
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com