Oleh: Timmy Say

Rang Undang-undang (RUU) Persendirian yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau dikenali Akta 355 menjadi satu isu politik yang hangat.

Bagi Umno, RUU ini mengundang perpecahan dalaman kepada BN. Hampir semua komponen parti tidak bersetuju dengan RUU ini, terutamanya komponen parti BN di Sarawak dan Sabah.
Kumpulan ini menyumbang 44 kerusi parlimen daripada 134 kerusi BN kepada Umno untuk kekal berkuasa di peringkat persekutuan. Ini belum ditambah dengan 13 kerusi yang dimiliki MCA, MIC dan Gerakan.

Sekiranya BN berpecah, maka Umno akan hilang tongkat yang mengekalkan mereka sebagai kerajaan persekutuan. Seramai 57 ahli Parlimen itu bakal menentukan siapa kerajaan dan perdana menteri yang baru. Apakah Umno sanggup mengambil risiko ini?
Bagaimana pula dengan parti pembangkang?
Masalah pembangkang yang utama ialah kegagalan mereka dalam memikat hati pengundi Melayu.

Dalam isu RUU 355, DAP sudah awal-awal lagi berkempen habis-habisan di kalangan bukan Melayu untuk menolak RUU 355 ini. Malah, RUU 355 dijadikan alasan untuk menguburkan Pakatan Rakyat. Bagi DAP yang majoriti kerusinya bertanding di kawasan majoriti bukan Melayu, perkara ini bukan satu masalah, malah satu keuntungan.

Akan tetapi ini berlainan untuk parti seperti PKR, PPBM dan Amanah. Menolak RUU 355 ditakuti akan menjauhkan mereka lagi daripada hati pengundi Melayu dan menguatkan PAS sebagai kuasa ketiga. Dalam menyokong RUU 355 pula, mereka terpaksa berdepan dengan risiko kehilangan undi bukan Melayu.
Bagi PAS, perlu diakui RUU 355 dan serangan DAP yang bertalu-talu menjarakkan pengundi bukan Melayu daripada parti itu.

Sekiranya RUU 355 ada keuntungan politik yang baik, percayalah semua parti akan berlumba-lumba untuk membawa usulnya. Sikap berdolak-dalik yang disaksikan hari ini tidak lain tidak bukan timbul daripada perasaan takut ia sebenarnya merugikan.

Apabila ada yang berani membawanya, timbul pula kedengkian dan ketakutan usaha itu akan merugikan mereka yang berdolak-dalik. Maka timbulkan usaha memperlekehkan usaha mereka yang membawa usul itu. Bagi mereka, kalau kami tak berani bawa, orang lain pun tak boleh bawa pun.

Memandangkan RUU 355 tidak membawa keuntungan politik, mengapa masih ada parti politik yang sanggup membawanya seperti PAS?

Inilah bezanya PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang terlibat dengan politik berbanding dengan parti politik lain.

PAS juga mementingkan keuntungan politik. Cuma yang berbeza dengan parti lain ialah PAS tidak menjadikan keuntungan politik sebagai halangan untuk meneruskan apa yang diperjuangkan mereka dalam ruang demokrasi yang ada. PAS tidak mengambil jalan pintu belakang. PAS mengambil jalan berdepan dengan penuh liku dan sedia berbahas dengan para pengkritiknya.

PAS sedar RUU 355 ini, sekiranya ia diluluskan pun, ia tidak akan membantu PAS ke Putrajaya. Akan tetapi, PAS tetap buat kerana itulah iman mereka – bagi mereka ini bukan soal untung rugi, ini soal tanggungjawab.

Sumber: Timmy Say

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleCermin Mata Terapi. Mujarab? 
Next articleAir Mata Rohingya 
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com