PUTRAJAYA, 25 NOVEMBER – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) ingin merujuk kepada laporan bertajuk “Al Jazeera Uncovered Babies- Selling Racket in Malaysia” yang disiarkan oleh Free Malaysia Today pada hari ini (25 November2016) dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang aktiviti penjualan bayi yang dilakukan di Malaysia. KPWKM menyeru supaya pihak polis mengambil tindakan segera untuk menyiasat dan menangkap semua pihak yang terlibat dalam urusniaga yang amat kejam dan tidak bermoral ini.
 

Sebagai sebuah Kementerian yang bertanggungjawab ke atas perlindungan dan kebajikan kanak-kanak, KPWKM memandang serius akan isu penjualan kanak-kanak kerana ia adalah bercanggah dengan article 35 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) dan juga Protokol Pilihan berkenaan penjualan kanak-kanak, pelacuran dan bahan-bahan lucah terhadap kanak-kanak. Sebagai sebuah negara pihak kepada CRC dan protokol pilihannya, Malaysia mempunyai komitmen untuk mengambil segala langkah untuk mencegah kanak-kanak daripada sebarang aktiviti penjualan dan pelacuran.

 

Di bawah Seksyen 48, Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] telah menetapkan bahawa mana-mana orang yang terlibat dalam pemerdangan kanak-kanak melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. Sekiranya dibuat bagi tujuan eksploitasi seksual atau pelacuran pula,  ia boleh dihukum di bawah seksyen 43(1)(aa) Akta yang sama iaitu dengan hukuman sebanyak lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas tahun atau kedua-duanya.

 

Selain daripada itu, dalam pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 baru-baru ini, KPWKM juga telah memasukkan elemen yang membolehkan Malaysia melaksanakan konsep “Pemeliharaan Berasaskan Keluarga [PBK]”. Konsep ini mengutamakan penjagaan kanak-kanak oleh keluarga dan menjadikan institusi sebagai pilihan terakhir kerana keluarga adalah tempat yang paling baik untuk kanak-kanak membesar. KPWKM akan menubuhkan dua jawatankuasa dalam masa terdekat iaitu jawatankuasa pemandu dan teknikal yang akan melibatkan pelbagai stakeholders dalam melaksanakan PBK ini.

 

Bagi tujuan pelaksanaan konsep ini, Kerajaan perlu mempermudahkan prosedur pengangkatan (Adoption) dan Pemeliharaan (Fostering) bagi memudahkan rakyat Malaysia untuk menjaga kanak-kanak yang ditinggalkan dalam rumah anak yatim. Prosedur pengangkatan adalah di bawah undang-undang pengangkatan yang ditadbir bawah Jabatan Pendaftaran Negara manakala prosedur pemeliharaan pula ditadbir di bawah KPWKM. Dengan mempermudahkan prosedur, KPWKM yakin ibu bapa yang ingin mengangkat atau mengambil anak pelihara tidak akan mengambil risiko membeli anak seperti yang dilaporkan dalam akbar Free Malaysia Today di masa depan. 

 

KPWKM ingin menyeru semua ibu bapa yang ingin mengambil anak angkat atau anak pelihara supaya menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah untuk mendapatkan nasihat dari pegawai JKM dan tidak memilih untuk mengambil tindakan yang melanggar undang-undang. KPWKM akan berusaha untuk membantu ibu bapa tersebut bagi mendapatkan anak melalui kaedah yang betul dan akan membimbing ibu bapa ini cara yang paling baik untuk menjadi ibu bapa yang penyayang.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

25 November 2016

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Comments

comments

SHARE
Previous articleMinum air Sejuk Penyebab Sakit buah Pinggang?
Next articleLiku-liku Perjalanan Hukum Syariah 
mm
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com