Berita Sinar Harian hari ni memaparkan seorang wanita Cina hamil 17 bulan.[1] Saya kira sesuatu yang mengejutkan dunia perubatan semasa dan perlu dibuat ‘case report’ agar ia menjadi satu catatan sejarah. Akan tetapi, diteliti dari sumber pemberitaan, sumbernya hanya dari wanita berkenaan, bukan dari pihak berwajib yang merawat beliau. Berat sebelah dan agak sangsi dengan dakwaan tersebut.

Boleh baca dialog ini:
*Ikuti sembang bersama sahabat karib Doktor dan Ustaz*
Ustaz J: السلام عليكم, Nak tanya seperkara. Air mani lelaki lama mana boleh kekal bertahan dlm rahim wanita sehingga membolehkan sampai wanita mengandung?
Dr S: Waalaikumsalam. Dalam ilmu perubatan, Air Mani lelaki boleh survive 72 jam, manakala Telur wanita 24 jam.
Ustaz J: Selepas 72 jam dia akan rosak dan tidak boleh menjadikan wanita hamil?
Dr S: Tidak active dan mati
Ustaz J: Apa pandangan doktor yang Imam Syafie kata selama-lama tempoh mengandung 4 tahun?
Dr S: Adakah sahih dari Imam Syafie? Atau Syafieyyah?
Ustaz J: Ok. Kalu syafiiyah.
Dr S: Ana lama duk cari matan dari Imam Syafie yg kata sedemikian. Ada dalam kitab mana? Mungkin Imam Syafie ada alasan yg dihurai dalam kitab tu. Jika ustaz boleh huraikan lagi baik.
Ustaz J: Ya, Sebab tempoh ni memang ada khilaf, 2, 4, 5 tahun dan 9-10 bulan.
Dr S: Tapi dari segi perubatan, ia diluar bidang perbahasan medik (Jika melebihi 9-10 bulan). Dengan kata lain mustahil. Kecuali…Dizaman yg tiada alat mengesahkan hamil seperti UPT (Ujian Air Kencing) atau ultrasound. Anggapan pakar pada masa tersebut adalah tidak datang haid dikira sebagai hamil. Ada sesetengah wanita (biasanya umur akhir remaja), setelah beberapa kali datang haid normal, kemudian tidak datang haid beberapa bulan hingga bertahun². Ini kerana kilang telur wanita muda berkenaan belum matang sepenuhnya. Justeru telur tidak pecah dan haid tidak terhasil (unovulatory cyle). Jadi mungkin (pada andaian ana) Imam Syafie melihat keadaan ini sebagai hamil bertahun lamanya. Dan malah masa sama wanita berkenaan juga berkahwin. Begitu juga pada keadaan tertentu, wanita mempunyai penyakit seperti ovarian Cyst (atau penyakit kilang telur / rahim) yang mengakibatkan ganguan kepada kitaran haid dan sesetengahnya tidak datang haid pada satu tempoh tertentu. Anggapan pada masa tersebut mengatakan dia hamil. Al Quran menyebut secara kiraan tempoh hamil dan menyusu bagi wanita lepas bersalin. Tetapi tidak dinyatakan secara kias tempoh maksima hamil. Jika kita lihat dalam hukum anak tidak sah taraf pun mengambil tempoh minima 6 bulan. Bermakna disini, kita boleh menolak hujah secara indirect yang mengatakan hamil melebihi 42 minggu. Maaf Ustaz, Ana juga masih kurang ilmu…itu setakat yang ana pelajari. Perbetulkan saya jika silap.

Ustaz J: Ya Dr. Hal ini juga menjadi khilaf yang besar di kalangan fuqaha’ Islam. Perselisihan pendapat dikalangan mereka adalah lebih merumitkan. Sesetengah fuqaha’ seperti Ibnu Hazm (Mazhab Zahiriyyah) dan Syi`ah Jaafari berpendapat satu kehamilan itu tidak boleh melebihi daripada tempoh 9 bulan. Sementara ulama’ yang lain pula seperti Ibn Rushd (Averroes) dan Ibn Abdul Hakam pula menerima 1 tahun (hijrah) sebagai had maksimumnya. Abu Hanifah dan al-Tsauriy pula berpendapat 2 tahun, al-Laith Ibn Saad menerima 3 tahun, manakala Imam Shafie, Hanbali, dan Zaidi mengira 4 tahun sebagai tempoh maksimum kehamilan. Mazhab Malik pula berpendapat 5 tahun, bagi al-Zuhri 7 tahun, manakala Abu Ubaid pula tidak meletakkan sebarang had tempoh. Adapun tujuan dan niat semua perbezaan pendapat dalam menentukan tempoh maksimum bagi kehamilan ini adalah untuk menentukan kejadian sebenar dan untuk mengelakkan ibu tersebut dari tuduhan zina yang boleh membawa kepada hukuman rejam. Undang-undang di negara-negara Islam juga berbeza-beza. Arab Saudi yang bermazhab Hanbali menerima tempoh maksimum kehamilan selama 4 tahun. Ketua Qadhi Makkah, Mustafa bin Abdul Qadir al-Alawi menghukum bahawa Khadijah (seorang wanita yang melahirkan anak selepas empat tahun dari tarikh perceraiannya) sebagai anak yang sah. Berdasarkan hukum Syariah, bekas suaminya yang menafikan nasab anak itu terpaksa menerimanya dan membayar nafkah kepada bekas isterinya itu sepanjang tempoh kehamilan, yang mana dikira masih di dalam `iddah. Allahyarham Sheikh Abdul Aziz bin Baz, bekas Mufti Am Arab Saudi dan Sheikh Bakr Abu Zaid, mantan Timbalan Menteri Kehakiman pula mengumumkan bahawa mereka berpendapat bahawa 7 tahun adalah tempoh maksimum bagi kehamilan.[2]

Dr S: Bagus juga huraian khilaf ini. Ada manfaat juga dari perundangan. Realiti zaman kini, tempoh maksima Hamil adalah 9 bulan (atau maksima 42 minggu). Tiada lagi bukti kajian yang menyatakan lebih dari itu. Bukan ana nak pertikai ulama muktabar, cuma perkiraan Imam Malik dan iman yang menyatakan lebih dari 42 minggu itu pula bersandarkan dari mana? Jika ada hujah kukuh insyaAllah, sains perubatan selari dengan agama. Mungkin pada masa tersebut betul ada pakar yang buat kajian dan imam-imam Imam muktabar mengambil hujah bahwa tempoh maksima ibu hamil itu lebih 4, 5 atau 7 tahun. Cuma pada masa kini tiada bukti itu. Mungkin masa akan datang, dengan kecanggihan teknologi, tidak mustahil kehamilan boleh menjangkau ke 7 tahun. Wallahuaklam.
Ustaz J: Dr, Islam tidak bertembung dengan waqi’ iaitu apa yang benar-benar terjadi. Oleh itu jika terdapat pada zahir pertembungan antara nas dan waqi’
Cara penyelesaiannya ialah tentukan status nas. Ada dua status nas.
1-Status kesohihan
2-Status penunjuk.
Semua ayat quran adalah mutawatir. Oleh itu setiap ayat tidak terlibat dengan proses penentuan status kesohihan. Hadis pula mesti melalui proses penentuan kesohihan. Hadis yang tidak melepasi proses ini tidak boleh dibuat hujjah. Contohnya  hadis  palsu atau terlalu lemah. Nas yang diakui perlu melalui proses kedua iaitu proses penunjuk. Maksud proses penunjuk ialah apa makna yang terkandung di dalam nas. Nas dari sudut status penunjuk ada dua:
A) memberi faham satu makna.
Nas ini tidak menimbulkan kekhilafan dalam memahami makna. Adakah ianya boleh dijadikan hujjah? Ya boleh dijadikan hujjah jika memenuhi syarat berikut;
1-tidak dinasakhkan
2-tidak bertembung dengan nas yang lebih kuat.
Inilah maksud yang disampaikan oleh al Qardowi Nas sohih dan sorih.
B) Memberi faham lebih dari satu makna.
Nas ini menimbulkan perbezaan pendapat. Berkaitan tempoh hamil yang kita bincangkan ini, tempoh sekurang-kurang disepakati oleh fuqaha kerana nas tersebut memenuhi dua ciri sohih dan sorih. Manakala tempoh paling lama berstatus nas yang boleh dipertikaikan. Maka timbul kekhilafan. Sekarang terbukti had maksima tempoh hamil ialah lebih kurang 9 bulan. Maka adakah pendapat ulamak perlu dirombak atau bagaimana? Cumanya untuk lebih mantap hujjah Ibn Hazmin patut diperhalusi. Sandaran pendapatnya berdasarkan perubatan pada zamannya atau ada hujjah dia yang tersendiri. Isu besarnya ialah dia mengganggap semua perkhabaran yang mengatakan tempoh hamil lebih dari 9 bulan adalah tidak boleh dipercayai? Mengapa  Imam Malik boleh menerima cerita yang dilaporkan kepadanya bahawa ada wanita hamil selama 4 tahun? Sedangkan Imam Malik seorang mujtahid dan ahli hadis. Adakah Imam Malik tidak menggunapakai metod tabayyun dalam menerima sesuatu perkhabaran? Kenyataan tempoh hamil 9 bulan oleh ahli perubatan jelas kepada semua pihak dan diterimapakai.
Dr S: Itulah Ustaz, apa yang saya sebut tadi adalah berdasarkan waqi terkini. Bukti tempoh maksima lebih 42 minggu pada zaman dahulu pun tidak disebut dengan jelas, cuma ikut pengalaman semasa tersebut berdasarkan bukti pakar perubatan pada masa itu. Terima lah seadanya.
Ustaz J: Apa maksud kehamilan palsu?
Dr S: Pseudopregnancy?
Ustaz J: Ana x tahu istilah perubatan tu.
Dr S: Ya. Ada istilah tersebut tetapi sepanjang karier sebagai doktor, tak pernah jumpa kes hamil palsu. Mungkin orang lain jumpa. Ada rakan ana yang jumpa.
Ustaz J: Sbb ada satu kes di sabah. Seorang wanita bersalin slps 2 tahun berpisah daripada suami. Mahkamah menetapkan sabit nasab kpd bekas suami atas alasan selama2 tempoh mengandung 4 tahun. Kalau dr segi kehakiman selamat nama baik wanita tersebut dan baby. Baby dpt hak2 dr seorg bapa.
Dr S: Kehamilan palsu / pseudocyesis / Pseudopregnancy biasa berlaku kepada haiwan Mamalia. Manusia jarang berlaku. Penyakit ini akibat dari perubahan horman dalam badan yang seolah-olah seseorang itu hamil. Tetapi secara hakikat sebenar melalui ultrasound, tidak hamil. Ini juga akibat dari kesan psychology bagi wanita yang terlalu mengidam inginkan anak.
Ustaz J: Isunya tulah. Ana ada baca artikel arab yg kaitkan fiqh dgn perubatan.
Dr S: Apa kata dia?
Ustaz J: Artikel tu tolak habis pandngan yg kata ngandung yg mengambil masa bertahun tu. Dia nukil pandngn ibn hazmin yg kata ngandung hanya selama 9 bulan dan sekrgnya 6 bulan. Kenyataan ngandung bertahun mengundang perbuatan keji wanita. Kemudian mendakwa kandungan tersebut drp bekas/arwah suami.
Dr S: Wah.. hampir sama dgn pandangan ana. Tapi dalam bab suami yang hilang, 4 tahun cut point.. Itu guna hujjah mana? Dr Wahbah Zuhaily ada sebut isu tu?
Ustaz J: Yg tu zaman dulu. Skrg dah x sama. Kena ijtihad. Tp ana x berani ijtihad. Kes hilang ni lain sikit ijtihad dia. Sebab undang2 yg terikat dgn satu mazhab sahaja.
Dr S: Ok
Ustaz J: Tkasih dr atas perbincngan
Dr S: Afwan

Semoga Bermanfaat
Dr Suhazeli Abdullah
_Insan Faqir_
Fb.com/drsuhazeli
#MedTweetMY
#MedicalMythBustersMalaysia

17.8.16

Rujuk:

[1] Berita Sinar Harian. http://www.sinarharian.com.my/mobile/global/17-bulan-mengandung-masih-belum-bersalin-1.553052

[2] Persidangan Fiqh Islam, Rabitah. Makkah 16-17 Feb. 1990.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleTemberang Ubat Sapu 
Next articleMinum air Sejuk Penyebab Sakit buah Pinggang?
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com