Oleh: En Fahmi Hasan | Ahli Farmasi 

Produk penguat tenaga batin bagi lelaki merupakan antara produk yang sering mendapat permintaan yang tinggi di kalangan masyarakat Malaysia. Orang ramai mudah tertipu dengan iklan dan testimoni dari peniaga sehingga menimbulkan rasa perlu bergantung kepada produk-produk untuk menikmati hubungan seksual yang sihat. Manipulasi dari peniaga ini bukan sahaja dilakukan oleh peniaga atas talian malah kadangkala oleh pengamal kesihatan yang ingin mengaut keuntungan dengan cara yang tidak beretika.

Kebanyakan produk yang dijual adalah dalam bentuk krim sapuan luaran yang disapu terus di alat kelamin lelaki. Produk sapuan ini diiklankan untuk tujuan menguatkan tenaga batin, mengubati mati pucuk dan lain-lain tuntutan yang hebat dan melampau. Walaubagaimanapun, tidak dapat dipastikan samada apa yang diiklankan itu terbukti berkesan kepada pengguna.
Produk-produk sapuan tersebut kebanyakannya didaftarkan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai produk kosmetik. Mengikut definisi, produk kosmetik adalah produk yang digunakan di permukaan kulit dan gigi dengan tujuan untuk membersih, mewangi, mengubah keterampilan atau bau badan, melindungi dan mengekalkan anggota tersebut dalam keadaan yang baik. Oleh yang demikian, produk-produk berkaitan yang telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sepatutnya cuma boleh dipasarkan mengikut kriteria produk kosmetik seperti yang telah termaktub di bawah undang-undang.

Apa yang berlaku adalah peniaga dan pengedar produk tersebut kebanyakannya telah menyalahguna kelulusan tersebut untuk memasarkan dan mengiklankan produk-produk mereka di luar kelulusan dan peraturan yang dibenarkan. Iklan-iklan dan testimoni berkaitan merawat tenaga batin dan mati pucuk merupakan sesuatu yang tidak beretika dan menyalahi Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956.

Produk-produk seperti ini sewajarnya cuma boleh diiklankan sebagaimana produk-produk pelembut kulit yang lain. Kita jarang mendengar produk-produk kosmetik lain seperti pencuci dan pelembap muka mengiklankan produk mereka dengan tuntutan tuntutan kesihatan yang melampau dan menyalahi peraturan. Ini kerana produk-produk tersebut diiklankan mengikuti etika dan undang-undang yang telah ditetapkan.

Iklan mengenai ubat-ubatan, produk kesihatan dan perkhidmatan kesihatan dikawal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memerangi masalah iklan-iklan yang mengelirukan dan menipu pengguna. Selain dari produk yang dibincangkan sebelum ini, terdapat banyak lagi produk yang menggunakan tuntutan perubatan yang melampau dan tidak masuk akal serta menggunakan indikasi yang tidak diluluskan untuk melariskan produk dan mendapat perhatian orang ramai. Lebih membimbangkan terdapat juga produk yang langsung tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia mengiklankan produk mereka dengan menggunakan nombor pendaftaran yang palsu.

Hal ini menjadi lebih berleluasa pada masa kini akibat dari pengiklanan produk secara meluas di alam maya. Penjual kini mengiklankan produk-produk mereka di blog-blog dan media sosial secara sewenang-wenang tanpa memikirkan kesan yang bakal dihadapi oleh pengguna. Perkara seperti ini sememangnya bakal membuatkan pengguna tertipu dan berisiko untuk mengancam keselamatan dan kesihatan pengguna.

Bagi mengatasi masalah ini, pengguna perlulah lebih bijak dalam menilai ketulenan dan kegunaan sesuatu produk. Status produk samada berdaftar atau tidak boleh disemak melalui laman web Agensi Regulatori Farmasi Negara secara atas talian. Pengguna perlu mempunai sifat kritis yang tinggi sewaktu membaca iklan-iklan dan testimoni-testimoni produk terutamanya yang dijual di atas talian ataupun yang tidak dibeli di farmasi.
Fahmi Hassan (F. H. Abad)

fb.com/fahmiabad

#Medical_Mythbusters_Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleDoktor dan Nurse Percaya Kajian Kafir? SN Nabiila Jawab
Next articleHamil 4 Tahun dari Perspektif Sains
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com