Saban waktu berlalu, seingat saya isu ketum ini juga akan hilang bersama bisikan bayu. Tetapi ada sahaja disebarkan melalui laman sosial dengan mendakwa ketum (nama saintifik Mitragyna speciosa) boleh merawat kanser. Saya kira si penulis asal artikel tu sedang mabuk ketum. Institut Pencegahan Kanser Negara tak wujud di Malaysia.


Malah Institut Kanser Negara pernah menafikan mesej viral berkenaan.[1] Fakta daun ketum pelbagai jenis warna pun entah dari mana diceduk. Tambah pening lagi apabila siap diberi resepi ketum sembuhkan diabetis. Ketum panjang blender kan dengan ketum urat merah menjanjikan penyakit diabetis sembuh terus! Saya rasa makin euforia (khayal) pesakit.

Ketum yang mengandungi bahan aktif Mitragynine telah disenaraikan dalam ‘Third Schedule of Poisons (Psychotrapic Substance) Regulation 1989, Poison Ordinance 1952’. Dengan itu pokok Ketum telah diisytiharkan sebagai bahan larangan mulai Januari 2003. Cuma ketum ini tidak ada lagi bukti perubatan, atau sebagai ubat dalam penyelamatan nyawa manusia. Kecuali ia digunakan secara tradisi bagi menghilangkan sakit urat, penambah tenaga seks dan beberapa petua tempatan.
Kajian terbaru dari Dr Nor Aini Saidin mendapati ketum tidak mendatangkan kesan positif merencat sel kanser.[2] Ujikaji terhadap sel kanser (dalam makmal) pun masih diperingkat yang tidak konklusif, apatah lagi terhadap manusia secara meluas.
Saya petik ringkasan ulasan yang dikemukakan dalam kajian oleh Dr Nor Aini:
“Kajian toksisiti in vitro (dalam makmal) yang saya telah jalankan sebelum ini mengenai ekstrak methanol- kloroform ketum dan bahan alkaloid utama iaitu mitragynine. Untuk makluman, penerbitan artikel yang dirujuk di atas merupakan sebahagian hasil kajian ketoksikan ketum yang hanya fokus kepada mitragynine (hanya 1 sahaja bahan paling dominant dalam ketum) dan tidak semestinya menggambarkan kesan ketoksikan keseluruhan ketum (ekstrak ketum mengandungi lebih banyak bahan-bahan lain).

Untuk maklumat dan kefahaman yang lebih lanjut boleh rujuk kepada tesis PhD saya yang bertajuk ‘Cytotoxicity of extract of Malaysian Mitragyna Speciosa Korth and its dominant alkaloid mitragynine’ boleh dibaca melalui Scribd.com di mana kajian tersebut lebih menyeluruh kepada ekstrak dan mitragynine. Walau bagaimanapun kajian tersebut hanya memfokus kepada kajian in vitro sahaja dan tidak melibatkan kajian in vivo atau menggunakan haiwan makmal. Untuk membuat sebarang keputusan mengenai tahap ketoksikan sesuatu bahan atau ubat tertentu, penilaian perlu dilihat secara menyeluruh, di mana kajian in vitro sahaja tidak cukup, hanya untuk memberi ramalan awal secara ‘screening’ untuk menyatakan bahawa pengambilan sesuatu bahan tersebut akan memberi kesan kepada manusia amnya. Dengan kata lain, perlu dijalankan kajian yang lebih relevan termasuk penggunaan data in vivo dan data-data epidemiologi jika ada termasuk data klinikal. Kajian yang saya lakukan sebelum ini menggunakan beberapa jenis sel kanser manusia mengikut organ sasaran seperti hati, ginjal, sel-sel limfoid dan sistem saraf. Hasil kajian mendapati keseluruhan sel-sel kanser yang diuji (HepG2, HEK 293, Cho1, MCL 5 dan SH-SY5Y) ekstrak ketum merencat dan memberi kesan ketoksikan secara berkadar langsung dengan dos diberi dan dapat dilihat pada dos melebihi 100µg/ml dan sel kanser yang paling sensitif adalah sel neuroblastoma (SH-SY5Y). Mitragynine juga memberikan respon yang sama tetapi dengan tahap respond yang lebih lemah berbanding ekstrak. Saya mendapati pada dos yang rendah, sel-sel membiak dan berkembang pesat, justeru pada pendapat saya, kemungkinan besar pengambilan ketum secara tradisional pada dos yang rendah membantu memberi tenaga dan ketahahan badan untuk kerja-kerja berat dan sebagainya. Kajian ini perlu dilakukan ke dalam sel normal manusia juga untuk membandingkan samada kesan yang sama atau tidak dengan sel kanser, dan juga jenis-jenis ekstrak berlainan yang digunakan juga akan turut memberikan respond yang berbeza kepada kajian bergantung kepada bahan-bahan yang hadir.

Sebagaimana yang kita tahu ketum mempunyai kesan lain yang menyebabkan euphoria atau kayal apabila dos berlebihan diambil (yang menjadi punca ketum disalahgunakan oleh penagih-penagih dadah lain). Saya juga menjalankan kajian genotoksiti untuk meramalkan samada ekstrak ketum atau mitragynine boleh berpotensi menyebabkan kanser dengan mekanisme mutasi genome (mutagenisiti) dan hasil kajian dengan esei in vitro mouse lymphoma cells adalah negatif (perlu tambahan esei lain untuk penentuan).

Harap pencerahan saya dapat memberi maklumat serba sedikit tentang kandungan kajian toksiti..maklumat lanjut boleh refer tesis PhD saya dan rasanya di pubmed banyak lagi artikel terkini dari pelbagai penyelidik dari university lain di Malaysia, US, dan jepun yang juga menjalankan kajian ketum terutamanya utk potensi pain killer, depression dan lain-lain.”
Apa yang merisaukan ahli perubatan adalah, ketum ini dijadikan pemula kepada ketagihan bahan-bahan lain seperti heroin atau pil kuda (Amphetamine Type Stimulant -ATS). Statitik terkini menunjukan trend penggunaan pil kuda makin meningkat.
Awasilah anak-anak anda dari terjebak!
Dr Suhazeli Abdullah

Pakar Perubatan Keluarga

Medical Mythbusters Malaysia

Info lanjut: Fb.com/drsuhazeli
10.10.2016

Kuala Terengganu
Rujukan:

[1] Penafian Institut Kanser Negara. http://www.moh.gov.my/index.php/database_stores/store_view_page/21/648

[2] Ujian atas sel kanser. http://pubs.rsc.org/en/content/articlelanding/2015/tx/c5tx00113g

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...