,

Ubat ke Makanan yang Encik Jual? 

Oleh: Mohd Dziehan Mustapa | Ahli Farmasi 

*******************

Penjual….

Hmmm seperti biasa mereka dengan mudahnya menyatakan “Ini bukan ubat, ini makanan…tidak perlu berdaftar dengan KKM”

Persoalannya sejauh mana sebenarnya kebenaran penyataan di atas?

Adakah penjual sebenarnya cuba mengelirukan pengguna?
KUPASAN SEBENAR

*******************

Apa itu ubat?

Produk-produk yang digunakan untuk tujuan menjaga kesihatan, mengekal atau mengembalikan fungsi anggota badan dan yang lebih khusus untuk merawat atau menyembuhkan penyakit merupakan produk ubat.
Produk ubat bukan sahaja tertumpu kepada ubat hospital sahaja, produk ubat termasuklah produk suplemen kesihatan seperti produk-produk vitamin dan mineral, produk ubat tradisional yang mengandungi campuran herba-herba, bahan mineral, bahan dari sumber semula jadi serta produk-produk homeopati. 
APAKAH ITU MAKANAN

***********************

Produk makanan adalah produk yang diambil untuk tujuan keperluan zat dan nutrisi badan dan bukanlah untuk tujuan-tujuan perubatan seperti merawat penyakit.
Produk makanan hanya dibenarkan untuk membuat tuntutan pada nutrien tertentu sahaja dan bukannya pada produk. Contoh akuan fungsi bahan yang diluluskan adalah seperti vitamin C yang dapat membantu penyerapan zat besi daripada makanan.
KEKELIRUAN

*************

Punca kekeliruan adalah apabila pengeluar sesuatu produk mula memasukkan bahan-bahan nutrien, bahan aktif, bahan herba ke dalam produk mereka dan membuat tuntutan perubatan dan kesihatan berdasarkan kepentingan bahan herba tersebut. 
“Membuat tuntutan perubatan terhadap produk makanan adalah satu kesalahan di sisi undang-undang”
Yang semakin berleluasa sekarang adalah produk-produk makanan yang diiklankan untuk tujuan perubatan. Ia bukan sahaja menyalahi undang-undang malah ia juga bertentangan dengan tujuan sebenar produk makanan yang seharusnya dijual untuk fungsi membekalkan zat dan nutrisi seharian dan bukannya untuk merawat penyakit.
DARIPADA SUDUT PERUNDANGAN

********************************

Daripada sudut perundangan….sekiranya sesuatu produk dijual dengan tuntutan untuk tujuan perubatan, maka produk tersebut adalah produk ubat dan bukanlah produk makanan.  
Sesuatu produk ubat seperti produk suplemen, herba tradisional, jamu dan vitamin perlulah mendapat kelulusan dari Pihak Berkuasa Kawalan Dadah terlebih dahulu dan diberikan nombor kelulusan MAL sebelum boleh dijual di pasaran. 
Maka tiada istilah “Kami sudah hantar permohonan pendaftaran produk ke KKM…sedang dalam proses untuk kelulusan”
Senang cerita…..

Selagi tidak mendapat kelulusan, selagi itu sesuatu produk itu tidak boleh dijual atau dipasarkan.
Oleh itu …

**********

Produk makanan tidak sepatutnya mempunyai sebarang nombor pendaftaran atau kelulusan KKM seperti yang selalu dinyatakan oleh para penjual. KKM tidak memberi sebarang kelulusan terhadap produk makanan….

Yang melalui proses pendaftaran produk cuma ubat dan akan diberikan nombor kelulusan sebelum boleh dijual atau dipasarkan.
Kenapa Ubat Perlu Berdaftar?

****************************

Kenapa undang-undang dibuat untuk ubat perlu berdaftar?

Undang-undang dibuat bertujuan melindungi pengguna. 
Pihak Berkuasa Kawalan Dadah mendaftarkan ubat berdasarkan 3 kriteria utama meliputi Kualiti, Keselamatan serta Keberkesanan produk (bagi produk farmaseutikal). 
Mengapa perlunya perlindungan ini?

I. Kerana terdapat bahan-bahan yang boleh menggugat tahap kesihatan dan 

II. Kejujuran pada peniaga atau pengusaha diluar sana perlu dinilai. 

Setiap bahan yang diformulasikan (dicampurkan) dalam sesuatu produk mestilah bebas daripada bahan-bahan yang dilarang. 
TAHUKAH ANDA

****************

Produk ubat yang berdaftar dengan KKM TIDAK DIBENARKAN untuk meletakkan sebarang kenyataan atau tuntutan menyembuhkan penyakit pada iklan dan label produk ubat tersebut. 
Bukan itu sahaja… sekiranya produk-produk ubat ini ingin mengiklankan produk mereka di pasaran atau media, mereka perlu mendapatkan kelulusan daripada Lembaga Iklan Ubat terlebih dahulu.
KESIMPULAN

*************

Pengguna dinasihati supaya bertindak dengan bijak dan rasional sebelum membeli sesuatu produk makanan yang dijual dengan harga yang mahal atau melampau tinggi daripada harga pasaran biasa. 

Pengguna juga perlu sentiasa berwaspada terhadap promosi atau iklan dan tidak senang-senang terpedaya dengan testimoni yang menyatakan produk makanan ini mampu merawat segala penyakit
Disediakan oleh 

Mohd Dziehan Mustapa 

Ahli Farmasi 

Medical Mythbusters Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...