Thursday, April 25, 2024

Top 5 This Week

Related Posts

Khurafat Kesihatan Bulan Mengambang (Supermoon)

Tarikh 14 dan 15 Safar (sama dengan 14 dan Nov) tahun ini menjadi sejarah apabila bulan mengambang paling besar saiz dan paling bercahaya. Ia kelihatan 14% lebih besar dan 30% lebih cerah. Fenomena ini disebut Supermoon setiap 68 tahun kerana kitaran galaksi bulan berada paling hampir dengan bumi.

Fenomena ini mencetus pelbagai kepercayaan dalam masyarakat. Dalam sosiobudaya yang pelbagai, terdapat kepercayaan yang mengaitkan supermoon ini meningkatkan kejadian jenayah atas kepercayaan mistik. Logiknya kegiatan manusia dibulan terang mengambang akan semakin aktif, lantas terjadinya peristiwa yang diluar jangkaan. Akan tetapi tiada statistik jelas kaitan antara bulan mengambang dan kejadian jenayah. Begitu juga, sestengah masyarakat percaya jumlah kelahiran meningkat semasa bulan mengambang. Kajian sosiobudaya telah menafikan hubungkait tersebut.[1] Kajian mengenai bulan mengambang penyebab bencana alam juga telah membuktikan tiada hubungkait antara kedua-duanya.[2] Walaupun dari segi asasnya bulan mengambang akan mengakibatkan paras laut meningkat, tetapi tidak semuanya tepat jika tidak disertai hujan lebat sehingga mencetuskan banjir besar.

Dunia kesihatan juga tidak terlepas dari kepercayaan tahyul ini. Ada yang berteori penyakit gout akan menyerang orang ramai, jumlah pengunjung wad kecemasan makin bertambah dek kerana penyakit pelik timbul, kanak-kanak akan sakit perut akibat cacing makin membiak semasa bulan mengambang dan pelbagai lagi. Kesemuanya teori khayal yang hanya menjadi buah gelak ketawa para doktor perubatan di hospital. Bertahun-tahun kajian telah dijalankan bagi mencari hubungan antara kejadian penyakit dan bulan mengambang. Tiada bukti yang sahih secara statistik mengatakan biologi dan perangai manusia berubah semasa bulan mengambang.[3] Mungkin orang beranggapan pesakit gila atau meroyan meningkat semasa bulan terang akibat pengaruh mistik, tetapi ia tiada kaitan jelas. Cumanya mungkin apabila suasana makin terang, seseorang yang sudah berpenyakit gila akan tidur lewat malam. Kitaran biologi kehidupan berubah, akhirnya tercetus relaps (gila kembali)

Kejadian penyakit seperti serangan jantung, kematian, kelahiran, sawan, kemasukan wad psikiatri dan pelbagai lagi tidak menunjukkan kadar yang ketara berbanding dibulan gelap.

Adapun Rasulullah SAW menggalakkan umatnya berpuasa di hari putih, iaitu 13, 14 & 15hb dimana bulan dilangit mengambang penuh dan malam itu cahaya bulan sangat terang hingga tarikh tarikh ini dipanggil hari putih. Didalam Islam digalakkan berpuasa sunat. Dipanggil hari putih sebab malam tersebut malam yang cerah. Tidak dikaitkan pun dengan apa-apa fenomena pelik sempena bulan mengambang. Semoga amalan puasa sunat kita berpahala.

Semoga pencerahan ini ibarat terang bulan mengambang tanpa bersuluh bagi mengurangkan kekusutan pemikiran tahyul pelbagai dalam masyarakat.

Rujuk

[1] Suasana masa Fullmoon.

http://www.dailymail.co.uk/news/article-431239/More-babies-born-More-crime-More-suicides-Now-scientists-try-explain–moonstruck.html

[2] Adakah Supermoon penyebab bencana alam. http://www.livescience.com/33106-will-supermoon-cause-earthquake-storm-natural-disasters.html

[3] Kajian biologi dan perangai manusia semasa bulan mengambang. http://amp.livescience.com/7899-moon-myths-truth-lunar-effects.html

Dr Suhazeli Abdullah

Pakar Perubatan Keluarga

Fb.com/drsuhazeli

#MedTweetMY

#MedicalMythBustersMalaysia

14.11.2016

Genting Sempah

P\S

~ Sesetengah Wanita bercelaru fikiran apabila “datang bulan”. Ia juga satu fenomena yang tidak dinafikan. ?

~ Doakan parti Bulan terus mengembang. ?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Dr Suhazeli Abdullah
Dr Suhazeli Abdullah
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com

Popular Articles