Ada Hadis Haram Rokok?

wpid-about_slim_vape_pen.jpgTerdapat para perokok tegar mencari alasan meng’halal’kan rokok dengan mengatakan bahawa tiada satu hadis pun melarang rokok. Hujah yang sama golongan antivaksin, kata mereka zaman Rasulullah tiada pun vaksin dan tidak pernah dianjurkan oleh Rasulullah mevaksinkan anak-anak kecil. Justeru, mereka merelakan diri mereka terus memamah rokok tanpa segan silu dan tiada rasa berdosa. Hatta mereka juga mengambil hujah beberapa ulama yang mereka berguru dengannya juga menghisap rokok dan shisha. Tiada pula ulama ikutan mereka tersebut memfatwakan rokok dan shihsa itu haram. Malah ulama-ulama tersebut itu penghafaz kitab-kitab serta melahirkan ribuan anak murid hingga kini.

 

Semasa saya muda belasan tahun dulu kebanyakan dari para alim ulama menyatakan rokok adalah makruh. Tiada pula yang terus menghalalkan rokok. Paling ketara pun terdapat ulama pada masa tersebut menghukumkan makruh mendekati haram kerana asapnya menganggu orang lain serta sifat riak para perokok. Mereka kiaskan kepada larangan Rasulullah yang menegah makmum memakan bawang sebelum solat dimasjid. Setakat itu sahaja. Seingat saya, kebanyakan ulama berhukum makruh sedemikan sekitar tahun 70-an dan 80-an. Namun sekali lagi…..Tiada seorang pun menghalalkan rokok atas dasar manfaat hilangkan mengantuk atau pencetus sel otak menjadi bijak berfikir.

 

Fekah dalam Islam tidak rigid. Senantiasa dinamik mengikut perkembangan zaman. Semamangnya di zaman Rasulullah tiada shisha dan rokok. Tetapi Rasulullah telah menjelaskan kepada kita perkara yang mendatangkan mudarat perlu dijauhi. Sebab itu dalam Islam, nas yang perlu kita ambil adalah dari Al Quran, Hadis, Ijmak Ulama dan Kias. Ini memandu kita dalam kehidupan zaman kini. Jika kita mengambil hukum secara literal, maka sudah tentu pil kuda, ganja dan perkara yang memabukkan halal diambil oleh kita. Begitu juga dengan perkara-perkara baru dalam dunia sains dan teknologi kini, jika kita jumud dengan hujah tidak disebut oleh Rasulullah maka janganlah sesekali kita menaiki kereta, kapal terbang, guna ultrasound bayi hatta berfacebook. Kerana semuanya itu tidak pernah disabdakan oleh Rasulullah SAW.

 

Saya bersetuju dengan jawapan almarhum Ustaz Fadli Al Yamani dalam sebuah YouTube berkaitan isu rokok.[1] Rokok bukan haram secara qatie sebab ianya tidak dinyatakan oleh Al Quran atau Hadis. Akan tetapi saya mengambil kiasan bahawa ianya adalah haram secara mendatang. Bermakna setelah mendapati bukti-bukti nyata mutaakkhir ini bahawa rokok mendatangkan mudarat kepada badan manusia. Ianya bukan lagi hukum makruh seperti pendapat ulama zaman 70-an atau 80-an. Banyak kajian yang mengesahkan merokok itu berbahaya. Merokok penyebab kematian pra matang (umur muda) seluruh dunia sebanyak 10 kali ganda. Terbukti bahawa 90% kanser paru-paru akibat rokok, manakala 80% penyebab kematian akibat penyakit paru-paru kronik (COPD). Risiko perokok dihinggapi serangan sakit jantung dan strok sebanyak 2-4 kali ganda dan banyak lagi komplikasi penyakit akibat rokok.[2] Kajian-kajian ini baru diperolehi dengan jelas pada sekitar 90-an hingga kini. Para pakar bergelut dengan kajadian-kejadian penyakit yang faktor utamanya adalah rokok seperti kanser dan serangan jantung. Sudah tidak dapat dinafikan lagi. Melalui kiasan yang sama juga shisha dan vape diharamkan oleh para ulama agar menutup pintu kerosakan lebih utama dalam masyarakat.

 

Beberapa hujah yang dikemukakan oleh ulama kini yang mengharamkan rokok, Shisha dan Vape:

 

1. Firman Allah subhanahu wa ta’ala,

 

يَأْمُرُهُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَاهُمْ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

 

“Nabi itu menyuruh mereka kepada yang makruf, melarang mereka dari yang mungkar, menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan melarang bagi mereka segala yang buruk.” [QS. al-A’raf: 157]

 

2. Firman Allah subhanahu wa ta’ala,

 

وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا

 

“Janganlah kamu membazirkan hartamu secara boros. Sesungguhnya orang-orang yang berlaku boros itu adalah saudara saudara syaitan. Dan syaitan itu sangat ingkar terhadap Tuhannya.” [QS. al-Isra’: 26-27]

 

3. Hadits Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam,

 

لا ضرر ولا ضرار

 

“Tidak boleh membuat mudharat kepada diri sendiri dan tidak boleh membuat mudharat kepada orang lain.”

 

4. Kaedah Fiqhiyyah

 

الضرر يدفع بقدر الإمكان

 

“Bahaya harus ditolak semaksima mungkin.”

 

5. Kaedah Fiqhiyyah

 

الضرر يزال

 

“Yang menimbulkan mudharat harus dihilangkan/dihindarkan.”

 

6. Kaedah Fiqhiyyah

 

الحكم يدور مع علته وجودا وعدما

 

“Penetapan hukum itu tergantung ada atau tidak adanya ‘illat.”

 

7. Ulama pelbagai negara juga memberi penjelasan yang sama, seperti Ulama Mesir, Jordan, Yaman, dan Syria bahwa hukum merokok di negara-negara tersebut adalah haram.

 

Saya hairan jika ada ulama zaman mellenium kini masih berfikiran lama tanpa melihat kerosakan yang berada dihadapan tangga mereka sendiri. Urusan hidup mati adalah ketentuan Rabbul Jalil, tetapi ikhtiar kita mengambil kaedah kematian husnul khatimah adalah amat penting. Muliakah kita mati dengan gelaran maut akibat rokok?

 

fikir-fikirkan

 

Rujukan:

[1] Kuliah Ustaz Fadli Al Yamani isu Rokok. https://www.youtube.com/watch?v=azwYnBT1Ep0

[2] Fakta perubatan bahaya rokok. https://www.cdc.gov/tobacco/data_statistics/fact_sheets/health_effects/effects_cig_smoking/

 

Dr Suhazeli Abdullah

Fb.com/drsuhazeli

#drsuhazeli

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...