2016-11-10-16-35-37-711743451Terkejut dengan hujah seorang selebriti Pencetus Ummah (PU) dalam video pendek YouTube yang meng’halal’kan rokok. Beliau juga berhujah bahawa merokok tidak membazir kerana mengambil manfaat dari rokok. Malah menjatuhkan hukum wajib jika kehidupan perokok akan terganggu. Beberapa hukum fikah telah dijadikan dalil untuk meng’halal’kan rokok.[1]

Setelah beberapa bukti kerosakan badan akibat dari merokok, mutakkhir ini kesemua fatwa yang muktabar telah mengharamkan rokok. Seluruh ulama dunia sepakat akan pengharamannya. Walaupun terdapat sebilangan kecil mereka yang khilaf dan menghukumkan sebagai harus tetapi tiada dikalangan mereka mewajibkan rokok. Tetapi pendapat minoriti ini tidak diambil kira sebagai fatwa. Cermatnya fatwa adalah memberi fahaman keputusan sekumpulan alim ulamak yang diakui ilmunya berkenaan sesuatu perkara.

Lihat contoh dari fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan menerusi Jamaah ulama yang bersidang pada 25 Rejab 1435 Hijrah bersamaan 25 Mei 2014 dan atas titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V membuat fatwa seperti berikut:[2]

1. Bahawa merokok dan menghisap shisha adalah haram pada pandangan Islam.

2. Fatwa ini dibuat berdasarkan hujah-hujah berikut :

i. Islam menyuruh agar setiap seseorang itu mengambil yang baik lagi berkhasiat untuk keperluan diri, keluarga dan sebagainya. Rokok dan shisha tidak termasuk dalam kategori di atas bahkan ia termasuk dalam kategori “الخبائث” iaitu benda yang kotor dan jijik kerana pengambilan kedua-dua benda ini boleh membawa kemudaratan kepada penghisap rokok dan shisha serta orang lain di sekitarnya. Perkara ini telah diakui oleh pakar-pakar perubatan berdasarkan kajian mereka.

Firman Allah Taala :

وَتُحِلُّ لَهُمُ الَطَيِّبَتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الخَبَئِثُ

Ertinya : Dihalalkan kepada mereka benda-benda yang baik dan diharamkan kepada mereka benda-benda yang kotor.

(Surah Al-A’raf : Ayat 157)

ii. Islam melarang umatnya membiarkan diri sendiri dan orang lain terdedah dengan berbagai bahaya dan kemudaratan. Menghisap rokok dan shisha adalah termasuk dalam kategori membinasakan diri sendiri dan orang lain sama ada jangka pendek atau jangka panjang. Pandangan pakar-pakar perubatan tentang bahaya asap rokok dan shisha kepada penghisap rook dan orang lain disekitarnya adalah bukti jelas tentang kemudaratannya.

(وَأَنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَهِ وَلَا تُلْقُواْ بِأَيْدِيْكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ وَأَحْسِنُوا إِنَّ اللَّه يُحِبُّ الْمُحْسِنِيْن)

Ertinya : Dan belanjakanlah harta benda dijalan Allah dan jangan kamu sengaja mencampak diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan berbuat baiklah sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya.

(Surah Al-Baqarah : Ayat 195)

Sabda Rasulullah S.A.W:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

(Hadis riwayat Ahmad)

iii. Membelanjakan wang terhadap perkara-perkara yang tidak mendatangkan kebaikan dan manfaat amatlah ditegah dalam islam. Perbuatan sedemikian boleh mendatangkan keburukan dan membawa kepada pembaziran harta, masa dan tenaga. Menghisap rokok dan shisha termasuk dalam kategori ini. Islam melarang setiap pembaziran seperti firman Allah :

وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيْرًا

Ertinya : Dan janganlah kamu berbelanja dengan sangat boros.

(Surah Al-Isra’ : Ayat 26)

iv. Terdapat kaedah fiqh yang menegaskan pengambilan sesuatu yang memudaratkan adalah di larang.

كُلُّ مَا يَضُّرُّ فَأَكْلُهُ اَوْ شُرْبُهُ حَرَام .

Ertinya : Setiap yang memudaratkan, maka hukum memakannya atau meminumnya adalah haram.

v. Rokok dan Shisha diharamkan memandangkan ia mempunyai keburukan yang besar berdasarkan kepada kenyataan pakar-pakar perubatan.

Banyak kajian yang mengesahkan merokok itu berbahaya. Merokok penyebab kematian pra matang (umur muda) seluruh dunia sebanyak 10 kali ganda. Terbukti bahawa 90% kanser paru-paru akibat rokok, manakala 80% penyebab kematian akibat penyakit paru-paru kronik (COPD). Risiko perokok dihinggapi serangan sakit jantung dan strok sebanyak 2-4 kali ganda dan banyak lagi komplikasi penyakit akibat rokok.[3]

Walaubagaimanapun, bagi mereka yang menjadi perokok tegar, berada dalam situasi yang tidak mampu berpisah dengan rokok, bukan kerana suka-suka, tetapi sudah terlekat dan amat sukar untuk meninggalkannya, bagi insan ini sahaja yang ada perbincangan khilaf berkenaan. Kes terpencil ini tidak boleh menjadi alasan untuk merokok bagi yang belum merokok atau mampu berhenti merokok.

Jika beralasan merokok ini beri manfaat kepada orang yang bekerja supaya tidak mengantuk, bertenaga untuk mencari rezeki atau seumpamanya, ini adalah alasan singkat yang tidak melihat kepada kerosakan jangka panjang apabila merokok. Menolak mudarat yang lebih besar amat penting bagi mengambil manfaat yang sedikit. Seberapa ramai orang tidak merokok boleh hidup dan terus membanting tulang mencari rezeki, tidak pun ketagih dengan rokok. Malah kepada penagih rokok itupun tidak sampai mati atau cacat jika terus berhenti dari merokok. Sebaik sahaja jam pertama perokok berhenti merokok, beliau akan sihat.[4] Banyak lagi manfaat kesihatan jika terus berhenti merokok.

Ahli agama yang merokok tidak boleh dijadikan sandaran atau hujjah kepada orang lain untuk mengikutinya. Kemungkinan dia tidak mampu untuk meninggalkan rokok. Juga tidak boleh dihebohkan kepada umum hal itu kerana ianya boleh menimbulkan silap faham atau fitnah dalam masyarakat. Mungkin boleh difikirkan apakah dia ubat atau lainnya untuk menghentikan ketagihan rokok.

Ada orang yang berhenti merokok apabila anak-anaknya secara senyap meletakkan tahi ayam dalam rokok tersebut ketika ayahnya tiada di rumah. Selepas dihisap, muntah dan terus tinggal rokok sehingga ke hari ini.

Panel Pusat Talaqqi Batu Rakit

Fb.com/PTBR.Official

Rujuk:

[1] Kuliah PU Faiz. https://m.youtube.com/watch?v=eaJC3hqV_00&feature=youtu.be

[2] Fatwa Rokok dan shisha MAIK. http://mufti.kelantan.gov.my/v2/index.php/ms/perkhidmatan/fatwa/koleksi-fatwa/631-fatwa-tentang-hukum-menghisap-rokok-dan-shisha-dari-pandnagan-islam-soalan-1

[3] Fakta perubatan bahaya rokok. https://www.cdc.gov/tobacco/data_statistics/fact_sheets/health_effects/effects_cig_smoking/

[4] Manfaat berhenti merokok. https://quitsmokingcommunity.org/how-to-quit-smoking/nicotine-withdrawal-timeline-symptoms/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleAksi 3½ minit untuk elak kematian mengejut?
Next articleAda Hadis Haram Rokok?
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com