Oleh: Dr Ahmad Rostam Mohd Zin | Pakar Psikiatri 

Pernahkah kita terbangun di waktu pagi merasakan semuanya akan tidak kena? Pagi yang kita terbangun lewat dan kita merasakan bahawa hari itu pasti menjadi hari yang kurang baik bagi kita? Baju yang tidak diseterika dengan baik, jalan sesak yang luar biasa, terlewat mengetik kad perakam waktu dan terserempak dengan ketua jabatan sebaik sahaja keluar dari tempat mengetik kad perakam waktu. Senyuman sinis bos menjadikan anda gelabah, kunci bilik pejabat pula tertinggal di rumah dan anda tertinggal bahan untuk anda membuat pembentangan dalam masa 5 minit lagi di dalam bilik tersebut.

Dalam hati terdetik,

“Dah agak dah hari ni confirm teruk…”?

Dan hari kita semakin teruk sehinggalah ke malam. Ada sahaja yang tidak kena dan mendatangkan rasa tidak senang di hati. Dalam diam kita berdoa moga esok akan lebih baik.

Apakah yang sebenarnya berlaku?

KAJIAN ROSENTHAL & JACOBSEN 1968

Pada tahun 1968, satu eksperimen sosial telah dilakukan oleh 2 orang pengkaji. Eksperimen mereka mudah sahaja.

Ujian kompetensi dilakukan terhadap sekumpulan anak-anak di sekolah Sekumpulan kecil kanak-kanak ini dipilih secara rawak oleh pengkaji tanpa merujuk kepada hasil ujian mereka. Guru-guru diberitahu bahawa kumpulan pelajar tersebut mempunyai potensi yang jauh lebih baik dari yang lain tetapi tiada layanan istimewa disyaratkan untuk kumpulan tersebut Guru-guru berpersepsi bahawa kumpulan anak ini pasti akan cemerlang 

Hasil kajian ini mendapati bahawa kumpulan anak tersebut sememangnya menjadi cemerlang di akhir tahun berbanding yang lain. Eksperimen ini menunjukkan bahawa ekspektasi guru tersebut mempengaruhi pencapaian anak murid walaupun dari segi kompetensi mereka tidak seimbang pada peringkat awal. Ekspektasi positif (sangka baik/husnudzon) menghasilkan pencapaian positif manakala ekspektasi negatif (sangka buruk/su’uz dzon) menyebabkan pencapaian yang tidak baik.

Rosenthal & Jacobsen menggelar kesan persepsi individu terhadap orang lain ini sebagai Kesan Pygmalion (Pygmalion Effect).

Ini didasarkan kepada premis sebarang ekspektasi kita terhadap situasi, individu atau keadaan akan mempengaruhi (secara langsung atau tidak) cara seseorang itu menghadapi keadaan tersebut yang akhirnya menyebabkan apa yang disangkanya pasti akan berlaku. (SELF FULFILLING PROPHECY)

GOLEM & GALATEA

Ianya adalah berkenaan tentang diri kita. Sangkaan tentang diri kita sendiri yang juga didasarkan kepada premis yang saya terangkan pada perenggan yang sebelum ini. Sangkaan positif akan menghasilkan kesan positif (Galatea Effect). Sangkaan buruk akan menghasilkan hasil yang juga buruk (Golem Effect).

APLIKASI DALAM KEHIDUPAN

Konsep bersangka baik (bukan berfikiran positif semata) dalam kehidupan adalah sesuatu yang tidak dipandang sebagai sesuatu yang serius walaupun ianya ada disebut dalam kehidupan beragama. Ini mungkin kerana konsep ini terlalu subjektif dan sukar juga untuk diamalkan. Kesukarannya mungkin disebabkan sistem/suasana kita dibesarkan, cara berfikir kita yang biasanya bersifat automatik atau faktor lain yang sukar dikawal.

Dalam aspek psiko-sosial, konsep ini amat penting bagi ibu bapa, guru-guru, ketua unit/jabatan dan sebagainya. Ibu bapa yang merasakan anak mereka satu hari nanti akan berjaya akan bertindak/bergerak secara sedar mahupun tidak ke arah itu (Galatea Effect) dan menghasilkan anak yang berjaya (Pygmalion Effect).

Dalam aspek kesihatan secara umum pula, bersangka baik terhadap Tuhan atau istilah psikospiritualnya, positive psychospirituality menghasilkan natijah kesihatan fizikal mahupun mental yang baik. Berdasar kajian, hanya sedikit nilaian sangka buruk pada Tuhan (negative psychospirituality) akan meningkatkan mortaliti mahupun morbiditi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleGelang Magnet untuk Perubatan 
Next articlePerempuan Muslim Paling Bersih
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com