Saya cukup tertarik dengan artikel yang dikeluarkan oleh seorang peguam tersohor Kamarul Irzuan, dalam blog beliau.[1] Tulisan beliau berkisar mengenai kegagalan program rawatan ketagihan dadah kumpulan opiate (heroin) dengan menggunakan ubat bernama methadon. Program rawatan sirap methadon ini telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia semenjak tahun 2005. Beliau juga mengaitkan dengan beberapa fakta kajian antarabangsa dalam isu yang sama.

Penulisan tahun 2008 itu mungkin tepat pada waktu itu. Sejarah program rawatan dengan ubat methadon di negara kita bermula dengan beberapa projek perintis seluruh negara. Kini sudah menampakkan kejayaan walau ianya ditentang oleh pihak tertentu pada peringkat awal tahun 2005 tersebut. Statistik dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan mencatatkan peratus pertambahan pengambilan dadah asli seperti opiat (heroin dan morfin) menurun berbanding dengan pengambilan dadah sintetik seperti pil kuda (methampetamine, ectasi dan amphetamin) .[2] Pertambahan tangkapan kerana pengambilan dadah dari tahun 2010 hingga 2015 adalah sebanyak 43.2% untuk dadah kumpulan opiate seperti heroin manakala 100.01% bagi dadah kumpulan amphetamin type stimulant (ATS) seperti pil kuda dan syabu. Data ini menunjukkan peningkatan pengambilan pil kuda dan syabu di masa kini amat membimbangkan. 
Sifat penagih dadah kumputan ATS ini lebih ganas berbanding penagih dadah kumpulan opiat. Kebanyakan dari kes pembunuhan ahli keluarga akhir-akhir ini adalah berpunca dari penagih dadah sintetik ATS . Ini kerana penggunaan dadah sintetik berkait rapat dengan gangguan serius pada pemikiran apabila khayal seperti halusinasi (melihat/mendengar/merasa perkara yang tidak wujud), delusi (perasaan syak wasangka) dan paranoid.[3]
Manakala, program terapi methadon ini wujud bagi merawat penagih kumpulan opiat. Banyak kajian telah dilakukan bagi membuktikan kejayaan rawatan ketagihan dadah opiate dengan ubat methadon ini. 
Antaranya kajian terbaru oleh Dr Norsiah dan rakan-rakan, yang telah membuat review keberkesanan rawatan ubat methadon dari tahun 2005 hingga 2014 (Malaysian Methadon Treatment Outcome Study, MyTOS 2016). Dapatan dari kajian tersebut membuktikan telah mengurangkan dengan begitu ketara penagih yang dimasukkan semula ke kurungan seperti lokap, penjara dan pusat serenti (7.5% berbanding 59% sebelum rawatan). Pesakit yang mengambil rawatan methadon juga terlindung dari mendapat jangkitan virus HIV, Hepatitis B dan C. Pesakit juga menunjukkan peningkatan kualiti kehidupan, taraf kesihatan sosial bertambah baik dan mereka bebas dari ketagihan dadah opiat. Bilangan yang mempunyai pekerjaan juga meningkat.[4]
Saya berikan juga di sini beberapa link kajian lain bagi yang sudi membaca lebih. [Lihat rujukan 7, 8, 9]
Apakah rawatan dengan ubat Methadone?

Mungkin ramai yang tak tahu apakah rawatan untuk masalah penagihan dadah dengan ubat bernama methadon. Ia adalah salah satu kaedah program pengurangan kemudaratan untuk penagih dadah jenis Opiat sahaja. Program ini bertujuan untuk mengelakkan jangkitan virus bawaan darah (HIV, Hep C, Hep B) yang berpunca daripada perilaku berisiko tinggi penagihan antaranya berkongsi jarum suntikan dadah. Rawatan dengan ubat methadon adalah pemberian ubat preskripsi (sirap Methadone) di bawah pengawasan ketat Pegawai Perubatan dan Pegawai Farmasi.[5]

Methadon merawat ketagihan, mencegah tanda-tanda pengunduran iaitu gian (withdrawal symptom) dan rasa rindu (craving) terhadap heroin. 
Methadon ialah dadah sintetik yang mempunyai kesan yang sama seperti heroin atau morfin tetapi tidak memberi kesan euforia (khayal). Methadone perlu diambil secara oral (melalui mulut), sekaligus mengatasi pelbagai masalah yang dikaitkan dengan penggunaan/perkongsian alat-alat suntikan. Rawatan methadone akan mengurangkan atau menghilangkan tindak balas heroin dalam badan.[6]

Dr Norsiah Ali dan Prof Madya Suzaily Wahab telah menulis sebuah buku untuk meningkatkan kefahaman umum tentang rawatan masalah penagihan dadah (rujuk lampiran). Pelbagai persoalan berkaitan masalah ini dihuraikan dalam buku tersebut.[10]

Hukum Syariat lebih Baik

Saya tidak menafikan bahawa akta yang ketat perlu digunakan bagi mengubati masalah para penagih ini. Ini termasuklah perlaksanaan syariat Islam yang syumul itu. Namun dalam rantaian kita berjuang untuk tegakkan syariah, apa salahnya membuka ruang para pakar perubatan untuk merawat penyakit masyarakat ini dengan kaedah penolakan mudarat yang bertentangan ini. Samada membiarkan para penagih terus larut dalam ketagihan dan risiko dijangkiti HIV, hepatitis atau membantu mereka dengan kaedah rawatan ini? Sesuai juga dengan kenyataan; “jika kita tak boleh buat semua, jangan pula tinggal semua.”

Dr Suhazeli Abdullah 

Pakar Perubatan Keluarga
Pertanyaan lanjut: Fb.com/drsuhazeli 

#MedTweetMY 

#MedicalMythBustersMalaysia
9.10.2016

Pustaka Negeri

Kuala Terengganu
Rujukan:
[1] Fakta-fakta menarik penagih dadah dan Methadone Malaysia. http://legal-malaysia.blogspot.my/2008/07/fakta-fakta-menarik-tentang-dadah-dan.html?m=1

[2] Statistik AADK. http://www.adk.gov.my/web/guest/dadah

[3] Penagih dadah bunuh ibu sendiri. http://m.bernama.com/index.php?lang=my&sid=newsdetail&news_id=1288360

[4] Malaysian MMT Study (MyTOS). https://www.researchgate.net/publication/305400670_Malaysian_Methadone_Treatment_Outcome_Study_MyTOS_2016_Ministry_of_Health

[5] Rawatan Gantian Methadone. http://www.pharmacy.gov.my/v2/ms/entri/rawatan-terapi-gantian-methadone.html

[6] What is Drugs Substitution Therapy. http://www.cornerstone-msc.net/new_mps/cfm/announcement_view.cfm?id=1717

[7] Kajian methadone HRPZII. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3629676/

[8] Effective MMT at HTAA. https://www.researchgate.net/publication/51048539_Two-Year_Outcomes_of_Methadone_Maintenance_Therapy_at_a_Clinic_in_Malaysia

[9] Quality of life MMT client. https://www.researchgate.net/publication/305394064_Effectiveness_of_Methadone_Maintenance_Therapy_and_Improvement_in_Quality_of_Life_Following_a_Decade_of_Implementation.

[10] Kebergantungan terhadap Dadah dan permasaalahannya. https://www.dropbox.com/s/wvsbua7hwmyynag/buku%2018Julai2016%20%20Finale.pdf?dl=0

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleAgenda Jahat dalam Industri Perubatan Moden?
Next articleKudis Buta (Scabies)
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com