Tapak Semain Vaksin dari Janin dan Ginjal Monyet…..Betul ke?

*TAPAK SEMAIAN VAKSIN DARIPADA JANIN DAN GINJAL MONYET TAPI……BACA UNTUK MENGETAHUI LEBIH LANJUT*

Alasan yang selalu disebut oleh golongan antivaksin adalah bahan kandungan vaksin itu syubhah atau haram. Hujahnya, sesuatu yang syubhah adalah haram. Mencari sesuatu yang halal adalah wajib. Lantas dicari oleh mereka dalam dunia cyber bahawa bahan yang terdapat dalam vaksin mengandungi babi, darah kuda, najis tahi dan air kencing, nanah binatang, sel kanser, janin manusia, ginjal monyet dan sebagainya lagi. Sah! Vaksin adalah haram, justeru wajib dijauhi kerana sumber haram ini akan melemahkan ummat. Sebab itulah Islam masih tidak dapat menakluki dunia kerana telah diracuni melalui vaksin! Sadis…..

Saya sering bertanya kembali para ibubapa yang menolak vaksin ini. Vaksin mana yang dikatakan haram atau syubhah itu? Mereka tergagau-gagau mencari handphone pintar dan tunjukkan laman web yang katanya vaksin ada bahan haram. Lantas saya bentangkan kepada mereka vaksin yang terdapat diklinik (dan semua premis KKM guna vaksin tersebut). Adakah sama atau tidak jenama yang mereka paparkan itu? Jawapannya tidak semuanya! Mereka hanya memperolehi maklumat secara secara negatif dari Google. Teliti, selidik dan kewibawaan fakta Google tu dulu dan bertanya lah kepada ahli² yang sudah bergelumang dalam bidang perubatan. KKM menggunakan Vaksin 5 serangkai DTaP-Hib-Ipv berjenama Pentaxim).

Bukan semua produk vaksin yang dipaparkan didunia cyber itu digunakan dalam premis kesihatan negara kita. Segala kelulusan penggunaan vaksin dalam negara melalui proses yang teliti dan hasil permesyuaratan pelbagai pihak termasuklah Jakim.

Slide5810 vaksin wajib yang terdapat dalam premis kesihatan KKM adalah bebas dari DNA babi. Tiada khilaf!

Cuma yang menjadi pertikaian adalah hanya 2 jenis vaksin: Polio dan Rubella. Tapak semaian kuman kedua-duanya adalah di janin dan ginjal monyet. Pun begitu tapak semaian tersebut hanya digunakan semasa pembiakan, kemudian hanya kuman yang petik, disulingkan, dibersihkan agar kuman menjadi tulen sebelum dilakukan proses nyahaktif atau teknik rekombinan. Satu proses yang teliti secara berperingkat serta kompleks dalam makmal. Bukannya dibuat belakang rumah!

Terkadang saya terfikir, adakah kita perlu tahu sedalam itu dalam proses pembuatan vaksin? Serahkan kepada orang yang mahir sudah mencukupi untuk kita yakini. Islam pun melarang kita perkara lebih dari zahir sesuatu itu. Sebagai contohnya proses pembuatan minyak masak dan gula. Adakah kita yakin proses pembuatannya bebas dari binatang seperti tikus dan ular? Cari sendirilah info proses pembuatan tu.

Walau bagaimana pun saya buat juga tulisan ini bagi memberi kefahaman kepada kita kenapa 2 jenis kuman tersebut menggunakan bahan berkenaan:

Vero Cells1.Janin (Aborted fetus) digunakan untuk pembiakan Rubella kerana ianya adalah medium paling sesuai. Pelbagai sel digunakan bagi pembiakan Rubella tapi tidak berjaya sehingalah dikaji ke atas janin pada 1960 setelah mendapat kebenaran dari FDA. Kajian ini telah menjadi pencetus kepada pembuatan vaksin Rubella. Dua pengguguran elektif janin telah diambil bagi tujuan tersebut. [Lihat Soalan Lazim Mengenai Vaksin Dan Imunisasi, Kementerian Kesihatan Malaysia & JAKIM]
(i) Janin perempuan 12 minggu kerana ibunya dijangkiti Rubella.
(ii) Janin lelaki 14 minggu kerana ibunya berpenyakit psikiatri.

Slide56Kedua-dua lajuran sel (cell line) tersebut masih wujud dalam kultur makmal. Janin baru tidak perlu dijalankan lagi kerana sel janin yang diperoleh dalam tahun 1960an tersebut masih dikekalkan dalam kultur makmal. Ahli saintis memilih untuk menggunakan sel janin atas beberapa sebab, iaitu:
i. Virus berbeza dari bakteria kerana ia memerlukan sel untuk membiak. Sel manusia adalah media yang lebih baik bagi menggalakkan pembiakan virus manusia, berbanding dengan sel haiwan.
ii. Sel janin kebal dan boleh membiak banyak kali sebelum mati, berbeza dari sel lain yang hanya membiak secara terhad sebelum mati.

2. Hukum membenarkan pengguguran atas mashlahat/kepentingan perubatan. Dalam kes ini, perbincangan banyak dinyatakan oleh Madzhab Syafi’iyyah, Hanafiyyah, dan Hambali.
Menggugurkan janin sebelum peniupan roh hukumnya boleh. Bahkan sebagian dari ulama membolehkan menggugurkan janin tersebut dengan ubat. (Hasyiat Al Qalyubi : 3/159). Menurut kelompok ini, berdasarkan hadis Nabi di atas yang menunjukkan bahwa sebelum empat bulan, roh belum ditiup ke janin dan penciptaan belum sempurna, serta dianggap benda mati, sehingga boleh digugurkan.

3. Tapak semaian Polio pula di sel buah pinggang monyet. Ia diberi nama Vero cell. Media pertumbuhan yang terbaik bagi membiak virus polio kerana virus Polio yang paling susah dikembang biak. Berbeza dengan kuman-kuman lain yang boleh dibiakkan dengan senang dalam telur dan agar-agar. Terdapat vaksin Polio yang tapak semaiannya sel Babi (Vaksin Polio berjenama Imovax Polio) tetapi ia TIDAK DIGUNAKAN dalam premis KKM.
Perlu diketahui bersama bahawa sel berkenaan adalah semasa proses awal pembiakan, setelah dipetik, diproses dalam makmal, hasil akhir bukan dari bahan tersebut. Malah virus polio sudah berubah bentuk hasil teknik rekombinan yang digunakan. (Jika nak tahu apa itu teknik rekombinan…belajar jadi ahli mikrobiologi la. Takkan sedetail tu nak explain juga).

Slide67Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan dalam siri Bayan Linnas 59 menyebut: Hukum Vaksin Kembali Kepada Intipati Kandungan Yang Terdapat Di Dalamnya. Di dalam hal ini, terdapat beberapa bahagian yang telah disebutkan oleh para ulama:

Pertama: Vaksin yang mengandungi kandungan yang harus untuk digunakan serta mempunyai kesan yang bermanfaat.

Tidak syak lagi bahawa kategori jenis ini adalah harus untuk digunakan. Bahkan ia merupakan di antara nikmat Allah yang dikurniakan kepada makhluk-Nya. Pencapaian perubatan (medical achievement) seumpama ini telah memberi sumbangan yang besar dalam mengurangkan pelbagai wabak yang tersebar pada hari ini.

Kedua: Vaksin yang mengandungi isi kandungan yang harus untuk digunakan. Akan tetapi ia boleh menyebabkan mudharat yang lebih banyak kepada tubuh badan berbanding manfaatnya. Ataupun ia tidak bermanfaat pada asalnya.

Vaksin seumpama ini tidak dinafikan lagi bahawa tidak boleh untuk digunakan kerana kita dilarang untuk memudharatkan diri kita dengan makanan, minuman, ubat-ubatan, dan seumpamanya.

Ketiga: Vaksin yang mengandungi bahan yang diharamkan ataupun ia najis pada asalnya akan tetapi ia telah dirawat dengan bahan kimia ataupun ia telah dicampur dengan bahan-bahan lain yang menukarnya dari namanya kepada ciri bahan yang diharuskan penggunaannya. Inilah yang dipanggil sebagai proses istihalah (proses perubahan kepada halal) serta mempunyai kesan-kesan yang bermanfaat.

Vaksin kategori ini tidak syak lagi diharuskan penggunaannya. Ini kerana proses transformasi yang berlaku telah mengubah nama dan sifatnya telah mengubah hukumnya lalu boleh untuk digunakan.

Nas dalil yang sama dibahaskan oleh ramai ulamak muktabar lain.

Slide69Apa yang *PALING UTAMA* adalah, Vaksin gunanya demi kepentingan ummah. Tanpa mengenepikan isu syubhah yang bagi sesetengah orang tidak boleh menerima hujah konsep istihalah dan istihlak. Menjaga mashlahah nyawa sebagaimana disebut dalam maqasid syariyyah (Hifz Al Nafs). Ianya juga telah dibahaskan oleh para alim ulamak seluruh dunia dan majoriti mengharuskan pemberian vaksin ini. Penggunaan vaksin dalam program imunisasi bagi mengelak bahaya penyakit-penyakit yang berkenaan adalah diharuskan oleh syarak selaras dengan Kaedah Fiqhiyyah iaitu *درء المفاسد مقدم على جلب المصالح (Menolak Kerosakan Adalah Didahulukan Daripada Mencari Kemaslahatan)* kerana sesuatu kerosakan akan cepat berkembang dan bahayanya adalah lebih besar sekiranya tidak dicegah daripada awal. Asas ini jugalah yang dibahaskan oleh majlis Fatwa kebangsaan, para Mufti dan para azatizah yang lain.

Keharusan ini juga adalah berdasarkan Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah, ayat 195

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

yang bermaksud: ” _Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu kedalam bahaya kebinasaan._”

Dr Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
Fb.com/drsuhazeli
_Insan Faqir_

#ProVaksin #Vaccine4life #MasyarakatKenaTahu #ProVaccine #MedicalMythBustersMalaysia #MedTweetMY

Dialog akhir
“Puan, Takkan lah kalam para alim ulama muktabar pun kita nak sanggah? Kalau ketegak juga, vaksin selain Rubella dan Polio nak cucuk ke tak?”
“Sengih tak terkata”

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...