29 Ramadhan 1437H
Bukit Besi, Dungun
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّه وَبَرَكَاتُه
Kehadapan Dr Rohaidir yang dihormati,
     Selamat berpuasa Ramadhan al mubarak dan beramal ibadah didalamnya sehingga penghujung bulan nanti. Seterusnya menyambut perayaan Aidil Fitri yang menjelang tiba. Maaf zahir batin saya hulurkan. Mungkin tuan Dr tidak mengenali saya dan saya pun tidak pernah bertemu dengan tuan. Tetapi saya nampak profile tuan adalah seorang yang hebat. Bertuah sungguh dapat berkenalan.
Tuan Dr,
 Tulisan Dr Rohaizdir 1    Lewat sehari lepas saya menerima satu tulisan WA yang menjelaskan penyelesaian tuan berkait isu vaksin dan seputar dengannya. Terima kasih atas saranan dan penulisan yang cukup berhemah. Saya membacanya dengan penuh teliti dan minat. Mudah faham butir bicara yang tuan maksudkan itu.
Sahabatku,
     Pernah beberapa kali saya dituduh oleh para penentang saya dalam fb bahawa saya ini sudah jatuh syirik. Tak kurang juga antara mereka yang menuduh saya yahudi hinggakan mereka menubuhkan satu group khas membincangkan hal ini. Tuduhan mereka lagi bahawa kami sudah tidak mempercayai Allah, Tuhan yang menentukan segala untung nasib manusia atas mukabumi ini. “Percaya vaksin lebih dari Tulisan Dr Rohaizdir 2Tuhan. Tidak bertawakkal kepada Allah atas segala penyakit yang menimpa” tambah mereka. Tohmahan sedemikian kami abaikan dan tidak berjidal panjang kerana merugikan masa. Saya buat satu jawapan pendirian konsep tawakkal dalam berubat seperti link rujukan ini [1]. Begitu juga hubungkait pemakanan sunnah dan vaksin [2]. Bagi kami, mereka yang menuduh sedemikian itu masih perlukan penerangan atas kejahilan maklumat yang mereka sendiri dapat melalui google. Kami tidak terkilan.
Yang dihormati Dr,
     Setelah membaca tulisan Dr tempohari, diri ini cukup terasa kerana ada profesional dan agamawan terbilang Tulisan Dr Rohaizdir 3seperti Dr sanggup juga menaruh garam dengan menuduh kami (#ProVaksin #SayaSokongImunisasi) ini golongan MUKTAZILAH. Nauzubillah.
     Saya membelek kembali nota lama SPM mengenai Muktazilah. Terdapat 5 ciri-ciri utama kefahaman Muktaizlah ini. Saya membaca prinsip kelima (al-Amr bi al-Alma’ruf dan Nahy ‘an al-Munkar), ianya berkait rapat dengan taklif hukum fiqh dan kepercayaan atau tauhid, mereka berdakwah kepada orang yang jahil dan sesat serta tanpa segan silu mereka melakukan hukuman bunuh walaupun sesama islam jika orang menyalahi pendirian mereka [3]. Saya termenung seketika. Adakah apa yang kami lakukan ini membunuh orang? Atau gesaan kami ke arah mewajibkan vaksin dari sudut undang-undang dan hukum agama itu semata-mata ingin membunuh kefahaman yang tidak selari dengan pendirian kami?
     Adakah sanggup golongan #ProVaksin #SayaSokongImunisasi seperti kami ini digelar Muktazilah? Nauzubillah min zaalik. Sokongan majoriti dari pembesar negara, pagawai kerajaan, para pakar perubatan. doktor-doktor dan anggota kesihatan lain, para mufti dan agamawan, malah Tuan Guru Hj Abdul hadi dan Tuan Guru Dr Harun Din pun memberi sokongan padu. Adakah layak kita menggelarkan mereka juga turut bersekongkol dengan muktazilah? Saya mohon banyak kemaafan atas teguran ikhlas ini, agar kita perlu sedar apa yang kita tulis dan ucapkan dikhalayak ramai.
Percayalah sahabat,
     Bahawa kami melakukannya atas dasar sayangkan ummah dari terus rosak, ataupun dirosakkan oleh pemikiran yang salah terhadap perubatan. Rujukan mereka tidak berwibawa dan kebanyakan tulisan mereka telah diputar-belitkan demi kepentingan tertentu samada dalam perniagaan yang mereka ceburi atau sebagainya.
     Bagi kami yang berada di sof hadapan kesihatan merasai kebimbangan ini. Sedih dengan ucapan orang yang tak pernah bersengkang mata lihat kes dan rawat kes. Tak pernah berada disituasi cemas membantu pesakit, tidak merasai denyut nadi saat kematian akibat penyakit, senang aje memandang remeh-temeh isu mudarat atau tidak. Sebab apa? Tak kena pada diri sendiri atau kaum keluarga.
     Saya amat bersetuju dengan pandangan Dr Ruzaimi Ramle dalam satu enekdot tulisan beliau:
_”Saya tidak mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan. Allah memerintahkan saya untuk bertanya mereka yang pakar jika ingin mengetahui sesuatu. Maka saya melihat terlalu ramai pakar perubatan mengatakan keperluan dan kepentingan imunisasi untuk bayi. Dalam ilmu hadis, konsep hadis mutawatir itu menjadi pasti betul apabila ramai yang membawa cerita yang sama sehingga pada adatnya mustahil mereka berpakat untuk berdusta. Begitu jugalah dalam isu vaksin ini. Jika benar ia mudarat dan tidak baik, mengapa terlalu ramai yang menyokongnya? Nabi sallallah alaih wasallam mengajar kita untuk kawal wabak dengan tidak masuk ke negara yang dilanda taun dan tidak keluar jika negara sendiri dilanda taun (hadis bukhari)”._
     Ada ketikanya kita bukan mahir segala bidang. Mari saja soalan, semua mahu dijawab. Sesuatu yang saya tak tahu jawapan dan bukan dalam bidang kemahiran saya, saya akan jawab ‘tidak tahu’ atau minta tangguh jawapan sebelum bertanya orang yang ahli mengenai sesuatu isu. Saya mengharapkan para cendikiawan selidik dulu asas perubatan sebelum beri kenyataan.
Untuk maklumat Dr,
     Ramai yang memberi alasan bahawa vaksin ini banyak mendatangkan mudarat berbanding kebaikan. Tahun 2015 dalam negara kita hampir 7 juta dose dan seluruh dunia melebihi 100 juta dose, semuanya selamat. Kami tidak menafikan bahawa ada kesan sampingan. Jika Dr dakwa lebih banyak mudarat, sila buktikan melalui kajian emperikal, bukannya cedok dari website tabloid yg tidak bertanggungjawab. Kejayaan pemberian vaksin harus dilihat secara menyeluruh dengan penurunan secara mendadak kes-kes penyakit berjangkit seperti penyakit Campak (Measles), Polio, Difteria, Cacar (Smallpox) dan beberapa jenis penyakit berjangkit bahaya lain lagi. Penyakit Campak sebagai perbandingannya telah menunjukkan penurunan yang ketara. Dari jumlah kadar insiden 656.5/sejuta populasi (1982) sehingga kadar insiden 2.0/sejuta populasi (2009). Permulaan kempen pemberian vaksin dinegara kita adalah pada tahun 1982 dan jumlah liputan pemberian vaksin meningkat melebihi 80 peratus sehingga sekarang. Ini menunjukkan kejayaan yang besar didalam dunia perubatan moden. Dalam tempoh 14 tahun (2000 – 2014) pemberian vaksin Campak telah menyelamatkan 17.1 juta nyawa kanak-kanak daripada diserang penyakit Campak (measles) seluruh dunia [6].
Organ AEFI     Laporan dari pihak KKM (Tahun 2015) bahawa jumlah AEFI adalah 0.02 dalam 100 dos vaksin. Diperincikan lagi, khusus bagi vaksin wajib ke atas bayi (10 jenis), peratus AEFI adalah 0.0031% (214 kes) dari jumlah total dos vaksin yang diberikan sebanyak 6,945,644 (lebih 6.9 juta dos). Jumlah terlalu amat sedikit. Walaubagaimana pun tindakan dari unit KKM, tidak memandang ringan kes seumpama ini. Setiap pelaporan yang dibuat, diambil siasat dengan serius bermula dari reaksi vaksin, qualiti pembuatan, qualiti pembungkusan, qualiti “cold chain”, kaedah pemberian dan kesan yang timbul. Majoriti (97.9%) dari AEFI tersebut adalah ringan seperti sakit, bengkak, ruam, demam. Semuanya tidak membawa mudarat besar hatta bawa maut atau cacat. Terdapat satu kes yang dilaporkan mati dalam tempoh 24 jam setelah vaksin [5]. Tetapi siasatan mereka mendapati mangsa berkenaan mati bukan akibat vaksin tetapi jangkitan kuman lain yang tidak berkait langsung dengan vaksin. Pembuatan vaksin bukan semudah ternak lembu atau ayam itik belakang rumah. Pembiakan virus sebelum dilemahkan/dimatikan/rekombinan/toksoid perlu melepasi piawaian yg ketat. Diuji akan Quality, safety dan efficacy. Perlu juga melepasi tahap GMP dan 4 fasa kajian klinikal. Baharulah di beri kepada bayi.
Tambahan lagi Dr,
IM Ammar vaksin-2     Terdapat segelintir masyarakat yang menolak vaksin ini beranggapan bahawa suasana tidak mendesak (istilahnya darurat). Itulah alasan yang mereka sentiasa berselindung disebalik ketakutan kepada jarum. Sedarkah kita bahawa sekarang sudah 5 kematian akibat Difteria. sepanjang tahun lepas, terdapat 12 kematian akibat Pertussis. Lihat kenyataan yang dikeluarkan oleh KKM:
“Sehingga 2 Julai 2016, jumlah kes disahkan difteria sebanyak 14 kes. Pecahan kes mengikut negeri adalah Melaka tiga (3) kes dengan Kes Difteria dari DGsatu (1) kematian, Kedah tujuh (7) kes dengan satu (1) kematian dan Sabah empat (4) kes dengan tiga (3) kematian. Kes terbaru adalah kes sporadik (terpencil) dan tiada hubungkait dengan enam (6) kes terdahulu. Manakala Negeri Johor melaporkan satu (1) kes disyaki difteria.” [7]
Adakah ini bukan situasi gawat? Atau nak tunggu 1000 orang mati baru istihar darurat?
Maafkan saya Dr atas warkah di Aidil Fitri yang mulia ini.
*Maaf Zahir dan Batin*
Dr Suhazeli Abdullah
_Insan Dhaif_
30 Ramadhan 1437
5 Julai 2016
Link rujukan
[1] Vaksin bukan menolak tawakkal. http://suhazeli.com/wp/?p=1293
[2] Makanan Sunnah dan Vaksin. http://suhazeli.com/wp/?p=1301
[4] CDC report on 124 million children vaccinated without adverse reaction. http://thesciencepost.com/cdc-releases-124-millionm-page-docuent-of-non-vaccine-injured-children/
[5] AEFI wujud tetapi sering disalaherti. http://suhazeli.com/wp/?p=1345
P/s: Jika naik LPT II, berhati-hati sebab risk kemalangan di LPT II adalah 8 dalam 1000 kenderaan. Jika lepasi Tol Ajil, mai lah singgah raya kat rumah saya.

Save

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Comments

comments

SHARE
Previous articleAEFI Tidak Pernah Dinafikan Sebaliknya Sering DISALAHERTI
Next articleBerkesan atau Tidak Air Kangen?
mm
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com