Muslim vaccineRamai rakan taulan yang mengikuti perkembangan tulisan saya mengenai isu vaksin bertanya tentang dakwaan kesan sampingan yang serius sehingga nak kiamat dibuatnya. Sudah berkali-kali saya sebut dalam penulisan sebelum ini bahawa kami di pihak kedoktoran ini tidak menafikan ada kesan sampingan. Antara yang pernah saya tulis [1]:
“Penentangan yang selalu juga ditimbulkan oleh sesetengah golongan adalah kesan sampingan dari pemberian vaksin (AEFI) dan mendakwa pihak berwajib tidak mengikuti Garis Panduan Farmakovigilan Kebangsaan (GPFK). Seluruh pengamal perubatan tidak menyangkal bahawa setiap bahan asing yang memasuki tubuh, badan kita akan bertindak bagi menyahkan bahan asing itu dari tubuh. Hatta Panadol yang boleh dibeli secara terbuka sekalipun mempunyai kesan sampingan samada sederhana dan serius. Serahkan kepada yang mahir untuk menguruskannya (jika berlaku).”
Slide86“Kebanyakan golongan yang menentang penggunaan vaksin adalah kerana terdapatnya bahan-bahan Alluminium, Merkuri dan logam berat lain. Dakwaan yang menyatakan Garam Aluminium boleh membawa kepada punca penyakit Alzaimer, Dimensia dan sawan adalah tidak benar. Begitu juga dakwaan mengaitkan Thimerosal (merkuri) dalam vaksin MMR penyebab autisma, disangkal dari banyak kajian berwibawa [2]. Rekod kajian saintifik dari tahun 2007 – 2013 (large scale study) dijalankan secara kohort, dari jumlah 113211 kanak² dlm kajian yang diberi vaksin, tiada satupun di kaitkan dengan autism. Insidens autisma timbul juga adalah variasi yang berlaku dalam masyarakat (1 dari 68 tahun 2010) mengalami Autism Spectrum Disorder. Tanpa dikaitkan dgn vaksinasi. Sebagai panduan, Thimerosal telah dibuang dari vaksin hampir sedekad lalu. Walaupun setelah dibuang dalam vaksin, jumlah insidens autisma tetap wujud. Boleh lihat kes yang berlaku di Jepun yang menarik balik vaksin MMR, tetapi jumlah kejadian Autism tetap wujud [3].”
Kita sepatutnya berterima kasih kepada kepekaan pihak berwajib dalam menjalankan tanggungjawab terutamanya dalam isu keselamatan dan keberkesanan vaksin. Ketelusan dalam setiap pelaporan AEFI tidak perlu dipertikaikan. Kementerian Kesihatan mempunyai jabatan khusus dalam menerima, menyiasat dan menangani setiap pelaporan yang dibuat. Mereka bersengkang mata bagi menyelesaikan secara berhemah dan tuntas.
Dari pemerhatian yang diperolehi, kebanyakan aduan yang diterima kesan suntikan adalah kesan psikologi ketakukan mereka terhadap vaksin yang dimomokkan. Sesetengah pemberitaan akhbar juga lebih kepada maklumat yang tidak lengkap dari sebelah pihak yang sudah memang sedia takut. Lantas vaksin dikambing-hitamkan [4]. Selidiklah dulu apa puncanya dari pihak berwibawa. pemberitaan sebegini mejadikan masyarakat ‘sasau-minda’ (havoc).
Terdapat juga sesetengah kesan yang tidak boleh dikaitkan langsung dengan pemberian vaksin. Hasil siasatan menunjukkan bahawa gejala sudah wujud sebelum diberi vaksin atau sudah melepasi tempoh reaksi vaksin. Seperti kes dakwaan anak mereka diserang asma atau dinaiki ruam/ezcema setelah 3 bulan berlalu. Kenapa tidak salahkan bedak atau minyak gamat herba yang disapu pada bayi? Perkara sedemikian tidak boleh dikaitkan secara definit. Malangnya masih menyalahkan vaksin kerana takut dek momokan pihak yang bukan ahli dalam bidang perubatan. Lagi sadis ada yang menuduh vaksin penyebab talasemia dan penyakit keturunan yang seumpamanya. Saya bersimpati dengan apa sahaja kejadian secara kebetulan tersebut. Datanglah ke klinik kami untuk berbincang dan merawat sebaiknya. Pintu klinik sentiasa terbentang luas.
Usaha dan ikhtiar adalah cara bagi orang yang hidup untuk mengubati segala penyakit yang melanda. Seterusnya bertawakkallah. Bukannya menyerah buta kepada takdir dan mengharapkan Tuhan menyebelahi kita tanpa sedikit ikhtiar dari kita apabila ditimpa musibah. Ikhtiar pun perlu mengikuti sunnatullah, sebab-musabbab sesuatu itu boleh terjadi dalam penentuan qudrat iradahNya. Asbab parang tajam adalah memotong (musabbab). Potong lah menggunakan parang tajam yang telah ada pembuktian secara sunatullah. Jika orang kata belakang parang pun boleh memotong, ya mungkin…tetapi berpijaklah dibumi nyata, nanti orang akan tuduh kita g*la buat kerja potong pokok guna belakang parang. Asahlah dulu belakang parang tu seperti kata pepatah “Belakang parang jika di asah, tajam juga akhirnya.”
Bagi kes yang terdapat kesan sampingan biasa sebaik sahaja cucuk vaksin seperti ruam, sakit, bengkak, sawan demam, gatal dan seumpamanya diminta tampil ke pihak kami untuk diurus seoptima mungkin. Sekilas pemerhatian yang saya lalui bahawa kebanyakan dari para ibu bapa yang mengalami kesan sampingan sebaik sahaja bayi diberi vaksin ini adalah, mereka tidak kembali semula kepada doktor untuk rawatan segera. Malah mereka lebih mendapatkan ubatan luar yang tidak dapat dibuktikan keberkesanannya. Ironinya, datang semula ke doktor setelah kesan itu sudah merebak. Pun begitu, prinsip “Treat No Harm” tetap kami jaga. Ikhtiarlah…berubatlah. Tepat seperti yang dikaji secara kohort oleh Tricia dan rakan-rakan; menyatakan bahawa kejadian kesan alahan vaksin hanya terjadi ke atas bayi yang jarang bertemu pakar perubatan [5]. Perangai Mencari Ubat (Health Seeking Behavior) apabila ditimpa masalah kesihatan amat rendah. Mereka lebih merujuk kepada pengubatan yang memparahkan lagi keadaan.
——————-
*Statistik AEFI*
——————-
Organ AEFISaya baca satu laporan dari pihak KKM (Tahun 2015) bahawa jumlah AEFI adalah 0.02 dalam 100 dos vaksin. Diperincikan lagi, khusus bagi vaksin wajib ke atas bayi (10 jenis), peratus AEFI adalah 0.0031% (214 kes) dari jumlah total dos vaksin yang diberikan sebanyak 6,945,644 (lebih 6.9 juta dos). Jumlah terlalu amat sedikit. Walaubagaimana pun tindakan dari unit KKM, tidak memandang ringan kes seumpama ini. Setiap pelaporan yang dibuat, diambil siasat dengan serius bermula dari reaksi vaksin, qualiti pembuatan, qualiti pembungkusan, qualiti “cold chain”, kaedah pemberian dan kesan yang timbul. Majoriti (97.9%) dari AEFI tersebut adalah ringan seperti sakit, bengkak, ruam, demam. Semuanya tidak membawa mudarat besar hatta bawa maut atau cacat. Terdapat satu kes yang dilaporkan mati dalam tempoh 24 jam setelah vaksin. Tetapi siasatan mereka mendapati mangsa berkenaan mati bukan akibat vaksin tetapi jangkitan kuman lain yang tidak berkait langsung dengan vaksin.
———————–
*Statistik Penyakit*
———————–
kes measles 26 jun 16Apa lebih membimbangkan kami adalah jumlah kes penyakit berbahaya semakin meningkat. Jauh lebih serius. Sehingga minggu pertama Jun 2016 (minggu epid 23), sebanyak 66 wabak measles dilaporkan, meningkat antara 4 hingga 5 kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun 2015. Pada tahun 2014, hanya 11 wabak measles dilaporkan dan meningkat kepada 57 wabak pada tahun 2015. Pada tahun 2016, majoriti wabak melibatkan rumah persendirian (42 episod; 63.6%), diikuti oleh institusi (19 episod; 28.8%) dan komuniti (5 episod; 7.6%). Bilangan kes juga meningkat sebanyak 340% (873 kes) berbanding tempoh yang sama pada 2015 (197 kes). Sepanjang tahun 2015, terdapat sebanyak 1,318 kes dengan 2 kematian, manakala belum ada kematian pada 2016 [6]. Begitu juga kes Difteria yang baru sahaja berlaku kematian di kalangan tiga (3) beradik di Melaka dan lapan (8) kes disyaki difteria di Kedah. Sebanyak satu (1) kes yang disahkan difteria di Melaka telah dilaporkan meninggal dunia pada 18 Jun 2016. Manakala satu (1) kes disyaki difteria di Kedah yang berumur dua (2) tahun meninggal dunia pada 22 Jun 2016 pagi. Kedua-dua kes kematian tidak menerima imunisasi difteria yang lengkap dan meninggal dunia kerana komplikasi jangkitan [7].Kes Difteria dari DG
Adakah gejala wabak dan kematian ini tidak menjadi satu titik tolak kepada kita untuk terus berubah demi kesejateraan masyarakat? Jika kita hanya mementing kelompok kita semata-mata kerana takut atau kesan AEFI yang tidak mudarat perpanjangan, bermakna kita “selfish”. Para ulamak pun meletakkan kepentingan ummah ini penting dalam menangani suasana wabak supaya tidak terus merebak dan merobek khalayak ramai.
Sedarlah…wahai insan
Dr Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
Insan Dhaif
fb.com/drsuhazeli
27 JUN 2016
#MedTweetMY #MedicalMythBustersMalaysia #ProVaksin #Vaccine4Life
Rujukan:
[1] Apa yang Doktor perlu beritahu?. http://suhazeli.com/wp/?p=1213
[5] Vaccination and Allergic Disease: A Birth Cohort Study. http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC1448377/
Pesanan: Nak ratib AEFI, AEFI, AEFI pun…elok-elok lah..Lebih baik Zikir ingat Allah 10 malam Akhir Ramadhan ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Comments

comments

SHARE
Previous articleTuan Guru Hj Abdul Hadi Sokong Vaksin
Next articleLembaran Raya Buat Sahabat
mm
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com