image

Tiba sahaja bulan Ramadhan, meriah dalam dunia siber membincangkan hukum hakam berkaitan batal-sah puasa. Semuanya mendatangkan satu perbincangan yang baik bagi memberi penerangan kepada masyarakat umum.

Tidak terkecuali juga yang hangat dibincangkan dalam negara kita berkaitan dengan perkara-perkara yang tidak membatalkan puasa dari sudut perubatan. Maka disebarkan beberapa pandangan dari pelbagai sumber, antaranya Seminar Fekah Perubatan ke 9 yang diadakan di Casablanca, Morroco, 8-11 Safar 1418 bersamaan 14-17 Jun 1997 [1], pandangan dari Ustaz Dr Abdul Basit [2], pandangan dari JAKIM [3], pandangan dari Datuk Dr Zulkifli Al Bakri [4] dan pelbagai lagi [5,6,7].

*Asas Utama yang tiada Khilaf*

Perlu difahami bersama bahawa sebelum sesuatu ubatan atau prosedur dilakukan, sudah tentu para doktor yang mahir menghendaki ubatan/prosedur tersebut diberikan untuk menghapuskan mudarat kepada pesakit. Ianya bukan diberi tanpa alasan kukuh dan sewenangnya. Berdasarkan keahlian dalam bidang beliau, pengalaman yang diperolehi selama ini dan konsensus kaedah pengurusan perubatan, menjadi sesuatu yang mendesak ianya diberikan atau prosedur dijalankan. Dengan makna lain ianya wajib diberikan ubat tersebut atau wajib dijalankan prosedur tersebut, jika tidak, pesakit akan mudarat sakit atau mati. (Boleh baca lanjut kategori sakit bagi pesakit dibulan Ramadhan dalam rujukan berikut [8]). Prosedur tersebut juga boleh memungkinkan kesegeraan tindakan dalam mengesan penyakit dan seterusnya rawatan awal boleh diberikan .

Justeru asas utama dalam keadaan sebegini sudah tidak khilaf – iaitu, pesakit diharuskan *tidak berpuasa*. Ini berdasarkan firman Allah taala:

فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ ۚ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ ۖ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

_”Maka Barangsiapa diantara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), Maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu): memberi makan seorang miskin. Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, Maka itulah yang lebih baik baginya, dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui”._ (QS Al Baqorah 184).

Sekali lagi, asas utamanya adalah *pesakit tidak wajib berpuasa*.

*Pesakit Mendesak untuk terus Berpuasa*

Doktor senantiasa dalam dilema apabila berdepan dengan pesakit yang nekad tidak akan berbuka puasa walau telah dinasihati bahawa sudah tidak menjadi kewajipan kepada pesakit untuk berpuasa. Walaupun ianya khilaf dalam mazhab yang empat, tetapi saya lebih selesa memberikan jawapan *tidak membatalkan puasa* ke atas pemberian ubat atau prosedur. Dengan syarat sesuatu ubat atau ujian itu tidak menghilangkan lapar, dahaga dan/atau memperolehi nikmat nafsu. Justeru pilihan kedua boleh disyorkan kepada pesakit bagi terus untuk berpuasa.

*Kesimpulannya*

Sebenarnya tidak lah hendak saya perdebatkan lebih isu ini. Islam adalah mudah. Jika berjidal banyak, rugi tenaga dan masa.
Asas pertama adalah jika sakit yang boleh mendatangkan mudharat pada diri, nyawa, akal maka tidak menjadi kewajipan pada sesorang itu berpuasa. Jika serangan asthma yang mendesak dia menggunakan ubatan atau prosedur perubatan, maka berbukalah lebih aula. Keluar dari khilaf samada batal atau tidak itu lebih menyenangkan.

Asas kedua, jika pesakit berkeras juga ingin berpuasa, dalam isu ini batallah puasa apabila masuk sesuatu dalam rongga sebagaimana yang dipegang oleh Mazhab Syafie. Namun dalam perubatan saya lebih memilih fiqh taisir (kelonggaran bukan tetap kepada satu pandangan mazhab shj). Saya lebih selesa menyatakan memasukkan sesuatu yang bukan berbentuk makanan atau menyeronokkan nafsu itu tidak batal puasa sebagaimana yang disebut dalam majmak fiqh antarabangsa dan beberapa ulama muktabar kotemporari seperti Yusof Qaradawi dan Syeikh Wahbah Al Zuhaily. Sebagai contoh, dalam majmak fiqh antarabangsa sebut melakukan gastro scope (teropong dalam perut) pun tidak batal. Pesakit boleh diberi pilihan dengan mengambil pandangan dari perbincangan ulama muktabar mengenai isu berkenaan. Sesuai dengan kaedah fekah menyebut, “sesuatu yang sempit perluaskanlah”.

Sekian terima kasih

Rujukan
[1] Perkara yang membatalkan Puasa: http://papisma.org/fekahperubatan/?p=5
[2] Tulisan Dr Abdul Basit: http://www.abuanasmadani.com/puasa-perkara-yang-membatalkannya/
[3] Jakim: http://truthhalal.my/penggunaan-ubat-yang-batal-dan-tidak-membatalkan-puasa/
[4] Tulisan Dr Zulkifli Al Bakri Penggunaan inhaler semasa puasa: http://www.muftiwp.gov.my/v3/index.php/perkhidmatan-s/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-ramadhan/555-hukum-menggunakan-inhaler
[5] Tulisan Dr Ahmad Zakimi: http://sajakongsi.com/19-perkara-yang-tidak-membatalkan-puasa-dalam-bidang-perubatan/
[6] Tulisan Uztaz Lukman: http://www.addeen.my/index.php/rohani/ibadah/item/446-perubatan-moden-dan-kesannya-pada-puasa
[7] Tulisan Dr Zaharuddin: http://zaharuddin.net/senarai-lengkap-artikel/38/595-ramadhan-a-batalkah-puasa-kita-jika.html
[8] Ramadhan bagi pesakit: https://suhazeli.com/wp/?p=1269

Dr Suhazeli Abdullah
_Insan fakir_
Fb.com/drsuhazeli
www.suhazeli.com
10 Ramadhan 1437

Dr Suhazeli Abdullah
_Insan fakir_
Fb.com/drsuhazeli
www.suhazeli.com

10 Ramadhan 1437

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleHukum Si Suami Ceraikan Isteri Kerana Doktor Lelaki Sambut Kelahiran
Next articleHukum Darah, Lendir dan Air Ketuban Sebelum Bersalin
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com