FBSSalam
Kategori: perubatan
Isu: minum air gula untuk ibu mengandung

*Soalan:*
Ibu mengandung yang mengalami penambahan berat badan yg berlebihan sewaktu hamil disuruh untuk meminum air gula bagi memastikan tidak ada penyakit kencing manis…pada bulan ramadhan, apakah hukumnya? Sekiranya ibu tidak rasa ada sebarang masalah (sakit) dan pertambahan berat adalah kerana selera makan bertambah sewaktu mengandung, adakah perlu untuk minum air gula tersebut? Ibu boleh berpuasa dengan baik dan kadar tumbesaran kandungan juga baik, jadi perlukah ibu meninggalkan puasa untuk minum air gula? Dan sekiranya perlu selepas minum air gula, haruskah ibu itu imsak? Atau boleh makan dan minum?

*Jawapan:*
Ujian minum air gula (OGTT-Oral Glucose Tolerance Test) adalah penting sebagai saringan khusus penyakit kencing manis. Ianya dilakukan kepada beberapa kategori golongan berisiko samada hamil atau tidak. Ujian OGTT ini adalah penentu (Gold Standard) samada pesakit tersebut mengidap kencing manis atau sebaliknya.

*Kaedah:* Ibu diminta berpuasa sedari jam 10 malam. Dengan ini paras gula dalam darah di pagi hari (jam 8 pagi) adalah paling minima. Jika melebihi hadnya maka dikira diabetes. Namun sistem badan kita yg Allah jadikan amat hebat kerana insulin akan mengawal keseimbangan gula dalam darah. Kemudian ujian minum air gula dilakukan bagi _challenge_ tindakan insulin dalam badan. Bagi ibu yang berisiko, insulin badan tidak dapat berfungsi dengan baik. Justeru bacaan nya akan melebihi paras. Ia akan di kira sebagai kencing manis semasa mengandung.

*Berikut adalah faktor risiko yang mewajibkan seseorang itu menjalani ujian OGTT:*

a. Berat badan unggul BMI >27 kg/m²
b. Mempunyai sejarah berat bayi sebelum ini lebih 4 kg
c. Sejarah Kencing Manis semasa hamil sebelum ini.
d. Sejarah keluarga kencing manis (1st degree relative)
e. Sejarah kematian bayi yang tiada peyebab sahih.
f. Sejarah kecacatan bayi sebelum ini.
g. Air kencing dikesan mengandungi gula.
h. Terdapat penyakit semasa seperti Darah tinggi, polihidramnios (air ketuban banyak) dan penggunaan steroid. [1]

*Kesan kencing manis semasa hamil*

*Kepada ibu*: akan selalu pengsan dan boleh bawa maut
*Kesan pada janin:* Tumbesaran terbantut, air ketuban banyak, kerosakan tulang belakang janin, kelahiran pra matang, dan boleh membawa kematian bayi dalam kandungan.

*Ujian OGTT semasa Ramadhan*

Jumhur ulama menyatakan bahawa ibu hamil diberi keringanan untuk tidak berpuasa. Hamil itu sendiri meletihkan dan memenatkan bagi sesetengah ibu. Ia dikiaskan dengan orang sakit, di mana orang sakit dibenarkan tidak berpuasa kerana boleh mendatangkan mudarat [2]. Pun begitu ramai ibu hamil meneruskan puasa Ramadhan tanpa kesan yang mebimbangkan.

Masalah yang ditimbulkan di atas adalah ibu hamil dipaksa berbuka kerana ujian penting OGTT ini. Jika ibu hamil tersebut mempunyai risiko seperti yang dinyatakan, ia wajib menjalani ujian ini tanpa ingkar. Masa terbaik ujian OGTT dilakukan adalah semasa minggu kehamilan antara 24 hingga 28 minggu. Justeru atas budi bicara doktor yang merawat ibu hamil untuk mengarahkan ujian dilakukan semasa ramadhan atau tidak.

Bagi saya, akan mengambil langkah menjaga sensitiviti dan hasrat tinggi ibu hamil untuk terus beribadah puasa ini dengan melakukakan ujian sebaik sahaja bulan syawal nanti. Tetapi ianya pula tertakluk kepada kesegeraan ujian tersebut berdasarkan pemerhatian dan pemeriksaan sesorang doktor. Mereka lebih mengetahui pesakit mereka. Terdapat beberapa kaedah sampingan lain boleh digunakan (jika pesakit ingin terus berpuasa) untuk menentukan ibu tersebut mengalami kencing manis atau tidak. Contohnya
(i) mengadakan siri ujian paras gula darah semasa puasa (FBS) atau
(ii) beberapa siri ujian gula darah secara rambang (RBS) atau
(iii) Ujian HbA1c
(iv) Ujian OGTT sebelum sahur

Walaupun ianya bukan *Gold Standard* seperti OGTT, namun sekurang-kurangnya pihak doktor boleh mengambil langkah kawalan awal ini sebelum dilakukan ujian OGTT pada bulan syawal nanti.

Berat badan bertambah secara mendadak semasa hamil, boleh dikaitkan dengan kaedah pemakanan yang berselera atau mungkin juga akibat dari kencing manis. Tetapi ia bukan kesegeraan yang melangsungkan ujian OGTT dijalankan.

Sekian terima kasih

Ramadhan Kareem

Dr Suhazeli Abdullah
_Insan Dhaif_
fb.com/drsuhazeli
www.suhazeli.com

Rujukan
[1] CPG Management of Type 2 Diabetes Mellitus. http://www.acadmed.org.my/index.cfm?&menuid=67
[2] Puasa bagi Pesakit. https://suhazeli.com/wp/?p=1314

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleHukum Berpuasa Ramadhan bagi Wanita Hamil dan Menyusui Bayi
Next articlePowerpoint Ceramah Vaksin Di Putrajaya
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com