Ramadhan adalah bulan mencari kerahmatan, keberkatan dan keampunan dari Nya. Ia terangkum dalam faedah taqwa yang akan diperolehi jika kita berpuasa dengan penuh keimanan dan keinsafan. Semua kaum muslimin tanpa mengira status jantina dan umur berlumba-lumba mengadakan sebanyaknya ibadah bagi meraih taqwa ini. Namun terdapat sebilangan orang yang mempunyai keuzuran tertentu yang tidak membolehkan berpuasa, antaranya ibu hamil dan ibu yang sedang menyusu bayi.

Secara umum hamil tidak mengganggu kesihatan janin samada menyebabkan kecacatan atau membawa kematian. Sebagaimana kajian yang dilakukan oleh Vahid Ziaee dan rakan-rakan, mereka tidak menemui kecacatan mahupun kematian kepada bayi akibat puasa Ramadhan siibu [1].

Pun begitu, berikut disenaraikan beberapa kumpulan ibu hamil yang disarankan oleh pakar perubatan agar tidak berpuasa:

1) Alahan teruk semasa hamil (Severe Morning sickness); ibu-ibu ini sentiasa lemah, mual, muntah dan mengalami dehidrasi/kekurangan air dalam badan. Semasa peringkat ini, ibu-ibu lazimnya kurang mengambil makanan atau minuman, apatah lagi makanan yang berzat.

2) Penyakit kronik seperti kencing manis (diabetes mellitus), darah tinggi, penyakit buah pinggang dan sebagainya. Pesakit-pesakit ini biasanya memerlukan rawatan seperti insulin atau ubat-ubatan lain. Tanpa ubat-ubatan, tumbesaran dan perkembangan bayi di dalam kandungan, serta kesihatan ibu akan turut terjejas

3) Anemia teruk/kekurangan darah semasa mengandung / selepas bersalin. Ibu akan mengalami keletihan yang ketara jika tidak mengambil makanan atau ubatan yang menaikkan hemoglobin darah.

4) Oligohidramnios (air ketuban/mentuban yang sedikit/kering). Ianya beberapa punca, samada punca dari ibu atau dari janin.

5) Pesakit jantung terutama sekali sedang menjalani rawatan intensif. (Kes ibu hamil diserang sakit jantung jarang berlaku).

6) Tumbesaran bayi yang terencat akibat dari sebab yang diketahui atau tidak. Pengesahan dilakukan oleh pakar yang menentukan perkembangan janin tersebut.

7) Mengalami perdarahan semasa mengandung. Ianya darah penyakit atau tanda keguguran.

Bagi ibu-ibu yang sedang menyusu bayi dibulan Ramadhan, juga diberi keringanan untuk tidak berpuasa. Walaubagaimana pun penyelidikan yang telah dijalankan menunjukkan tiada kesan yang signifikan terhadap pengurangan susu ibu semasa berpuasa di bulan Ramadhan. Badan wanita yang menyusukan bayi akan membuat beberapa penyesuaian metabolik semasa berpuasa untuk memastikan agar pengeluaran susu ibu tidak terganggu.

Akan tetapi terdapat wanita hamil atau yang menyusui bayi tidak dapat menahan lapar dan khuatir diri sendiri mahupun bayi mereka terjejas dari sudut kesihatan.

Imam Abu Bakr Ahmad bin Ali al-Razi (Al Jashshosh: Mazhab Hanafi) membuat ulasan dalam isu ini: perlu diperhatikan bahwa wanita hamil dan menyusui boleh tidak berpuasa jika memang ia merasa kepayahan, kesulitan, takut membahayakan dirinya atau anaknya. Beliau menambah, “Jika wanita hamil dan menyusui berpuasa, lalu dapat membahayakan diri, anak atau keduanya, maka pada keadaan ini lebih baik bagi keduanya untuk tidak berpuasa dan terlarang bagi keduanya untuk berpuasa. Akan tetapi, jika tidak membawa bahaya apa-apa pada diri dan anak, maka lebih baik ia berpuasa, dan pada keadaan ini tidak boleh ia tidak berpuasa.” [2]

*IMPLIKASI HUKUM*
Keringanan diberikan kepada ibu hamil dan menyusui bayi untuk tidak berpuasa. Ianya terbahagi kepada tiga keadaan:
1) Wanita hamil/menyusu *khuatir* terhadap kesihatan janin/bayi, contohnya khuatir bayi tidak membesar atau kurangnya susu menyebabkan bayinya lapar kerana dia berpuasa; seterusnya khuatir memberi kesan kepada pembesaran dan kesihatan bayi.
2) Wanita hamil atau menyusui bayi tidak berpuasa kerana khuwatir lemah badan kerana berpuasa semata-mata tanpa memikirkan keadaan janin dalam kandungan atau bayi yang sedang disusuinya.
3) Wanita hamil atau menyusui bayi khuatir akan keselamatan dan kesihatan bayi sahaja, tanpa memikirkan kesihatan diri sendiri.

Ketiga-tiganya boleh baginya untuk tidak berpuasa, dan hal ini tidak ada perselisihan di antara para ulama. Dalil yang menunjukkan hal ini adalah sabda Nabi SAW,

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَضَعَ عَنِ الْمُسَافِرِ شَطْرَ الصَّلاَةِ وَعَنِ الْمُسَافِرِ وَالْحَامِلِ وَالْمُرْضِعِ الصَّوْمَ أَوِ الصِّيَامَ

_“Sesungguhnya Allah ‘azza wa jalla meringankan setengah solat untuk musafir dan meringankan puasa bagi musafir, wanita hamil dan menyusui.”_ [3]

Wanita hamil atau susu badan boleh berbuka puasa atau tidak berpuasa wajib jika khuatir mudharat diri sendiri atau kandungan atau bayi yang disusu. Kekhuatiran tersebut diakui jika bersandarkan kepada sangkaan yang kuat melalui pengalaman yang sebelumnya atau melalui nasihat seorang ahli perubatan muslim yang berkepakaran dan adil. Apabila wanita tersebut meyakini atau bersangka sangkaan yang kuat, dia akan mendapat mudharat jika dia berpuasa, maka haramlah ke atasnya berpuasa [4].

*Cuma perbincangan ulama timbul samada wanita berkenaan menggantikan puasa (qodo’) dan bayar fidyah atau hanya menggantikan puasa sahaja. Terdapat 3 pandangan:*

(i) Apabila wanita tersebut tidak berpuasa kerana khuatir keselamatan dirinya maka dia *wajib mengqodo’* puasanya menurut mazhab empat. Tetapi *tidak wajib dia membayar fidyah*.

(ii) Jika sekiranya dia khuatir keselamatan dirinya dan anaknya, dia
– *wajib qodo’* dan *membayar fidyah* menurut mazhab Syafei dan Hambali.
– *wajib qodo’* dan *fidyah* ke atas wanita hamil, manakala wanita yang menyusu hanya *wajib qodo tanpa kaffarah* menurut mazhab Maliki.
– *hanya wajib qodo’* menurut mazhab Hanafi.

(iii) Jika sekiranya dikhuatiri keselamatan bayi sahaja, *wajib ke atasnya qodo’ dan fidyah menurut jumhur*. Mazhab Hanafi berpendapat wanita tersebut *hanya wajib qodo’*.

Wallahu’lam.
Rujukan
[1] Kesan Puasa Ramadahan Semasa Hamil: http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3446023/
[2] Ahkamul Qur’an, Al Jashshosh, 1/223
[3] Hadis riwayat An Nasai no. 2275, Ibnu Majah no. 1667, dan Ahmad 4/347. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadits ini hasan shahih.
[4] Soal jawab bersama Ustaz Ahmad Tarmizi Taha
….

Rijal Al Brangi
_Banjaran Titiwangsa_
4 Jun 2016

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleHukum Membaca Al Quran Pada Air
Next articleIsu Minum Air Gula (OGTT) Semasa Bulan Ramadhan
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com