image

Menjadi perbincangan umum berkaitan dengan langkah Kementerian Kesihatan Malaysia menukar kaedah pemberian vaksin Polio dari jenis oral (titik dalam mulut- OPV) ke jenis suntikan (IPV). Ramai yang menuduh pihak KKM tidak bertanggungjawab dan sengaja terus memberi vaksin jenis oral (OPV) kerana elakkan pembaziran.

Inilah menjadi masalah dalam masyarakat yang kononnya terdapat tulisan ingin menyedarkan kepunahan vaksin, tetapi diputar oleh mereka jua yang berkepentingan dan tegar menetang vaksin. Sedangkan mereka tidak tahu apa isu disebalik pertukaran tersebut. Pihak berwajib bukan semberono melakukan pertukaran. Malah persidangan, mesyuarat dalam dan luar negara sehingga membuahkan polisi tertentu bagi membasmi sepenuhnya Polio menjelang 2018 (seluruh dunia). Sudah tentu pertukaran tersebut dibuat kerana kepentingan masyarakat kepada keadaan yang lebih baik. Penggunaan vaksin Polio secara oral (OPV) sudah digunakan sejak sekian lama dan terbukti mengurangkan kejadian Polio seluruh dunia. Negara Malaysia sudah tiada kes baru Polio sejak tahun 2000 lagi. Ini adalah hasil dari kejayaan vaksin oral Polio. Tempoh 10 tahun lalu 10 billion dos OPV telah diberikan kepada lebih 2.5 billion bayi seluruh dunia. Ianya telah mencegah lebih dari 10 juta kes Polio dalam masa tersebut. Terkini, hanya tinggal kurang dari 125 kes seluruh dunia. Negara Afghanistan dan Pakistan masih lagi menjadi wabak kerana majoriti kes tersebut adalah dari 2 negara tersebut [1]. Puncanya adalah liputan vaksinasi Polio di Afghanistan dan Pakistan tidak mencecah 50%. Hujah yang mereka doktrinkan adalah agenda yahudi dan bahan haram dalam vaksin. Sadis!

Apa yang berlaku adalah, hasil dari statistik dan penyelidikan teliti pihak yang berwajib, didapati OPV telah berlaku Vaccine Associated Paralytic Polio (VAPP) dan  Vaccine Derived Poliovirus (VDPV) [2].
*VAPP* : Terdapat strain virus Polio yang berlaku perubahan genetik sebaik sahaja masuk dalam usus. Terjadi kepada golongan yang menerima OPV satu dos sahaja atau kepada bayi yang tidak diberi vaksin atau kepada golongan yang tidak diberi atas alasan perubatan (immuno-compromised). Jumlahnya terlalu kecil, 1 kes dalam 2.7 juta dos yang diberikan. Risiko VAPP ini akan semakin rendah jika dos kedua diberikan kerana melalui dos pertama, badan akan membentuk sistem imun. Risiko di negara membangun makin tinggi kerana liputan pemberian vaksin yang rendah, menyebabkan kemasukan virus polio liar akan terjadi. VAPP ini tidak akan berjangkit dengan orang lain.

*VDPV* : Suatu keadaan yang amat jarang berlaku, virus polio akan berubah dari segi genetik mengakibatkan badan menjadi lemah. Namun, kajian dan cerapan statistik dari 10 tahun lalu mencatatkan hanya terdapat 24 kes dari 21 buah negara seluruh dunia yang mengalami keadaan VDPV ini. Jumlah yang amat sedikit berbanding dengan penyakit lumpuh akibat polio sebanyak 750 kes dalam tempoh yang sama.

Terdapat segelintir ibubapa yang mendakwa anak mereka atau jiran mereka mengalami tanda-tanda VAPP/VDPV ini. Terdapat satu keadaan di mana bayi akan mengalami lemah dan seakan-akan lumpuh pada situasi tertentu yang tidak dikenal pasti secara jelas. Ianya bukan berpunca dari pemberian vaksin Polio secara oral. Dapatan ini diselidik oleh Prof Hussin Imam (Pakar Perunding Pediatrik Neurologi) dan rakan-rakan mendapati tiada satupun kes kanak-kanak lumpuh/lemah anggota badan (Acute Flaccid Paralysis) berpunca dari kuman Polio liar ini [3]. Sehingga kini tiada satu pun kes VAPP/VDPV yang sah dilaporkan di negara kita.

Langkah tuntas telah dijalankan oleh pihak berwajib dengan mengadakan polisi membendung resiko berlakunya VAPP dan VDPV ini. Ini kerana kemungkinan virus Polio Liar akan terjadi kerana
i) Liputan rendah pemberian imnunisasi dalam sesatu lokaliti. Justeru usaha pemberian vaksin perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa bagi mengelakkan transmisi jangkitan.
ii) Virus liar ini berkecenderungan merebak dari negara-negara yang mengalami wabak. Apabila berlaku wabak, bayi yang sudah divaksin pun berisiko dijangkiti. Apatah lagi yang tidak divaksinkan lagi tinggi risikonya.

Berita gembira bahawa virus Polio Liar sudah dikekang dan pupus sejak 1999 lagi. Tambahan lagi, sekarang ini penggunaan OPV yang bebas virus liar Polio digunakan dan polisi penukaran dari OPV (kaedah oral) ke IPV (kaedah suntikan yang mengandungi Polio yang dimatikan).

Rujukan:
[1] WHO Factsheet. Poliomyelitis. Update April 2016. http://www.who.int/mediacentre/factsheets/fs114/en/
[2] WHO Factsheet. Vaccine associated paralytic polio (VAPP) and vaccine derived poliovirus (VDPV). http://www.who.int/immunization/diseases/poliomyelitis/endgame_objective2/oral_polio_vaccine/VAPPandcVDPVFactSheet-Feb2015.pdf
[3] Prof Hussin Imam. Five-year surveillance of acute flaccid paralysis in Malaysia. http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/15009577

Dr Suhazeli Abdullah
Insan yang dhaif
F: fb.com/drsuhazeli
W: www.suhazeli.com

*Siapa pening baca artikel ni, terima ajelah apa yang saya tulis tu. Memang tulisan terlalu teknikal semacam nota kursus pelajar perubatan tahun 5. Tapi saya tulis juga kerana menjawab segolongan orang yang ingin belajar jadi “doktor” tanpa masuk universiti. Cukup sekadar belajar dari media sosial dan boleh dakwa lebih dari doktor pakar. hushhh sembang!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Comments

comments

SHARE
Previous articleAdakah Vaksin Menolak Tawakkal?
Next articlePemakanan Sunnah dan Vaksin
mm
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com