image

Seorang ibu mengemukakan pendapat kepada saya bahawa pengambilan vaksin itu menolak konsep tawakkal kepada Allah.

Sekali imbas ada benarnya. Ditambah lagi bahawa proses tahnik bayi, susu ibu dan pemakanan sunnah itu sudah cukup sebagai ‘vaksin’ mencegah penyakit.

Saya hormati pegangan sedemikian. Saya pun muslim dan mengamalkan sunnah tanpa ingkar. Malah dalam setiap konsultasi pesakit, perkara awal yang disebut adalah Therapeutic Life Changes (TLC). Bersenam, menjaga pemakanan, kurangkan berat badan dan jauhi stres sudah menjadi isi dan kulit dalam nasihat kami secara kolektif. Disusuli dengan ubat atau prosedur, kemudian bertawakkallah. Tawakkal tidak berdiri sendirian tanpa ikhtiar. Sebagai orang awam, kita tidak dikurniakan mukjizat, karamah atau irhasy. Sesuatu yang diluar dari lingkungan keistimewaan tersebut bagi orang awam adalah menyalahi adat.

Rasulullah SAW menegur secara bijaksana terhadap seorang badwi yang memahami konsep tawakal dengan hanya berserah sahaja kepada Allah SWT tanpa sebarang ikhtiar. Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Anas bin Malik:
Suatu ketika seorang lelaki datang berjumpa Rasulullah SAW sambil meninggalkan unta tungganganya, seraya berkata, ” Aku lepaskan untaku dan aku bertawakal.” Maka Nabi menjawab,
“Ikatlah untamu dan bertawakallah kau.”

Ikat unta itu mestilah dengan tali sengkang unta yang kukuh, bukannya tali pelepah pisang! Tidak kuat dan kukuh. Sedangkan sebelum bertawakkal perlulah dijalankan ikhtiar sekukuhnya. Kaedah fekah menyebut, yang lemah/tidak kuat hujah/keraguan fakta itu terhapus setelah datangnya sesuatu yang lebih yakin/sahih.

Adakah kita masih kurang keyakinan akan manfaat yang diperolehi melalui ikhtiar vaksin ini? Dalam catatan sejarah perubatan, lebih 6 bilion bayi telah divaksinkan dan lebih 124 juta laporan perubatan yang berwibawa ditulis menyatakan vaksin selamat [1].

Saya kesian kepada segelintir dari pembaca ruang maya kerana mereka termakan dengan pemikiran beberapa golongan yang tidak bertanggungjawab dengan membesarkan isu keselamatan vaksin ini. Sesungguhnya pemikiran ini boleh membuahkan pegangan yang mungkin akan memunahkan zuriat sendiri. Mereka terlalu mementingkan diri sendiri tanpa melihat kemashlahatan orang ramai. Pemikiran yang sedemikian boleh membuka ruang merebaknya penyakit jika liputan imunisasi tidak optima.

Dr Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
19 Mei 2016
Melaka: Sempena Hari Sambutan Doktor keluarga Sedunia 2016

RUJUKAN
[1] CDC report on 124 million pages reported vaccination were safe. http://thesciencepost.com/cdc-releases-124-millionm-page-docuent-of-non-vaccine-injured-children/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleAnak Kambing Tiada DNA Manusia
Next articleVaksin Oral Polio Terbukti Selamat
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com