imagePutus Haid (Menopause) adalah satu keadaan di mana ketiadaan perdarahan haid secara kekal bagi seorang wanita . Ia adalah proses fisiologi badan yang berlaku bagi seseorang wanita apabila sampai umur yang tertentu. Setiap wanita yang mempunyai sistem peranakan akan mengalami menopos ini setelah hormon subur dan telur dalam ovari sudah berkurangan.

Majoriti pakar perubatan mendefinisikan putus haid/menopos adalah dimana seseorang wanita yang tiada haid secara bulanan selama *lebih dari setahun*.
Terdapat keadaan dimana wanita yang hampir putus haid akan mengalami tanda-tanda menopos seperti panas badan, sakit sendi, berpeluh malam, sukar tidur dan fikiran gelisah. Tanda-tanda ini boleh menjangkau beberapa bulan – 4 tahun sehingga betul-betul putus kitaran haid. Pengesahan secara makmalnya apabila paras salah satu dari hormon regulasi kilang telur (FSH) wanita meningkat tinggi. Hormon tersebut diberi nama Follicular Stimulating Hormone (FSH). Manakala hormon kesuburan terutama hormon Estrogen (17B-Estradiol) turun [1].

*_Umur Putus Haid_*
Kajian telah dijalankan bagi melihat bilakah umur yang biasanya seseorang wanita putus haid. Jadual dibawah menunjukkan umur kebanyakan wanita putus haid. Peratus ini hasil dari kajian ke atas wanita dipelbagai benua dan geografi.
*_Umur Putus Haid (% wanita)_*
~35—40 tahun (11.87%)
~40—45 tahun (25.97%)
~45—50 tahun (41.03%)
~50—55 tahun (14.58%)
~sebelum 35 atau selepas 55 tahun (6.54%)

Bagi wanita yang putus haid kurang dari 40 tahun diistilahkan sebagai Putus Haid Pra-matang (Premature Menopause)

Dari pembahagian di atas, majoriti umur putus haid bagi seseorang wanita adalah diantara 45 hingga 55 tahun. Tetapi median umur (Kebanyakan) putus haid adalah 52.4 tahun. Tidak dinafikan bahawa umur ini bergantung kepada faktor persekitaran dan iklim, sistem tubuh badan dan keturunan seseorang wanita berkenaan.

Hormon FSH dan LH dirembeskan dari kelenjar Pituitari yang terletak dalam rongga otak kepala. Rembesan ini pula bergantung kepada signal negatif yang diperolehi dari Hormon Progesteron dan Estrogen yang dirembeskan dari kilang telur itu sendiri. Maksudnya jika telur tidak disenyawakan, tiada percambahan benih yang melekat pada dinding peranakan, hormon progesteron dan estrogen akan menurun secara mendadak. Menyebabkan signal akan dihantar ke kilang Pituitari untuk merembeskan FSH dan LH bagi kitaran pembentukan telur (ovum) yang kedua bagi bulan berikutnya. Semasa penurunan progesterone dan estrogen mendadak inilah dinding peranakan yang subur tadi berdarah yang kita namakan darah haid. Tujuan perdarahan tadi adalah supaya penyediaan untuk pembinaan ‘tapak’ baru bagi kitaran bulan yang berikutnya. Indahnya kejadian Allah Taala bagi manusia yang berfikir!

Seumur hidup seseorang wanita berupaya mengeluarkan telur sebanyak 400 ribu biji. Pengeluaran ini bergantung terus kepada hormon yang dinyatakan di atas. Proses pengeluaran ini agak kompleks dan hanya Allah SWT sahaja mengetahui secara mendalam. Walaubagaimanapun tidak semua telur akan mencapai tahap kematangan dan disenyawakan. Kajian menyatakan hanya 400 telur sahaja matang dan dikeluarkan untuk persenyawaan. Dalam satu kitaran, hanya satu telur sahaja akan matang dan dikeluarkan untuk persenyawaan. Telur yang masih berbaki, yang dalam proses kematangan akan terhenti tumbesaran setelah hormon-hormon di atas berkurangan. Ada kedapatan telur yang belum matang tadi akan matang pada kitaran yang berikutnya, dan ada di antaranya akan terbantut terus.

Pada satu masa tertentu, darah haid akan terputus setelah kitaran fisiologi ini tiada. Dengan kata lain bahawa telur wanita kebanyakannya akan habis dan sistem regulasi ini terrencat sekitar umur 45 – 55 tahun. Perdarahan selepas putus haid tidak dikira sebagai haid. Ia kemungkinan akibat dari penyakit tertentu yang boleh menyebabkan perdarahan.

Wanita mempunyai sekurang-kurangnya empat hormon penting bagi mengimbangi kitaran bulanan haid mereka. Hormon tersebut adalah Follicular Stimulating Hormon (FSH), Leutinizing Hormon (LH), Progesterone dan Estrogen. FSH dan LH berfungsi untuk membina telur *_(ovum)_* yang terdapat dalam kilang telur *_(ovari)_* membesar dengan subur dan matang sebelum ia pecah untuk disenyawakan oleh *_sperma lelaki_*. Progesteron dan Estrogen pula berfungsi untuk membina dinding peranakan wanita, subur untuk perletakan benih yang telah disenyawakan. Untuk pengetahuan bersama, hormon Progesteron dan Estrogen ini juga penting untuk menjaga keseimbangan fizikal dan mental seseorang wanita. Kulit wanita akan kelihatan cantik dan gebu akibat dari hormon Progesteron dan Estrogen. Begitu juga dangan emosi seseorang wanita dipengaruhi oleh hormon ini.

Apa yang terjadi semasa proses menopos (putus haid) ialah, telur-telur tadi sudah berkurangan dan ada yang tidak mencapai tahap kematangan untuk dikeluarkan dari kilang telur. Ini mengakibatkan kitaran haid bagi seorang wanita yang hampir putus haid tidak menentu. Pada masa yang sama hormon-hormon FSH, LH, Progesteron dan Estrogen juga akan mengalami gangguan perembesan. Pada saat inilah wanita akan mengalami beberapa kecelaruan seperti cepat marah, sukar untuk tidur, sentiasa merasakan panas badan, sakit urat sendi dan nafsu berkurangan . Fenomena ini akan berlaku pada setiap wanita dan ia bergantung kepada tahap ketahanan badan masing-masing. Wanita yang tidak dapat mengatasi perubahan kehidupan ini diberi pilihan untuk mengambil pil yang dinamakan Terapi Hormon Gantian (Hormon Replacement Therapy) .

Sesetengah wanita akan mengalami kecelaruan ini sehingga bertahun-tahun dan sebahagian darinya akan mengalami beberapa bulan sahaja. Fenomena ini dikenali sebagai tanda-tanda menopos. Malah ada di antara mereka tidak akan merasai perubahan ini secara ketara. Apa yang pasti adalah mereka akan mengalami gangguan kitaran haid dan akhirnya haid akan terhenti.

*_Perdarahan selepas Putus Haid (Menopos)_*?
Persoalan timbul, adakah wanita yang disahkan putus haid ini akan kembali haid semula? Ianya sesuatu yang agak mustahil kerana fisiologi seorang wanita yang subur sudah tiada kerana proses penuaan.

Terdapat dua pandangan dalam ilmu perubatan mengenai tempoh masa yang mengesahkan bahawa seseorang wanita telah putus haid. Pendapat yang pertama adalah enam bulan dan pendapat kedua adalah selepas satu tahun dari haid yang terakhir.

Saya mengambil pendapat kedua kerana keyakinan yang tinggi bahawa kilang telur wanita akan mengalami kepupusan telur dalam tempoh tersebut. Ia juga suatu tempoh yang cukup selesa beserta dengan beberapa tanda fizikal dan mental yang akan dialami oleh seseorang wanita.

Dalam keadaan biasa seseorang wanita berusia yang telah putus haid tidak akan mengalami haid kali kedua dalam hidupnya. Kajian menyatakan hanya 5% wanita akan mengalami perdarahan yang seakan-akan haid setelah putus haid. Jika seseorang wanita yang telah putus haid mengalami perdarahan, ia dikira darah penyakit dan perlu diketahui punca-puncanya melalui siasatan lanjut. Perdarahan ini biasanya tidak tetap hari dan tidak mengikut kitaran bulan yang biasa. Ada kalanya darah yang keluar sedikit dan ada yang banyak sehingga memudaratkan. Darah penyakit ini berpunca dari beberapa sebab seperti dibawah:
1. Masalah pembekuan darah seperti hemophilia atau jangkitan virus.
2. Wanita yang mengambil pil hormon atau ubat tradisional tertentu.
3. Pengencutan vagina (Vagina Atropy) dan senang terluka apbila bersama.
4. Pembengkakan rahim (Radang)
5. Barah Rahim, pangkal rahim atau barah Ovari (Kilang Telur)
6. Terdapat ketulan (polyps) di dalam rahim atau pangkal rahim.

Perkara yang paling membimbangkan para pakar perubatan mengenai masalah perdarahan selepas putus haid ini adalah *Barah Rahim*. Lima hingga 10% perdarahan selepas putus haid adalah berpunca dari Barah Rahim. Kajian perlu dijalankan oleh pakar perubatan bagi mengetahui Barah Rahim ini. Antara ujian ringkas yang boleh dijalankan adalah dengan kaedah *Ultra Sound* sistem Peranakan dan melakukan pensampelan peranakan wanita. Melalui kaedah ini pakar perubatan dapat mengetahui secara asas masalah yang dihadapi oleh seseorang wanita.

*_Hamil selepas Putus Haid_*
Haid boleh terus berlaku jika wanita mengambil hormon gantian (Hormon replacement therapy). Tetapi kilang telur sudah tidak mengeluarkan telur pada masa ini. Hanya hormon bantuan dari luar tersebut yang menggantikan kitaran hormon subur yang sudah tiada tadi. Wanita yang mengambil pil hormon gantian (HRT) ini tidak akan hamil secara fisiologi. Mereka yang mengambil HRT ini boleh hamil dengan syarat:
i) Dibekalkan secara terus HRT sehingga menyerupai wanita subur.
ii) Melakukan persenyawaan berhadas antara Telur wanita (ovum- melalui derma ovum) dan sperma lelaki. Kaedah ini diberi nama *_In Vitro Fertilization (IVF)_*.
iii) dilakukan dalam kawalan dan pengawasan pakar bagi memastikan sistem peranakan dan tubuh badan berada dalam keadaan yang optima bagi kehamilan yang bakal ditempuhi.

image

Dalam sejarah perubatan, wanita bernama _Maria del Carmen Bousada de Lara_ berumur 67 tahun (66 tahun 358 hari) berjaya melahirkan anak kembar manakala _Adriana Iliescu_ 66 tahun, berjaya lahirkan bayi perempuan tahun 2005. Kedua-duanya dapat hamil dengan menggunakan kaedah IVF. Sementara itu tahun 1997, seorang ibu bernama _Dawn Brooke_ (UK); berjaya hamil dengan memakan pil estrogen semasa berumur 59 tahun. Terbaru, seorang wanita 70 tahun dari India bernama _Daljinder Kaur_ berjaya hamil dengan menggunakan kaedah IVF. Ianya boleh dilakukan dengan bantuan seperti yang dimaksudkan itu. Namun secara fisiologi, ia amat sukar dan mustahil.

*_Pandangan Ulama dan Implikasi Hukum_*
Timbul beberapa hukum fekah yang berkaitan dengan perdarahan yang berlaku selepas putus haid. Penelitian ulama dalam masalah ini perlu dipertajamkan lagi bagi mencari penyelesain masalah ini.

Para ulamak berbeza pendapat mengenai umur wanita yang putus haid ini. Berdasarkan kajian dan pemerhatian semasa pada waktu itu, Ad-darimi menyimpulkan bahawa bilamana sesorang wanita didatangi darah samada berumur belum mencapai 9 tahun atau di atas 50 tahun, ia bererti darah haid juga.

Pendapat Imam Syafie pula menyatakan bahawa tiada tempoh usia wanita putus haid. Pendapat ini mungkin berdasarkan uruf semasa pada ketika itu atau mengambil bukti sirah isteri Nabi Ibrahim AS yang masih boleh melahirkan anak (Nabi Allah Ismail) walaupun sudah lanjut usia. (Pen: Mukjizat yang dikurniakan oleh Allah kepada Nabi Ibrahim AS).

Walaubagaimanpun pendapat Imam Hanafi, Hambali dan Maliki berbeza, dan menentukan tempoh usia wanita putus haid. Sedangkan jarak perbezaan zaman pada ketika itu tidaklah terlampau jauh. Semoga Allah merahmati mereka semua dalam menyatakan pandangan dan pendapat.

Tulisan ini pula bukan ingin menyanggah apa yang telah dinyatakan oleh para ulamak, tetapi ingin menyatakan beberapa pandangan terkini berdasarkan bukti-bukti kajian ilmiah mengenai wanita yang putus haid.

Saya lebih mengambil pandangan bahawa darah selepas putus haid adalah *sejenis darah penyakit (istihadah)*. Kecualilah ianya dibuktikan sebaliknya (melalui ujian klinikal). Justeru segala hukum ibadah atas wanita akan tertakluk kepada hukum istihadhah.

Sekian

” _Semoga bermanfaat_ ”

Dr Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
12.5.2016
Fb.com/drsuhazeli
www.suhazeli.com

_Mohon maaf bahasa medik, sukar disampaikan dalam bahasa fusahah BM_

Rujukan

  1. Menopause. Dicapai melalui http://emedicine.medscape.com/article/264088-overviewMarie Carmichael Stopes.
  2. Change Of Life in Men And Women. Dicapai Melalui Http://Www.Geocities.Com/Menobeyond/Age.Html#1 Pada 10-Nov-08
  3. Muhammad bin Shaleh Al-‘Uthaimin. Usia dan Masa Haid. Darah Kebiasaan Wanita. Islamic Propogation Office in Rabwah, Riyadh.
  4. The Reproductive System di perolehi dalam talian http://library.thinkquest.org/2935/Natures_Best/Nat_Best_Low_Level/Reproductive_page.L.html#female_repro pada Tuesday, November 11, 2008
  5. Berbagai Ukuran Seputar Seks dan Organ Reproduksi. Di capai melalui http://www.hanyalelaki.com/mod.php?mod=publisher&op=viewarticle&artid=140 pada 13 November 2008Menopause.
  6. Dicapai melalui http://menopause.emedtv.com/menopause/menopause.html pada November 14, 2008Menopause.
  7. Dicapai melalui http://www.healthywomen.org/healthtopics/menopause pada November 14, 2008
  8. Postmenopausal Bleeding. http://www.patient.co.uk/showdoc/40024599/
  9. KATHLEEN A. ORIEL, SARINA SCHRAGER. Abnormal Uterine Bleeding. Dicapai melalui http://www.aafp.org/afp/991001ap/1371.html
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleDaun Rerama, Keladi Tikus, Durian Belanda Rawat Kanser?
Next articleAnak Kambing Tiada DNA Manusia
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com