image

Ramadhan akan menjelang tiba dalam tempoh terdekat. Islam mewajibkan umatnya berpuasa sebagaimana yang dinyatakan oleh ALlah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ.  أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ ۚ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ ۚ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ ۖ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

_”Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. (Iaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka Barangsiapa diantara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), Maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu): memberi makan seorang miskin. Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, Maka itulah yang lebih baik baginya, dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui”._ (QS Al Baqorah 183-184)

Sebahagian dari umat Islam mempunyai penyakit-penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis, sakit jantung dan sebagainya. Apakah mereka diwajibkan berpuasa atau sebaliknya? Sepertimana ayat yang dinyatakan di atas, “….barangsiapa diantara kamu yang sakit…”, menunjukkan terdapat kelonggaran bagi orang tertentu untuk tidak berpuasa.

Timbul persoalan disini, kategori sakit bagaimanakah yang mendesak kepada pesakit tersebut tidak boleh berpuasa?

*Puasa bagi orang sakit*

Sakit membawa maksud keadaan diri yang tidak memungkinkan berfungsi secara normal samada terdapat kesakitan fizikal ataupun mental. Para ulama telah sepakat membenarkan orang sakit untuk tidak berpuasa secara umum. Wajib menggantikan semula  puasanya (Qhoda’ di hari lain) setelah sembuh. Dalilnya seperti firman Allah Ta’ala dalam surah Al Baqorah di atas.

Terdapat 4 kategori sakit. [1]

1) Sakit ringan dan tidak berpengaruh apa-apa jika tetap berpuasa.
Seperti pening kepada yang ringan, penyakit kurap gatal, kaki kena makan air dan sebagainya. Puasa wajib diteruskan.
2) Sakitnya biasa tetapi bertambah parah atau akan menjadi lama sembuhnya (Penyakit kronik) dan menjadi berat jika berpuasa, namun hal ini tidak membahayakan. Kategori ini dianjurkan untuk tidak berpuasa dan dimakruhkan jika tetap ingin berpuasa.
3) Sakit yang boleh menyusahkan dirinya untuk hidup atau membawa kematian jika berpuasa. Kategori ini diharamkan untuk berpuasa. Setelah sembuh dari sakitnya, wajib diganti puasa itu.
Hal ini berdasarkan firman Allah Ta’ala,

وَلا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ

_”Dan janganlah kamu membunuh dirimu.”_ (QS. An Nisa’: 29)

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

_“Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.”_ (QS. Al Baqarah: 185)

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

_“Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan.”_ (QS. Al Hajj: 78)

وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ

_“Jika aku memerintahkan kalian untuk melakukan suatu perkara, maka lakukanlah semampu kalian.”_ (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) [2]

4) Puasa bagi orang tua/lemah atau sakit yang tiada harapan sembuh

i) Para ulama sepakat bahwa orang tua yang tidak mampu berpuasa, boleh baginya untuk tidak berpuasa dan tidak ada qodho’ baginya. Majoriti ulama, cukup bagi mereka untuk memberi fidyah yaitu memberi makan kepada orang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan. Pendapat majoriti ulama inilah yang lebih kuat. Hal ini berdasarkan firman Allah Ta’ala,

وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ

_“Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (yaitu): memberi makan seorang miskin.”_ (QS. Al Baqarah: 184)

ii) Begitu pula orang sakit yang tiada harapan sembuh, disamakan dengan orang tua renta yang tidak mampu melakukan puasa sehingga dia diharuskan mengeluarkan fidyah (memberi makan kepada orang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan).

Ibnu Qudamah mengatakan, _“Orang sakit yang tidak diharapkan lagi kesembuhannya, maka dia boleh tidak berpuasa dan diganti dengan memberi makan kepada orang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan. Kerena orang seperti ini disamakan dengan orang yang sudah tua.”_ [3]

Rujukan:
[1] Lihat Shahih Fiqh Sunnah, 2/118-120.
[2] HR. Bukhari no. 7288 dan Muslim no. 1337, dari Abu Hurairah.
[3] Al Mughni, 4/396.

Dr Suhazeli Abdullah
8.5.2015

F: fb.com/drsuhazeli 
T: twitter.com/suhazeli
W: www.suhazeli.com

_Whatsapp Friendly Version (WFV)_

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleMimpi Ular Tanda Sihir?
Next articleIsu Ubat Tiada Logo Halal JAKIM
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com