image

CAIRAN DARI KEMALUAN WANITA

Assalamualaikum.

Kepada : Ustaz Tarmizi/Dr Suhazeli

Kategori: Fiqh wanita/kesihatan

Soalan:

Ustaz,
Kalau seseorang wanita mengandung tu  keluar keputihan..dia dah cuci keputihan tu sebelum solat.tapi lepas solat,dia perasan keputihan tu melekat pada pakaian solatnya, padahal dia dah pasti keputihan tu dah tiada sebelum solat. Adakah sah solatnya tadi?
Bagaimana pula jika keputihan itu keluar semasa solat? Batal tak solat? Perlu ambil wudhuk semula ke?

Dr,
Adakah normal wanita mengandung mengalami keputihan yang banyak di trimester pertama dan kedua?
Adakah dikira najis?

Terima kasih.

-Marahaini

JAWAPAN

Cairan atau lembapan yang keluar dari wanita terbahagi kepada beberapa kategori.
1. Cairan tidak berwarna, hanya berbau hanyir biasa. Ia adalah cairan biasa secara fisiologi rongga vagina akibat dari pergerakan atau iklim tertentu. Ruang rongga vagina terdapat kelenjar-kelenjar bagi memberi keselesaan dan sistem pertahanan luaran dari jangkitan kuman. Ia dipanggil Ruthubah al farj (رطوبة الفرح). Cairan ini seperti peluh atau hingus.
2. Cairan yang berwarna/tidak berwarna tetapi berbau busuk dan hanyir yang tidak menyenangkan (fishy smell). Ia adalah sejenis cairan penyakit yang mengganggu persekitaran vagina atau peranakan wanita. Kemungkinan ia akibat dari jangkitan kuman, ketumbuhan atau kanser yang berada disekitar vagina dan peranakan (uterus). Ia disamakan bentuk sperti air nanah yang keluar apabila berlaku jangkitan kuman ditempat lain.
3. Cairan yang keluar dari saluran kencing wanita. Terdapat cairan berwarna jernih kekuningan keluar ketika akhir kencing, ia diberi nama air wadi.
4. Cairan yang keluar semasa ghairah dan semasa melakukan hubungan kelamin. Ia dipanggil air mazi (keluar ketika rangsangan permulaan syahwat) dan air mani (keluar ketika kemuncak syahwat).

image

Namun Istilah keputihan agak umum. Ada wanita menyatakan kategori 1 itu keputihan dan ada yang menyatakan kategori 2 juga keputihan. Dalam istilah perubatan keputihan merujuk kepada jangkitan kulat candida (cairan berwarna putih kulat). Ia biasa berlaku kepada wanita yang hamil, berpenyakit kencing manis atau berpenyakit kelamin dan HIV.
Sukar untuk membezakan cairan kategori 1 dan 2 itu datang dari saluran vagina atau rongga peranakan.

IMPLIKASI HUKUM

KATEGORI 1
ianya adalah sejenis cairan biasa yang sukar dihalang kerana faktor yang disebut di atas. Terdapat dua pendapat yang membicarakan cairan Ruthbah Al Farj ini.

1. Menurut mazhab Hanafi, rutubah adalah suci. Imam Nawawi dan Imam Rafi’I juga berpendapat keputihan adalah suci.
Imam Nawawi menyatakan di dalam kitab Majmuk:

ثُمَّ إنَّ الْمُصَنِّفَ رَحِمَهُ اللَّهُ رَجَّحَ هُنَا وَفِي التَّنْبِيهِ النَّجَاسَةَ وَرَجَّحَهُ أَيْضًا الْبَنْدَنِيجِيُّ: وَقَالَ الْبَغَوِيّ وَالرَّافِعِيُّ وَغَيْرُهُمَا الْأَصَحُّ الطَّهَارَةُ وَقَالَ صَاحِبُ الْحَاوِي فِي بَابِ مَا يُوجِبُ الْغُسْلَ نَصَّ الشَّافِعِيُّ رَحِمَهُ اللَّهُ فِي بَعْضِ كُتُبِهِ عَلَى طَهَارَةِ رُطُوبَةِ الْفَرْجِ وَحُكِيَ التَّنْجِيسُ عَنْ ابْنِ سُرَيْجٍ فَحَصَلَ فِي الْمَسْأَلَةِ قَوْلَانِ مَنْصُوصَانِ لِلشَّافِعِيِّ أَحَدُهُمَا مَا نَقَلَهُ الْمُصَنِّفُ وَالْآخَرُ نَقَلَهُ صَاحِبُ الْحَاوِي وَالْأَصَحُّ طهارتها

Al Baghawi dan al Rafi’I pula mengatakan menurut pendapat yang terkuat ianya adalah suci. Menurut al Mawardi, dalam bab perkara yang mewajibkan mandi menyebut, Imam Syafei RA menyatakan dalam setengah karangannya bahawa keputihan/peluh kemaluan dari dalam faraj adalah suci, tetapi Ibnu Suraij menaqalkan Imam Syafei menyatakan ianya adalah najis.
Dari kenyataan tersebut, Imam Syafei mempunyai pandangan berkenaan keputihan iaitu suci dan najis. Menurut pendapat yang terkuat ianya adalah suci.
Mazhab Hambali juga berpendapat keputihan jenis ini adalah suci.

Jika keputihan yang sentiasa keluar yang sifatnya seperti peluh jika dianggap najis, membawa kesukaran kepada kaum muslimah.

Lagipun tiada nas Al Quran atau Hadis yang menyatakan keharamannya. Kaedah fekah menyebut:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الطَّهَارَةُ

“Hukum asal segala sesuatu adalah suci”

Justeru, wanita boleh meneruskan ibadah tanpa halangan.

2. Menurut pendapat muktamad mazhab Maliki, rutubah iaitu keputihan adalah najis.
Menurut mazhab Syafei pula keputihan adalah najis, pendapat ini dibincangkan oleh Al Syirazi. Al Syirazi RA menguatkan di dalam kitab al Muhazzab dan kitab al Tanbih pendapat yang mengatakan keputihan/peluh/cairan dari dalam kemaluan adalah najis dan pendapat ini disokong oleh Al Bandaniji. Manakala Syeikh Zakaria al Ansori menyatakan dalam kitab Asna al Matolib.

وَأَمَّا الرُّطُوبَةُ الْخَارِجَةُ مِنْ بَاطِنِ الْفَرْجِ فَتُنَجِّسُهُ

“Adapun keputihan yang keluar dari dalam faraj adalah najis.”

Dalilnya
i) Imam Muslim meriwayatkan

قَالَ: أَخْبَرَنِي أُبَيُّ بْنُ كَعْبٍ، أَنَّهُ قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ: إِذَا جَامَعَ الرَّجُلُ المَرْأَةَ فَلَمْ يُنْزِلْ؟ قَالَ: «يَغْسِلُ مَا مَسَّ المَرْأَةَ مِنْهُ، ثُمَّ يَتَوَضَّأُ وَيُصَلِّي»

ii) Imam Muslim mendefinisikan keputihan itu menyamai mazi iaitu tidak tercipta darinya anak dan keluar dari dalam faraj, oleh itu hukumnya ialah hukum mazi iaitu najis.

Kategori 2

image

Para wanita hendaklah mempastikan cairan yang keluar tersebut dalam kategori ini. Jika sukar untuk mempastikannya, sayugia bertemu para doktor untuk pengesahan. Ia dimasukkan dalam hukum cairan nanah dan ia adalah najis yang perlu dicuci.

Sementara terdapat kaidah dalam masalah Fiqh,
الفرع يأخذ حكم أصله
Hukum turunan itu sama seperti hukum asalnya.
Dalam Ensiklopedi Fiqh dinyatakan,
اتفق الفقهاء على أن القيح إذا خرج من بدن الإنسان فهو نجس؛ لأنه من الخبائث، قال الله تعالى: { وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ} ، والطباع السليمة تستخبثه، والتحريم لا للاحترام دليل النجاسة؛ لأن معنى النجاسة موجود في القيح إذ النجس اسم للمستقذر وهذا مما تستقذره الطباع السليمة لاستحالته إلى خبث ونتن رائحة؛ ولأنه متولد من الدم والدم نجس

Para ulama sepakat bahwa nanah ketika keluar dari badan manusia, hukumNya najis. Karena nanah termasuk benda menjijikkan.

CARA IBADAH
Bagi wanita yang mengalami keadaan ini (dan mengambil pendapat keputihan kategori 1 itu najis) adalah:
⑴ Jika keputihan itu keluar berterusan, maka ianya termasuk dalam hadas berterusan, maka ianya sama dengan air kencing yang sentiasa keluar (Salasul baul).
⑵ Untuk mengerjakan solat, wajib dilakukan perkara berikut selepas masuk waktu secara tertib dan berturut-turut :
     i) Basuh kemaluan
     ii) Memakai tuala wanita
     iii) Mengambil wuduk
     iv) Segera mengerjakan solat
⑶ Jika sekiranya keputihan itu tidak berterusan hukumnya samada air kencing.
⑷ Jika keputihan berterusan, tidak batal solat jika keluar keputihan ketika solat.
⑸ Wuduk bagi wanita yang mengalami keputihan secara berterusan ialah satu wuduk satu fardu dan boleh dikerjakan dengannya amalan sunat tanpa batasan.
⑹ Oleh kerana ianya sukar dipastikan samada berterusan atau sebaliknya, maka ia bergantung sangkaan mereka yang terlibat dengan keputihan tersebut. Sangkaan itu wajib diikut.

Kategori 3
Ia adalah najis kerana berpunca dari air kencing. Jika seseorang wanita itu berpenyakit kencing tidak tus (salasul baul). Kaedah bersuci salasul baul sama dengan katogori 2.

Kategori 4
Adalah air Mazi. Ia najis dan wajib dicuci.
Para ulamak telah bersepakat mengatakan bahawa air mazi ini adalah najis, ia juga boleh menyebabkan batalnya wuduk dan tidak boleh dibawa solat. Bagi orang yang mengeluarkan mazi tidak diwajibkan mandi hadas seperti keluarnya air mani.

Cara Mencuci Air Mazi
Air mazi dianggap seperti najis mutawassitah dan ia perlu dicuci dengan cara membasuh dengan menggunakan air mutlak sehingga bersih. Rasulullah SAW bersabda :

تَوَضَّأْ وَاغْسِلْ ذَكَرَكَ

“Berwuduklah dan cucilah kemaluanmu.”(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Sumber rujukan:
1-Ahkam al Najasah fi  al Fiqh al Islami , Abdul  Majid Mahmud Solahin hal 128-130.
2-al Najasah  wa Ma Yutohhiruhaa  fi al Fiqh al Islami – Dirasah Muqaranah, Dr Abdul Hasib Sanad ‘Atiyyah, hal.25.
3- al-Mausu’ah al-Fiqhiyah, 34/128

NOTA TAMBAHAN:
Mungkin ada yang berkata, nampak semacam rumit jika berterusan  sedangkan Islam itu mudah. Memang benar Islam itu mudah, tetapi apakah maksud mudah yang dikehendaki Islam? Di antara tutup kepala dengan tidak tutup kepala memang mudah tidak tutup kepala tetapi Islam mewajibkan wanita baligh menutup kepala di khalayak ramai. Adakah menutup kepala bercanggah dengan sifat Islam ?

Apabila kita terkentut, kita diwajibkan bewuduk iaitu basuh muka, tangan, sapu kepala dan basuh kaki. Menurut logiknya, basuh tempat kentut sahaja sudah memadai.

Mereka yang mencuri dikerat tangan tetapi mereka yang sudah berkahwin apabila berzina direjam sampai mati, mengapa tidak kerat kemaluannya?

Islam itu tidak menjadi logik sebagai satu-satunya sumber sandaran.

Panel Pusat Talaqi Batu Rakit

Wallahua’lam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articlePolisi Vaksin BCG Bukan dibuat Semberono
Next articleMimpi Ular Tanda Sihir?
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com