maduMadu lebah mempunyai banyak khasiat yang tersendiri. Dalam Al Quran juga menyebut akan madu lebah ini:
“Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah: “Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat yang dibina oleh manusia”. Kemudian makanlah dari tiap-tiap (jenis) buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu keluar minuman (madu lebah) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda kebesaran Tuhan bagi orang-orang yang berfikir.”
(Maksud Q.S. An-Nahl : 68-69)

Di dalam Al-Quran, Surah An-Nahl ayat 68 & 69, dengan terang menunjukkan bahawa hasil lebah dan manusia mempunyai kesinambungan yang tersendiri. Pastinya sesuatu yang diciptakan oleh Allah itu sangat bermanfaat untuk manusia dan makhluk Nya yang lain. Bahkan Rasulullah pernah menyebut akan keistimewaan madu lebah dalam beberapa hadis. Pun begitu naqal madu lebah dari Al Quran dan Hadis ini, bukan berbentuk disyariatkan pengambilannya. Ulama mengkategorikan berubat menggunakan madu lebah ini sebagai bukan suruhan syariat (Ghairi Tashri’i). Dalam ertikata lain, madu lebah digunakan sebagai suplimen semasa berubat dan bergantung kepada jenis-jenis penyakit tertentu. Ianya tidak boleh disamaratakan pemberiannya kepada seluruh penyakit yang ada di dunia ini. Adakalanya ia berguna untuk mengubat penyakit tertentu dan adakalanya memudaratkan.
Sebagai contoh, madu digunakan sebagai pencuci luka kulit terbakar [British Journal of Plastic Surgery, Jun 1993], dan mengurangkan sakit serta parut luka terbakar [ British Journal of Surgery, Apr 1991] dan beberapa kajian lain lagi. Sebaliknya madu lebah boleh menyebabkan penyakit Kencing manis tidak terkawal [http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/19817641]

Cuma timbul isu yang didapati hasil dari beberapa kajian statistik menunjukkan pemberian madu dalam bentuk makanan kepada bayi berumur kurang dari 1 tahun, kemungkinan menyebabkan penyakit Botulism. Botulism adalah sejenis penyakit serangan toksin dari kuman bernama Clostriduim Botulisme. Tanda serangan botulism ini adalah bayi menjadi tidak aktif, kurang minum susu ibu dan menangis lemah. Tanda ini boleh dilihat antara 3-30 hari setelah dijangkiti kuman C. Botulism. Tanda pertama yang kerap dilihat adalah sukar buang air besar (Constipation). Penyakit ini jika tidak dirawat segera boleh membawa maut. Kejadian bollism ini amat jarang dan terkadang terlepas pandang kerana tidak mengesyaki pemberian makanan atau minumam yang tercemar dengan kuman C. Botulism [http://www.drgreene.com/qa-articles/honey-infant-botulism/].

Kuman C. Botulism bukan sahaja terdapat dalam madu tetapi juga dipersekitaran kotor (debu dan tanah). Oleh kerana madu diambil dari sarang lebah yang bercampur dengan tanah, kemungkinan pencemaran berlaku. Kita tidak mengetahui madu lebah mana yang tercemar atau tidak. Justeru adalah disarankan mengelakkan pemberian madu kepada bayi berumur bawah 12 bulan.

Dr Suhazeli Abdullah
17.04.2016

*nota: Susu kambing/lembu yang tidak dipastur berisiko dicemari Brucella….

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...