Hukum Vaksin Harus atau Wajib?

image

Majlis Fatwa Kebangsaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia telah membuat satu kenyataan bersama mengenai keHARUSan penggunaan vaksin. Sebahagian dari kenyataan tersebut adalah seperti berikut:
“Imunisasi adalah satu cara pencegahan yang dapat dilakukan bagi mengelakkan penyakit-penyakit merbahaya yang mengancam nyawa khususnya kanak-kanak seperti campak, tibi, batuk kokol, difteria, tetanus atau polio. Penggunaan vaksin dalam program imunisasi bagi mengelak bahaya penyakit-penyakit yang berkenaan adalah diharuskan oleh syarak selaras dengan Kaedah Fiqhiyyah iaitu درء المفاسد مقدم على جلب المصالح (Menolak Kerosakan Adalah Didahulukan Daripada Mencari Kemaslahatan) kerana sesuatu kerosakan akan cepat berkembang dan bahayanya adalah lebih besar sekiranya tidak dicegah daripada awal. Keharusan ini juga adalah berdasarkan Firman Allah s.w.t dalam surah Al- Baqarah, ayat 195 yang bermaksud: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu kedalam bahaya kebinasaan.” [1,2,3]

Istilah Harus yang digunakan menjadi hujah kepada pihak tertentu yang menolak pemberian vaksin kepada anak-anak mereka. Istilah HARUS ini bukan bermaksud “tidak berpahala jika dikerjakan dan tidak berdosa apabila ditinggalkannya”  seperti apa yang biasa dibahasakan dalam bab ibadah.

Akan tetapi HARUS yang dinyatakan itu adalah merujuk kepada usul fikah hukum taklify yang merujuk kepada IBAHAH. Harus yang diterjemah dari ibahah ini pula membawa maksud hukum asalnya adalah harus. Tetapi ia boleh bertukar menjadi wajib atau sunat atau makruh atau haram bergantung kepada perkara luaran yang berkaitan dengannya (ilah sesuatu perkara itu terbit). Contohnya dalam situasi normal, minum air hukum adalah harus. Hukum ini boleh bertukar menjadi wajib jika tidak minum air menyebabkan mudorat. 
Berbalik kepada isu vaksinasi, jika hendak dikompromi antara FATWA dengan KKM, ialah fatwa memutuskan hukum asal vaksinasi adalah harus, tetapi apabila golongan pakar memutuskan tanpa vaksinasi, mudorat akan berlaku secara pasti atau hampir pasti, maka hukum harus tersebut bertukar menjadi wajib lighairih iaitu WAJIB kerana sebab luaran. [4]

Saranan dari Mufti Wilayah Persekutuan: 
“Dalam hal ini Islam amat menitikberatkan keselamatan umat manusia. Sesuatu perkara yang hendak dilaksanakan untuk maslahah ummah hanya diperakukan oleh syarak sekiranya tidak bercanggah dengan Maqasid Syar’iyyah iaitu menjaga agama, nyawa, aqal, keturunan dan harta. Menurut fuqaha’, sebarang penyakit perlu dihindari, dirawat dan diubati. Dalam konteks ini pencegahan daripada sebarang bentuk gejala yang boleh menjejaskan kesihatan dan nyawa adalah menjadi pegangan dan keutamaan ajaran Islam. Semoga dengan pencerahan ini kita tidak ragu lagi dalam mengizinkan penggunaan vaksin oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk maslahat dalam kalangan kita.” [2]

Para ahli yang mahir dalam bidang perubatan bersetuju saranan WAJIB ini terlebih utama kerana melihat kemudaratan yang besar jika masyarakat dibiarkan terdedah tanpa perlindungan vaksin. Sangkaan kuat (zhan) ini bukan dibuat membuta-tuli tanpa asas yang menyokong, tetapi ianya berdasarkan kajian dan cerapan statistik yang diperolehi sejak sekian lama.
i) Penyakit Campak sebagai perbandingannya telah menunjukkan penurunan yang ketara. Dari jumlah kadar insiden 656.5/sejuta populasi (1982) sehingga kadar insiden 2.0/sejuta populasi (2009). Permulaan kempen pemberian vaksin dinegara kita adalah pada tahun 1982 dan jumlah liputan pemberian vaksin meningkat melebihi 80 peratus sehingga sekarang. [7]
ii) Sehingga September 2015, kes dan wabak measles (campak) meningkat tiga (3) kali ganda di seluruh negara. Bilangan kes disahkan measles telah meningkat kepada 602 kes (26.3 per sejuta penduduk) berbanding 235 kes (7.8 per sejuta penduduk) pada 2014 dan 195 kes (6.6 per sejuta penduduk) pada 2013. Malah, berlaku dua (2) kematian kanak-kanak akibat jangkitan measles pada tahun ini, berbanding satu (1) kematian pada tahun lepas. Kebanyakan kes measles adalah di kalangan bayi dan kanak-kanak berumur enam (6) tahun dan ke bawah. Bilangan wabak juga telah meningkat lebih 3 kali ganda, iaitu 37 episod wabak berbanding hanya 11 pada tahun 2014. [5]
iii) Dalam tempoh lima (5) tahun kebelakangan ini, bilangan kes difteria yang paling tinggi di Malaysia adalah pada tahun 2013, iaitu empat (4) kes termasuk dua (2) kematian dilaporkan dengan kadar insiden 0.01 per 100,000 penduduk. [6]

Jika mahu dipaparkan, banyak lagi kemungkinan kemudaratan/kematian yang akan timbul jika pemberian vaksin ini tidak diwajibkan. Cukup 3 contoh yang diberikan itu. Negara kita telah mewajibkan 12 jenis vaksin kepada bayi (Vaccine Preventable Diseases).

Walaupun ibu bapa diberikan pilihan untuk menolak nasihat doktor, tetapi pilihan ini diperbincangkan antara kedua belah pihak bagi menghasilkan natijah terbaik ke atas pesakit. Sudah tentu doktor akan memberi kecenderungan yang mendalam untuk memberikan vaksin berdasarkan ilmu dan pengalaman mereka sebelum ini. Manakala pesakitlah penentu membuat keputusan berdasarkan cerapan pilihan baik buruk yang dibincangkan bersama tadi. Doktor tidak boleh memaksa. Itulah etika yang dipegang oleh mereka. Pengamal perubatan mengesyorkan pilihan terbaik ke atas anak-anak melalui pemberian vaksin. Terserah kepada ibu bapa untuk menentukan. 

Namun dalam kes tertentu yang boleh mengancam nyawa manusia sejagat, para pengamal perubatan boleh mewajibkan sesuatu rawatan itu dilaksanakan. Kuasa yang diberikan untuk melaksanakan peruntukan undang-undang penyakit berjangkit juga perlu diambilkira bagi mengelakkan berlakunya wabak penyakit berjangkit yang membawa maut atau kecacatan.

Setiap kali para ibubapa yang menolak vaksin, doktor akan meminta untuk bersetuju untuk tidak bersetuju (Borang Act Own Risk – Refusal form). Hujung konsultasi doktor adalah doakan keselamatan dan kesejahteraan pesakit jua.

Wallahuaklam

Dr Suhazeli Abdullah
Fb.com/drsuhazeli
suhazeli.com
23.3.2016

**********
Link rujukan
[1] Kenyataan Datuk Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia: https://www.facebook.com/drnoorhisham/posts/401980309921427
[2] Fatwa dari Datuk Mufti Wilayah Persekutuan: http://muftiwp.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=320&catid=48&Itemid=333
[3] E Fatwa JAKIM: http://www.e-fatwa.gov.my/
[4] Jawapan dari Ustaz Ahmad Tarmizi Taha. Pensyarah UniSZA. Rujukan beliau adalah Kitab Usul Fiqh karangan Muhd Abu Nur Zuhir Universiti Al Azhar 
[5] Kenyataan Datuk Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia: http://kpkesihatan.com/2015/11/05/kenyataan-akhbar-kpk-5-nov-2015-kes-measles-meningkat-di-malaysia/
[6] Kenyataan Datuk Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia: http://kpkesihatan.com/2016/01/05/kenyataan-akhbar-kpk-5-jan-2016-kes-difteria-di-malaysia/
[7] Jawapan kepada Jerry D Gray: http://suhazeli.com/wp/?p=1187

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...