image

Saya diminta oleh sahabat² untuk memberi ulasan mengenai satu keratan akhbar versi indonesia yang menyebut bahawa pemberian vaksin boleh melemahkan bayi. Pandangan dari Jerry Ⓓ. Gray, seorang bekas tentera Amerika yang sudah memeluk Islam.

Saya berterima kasih atas nasihat awal yang disarankan oleh beliau mengenai pemakanan ringan dan segera boleh menjejaskan kesihatan. Sememangnya ia selari dengan apa yang dinasihatkan oleh para doktor dan pakar pemakanan perubatan moden.

Begitu juga dengan makanan sunnah, diberi nasihat oleh pakar-pakar pemakanan moden bagi kes-kes tertentu demi menjamin kesihatan optimum para pesakit. Perubatan moden tidak menolaknya.

Cuma yang menjadikan saya terkejut dengan keratan akhbar tersebut apabila method penulisan dan tajuk akhbar berkenaan menyalahkan vaksin sebagai punca bayi lemah. Saya yakin bahawa penulis tidak melihat sejarah hitam dunia sebelum penemuan dan pemberian vaksin kepada generasi terdahulu. Kejayaan pemberian vaksin harus dilihat secara menyeluruh dengan penurunan secara mendadak kes-kes penyakit berjangkit seperti penyakit Campak (Measles), Polio, Difteria, Cacar (Smallpox) dan beberapa jenis penyakit berjangkit bahaya lain lagi. Penyakit Campak sebagai perbandingannya telah menunjukkan penurunan yang ketara. Dari jumlah kadar insiden 656.5/sejuta populasi (1982) sehingga kadar insiden 2.0/sejuta populasi (2009). Permulaan kempen pemberian vaksin dinegara kita adalah pada tahun 1982 dan jumlah liputan pemberian vaksin meningkat melebihi 80 peratus sehingga sekarang. Ini menunjukkan kejayaan yang besar didalam dunia perubatan moden.

Kejayaan lain dalam pemberian vaksin ini juga  telah mengejutkan dunia sains dalam penghapusan penyakit Cacar (Small Pox). Dari jumlah 10 juta mangsa cacar tahun 1967 dan 2 juta kematian di 43 buah Negara, sekarang ini kita telah mengishtiharkan penyakit Small Pox (cacar) hapus sepenuhnya. Pemberian vaksin Small Pox ini berakhir pada tahun 1976 selepas kempen besar-besaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Setelah itu telah diistiharkan bahawa penyakit cacar sudah tidak wujud di dunia. Sekarang, generasi baru sudah tidak mengenal apa itu penyakit cacar kerana tiada contoh didepan mata untuk dijadikan teladan. Anda boleh membuat bacaan sendiri dalam dunia cyber akan kejayaan negara kita menghapuskan penyakit Polio.

Keberkesanan pemberian vaksin ini telah membuka mata banyak pihak dan telah memberi galakan ke arah penghasilan pelbagai polisi di negara masing-masing bagi menyelamatkan masyarakat mereka dari terbelenggu dengan penyakit-penyakit berjangkit ini.

Fikirkan kembali, adakah vaksin ini bertujuan melemahkan/membunuh ummat atau sebaliknya?

Dalam masa yang sama kami tidak menafikan bahawa setiap ubat termasuk vaksin samada sudah lama digunakan mahupun yang baru dipasarkan, mempunyai kesan sampingan. Kesan-kesan sampingan ini ada di antaranya yang telah dijangka ataupun kesan baru yang memerlukan pelaporan dari masa ke semasa oleh pengguna/pesakit. Kesan sampingan ini adalah minima dan tidak membawa mudarat besar berbanding manfaat yang akan diperolehi. 

Penggunaan vaksin ini sendiri diperakui oleh badan berautoriti termasuk dalam negara kita seperti Kementerian Kesihatan, Majlis Perubatan, Persatuan Pakar-pakar, malah Majlis Fatwa Kebangsaan itu sendiri. Tidak munasabah kesemua kami mempunyai agenda jahat! Tidak lain dan tidak bukan semata-mata tujuan kami adalah demi kesejahteraan ummat jua.

Dr Suhazeli Abdullah 
Pakar Perubatan Keluarga 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleVirus Zika dan Agenda Yahudi
Next articleKita Rawat Tanpa Prejudis
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com