image

Kesihatan sesaorang bukan bergantung kepada pemberian vaksin semata-mata. ianya dipengaruhi oleh persekitaran, pemakanan dan kesihatan spiritual. Hidup mati pun Allah yang tentukan.
Cuma Islam memberi ruang berikhtiar bagi menjamin kehidupan yang lebih sempurna dan sihat. Semasa negara merdeka, jangka hayat penduduk negara kita adalah 55.8 tahun. Setelah kita menjalani kehidupan yang  lebih sihat dan mengamalkan penjagan kesihatan yang optimum sesuai dengan kecanggihan sains dan teknologi, jangka hayat rakyat malaysia sekarang (data 2014) sudah meningkat kepada 74.2 tahun.

Jika kaji secara khusus, jumlah kematian akibat dari penyakit berjangkit turun secara mendadak setelah pemberian vaksin-vaksin yang spesifik seperti Pertusis, Difteria dan sebagainya (10 jenis vaksin spesik yang diwajibkan oleh kementerian kesihatan Malaysia).

Berikut adalah beberapa fakta kejayaan penjagaan kesihatan optimum melalui vaksin
1. Pada tahun 1990, seramai 45 juta kanak-kanak menghidap campak dan penyakit ini menyebabkan sejuta kematian. Sebelum adanya vaksin MMR, beguk merupakan sebab utama jangkitan virus di selaput otak (meningitis) dan cacat pendengaran pada kanak-kanak.
2. Sebelum vaksin rubela diperkenalkan di Amerika Syarikat (AS), setiap tahun seramai 20,000 kanak-kanak telah dilahirkan dengan Sindrom Kongenital Rubela yang menyebabkan kecacatan jantung, cacat pendengaran dan kecacatan mental pada bayi yang baru dilahirkan.
3. Negara Jepun telah berhenti menggunakannya vaksin Pertusis pada tahun 1975. Akibatnya, terdapat 13,000 kes batuk kokol serta 113 kematian. Sebelum tahun 1975, hanya terdapat 400 kes dan tiada seorang pun kanak-kanak yang mati akibat vaksin pertusis!

Saya tertarik dengan berita viral media sosial yang mengaitkan Virus Zika adalah agenda Yahudi dan mendatangkan kerosakan kepada umat manusia. Saya sedih dengan kepercayaan paranoid kepada berita tersebut. Virus Zika, sememangnya sudah lama wujud tetapi ianya tidak menjadi wabak yang meluas. Sehinggalah tahun 2014 lalu ianya menjadi wabak endemik di Amerika latin seiring dengan wabak denggi.

Seramai lebih 3500 bayi yang dilahirkan di 26 buah negara Amerika Latin mengalami penyakit microcephaly (saiz kepala kecil), justeru menimbulkan permasalahan dalam kehidupan apabila membesar. Kajian telah mendapat bukti (hasil post-mortem) bahawa bayi tersebut dijangkiti Zika Virus. Usaha dengan giat dilakukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi membasmi wabak tersebut. Antaranya mengarahkan pembuatan vaksin bagi mencegah virus Zika dari terus menggila. Kajian dan pembangunan (R&D) ini sudah tentu memerlukan dana yang agak besar. Kita sepatutnya terima kasih kerana mendapat sokongan dari pelbagai pihak bagi mengatasi masalah ummat ini termasuk Yayasan Rockfeller. Terasa malu kerana jutawan Islam sendiri tidak sanggup membantu. Sama seperti R&D vaksin Polio yang mendapat dana besar dari jutawan komputer Bill Gates. Adakah agenda Yahudi atau Kristian yang perlu diperbesarkan? Sedangkan negara-negara Yahudi dan Kristian sendiri menggunakan vaksin yang sama kepada anak-anak mereka? Sekaligus menolak dakwaan bahawa Penyakit microcephaly bayi akibat dari vaksin semasa ibu hamil (negara Malaysia tiada lagi polisi beri vaksin DPT kpd ibu hamil). Tidak munasabah menyalahkan vaksin DPT dengan membuat satu vaksin yang baru!

Sebenarnya mereka yang antivaks paranoid dengan diri mereka sendiri. Kita takut sejarah penyakit silam akan kembali mengamuk akibat kealphaan generasi kita yang sudah lupa lipatan sejarah!

Dr Hj Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
W: www.suhazeli.com
F: Fb.com/drsuhazeli
T: twitter.com/suhazeli
6 Feb 2016, Abu Dhabi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleJus Betik, Sup Ketam dan Air Karbonat Ubat Denggi?
Next articleBayi dilemahkan dengan vaksin? Jawapan kepada Jerry Ⓓ Gray
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com