image

1. Kajian dalam bidang perubatan dijalankan oleh pakar yang mahir dalam bidang yang mereka ceburi. Ianya mesti melalui beberapa tapisan etika supaya tidak menimbulkan kesangsian dalam keputusan yang dibentangkan nanti. Kajian berbentuk epidemiologi dan eksperimental juga wajib melepasi tahap metodologi yang disusun rapi. Metodologi ini penting bagi mengelakkan berlaku keputusan yang bias (tidak tepat), faktor gangguan keputusan (confounding) dan pengaruh luar (conflict of interest). Metodologi yang tepat ini penting kerana ianya akan mempengaruhi statistik inferens yang akan dicerap nanti. Jika ianya menunjukkan nilai yang tidak signifikan, jujurlah mengisytiharkan ianya tidak signifikan. Jangan melaporkan sebaliknya atau menyembunyikan nilai signifikan statistik tertentu. Asas inilah yang saya pegang.

2. Timbul isu cecair perasa dalam vape yang akan mengeluarkan bahan kimia sampingan setelah terbakar, namanya diacetyl. Laporan kajian ini baharu sahaja dikeluarkan oleh Dr Allen dan rakan² dalam jurnal perubatan Environmental Health Perspectives (Dec 2015). Para pengkaji tiada konflik kepentingan yang boleh menyebabkan hasil kajian bias atau dipengaruhi. Kajian ini dilakukan ke atas 51 jenis perasa cecair vape dengan objektif ingin mengetahui tahap 3 bahan kimia utama (diacetyl, 2,3-pentanedione, dan acetoin), samada melepasi tahap keselamatan atau tidak (Metod OSHA 1012). Didapati 39 dari 51 perasa (76.5%) tersebut mengeluarkan kimia diacetyl. Manakala 47 dari 51 perasa (92.2%) didapati mengeluarkan sekurang-kurangnya sejenis bahan kimia (diacetyl, 2,3-pentanedione, dan acetoin). Penemuan ini memeranjatkan!

3. Dr Allen dan rakan² cuba mengaitkan secara kiasan sejarah perubatan yang berlaku dari kajian saintifik pendedahan diacetyl terhadap para pekerja kilang membuat popcorn. Kajian ini dilakukan oleh Kreiss (2002) dan CDC (2007). Kajian Kriess dan CDC mendapati pekerja kilang yang terdedah melalui sedutan wap kepada perasa semasa proses membuat popcorn mengalami penyakit Bronchiolitis obliterans (Popcorn Lung disease). Penyakit ini bukannya berlaku secara sekelip mata atau sebulan-dua, tetapi ianya akibat pendedahan puluhan tahun. Dr Tierney dan rakan² (2015) juga telah mengesahkan bahawa bahan kimia dalam perasa boleh mendatangkan kemerbahayaan kepada mukosa dan tisu paru-paru pengguna.

4. Diacetyl, 2,3-pentanedione, dan acetoin adalah kimia perasa dalam industri pembuatan makanan seperti kek, diklasifikasikan sebagai GRAS (Generally Recognised as Safe). Secara amnya dipastikan selamat jika di MAKAN pada paras yang dibenarkan oleh Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA). Namun jika ia dihidu atau disedut dalam sukatan tertentu akan mudarat kepada manusia. Kajian kemudaratan ini telah dibuktikan oleh Kriess dan CDC, sehingga timbulnya istilah penyakit Popcorn Lung disease.

5. Menarik perhatian kita setelah diterbitkan hasil kajian Dr Allen dan rakan² dari Universiti Havard T. H. Chan, Boston, pelbagai kritik diajukan. Termasuklah Dr Farsalinos yang masyhur dalam kajian rokok elektronik. Pada awalnya saya agak bersetuju dengan para pengkritik jurnal tersebut kerana isu nikotin, prophylene glycol, glycerin dan dadah sintetik yang dimasukkan dalam vape lebih besar berbanding bahan kimia perasa. Begitu juga isu rokok yang sudah sekian lama kita bergelut bagi memastikan ummah bebas dari asapnya. Pun begitu, Dr Farsalinos dalam kenyataan yang sama mengakui bahawa bahan kimia perasa tersebut wajib dibuang dari rokok elektronik (vape). Pertikaian yang dikritik oleh Dr Farsalinos adalah kandungan diacetyl dan propionyl terlalu amat rendah 100 dan 10 kali berbanding dengan yang terdapat dalam rokok. (Tetapi tidak dinyatakan pautan jurnal dakwaan tersebut). Andai benar sekali pun dakwaan Dr Farsalinos, beliau juga bersetuju dengan kajian Dr Allen dan rakan² yang menyatakan bahawa bahan kimia tesebut melepasi paras bahaya sepertimana ditetapkan dalam OSHA 1012. Bahaya tetap bahaya. Takkan kita nak menafikan sebaliknya!

6. Ada yang bertanya, setakat ini sudah berapa ramai jumlah yang kena Penyakit Paru-paru Popcorn? Para pengkaji hanya membuat tamsilan dan kiasan atas bahan yang sama telah mengakibatkan kemudaratan keatas manusia yang terdedah berdasarkan bukti sejarah dalam perubatan. Ianya memerlukan masa yang tertentu bagi membuktikannya. Tetapi perlukah? 
“Awak ni vapors ke?”
“Ya!”
“Tak nampak macam vapors je?”
“Takkan nak tunggu aku mati dulu, lepas tu buat post-mortem buktikan ada kanser, ada paru-paru popcorn, baru nak mengaku……” 
Hah maroh maroh maroh. 
“Sorry kawan”

Dr Suhazeli Abdullah 
Pakar Perubatan Keluarga 
W: suhazeli.com
F: fb.com/drsuhazeli 
16 Dis 2015 
Gambang, Kuantan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...