image

1»Menarik saya baca beberapa komen netizen berkaitan dengan isu penghapusan undang² khalwat yang dikemukakan oleh kumpulan pencen G25 semalam. Saya pun sebelum ini melontarkan komen sarkastik terhadap jurucakap G25 tersebut. Ramai yang memberi komen negatif dan sarkastik terhadap kenyataan yang dikeluarkan itu. Namun ada juga yang bersimpati dan bersikap apolegetik atas isu yang diviralkan.

2»G25 memberi hujah bahawa maksiat peribadi tidak perlu dibongkarkan seperti mana tatacara penangkapan yang dilakukan oleh penguatkuasa jenayah syariat (pencegah maksiat) dalam negara kita. Ianya mungkin sudah kuno, malah dakwanya tiada pengamalan sedemikian dinegara² Islam lain. Mengendap, mengintai, mengekori atau membuat serbuan mengejut telah melanggari hak asasi manusia, kerana maksiat itu (Khalwat) adalah hal peribadi. Betul ke?

3»Pelaku khalwat bukannya keseaorangan. Sudah pasti ianya dilakukan dengan pasangan berlainan jantina. Kedua² mereka tentulah mempunyai keluarga biologi masing² samada ayah ibu, adik beradik dan waris yang lain. Apabila maksiat khalwat berlaku, kemungkinan terjadinya zina. Kesannya bukan kepada dua individu terbabit sahaja tetapi masyarakat turut terpalit. Kerja maksiat ini ketagih! Jika tidak dibendung sedari awal, tidak mustahil akan digadis akan mengandung anak haram luar nikah. Adakah kita sedar bahawa statistik anak luar nikah di Malaysia kini adalah 1 bayi lahir setiap 17 minit? Adakah ini masih dikira hak asasi individu? Sudah tentu ini melibatkan masyarakat dan ummah secara keseluruhannya. Bukan lagi isu peribadi.

4»Sememangnya Allah menyebut dalam surah al Hujurat ayat 12 mengenai “tajassus”- larangan mengintip dan mencari kesalahan orang lain. Asas ini perlu diambil supaya kestabilan dan keharmonian masyarakat dapat dicapai. Saya yakin para penguasa syariah (pencegah maksiat) melakukan kerja mereka berdasarkan prinsip serta tatacara yang ketat. Mereka tidak semberono melakukan intipan dan serbuan tanpa prosedur yang teliti. Antara prinsip yang perlu dipatuhi oleh para pencegah maksiat adalah:
i. Sumber laporan yang diterima mestilah telah dikenalpasti dari pembawa yang sahih dan soleh. Bukannya pembawa laporan dari orang fasik atau dengar cakap-cakap orang yang tidak meyakinkan.
ii. Penyiasatan dan serbuan mestilah dilakukan setelah yakin samada dalam bentuk fizikal atau zhan yang munasabah, seperti melihat melalui tingkap cermin bahawa berlaku khalwat atau disahihkan dengan laporan pengadu dan dari masyarakat sekeliling yang melihat perlakuan khalwat.
iii. Tidak boleh bertindak jika berlaku keraguan atau syak.
iv. Sesuatu operasi tidak boleh disensasikan melalui media yang turut serta atau mendedahkan keaiban sipelaku sebelum sahih jatuh kesalahan tersebut.
v. Tidak ada unsur galakan yang diberikan kepada pembuat laporan seperti memberi hadiah dan seumpamanya.

5»Andaikata mengendap, mengintai, mengekori ini telah mencabul hak peribadi tanpa melihat kemudaratan maksiat itu sendiri, maka berbahagialah para penagih dadah. Mereka boleh bersenang-senang dengan penagihan bersendirian mereka tanpa gangguan dari pihak berkuasa. Kerana menagih dadah adalah maksiat peribadi, berlaku di rumah sendiri atau pot yang sunyi. Jika ini caranya diperjuangkan oleh G25, punahlah ummah.

Dr Ghazali Hasbullah
Muslim Professional Network
8.12.2015

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book