Regulasi e-rokok dan Vape: Dulu, kini dan akan datang.

oleh Mohammad Fadzly
rokok-elektrik-mundurkan-generasi-bangsa-zSWYVticLFSaya tertarik dengan dialog yang telah diadakan oleh rancangan Bella di NTV7 pada 16 Nov 2015 yang lepas. Saya dapat menyaksikan kesungguhan En Samsul Kamal Ariffin, Presiden MOVE, dalam mengetengahkan isu vape yang jelas sekali berbeza dengan apa yang diperjuangkan oleh seorang menteri, iaitu vape sebagai aspirasi anak muda.[1] Kesungguhan presiden MOVE menerangkan bahawa tujuan vape untuk berhenti merokok, bukan sebagai satu trend yang patut diikuti.[2] Malah, bukan sahaja untuk berhenti merokok, tetapi berhenti vape sepenuhnya dan bebas daripada ketagihan nikotin. Perkara ini sepatutnya dijadikan ikutan untuk semua perokok tidak kira perokok tembakau mahupun e-rokok kerana, jika tujuan tersebut diikuti oleh semua perokok, ianya memberikan impak bukan sahaja kepada komuniti, malah kepada negara itu sendiri kerana bilangan perokok konvensional dan e-rokok dapat dikurangkan. Saya menyokong penuh jika tujuan asal adalah untuk berhenti kedua-duanya sekali. Namun sejauh mana kebenarannya di Malaysia belum dapat dibuktikan kerana ianya tidak berlaku di dalam kajian-kajian yang telah dilakukan di luar negara. Kebanyakan pengguna menggunakan e-rokok berpendapat ianya sebagai satu alternative kepada rokok lebih daripada tujuan asal untuk berhenti daripada ketagihan nikotin. Kemunculan pengguna e-rokok baru yang tidak pernah merokok mula terpengaruh akibat tanggapan yang menyatakan e-rokok adalah sesuatu yang sihat, ditambah dengan penggunaan perasa yang pelbagai, dan promosi yang agresif ini. Ada pula pengguna yang menggunakannya untuk melanggar peraturan-peraturan tembakau sedia ada seperti menghisap di kawasan larangan merokok. Pengguna bawah umur begitu berani membawa peranti ke sekolah kerana cikgu-cikgu tidak boleh mengambil tindakan yang berkesan kerana tiada peraturan khusus untuk e-rokok.

Satu lagi perkara yang mengejutkan saya adalah beliau sangat bersetuju dengan pandangan ahli panel doktor disana menyatakan perlunya ada regulasi terhadap e-rokok.[2] Beliau mengakui bahawa tidak ada regulasi dan kawalan kualiti terhadap penghasilan cecair nikotin, yang mana ianya mungkin dihasilkan di belakang rumah dengan persekitaran standard yang rendah. Namun sedarkah beliau, Akta Racun 1952 sedia ada telah menyatakan dengan jelas regulasi untuk sesuatu dadah dan bagaimana lesen boleh dikeluarkan dengan syarat dan standard yang telah termaktub(Saya akan terangkan dengan lebih lanjut di bawah). Adakah pihak pembuat atau brewers, penjual, tidak mengetahui perkara ini? Sedangkan perkara ini telah diterangkan semenjak 2013.[6] Malah ada dikalangan komuniti vapers telah mengetahui dan menjelaskannya di facebook.[10] Mengapa perlu menghantar memorandum kepada Perdana Menteri dan menyatakan tindakan KKM adalah salah sedangkan akta regulasi sedia ada pun tidak boleh dipatuhi? Adakah ianya disengajakan? Ataupun pura-pura tidak mengetahui, sengaja melanggar peraturan dan membiarkan ianya menjadi suatu wabak ketagihan nikotin, dan dengan impak “1juta pengguna” itu maka berjayalah agenda anda untuk mempengaruhi keputusan kabinet, dan “melegalkan” nikotin daripada dikawal dan dibenarkan dijual melebihi daripada akta yang sedia ada. (Semoga ianya tidak terjadi untuk jenis dadah yang lain pada masa akan datang seperti marijuana atau ganja). Ya, tahniah kepada pengguna e-rokok kerana anda telah berjaya menghalang KKM untuk mengharamkan e-rokok. Mungkin silap KKM juga yang tidak bertindak lebih aggresif pada 2013 sebelum terjadinya wabak ketagihan nikotin yang berlaku sekarang. Namun apakan daya, jika kita tidak dapat mengharamkan, regulasi perlu dibuat sama seperti yang diminta oleh presiden MOVE ini. Namun definasi regulasi yang bagaimana dan macamana? Itu masih lagi jadi persoalan. Adakah regulasi di dalam definasi “evidence based”? World Health Organization (WHO)? atau para vapers ? atau pak-pak menteri? atau sama seperti regulasi rokok tembakau?

Pengenalan e-Rokok
e-Rokok ataupun sistem penyampaian nikotin elektronik (ENDS) telah menjadi fenomena di dalam negara. Menurut WHO, fenomena ini merupakan satu trend yang membimbangkan dan merupakan isu besar untuk kesihatan awam.[3] Namun, adakah ianya sesuatu yang baik atau ancaman, ianya bergantung kepada interaksi kompleks dan dinamik di kalangan pemasaran industri samada pembuat individu atau syarikat-syarikat tembakau, pengguna, pengawal selia, dan pembuat dasar. e-Rokok merupakan sistem yang menyampaikan nikotin di dalam bentuk aerosol yang terbentuk daripada pemanasan cecair nikotin tersebut. Komponen utama cecair tersebut adalah nikotin, propylene glycol dengan atau tanpa glycerol, pewarna atau perasa. [4] e-Rokok juga mempunyai banyak versi dimana versi terawal adalah berbentuk seperti sebatang rokok, paip, atau cerut, ianya juga berubah kepada bentuk pen atau bentuk empat segi mengikut trend semasa.[3]
Keupayaan voltan bateri dan unit litar yang berbeza, telah mewujudkan kepelbagaian dan keupayaan dalam menghasilkan pemanasan yang berbeza, seterusnya penghasilan aerosol dan penyampaian yang berbeza untuk nikotin dan bahan kimia yang ada. Penghantaran bahan kimia ke paru-paru juga bergantung kepada tabiat dan cara pengguna itu sendiri samada tempoh masa menyedut, menghasilkan asap, tahap kedalaman semasa menarik nafas ataupun bilangan sedutan. [4]
Secara ringkasnya terdapat 3 isu mengenai e-rokok
  1. Menggangu akta kawalan rokok sedia ada dan perancangan yang telah disenaraikan sebelum ini dalam Framework Convention on Tobacco Control (FCTC) WHO yang telah ditandatangani oleh Malaysia samada secara langsung mahupun tidak langsung.
  2. Risiko kesihatan (baik atau buruk) kepada pengguna dan bukan pengguna.
  3. Keupayaan peranti tersebut dalam kaedah berhenti merokok dan seterusnya kepada penamatan ketagihan nikotin.
Akta Makanan 1983 – Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) (Pindaan) 2011.
Akta ini mengawal selia rokok di bawah PPKHT selari dengan apa yang diletakkan di dalam kerangka FCTC WHO. Ianya telah membantu kerajaan dalam mengawal rokok tembakau, namun ianya langsung tidak mengawal selia nikotin tulin yang terdapat di dalam cecair e-rokok.
Akta Racun 1952, Akta Jualan Dadah 1952, dan Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Kekecohan telah berlaku baru-baru ini, ekoran tindakan penguatkuasaan Unit Penguatkuasaan Bahagian Farmasi ke atas kedai-kedai e-rokok yang menyatakan ianya berlawan daripada apa yang ditetapkan oleh kabinet baru-baru ini.[12] Namun ramai tidak menyedari, sejak 2013, Kementerian Kesihatan bertindak mengawal pengedaran dan penjualan e-cigarette khasnya cecair nikotin e-rokok dengan menggunakan peruntukan-peruntukan di bawah Akta Racun 1952, Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah Dan Kosmetik 1984.[6]
Nikotin merupakan bahan racun yang dikawal di bawah Akta Racun 1952 dan hanya dikecualikan untuk rokok atau produk tembakau. Penjualan produk nikotin hanya boleh dibuat melalui ahli farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar. Mana-mana orang selain daripada mereka yang disebut di atas yang menjual cecair nikotin e-cigarette adalah melakukan satu kesalahan dan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Akta yang sama.[6]
Pada masa yang sama, pengedaran dan pembekalan cecair nikotin e-rokok memerlukan pendaftaran dan kelulusan daripada Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia. Mana-mana orang yang mengedar atau membekalkan cecair nikotin e-cigarette tanpa kelulusan adalah melakukan satu kesalahan di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM 25,000.00 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Peraturan yang sama. [6]
Sebelum ini, e liquid yang mengandungi nikotin perlu didaftarkan sebagai produk dengan pihak berkuasa kawalan dadah seperti yang diperuntukkan dalam Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 sebelum boleh diedar, dijual dan dibekalkan. [7]
Dan apabila ia telah didaftarkan, pembekalan oleh doktor perubatan dan ahli farmasi perlu direkodkan dalam buku preskripsi memandangkan ia adalah racun berjadual kumpulan C. [8,9]
Disebabkan akta ini jugalah, saya tidak nampak peluang dari kata-kata salah seorang menteri kepada peniaga vape untuk terus menjual cecair e-rokok.[1] Akta tersebut begitu ketat, jikalaupun sebuah farmasi atau klinik ingin memberikan perkhidmatan e-rokok ini, ianya perlu dikawalselia, mempunyai dokumentasi yang lengkap, dan dinilai atau diaudit secara berkala. Ianya perlu dipantau oleh badan professional dan hanya golongan kesihatan professional yang boleh memberikan perskripsi ubat tersebut. Ianya sama seperti terapi gantian methadone di dalam program “harm reduction” yang terdapat di klinik-klinik kesihatan. Namun inilah kos yang perlu dipatuhi, jika benar-benar vape ingin diregulasi mengikut akta sedia ada dengan tujuan merawat ketagihan rokok dan nikotin. Mahu tidak mahu, penjual cecair e-rokok terpaksa menutup kedai dan segala cecair nikotin perlu dirampas, melainkan:
  1. Pihak pengeluar e-rokok tempatan membuka/berkerjasama dengan farmasi (sesuatu yang sukar dan itupun belum tentu dibenarkan menjual) atau
  2. Menteri menggunakan kuasa sedia ada dengan membuat pindaan kecil di dalam regulasi bawah akta sedia ada, tanpa perlu dibentang di parlimen atau
  3. Mengusulkan kepada ahli politik di parlimen menggubal akta regulasi baru khusus untuk rokok dan e-rokok.
Jika tiada persetujuan daripada akta dan regulasi sedia ada, langkah ke 3 atau pewujudan akta yang baru khusus untuk rokok dan e-rokok adalah perlu bagi menamatkan pertikaian antara kedua-dua belah pihak samada daripada kerajaan dan juga penggerak e-rokok. Perbincangan untuk mewujudkan akta baru perlu mempunyai tujuan utama, iaitu mengawal e-rokok dan melindungi bukan pengguna terutamanya kanak-kanak. Penggunaan e-rokok tanpa kawalan akan meningkatkan lagi penggunaan e-rokok, menyebabkan wabak dan seterusnya menjadi potensi kepada masalah kesihatan awam. Terdapat 4 objektif asas yang boleh diikuti di dalam penyediaan akta tersebut yang telah diadaptasi daripada WHO:
  1. Ianya mesti menghalang sebarang bentuk promosi menggalakkan pengambilan e-rokok kepada bukan perokok, wanita mengandung dan juga remaja. [3]
  2. Meminimakan potensi risiko kesihatan kepada pengguna e-rokok dan juga bukan pengguna. [3]
  3. Melindungi usaha kawalan tembakau yang sedia ada dari kepentingan perdagangan dan lain-lain industri tembakau. [3]
  4. Dakwaan kesihatan yang belum terbukti perlu dibendung. [3]
Cadangan Langkah Regulasi
  1. Penggunaan e-rokok di tempat awam. Pengguna e-rokok atau vape perlu dibawah undang-undang untuk tidak menggunakan peranti di dalam sesuatu bangunan (indoor) dan tempat-tempat larangan merokok sedia ada.
  2. Promosi, iklan dan penajaan dikekang dan dikawal oleh kerajaan. Namun, beberapa bentuk promosi tertentu, boleh diterima jika bukti empirikal menunjukkan bahawa e-rokok mungkin memainkan peranan dalam membantu beberapa perokok untuk berhenti tanpa membawa kepada peningkatan penggunaan terutamanya digunakan oleh kanak-kanak dan bukan perokok yang sememangnya tidak menggunakan nikotin.
  3. Kawalan terhadap promosi, penajaan dan iklan vape, (nikotin dan tanpa nikotin) mesti mempunyai tahap kawalan minima seperti berikut:
    1. Setiap produk mesti mempunyai label yang menyatakan secara jelas, kandungan nikotin yang terdapat di dalam cecair.
    2. Amaran Kesihatan. Perlabelan amaran kesihatan di setiap produk hendaklah sepada dengan risiko kesihatan yang terbukti. Antara cadangan yang boleh diletakkan adalah seperti: potensi ketagihan nikotin, risiko masalah pernafasan, mata, hidung dan tekak, dan juga kesan kepada kehamilah akibat daripada pendedahan nikotin.
    3. Tidak boleh menjadikan ianya lebih menarik atau sasaran, secara langsung mahupun tidak langsung yang seterusnya menggalakan penggunaan kepada bukan perokok atau bukan pengguna nikotin
    4. Tidak menjadikan ianya menarik dan sasaran, samada secara langsung mahupun tidak langsung, kepada mereka yang bawah umur, termasuklah pemilihan media, lokasi, ataupun konteks penyampaian imej seperti penggunaan wanita dan lain-lain
    5. Pemberian produk e-rokok samada cecair, atau peranti secara percuma untuk apa-apa tujuan yang boleh memberikan promosi secara langsung mahupun tidak langsung
    6. Dilarang sama sekali mempromosi e-rokok kepada bukan perokok, dan ianya tidak boleh digunakan untuk melambangkan hak pengguna menjalani aktiviti berkenaan.
    7. Tidak mempunyai sebarang input mengenai rokok tembakau samada secara langsung atau tidak seperti penggunaan apa saja yang berkaitan dengan sesuatu jenama rokok seperti logo, warna, rekabentuk, trademark dan sebagainya.
      Kajian daripada Universiti Michigan: Majoriti bersetuju, e-rokok perlu dikawal dengan tax, label amaran kesihatan, disekat penggunaan di tempat-tempat awam, dan perasa gula-gula diharamkan.[13]
    8. Tidak boleh memberikan tanggapan bahawa e-rokok adalah satu perkara kesihatan, melainkan penggunaan produk tersebut dilesenkan dan diiktiraf oleh pengawal dan hanya untuk kegunaan yang ditetapkan sebegitu.
    9. e-Rokok yang biasa hanya boleh dikenali sebagai alternatif kepada rokok dan perlu diletakkan amaran bahawa penggunaan kedua-dua rokok dan e-rokok tidak akan mengurangkan bahaya akibat rokok.
    10. Tidak menjadikan alasan untuk melanggar peraturan rokok sedia ada seperti, menggalakan dan mempromosi penggunaan e-rokok di tempat larangan merokok.
    11. Produk e-rokok tidak berkait dengan alkohol, dadah haram, judi atau mana-mana aktiviti atau lokasi kepada produk yang tidak sihat.
  4. Rekabentuk produk:
    1. Meminimumkan kandungan dan pelepasan bahan toksik
    2. Memastikan penggunaan nikotin yang berkualiti farmakologi,
    3. Menyamakan penyampaian nikotin pada tahap yang diketahui oleh pengguna;
    4. Mengurangkan keracunan nikotin akut;
    5. Menghalang pengubahan produk untuk menggunakan ubat-ubatan yang lain;
    6. Mengharamkan cecair nikotin dengan perisa buah-buahan, gula-gula-suka dan alkohol sehingga terdapat bukti empirikal yang menunjukkan bahawa ianya tidak menarik kepada kanak-kanak;
    7. Menghendaki pengeluar dan pengimport untuk mendedahkan kepada pihak berkuasa mengenai kandungan dan pelepasan bahan kimia sesuatu e-rokok; dan
    8. Pengeluar dan pengimport perlu berdaftar dengan pihak kerajaan.
  5. Ketelusan diperlukan daripada syarikat-syarikat, pergerakan, kelab, persatuan e-rokok dan syarikat-syarikat tembakau dalam pendirian samada menyokong dan menentang undang-undang dan peraturan tersebut, secara langsung dan melalui pihak ketiga. Tidak kira apa peranan industri tembakau memainkan dalam pengeluaran, pengedaran dan penjualan e-rokok, kumpulan atau industri ini tidak boleh dianggap sebagai rakan kongsi kepada kesihatan awam yang sah atau mempunyai berkepentingan untuk terus mendapat keuntungan daripada hasil tembakau dan produknya seperti nikotin.
  6. Pengawasan dan pemantauan. Kerajaan adalah disyorkan untuk menggunakan atau mengukuhkan aktiviti kawalan tembakau sedia ada dan sistem pemantauan untuk menilai perkembangan e-rokok dan penggunaan nikotin mengikut jantina dan umur.
  7. Penjualan bawah umur. Penjual adalah dilarang sama sekali menjual produk e-rokok kepada bawah umur.
  8. Mana-mana perkara yang tidak dinyatakan secara spesifik di dalam akta baru ini perlu tertakluk kepada akta sedia ada seperti Akta Racun 1952, Akta Jualan Dadah 1952, dan Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
  9. Cukai atau Duti Rokok (Sin Tax). seperti mana cukai pada rokok konvensional boleh diadaptasi, namun perlu kajian mendalam
Akhir kata, penggunaan e-rokok tanpa kawalan akan meningkatkan lagi penggunaan e-rokok dikalangan bukan perokok dan akan menyebabkan wabak ketagihan yang baru dan seterusnya menjadi potensi kepada masalah kesihatan awam. Adalah dengan ini diharapkan agar dengan kawalan yang bakal dibuat, penggunaan e-rokok adalah bertujuan semata-mata untuk berhenti merokok dan menyelesaikan masalah ketagihan nikotin bukan menyumbang kepada peningkatan perokok samada rokok konvensional mahupun e-rokok.
Keyword: e-rokok, rokok, vape, vaping, kawalan tembakau, akta.
Rujukan:
  1. Facebook Profile: Ismail Sabri (2015). Retrieved November 17, 2015, from https://www.facebook.com/ismail.sabri.355
  2. Tonton. (2015, November 16). Bella, 224. Retrieved November 17, 2015, from http://www.tonton.com.my/tvShow?titleId=5636d64624157314580041cb
  3. WHO FCoTC. Electronic nicotine delivery systems. (2014). Retrieved November 16, 2015 from: http://apps.who. int/gb/fctc/PDF/cop6/FCTC_COP6_10-en.pdf?ua=1
  4. Callahan-Lyon, P. (2014). Electronic cigarettes: Human health effects. Tobacco Control, Ii36-Ii40.
  5. Zhu S-H, Sun JY, Bonnevie E, Cummins SE, Gamst A, Yin L, Lee M. (2014). Four hundred and sixty brands of e- cigarettes and counting: implications for product regulation. Tobacco Control, 23:iii3–iii9.
  6. PENJELASAN KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA BERKENAAN E-CIGARETTE DAN CECAIR NIKOTIN E-CIGARETTE. (2013). Retrieved November 16, 2015, from https://www.facebook.com/notes/kementerian-kesihatan-malaysia/penjelasan-kementerian-kesihatan-malaysia-berkenaan-e-cigarette-dan-cecair-nikot/588079687872105?
  7. CONTROL OF DRUGS AND COSMETICS REGULATIONS 1984. (1952). Retrieved November 16, 2015, from http://www.pharmacy.gov.my/v2/sites/default/files/document-upload/control-drugs-and-cosmetics-regulation-1984.pdf
  8. POISONS ACT 1952. (1952). Retrieved November 16, 2015, from http://www.pharmacy.gov.my/v2/sites/default/files/document-upload/poisons-act-1952-act-366.pdf
  9. FIRST SCHEDULE POISONS LIST. (2015). Retrieved November 16, 2015, from http://www.pharmacy.gov.my/v2/sites/default/files/document-upload/poisons-list-04.02.2015_1.pdf
  10. Penjelasan terbaru KKM “Baca jangan Tak Baca” Kelantan Vapors Facebook Page. (2013). Retrieved November 16, 2015 from https://www.facebook.com/KelantanVapors/posts/486461818081381
  11. Akta Makanan 1983 – Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2011. Retrived November 16, 2016 from http://www2.moh.gov.my/acts/40
  12. KKM perlu hentikan operasi rampas cecair vape – Azwan Bro. (2015). Retrieved November 17, 2015, from http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kkm-perlu-hentikan-operasi-rampas-cecair-vape-azwan-bro-79637
  13. University of Michigan Health System. (2015). Teens and parents agree: Electronic cigarettes need restrictions: Majority opinion on e-cigarettes: Should be taxed, come with health warnings, be restricted in public spaces; candy flavors should be banned. ScienceDaily. Retrieved November 17, 2015 from www.sciencedaily.com/releases/2015/11/151116084015.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...