Oleh : Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Pahang Kali Ke-06/2010, pada 6 Semptember 2010

Keputusan : Mesyuarat bersetuju menerima garis panduan yang telah disediakan dan bersetuju ia dijadikan panduan dalam mengendalikan kes-kes seksual yang melibatkan kes rogol dan zina.

 

GARIS PANDUAN PENGENDALIAN MASALAH KESIHATAN SEKSUAL DAN REPRODUKTIF DI KALANGAN REMAJA DI KLINIK KESIHATAN DARI PERSPEKTIF SYARIAH

LATAR BELAKANG

1.         Garis panduan ini telah dikemukakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dalam usahanya untuk membantu anggota-anggota kesihatan apabila  berhadapan dengan pesakit di kalangan remaja yang mengalami masalah kesihatan seksual dan reproduktif.

2.         Walau bagaimanapun, dalam proses penyediaan garis panduan ini, terdapat beberapa isu dari sudut undang-undang, moral dan agama yang menjadi perdebatan di kalangan ahli perubatan dan professional yang lain.

3.         Memandangkan pesakit-pesakit yang disebutkan melibatkan remaja-remaja beragama Islam, pandangan daripada pakar-pakar syariah dipohon dalam menentukan hukum dan kesesuaian kandungan garis panduan ini berlandaskan syarak.

ISU DAN MASALAH

1.         Garis panduan ini diwujudkan sebagai rujukan kepada pengamal-pengamal perubatan atau anggota-anggota kesihatan tentang tindakan yang wajar diambil apabila mereka berhadapan dengan remaja yang mengalami masalah kesihatan seksual dan reproduktif.

2.         Remaja menurut istilah yang difahami dalam garis panduan ini merangkumi remaja di bawah umur 16 tahun, remaja berumur antara 16-18 tahun dan remaja berumur 18 tahun dan ke atas. Mereka ini merangkumi maksud remaja yang sihat fizikalnya dan remaja yang tergolong dalam golongan orang kurang upaya (OKU). Ia juga merujuk kepada remaja yang telah berkahwin dan yang belum berkahwin.

3.         Secara umumnya, masalah kesihatan seksual dan reproduktif merangkumi empat isu yang menjadi subtopik utama dalam garis panduan ini, iaitu :

  1. Kehamilan di kalangan remaja dan pengguguran;
  2. Jangkitan Kelamin – HIV/AIDS;
  3. Pengurusan Keganasan Seksual (Rogol, Cabul. Liwat dan Sumbang Mahram); dan
  4. Perkhidmatan Kontraseptif

4.         Garis panduan ini telah melalui proses permurnian daripada sudut hukum setelah dibentangkan dalam bengkel-bengkel yang diadakan berdasarkan kepada kertas kerja Pandangan Syariah Berkenaan Pengguguran dan Membekalkan Bahan Kontraseptif kepada Remaja yang Berisiko Tinggi yang dibentangkan oleh Y.Bhg. Prof. Madya Dr. Anisah binti Ab. Ghani.

5.         Namun begitu, terdapat beberapa isu syariah yang timbul dalam keempat-empat topik tersebut seperti berikut:

Bil Tajuk Rujukan Isu Syariah
1

 

 

 

Kehamilan di kalangan remaja dan pengguguran 4. Prosedur Kerja Piawai

4.1. b) Pengguguran

-4.1.1 Permohonan ibu hamil/ibu/bapa/penjaga

-4.1.2 Cadangan oleh pengamal perubatan

Pengguguran anak. Kaedah ini akan digunakan kepada remaja yang normal dan remaja OKU. Ia bertujuan untuk menyekat kes-kes pembuangan bayi. Selain itu, ia membantu

mengurangkan rasa trauma dan takut seseorang remaja perempuan akibat kehamilan luar nikah kerana perasaan itu akan membantutkan kesihatan dan tumbesarannya. Dalam prosedur ini tidak dinyatakan pada tahap atau tempoh kehamilan yang mana kaedah pengguguran akan dijalankan.

 

2.

 

Jangkitan Kelamin HIV/AIDS 2. Kajian Kes

 

2.1.6 Keperluan Intervensi

 

-b. Amalan Seksual Selamat (Safe Sex)

Pemakaian kondom oleh remaja yang belum berkahwin agar tidak dijangkiti penyakit kelamin HIV/AIDS. Kaedah ini hanya membuka ruang amalan seks bebas berlaku kerana ia hanya bertujuan untuk menyekat penyakit tetapi tidak menolak perbuatan zina itu sendiri.

 

3.

 

 

Pengurusan Keganasan Seksual (Rogol, cabul, Liwat dan Sumbang Mahram) 3. Isu / Masalah

 

3.2 keperluan Khas

 

-3.2.2 Keperluan Pencegahan Kehamilan

Pemberian pencegahan kehamilan iaitu ‘emergency pil’ yang berupaya mencegah kehamilan dalam masa 72 jam dari tempoh hubungan seks berlaku. Dalam perkara ini pemberian pil ini merupakan salah satu daripada sadd al-zari’ah untuk menghalang berlakunya kehamilan yang tidak diingini yang bukan dengan kerelaan sendiri. Namun begitu, perlu dimaklumkan bahawa hubungan seks dengan remaja di bawah 16 tahun adalah rogol walaupun dengan kerelaan. Justeru, penafsiran mangsa rogol perlu diperjelaskan kerana sekiranya pil ini diberikan kepada pasangan yang meakukannya dengan kerelaan ia hanya akan membuka ruang perzinaan.

 

4. Perkhidmatan Kontraseptif 6. Prosedur Kerja Piawai

 

 

6.5 Kenal pasti remaja yang memerlukan kontraseptif

 

-i. Seks paksaan

-ii. Seks atas persetujuan  bersama

Kontraseptif adalah bahan atau kaedah sama ada kondom, pil atau apa-apa kaedah yang berkaitan yang digunakan sebelum atau semasa berlakunya hubungan seks untuk mengelakkan kehamilan. Hukum kontraseptif boleh dikiaskan kepada hukum azal dalam islam. Namun, hukum azal harus bagi pasangan yang berkahwin sahaja. Manakala bagi pasangan yang belum berkahwin, kaedah itu hanya akan membuka lagi ruang perzinaan.

 

 

6.         Merujuk kepada senarai isu syariah berdasarkan kepada subtopik yang disebutkan, dapat dirumuskan bahawa terdapat dua (2) isu syariah yang timbul dalam garis panduan ini iatu:

  1. Hukum pengguguran anak; dan
  2. Pemberian bahan kontraseptif untuk tujuan pencegahan kehamilan seperti kondom, pil dan sebagainya.

DALIL DAN HUJAH

Isu 1: Hukum Pengguguran Anak

1.       Isu ini telah dibincangkan beberapa kali dan telah mendapat keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Maka penyelidik merasakan cukup dibentangkan semula keputusan-keputusan fatwa yang berkaitan iaitu :

  1. Menurut ijmak fuqaha’ haram menggugurkan janin yang telah berumur lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab-sebab kecacatan yang teruk.
  2. Makruh menggugurkan janin yang berumur antara satu hingga 40 hari sekiranya tidak mendatangkan bahaya pada ibu dan mendapat persetujuan kedua-dua suami isteri ; dan
  3. Ijmak fuqaha berpendapat pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang boleh membahayakan nyawa ibu.

2.       Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 dalam membincangkan isu Menggugurkan Janin Pembawa atau Pengidap Penyakit Thalassemia ialah :

  1. Makruh menggugurkan janin yang berumur antara satu hingga 40 hari sekiranya tidak mendatangkan bahaya pada ibu dan mendapat persetujuan kedua-dua suami isteri;
  2. Pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang boleh membahayakan nyawa ibu; dan
  3. Pengguguran janin yang telah berumur 120 hari atau lebih adalah haram kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab kecacatan yang teruk.

3.       Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 dalam membincangkan isu Menggugurkan Kandungan Yang Dirogol ialah :

  1. Haram menggugurkan kandungan janin yang telah berumur lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu.
  2. Pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.

4.       Merujuk kepada kertas kerja Pandangan Syariah Berkenaan pengguguran dan Membekalkan Bahan Kontraseptif kepada Remaja Yang Berisiko Tinggi, hukum pengguguran dapat disimpulkan seperti berikut:

  1. Hasil zina – kandungan zina adalah haram dalam semua keadaan kecuali mengekalkan kandungan akan memudaratkan nyawa ibu.
  2. Hasil rogol – harus menggugurkan kandungan yang berusia kurang daripada 120 hari. Haram menggugurkan kandungan yang berusia lebih daripada 120 hari.
  3. OKU (ujian akal di bawah paras 80) – harus mengugurkan kandungan yang berusia kurang daripada 120 hari. Haram menggugurkan kandungan yang berusia lebih daripada 120 hari kecuali jika memudaratkan nyawa ibu.

Isu 2 : Hukum pemberian Bahan Kontraseptif

1.       Umat Islam sering diingatkan untuk membantu antara satu sama lain apabila diminta bantuan. Ia merupakan hak patut diterima oleh orang memerlukan dan tanggungjawab yang perlu dipenuhi apabila diminta. Umat Islam yang sempurna imannya adalah umat yang sentiasa membantu saudaranya yang membawa kepada perkara-perkara makruf dan meninggalkan kemungkaran.

2.       Memberi bantuan kepada remaja-remaja bermasalah harus sejajar dengan prinsip Islam dengan niat yang ikhlas supaya golongan ini kembali kepada Allah dan insaf dengan perbuatan yang lalu tanpa mahu mengulanginya.

3.       Pemberian pil pencegah kehamilan dan kondom mungkin merupakan bantuan yang boleh diberi oleh setengah pihak kepada golongan ini. Tetapi hukum pemberiannya perlu jelas supaya ia membawa kepada perkara makruf dan tidak sekali-kali mendatangkan perkara mungkar,

4.       Penggunaan pil perancang kehamilan dibenarkan selama mana ia membantu pasangan yang sah untuk merancang keluarga bersandarkan kepada hadith Rasulullah SAW :

 

فال عمر وأخبرني عطاء سمع جابرا رضي الله عنه قال كنا نعزل والقران ينزل

(رواه بخاري)

 

Maksudnya : ‘Amr berkata, “dan dikhabarkan kepadaku oleh ‘Atta, beliau mendengar Jabir RA berkata, Kami melepaskan air mani di luar faraf dan waktu itu Al-Quran diturunkan (jika ia dilarang sudah pasti Al-Quran menjelaskan larangannya.”

(Diriwayatkan oleh Bukhari)

5.       Hadith ini menjelaskan bahawa Rasulullah tidak melarang perbuatan العزل  (ejakulasi di luar faraj) di kalangan para sahabat ketika bersama isteri-isteri mereka. Hadith ini dan beberapa hadith lain yang seerti dengannya menjadi sandaran bagi Mazhab Syafi’e dan Mazhab Hanafi dalam mengharuskan العزل  . Melalui keharusan ini, dengan mengambilkira bahawa العزل sebagai salah satu cara menghalang kehamilan, maka kaedah-kaedah lain untuk mencegah kehamilan juga diharuskan. Oleh itu, apa-apa penemuan terbaru atau melalui teknologi terkini untuk tujuan ia adalah diharuskan sama ada kaedah ini dibuat oleh lelaki atau perempuan atau melalui ubat-ubatan maka kaedah-kaedah lain untuk mencegah kehamilan juga diharuskan. Oleh itu, apa-apa penemuan terbaru atau melalui teknologi terkini untuk tujuan ini ia adalah diharuskan sama ada kaedah ini dibuat oleh lelaki atau perempuan atau melalui ubat-ubatan yang diberikan oleh pengamal perubatan. Yang pasti kaedah ini hanya mencegah kehamilan secara sementara dan bukan untuk selama-lamanya.2

6.       Dalam konteks ini, penggunaan susuk norplant (اللواب) penggunaan pil perancang mencegah kehamilan dan kondom merupakan salah satu cara yang diharuskan yang dikiaskan kepada keharusan العزل. Bahkan kaedah-kaedah ini lebih utama kerana hubungan kelamin berlaku secara normal berbanding dengan العزل .3 Hukum ini merupakan keputusan fatwa Dar al-Ifta’ mesir sewaktu membincangkan hukum mencegah kehamilan dan perkara yang berkaitan dengannya khususnya bagi tujuan merancang keluarga.

7.       Jabatan Mufti Negara Brunei juga memutuskan bahawa pil perancang keluarga menyalahi syarak jika ia digunakan untuk menghadkan jumlah bagi setiap pasangan suami isteri. Tetapi ia diharuskan dalam keadaan-keadaan khusus seperti

  1. Isteri-isteri yang terlalu cepat mengandung;
  2. Isteri yang menghidap penyakit berjangkit;
  3. Kumpulan kecil yang lemah urat sarafnya menghadapi tanggungjawab atau tugas berat dan banyak, di aman mereka tidak memperolehi kerajaan atau orang0orang kaya yang dapat membantu menanggung beban mereka; dan
  4. Lain-lain seperti yang telah diterangkan terdahulu khususnya dengan merujuk pendapat dan ulasan Imam al-Ghazali.

8.       Di Malaysia, dengan dikiaskan kepada Hukum sistem Susuk Norplant Dalam Program perancang keluarga kebangsaan, Muzakarah jawatankuasa Fatwa kebangsaan (MJKF) Kali Ke-28 memutuskan bahawa Sistem Susuk Norplant ini adalah harus digunakan. Penggunaan sistem ini hendaklah tertakluk kepada keputusan Muzakarah Kali Ke-12 pada 20 Januari 1977 bersamaan 9 Muharram 1392 yang memutuskan hukum Perancang keluarga adalah seperti berikut:

  1. Memandul lelaki dan perempuan hukumnya dalah haram;
  2. Mencegah beranak atau menghadkan bilangan anak hukumnya adalah haram melainkan dengan sebab yang diharuskan oleh syarak bagi orang perseorangan; dan
  3. Menyusun keluarga dari kesihatan, pelajaran dan kebahagiaan keluarga dengan cara yang selain daripada (i) dan (ii) di atas adalah harus.

9.       Bagi penggunaan kondom tiada keputusan yang berkaitan melainkan keputusan Panel Kajian Syariah Kali Ke-51 dan Kali Ke-52 ketika membahaskan Hukum Pelaksanaan Pemberian Kondom; Jarum dan Methadone Percuma. Dalam isu ini Mesyuarat memtuskan bahawa :

Pemberian kondom percuma untuk tujuan pencegahan HIV/AIDS hanya boleh diberi kepada isteri penagih dadah untuk melindungi dirinya dan anak-anaknya daripada jangkitan virus tersebut atas dasar prinsip ‘dar’u al-mafasid muqaddam ala al-masolih’.

10.       Kesemua keputusan fatwa ini menunjukkan keharusan menggunakannya adalah bagi pasangan yang sah di sisi syarak sahaja tanpa memasukkan pasangan di luar nikah atau mangsa rogol.

11.       Pemberian ubat pencegah kehamilan kepada remaja yang masih belum berkahwin boleh membawa kepada dua keadaan iaitu sama ada remaja tersebut mengambil peluang ini untuk bertaubat atau mereka merasakan bahawa kehamilan bukanlah sesuatu yang sukar untuk ditangani jika terjebak dengan hubungan luar nikah. Amat malang jika keadaan kedua yang berlaku hasil dari niat baik untuk membantu golongan ini. Bukan setakat itu, ia merupakan perkara yang ditegah kerana ia boleh membuka jalan untuk melakukan penzinaan yang berterusan. Larangan ini bersesuaian dengan kaedah fiqh

 

ما  يؤدي الى الحرام فهو حرام

 

HUJAH PERTAMA : HUBUNGAN DI ANTARA PERKARA YANG HARUS DAN MAKSIAT

1.       Walaupun terdapat kelonggaran hukum dalam membenarkan penggunaan kaedah-kaedah pencegah kehamilan, kelonggaran ini tidak sepatutnya dikaitkan dengan perbuatan maksiat. Islam tidak pernah membenarkan kemaksiatan berlaku sama ada secara zahir atau batin. Firman Allah SWT :

Maksudnya : Katakanlah, sesungguhnya Tuhanku mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa, dan perbuatan menceroboh tanpa alasan yang benar; dan (diharamkan) kamu mempersekutukan Allah yang Allah tidak menurunkan sebarang  bukti  untuk itu; dan (diharamkan) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya. (Al-‘Araaf: 33)

2.       Pengharaman ini bukan sekadar mengharamkan zat perbuatan tersebut, bahkan menghampirinya juga diharamkan kerana ia merupakan suruhan syaitan sesuai dengan firman Allah SWT ;

Maksudnya : …dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan yang terang daripadanya dan yang tersembunyi;…

(Al-‘An’aam: 151)

Maksudnya : Syaitan itu menjanjikan kamu dengan kemiskinan dan kepapaan, dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji;… (Al-Baqarah : 268)

3.       فاحشة atau perkara keji adalah perbuatan atau perkataan jenayah, dosa dan kekejiannya amat besar dalam Islam. Zina merupakan contoh yang jelas perbuatan keji ini sama ada dilakukan secara terang-terangan atau bersembunyi.

Maksudnya : dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat. (Al-Israa’ : 32)

4.    Kekejian perlakuan zina ini dapat dilihat daripada hukuman yang telah Allah tetapkan kepada si pelakunya.

Maksudnya : Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah  kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang yang beriman.  (An-Nuur : 2)

5.       Hukuman ini membuktikan bahawa perbuatan zina bukanlah sesuatu yang boleh dipandang sebelah mata. Tiada kelonggaran yang dibenarkan untuk melakukannya. Ia adalah maksiat yang nyata. Maka, apakah ada ruang rukhsah yang boleh dikaitkan dengannya sedangkan kaedah fiqh telah jelas menyatakan الرخص لا تناط بالمعاصي . Seperti yang dicatatkan dalam fatwa Kerajaan Negara Brunei berkaitan penggunaan pil perancang, jika penggunaan ini bersifat peribadi, bukan atas sebab-sebab dharurat yang wajar, maka penggunaannya adalah bertentangan dengan syarak.6

Berdasarkan firman Allah SWT di atas, jelas dinyatakan bahawa tiada belas kasihan dalam menjalankan hukum hudud bagi pasangan ini. Walaupun hukum hudud tidak dijalankan di Malaysia, apakah selayaknya mereka mendapatkan pil ini atas dasar rasa belas kasihan terhadap mereka?

6.       Berhubung pemberian kondom, jalan ini diharuskan bagi pasangan yang berkahwin secara sah untuk merancang keluarga. Lain pula keadaannya jika kondom diberikan kepada pasangan yang belum berkahwin. Menurut Dr. Nik Rubiah bt. Nik Abdul Rashid, penggunaan kondom adalah lebih selamat berbanding pemberian pil pencegah kehamilan kerana kondom bukan sahaja boleh mencegah kehamilan malah ia boleh mengelakkan penyakit kelamin yang berjangkit atau sexually transmitted infections (STI).

7.       Objektifnya adalah sama iaitu untuk mengelakkan gejala socsal yang mungkin timbul kesan dari perlakuan buruk remaja tersebut terutama sekali kes pembuangan bayi. Objektif ini amat murni demi melihat penurunan gejala sosial serta memastikan remaja terbabit tidak hidup terus-terusan dalam tekanan yang kuat. Namun begitu, dengan mengharuskan kaedah ini, terdapat satu percanggahan yang besar antara membiarkan perzinaan dan mengawal gejala sosial.

 

HUJAH KEDUA : PERTIMBANGAN DHARURAT

1.       Dalam keadaan tertentu, perkara-perkara yang ditegah boleh diharuskan apabila ia benar-benar akan menjelaskan maqasid syariah jika melalui pertimbangan dharurat. Ia termasuklah menjejaskan agama, diri, akal, nasab dan harta. Pertimbangan teliti perlu dibuat sebelum ia diharuskan. Antara aspek penting yang perlu dikenalpsti ialah:

  1. Penentuan dharurat: Tiada statistik yang tepat merekodkan bilangan kes-kes remaja yang meminta bantuan perubatan dari fasiliti-fasiliti kesihatan. Namun jumlahnya sering bertambah dari sehari ke sehari yang boleh dilihat daripada kekerapan pertambahan kes juvana. Persoalannya adakah pertambahan jumlah ini boleh dijadikan sebagai sebab sesuatu keadaan itu dharurat.
  2. Penentuan perkara yang ditegah: Pemberian pil perancang dan kondom pada asalnya harus bagi merancang keluarga, namun pemberian ini boleh menjadi haram kerana dikhuatiri akan membuka jalan lebih besar kepada perzinaan.
  3. Penentuan keadaan dharurat sama atau lebih buruk berbanding perkara yang ditegah: imbangan antara kedua-dua perkara ini tidak menepati syarat. Ini kerana tahap dharurat masih tidak dapat dikenalpasti, malah perkara yang ditegah lebih teruk keburukannya berbanding dengan dharurat. Perkara ini jika diharuskan tidak akan mencapai objektif untuk mengurangkan kemudharatan bahkan akan menambahkan lebih banyak permasalahan seperti berlakunya perlakuan zina dan penyebaran penyakit berjangkit. Ini jelas bersesuaian dengan kaedah fiqh الضررلا يزال بضرر مثله أو أكبر منه.

 

HUJAH KETIGA : PERTEMBUNGAN ANTARA DUA KEBURUKAN TIDAK MENEPATI SYARAT

1.       Jika ia dianggap dharurat, apakah dilemma antara memastikan remaja terbabit sihat mental dan fizikal dan mengelakkan kes pembuangan bayi termasuk di dalam pertembungan antara dua mafsadah? Ia merujuk kepada kaedah fiqh:

اذا تعارضت مفسدتان روعي أعظمهما ضررا بارتكاب أخفهما

Jika dibandingkan anatara kedua-dua kerosakan tersebut, pembuangan bayi adalah lebih teruk dan zalim berbanding gangguan kesihatan diri seseorang. Oleh sebab inilah sebahagian pihak melihat pemberian pil pencegah kehamilan dan kondom adalah suatu langkah yang wajar.

2.       Namun begitu, dalam mempertimbangkan antara kebaikan dan keburukan, faedah dan impak negatif perlu dikenalpasti. Menyedari bahawa pemberian in akan membuka ruang perzinaan, impak negatif amat besar berbanding kebaikan yang akan diperolehi. Seperti yang telah disebutkan, perzinaan adalah perbuatan keji yang amat buruk dan seharusnya semua pintu-pintu yang bakal membawa kepadanya ditutup oleh Allah SWT akibat tidak melarang perkara-perkara mungkar daripada terus berlaku seperti yang dihadapi oleh orang-orang kafir Bani Israil

3.       Hukum Allah perlu dipelihara sebaik-baiknya kerana Allah tidak menetapkan hukum itu melainkan ia membawa faedah kepada manusia dalam merancang kehidupan yang sempurna.

4.       Merujuk kepada Mesyuarat Panel Kajian Syariah Kali Ke-66 berhubung Hukum Pemberian Ubat Pencegah Kehamilan dan Kondom Kepada Remaja Bermasalah dan Mangsa Rogol, ahli mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa:

  1. Pemberian ubat pencegahan kehamilan kepada mangsa rogol adalah diharuskan setelah mendapat pengesahan dari pihak berkuasa;
  2. Pemberian ubat pencegahan kehamilan dan kondom kepada remaja bermasalah adalah ditegah kerana ia boleh membuka ruang kemaksiatan.

5.       Namun begitu, berdasarkan kepada kertas kerja Pandangan Syariah Berkenaan Pengguguran dan Membekalkan Bahan Kontraseptif kepada Remaja yang Berisiko Tinggi, selepas mengambil kira segala kesukaran yang dialami oleh pengamal-pengamal perubatan dan anggota-anggota kesihatan, cadangan-cadangan berikut diusulkan:

6.      Untuk kes zina – pembekalan bahan kontraseptif adalah haram, tetapi jika ia mendatangkan mudarat lebih besar kepada penzina atau anak yang mungkin akan lahir, pengamal perubatan boleh memberikannya dengan syarat:

  1. untuk kes kali pertama sahaja kepada penzina bukan muhsan;
  2. tiada sokongan ibu bapa, penjaga atau lain-lain;
  3. taraf ekonomi yang meruncing ( kemiskinan tegar) ;
  4. persekitaran tidak sihat ;
  5. kesihatan mental dan fizikal ;
  6. izin keluarga atau penjaga ; dan
  7. memastikan penzina mendapat bimbingan, kaunseling dan pemantauan sempurna.

7.       Untuk kes rogol – pembekalannya adalah harus dengan mengambil kira maksud mangsa rogol mengikut perspektif syariah.

8.       Untuk kes berpenyakit – pembekalan tidak harus kepada pesakit yang dijangkiti atas perbuatan sendiri. Tetapi harus jika penyakit itu disebabkan oleh jangkitan melalui suami atau pemindahan darah.

9.        Untuk kes OKU – pembekalannya adalah diharuskan untuk menyekat kitaran haid, mengelakkan mereka yang berisiko tinggi dieksploitasi oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Sekatan kehamilan secara kekal boleh dipertimbangkan oleh doktor jika ia mendatangkan kemudaratan yang lebih besar kepada golongan terbabit atau keluarga.

KEPUTUSAN MESYUARAT PANEL KAJIAN SYARIAH (PKS) KALI KE 68

Mesyuarat PKS kali ke-68 telah bersetuju memutuskan bahawa:

Garis panduan ini diterima dengan mengambil kira kertas kerja pandangan syariah berkenaan pengguguran dan membekalkan bahan kontraseptif kepada remaja berisiko tinggi sebagai asas sandaran hukum selepas dipastikan kesahihan tempoh sempurna kejadian kandungan. Garis panduan dan kertas kerja ini akan dibawa ke Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleHukum Pengguguran Anak
Next articleRIHUL AHMAR DAN DOA STROKE
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com