image

Peningkatan kes penyakit Campak sejak akhir-akhir ini amat membimbangkan. Sebagaimana laporan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada bulan Jun lepas, bahawa kes penyakit Campak (measles) di WP Kuala Lumpur sebanyak 73 kes. Kes berkenaan disahkan positif dihinggapi kuman Campak melalui ujian darah. Julat umur kes tersebut antara sebulan sehingga 43 tahun. Lebih menyedihkan majoriti (79%) daripada kes tersebut didapati tiada suntikan vaksin Campak (measles)¹.
Begitu juga kes terbaru wabak penyakit Campak di Kuantan Pahang yang melibatkan sebuah sekolah agama, didapati liputan pemberian imunisasi Campak tidak mencapai 85%. Dengan ertikata lain, tiada lindungan Imuniti Berkumpulan (Herd Immunity) ke atas kanak-kanak di lokaliti berkenaan. Menyebabkan wabak penyakit berjangkit berbahaya seperti penyakit Campak ini senang merebak.

Penyakit Campak adalah sejenis penyakit bawaan virus yang menyerang golongan berrisiko tinggi terutamanya kanak-kanak berumur bawah 15 tahun. Tanda-tandanya bermula dengan demam, batuk, kelesuan badan dan kurang selera makan. Diikuti dengan ruam merah kulit seluruh tubuh, biasanya pada hari ketiga demam. Pengidap penyakit campak akan juga mengalami gatal mata, pening, sakit urat, kerengsaan kerongkong dan pembengkakan kelenjar. Kesan serius yang menakutkan akibat penyakit campak ini adalah kematian. Dicatatkan pada tahun 2013, terdapat 145700 kematian akibat campak seluruh dunia². Pecahan ini mencatatkan 400 kematian bagi setiap hari dan 16 kematian setiap jam. Satu angka yang amat menggerunkan.

Pemberian vaksin khusus bagi pencegahan penyakit Campak semasa umur setahun kanak-kanak telah berjaya menyelamatkan 15.6 juta kematian dari tahun 2000 hingga 2013. Sebelum era vaksinasi (1980), jumlah kematian kanak-kanak dianggarkan 2.6 juta setiap tahun seluruh dunia akibat wabak penyakit Campak ini. Membuktikan vaksinasi memainkan peranan penting dalam kehidupan sejagat manusia.

Sasaran penyakit campak sifar 2010 musnah kerana jumlah yang menolak pemberian vaksin kepada anak-anak semakin bertambah.

Rujukan

1. Dato Dr Noor Hisham. Kenyataan Akbar 28 Julai 2015. Capaian online di http://www.mmgazette.com/peningkatan-kes-measles-di-wpkl-terutama-di-kalangan-yang-tidak-divaksinasi-kkm/
2. World Health Organization. Measles Facts Sheet. February 2015. Accessed online http://www.who.int/mediacentre/factsheets/fs286/en/known

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleBahaya Logam Berat dalam Vaksin?
Next articleHukum Pengguguran Anak
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com