vaccineQ&A Vaksin Siri 6

Penyakit yang dicegah melalui vaksin

 

Soalan:

 

Adakah semua penyakit berjangkit boleh dicegah melalui vaksin? Kalau semua penyakit telah ditemui vaksin, kesianlah bayi kerana terpaksa dicucuk vaksin beratus-ratus jarum?

 

Jawapan:

 

1. Terima kasih kerana perihatin akan nasib anak-anak kita yang mengalami proses pemberian vaksin sejak dari lahir. Pada masa sekarang, pihak berkuasa hanya mewajibkan 10 jenis vaksin yang boleh mencegah penyakit-penyakit berjangkit seperti berikut: Tuberkulosis, Difteria, Pertusis, Tetanus, Polio, Campak, Beguk (Mumps), Rubela, Hepatitis B dan Influenza jenis B.

 

2. Sejak dari penemuan pertama vaksin 1796 sehingga sekarang, terdapat 27 jenis vaksin telah ditemui. Sepuluh jenis vaksin sahaja yang diwajibkan pada ketika ini di negara kita kerana berdasarkan kewujudan kuman-kuman bahaya tersebut dalam persekitaran kita. Terdapat vaksin yang tidak diperlukan seperti vaksin demam kuning (Yellow Fever) kerana kuman tersebut tidak merebak dalam negara kita. Terdapat juga vaksin yang telah dimansuhkan seperti cacar (mansuh 1976) kerana hasil vaksinasi diberikan sejak berabad lamanya, kuman cacar (smallpox) telah pupus. Selain itu terdapat vaksin yang hanya diwajibkan kepada golongan tertentu seperti bakal haji. Mereka diwajibkan mendapat suntikan vaksin Meninggokokal bagi mencegah kuman Meningococcal meningitis (radang selaput otak). Kerajaan mungkin akan mempertimbangkan beberapa jenis vaksin lagi untuk disuntik. Contohnya vaksin yang mencegah Jangkitan Kuman Paru-paru (Pneumonia). Namun ia bergantung kepada kesediaan prasarana pihak berkuasa dan kos vaksin tersebut.

 

3. Para pakar perubatan senantiasa berikhtiar mencari jalan terbaik bagi mencari penemuan-penemuan vaksin baru untuk penyakit-penyakit yang boleh mengancam nyawa. Pemilihan untuk mewajibkan pemberian vaksin baru tersebut bergantung kepada keselamatan sesuatu vaksin dan perebakan wabak sesuatu penyakit dalam masyarakat. Ianya dilakukan dengan teliti setelah melalui proses ujikaji makmal yang ketat.

 

 

Dr Hj Suhazeli Abdullah

Pakar Perubatan Keluarga

Fb.com/drsuhazeli

W: www.suhazeli.com

E: suhazeli@yahoo.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleAdakah Vaksin itu Pilihan?
Next articleVaksin MMR dari Sel Janin. Haramkah?
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com