image

“Pak Cik, Profesional tu apa?” soal seorang anak muda gen Y yang aktif berfacebook. Kopiah lambang parti diperbetulkan sedikit bagi mendengar jawapan dariku. Anak muda ni selalu sangat dengan aktiviti jemaah surau berdepan taman perumahan. Anak Pak Seman, bilal masjid Kuala.

“Kenapa anak muda?” soalku kembali setelah melihat dia semakin keliru. Mungkin banyak perdebatan dalam dunia maya mengakibatkan terbawa-bawa ke anjung surau. Biasanya sebelum ini pun ada apa-apa isu, dia selalu bertanya demikian. Tapi sejak akhir ni agak berjerebu pemikirannya kerana asyik membaca komen maya yang rencam. Sehinggakan ada yang memperlekehkan ulama.

“Wahai anak muda, dengar betul-betul… ” daku mula memperkemaskan sila supaya setiap bait yang akan diberikan tersemat kukuh dalam jiwa anak muda yang mencari-cari jawapan tuntas ini.

“Profesional tu bukan jawatan yang disandang. Doktor ke, Cikgu ke, Ustaz ke, Jurutera ke, Lawyer ke…. Profesional itu adalah tindakan seseorang!” Jawapanku sebagai mukadimah, tanpa prejudis kepada sesiapa.

“Tindakan?” soalnya kembali dengan nada teringin sangat ulasan lanjut.

“Ya. Sebagai contoh, kita selalu merujuk tindakan seseorang yang menyelesaikan sesuatu masalah setempat samada profesional atau tidak. Berlaku aduan timbunan sampah depan surau kita ini minggu lepas. Secara profesional majlis bandaran telah memanggil penduduk taman untuk bertemu mata dan menerangkan kepentingan penjagaan kebersihan sekitar taman. Orang jabatan kesihatan pun secara profesional juga turut serta memberi penerangan mengenai kawalan nyamuk Aedes. Mereka tidak marah-marah atau menuduh semberono aktiviti pembuangan sampah penduduk taman. Mereka menjalankan tugasan mereka secara profesional. Penduduk pun puas hati.” syarahanku bermula, walaupun sukar mencari perumpamaan terbaik bagi menerangkan istilah profesional sebenarnya.

“Dengan kata lain, Profesional itu bukan jawatan yang mereka pegang. Tetapi tindakan yang mereka ambil. Andai kata kita semua BerTINDAK sebaliknya dengan memarahi dan memaki pegawai yang datang itu kerana tidak menjalankan tugasan kutip sampah, bermakna kita ni tidak profesional. Tindakan kita itu dianggap brutal dan primitif.” sambungku lagi walaupun ayat tidak disusun dengan teratur. Suaraku agak tersekat akibat demam selesema tiga hari lepas. Hari ni baru boleh makan nasi dengan selera.

“Owh… Begitu… Sesiapa pun boleh jadi profesional hatta seorang penoreh getah!” anak muda itu menutup perbualan ringkas kami dengan konklusi sedemikian. Menunjukkan dia faham apa erti istilah profesional.

“Ya wahai anak muda.” jawabku ringkas.

“Pak Cik ni penoreh kan?” seragahnya dengan berseloroh.

“Begitulah seadanya…. ” tamat…

Tabib Rijal Al Binjai
24.2.2014

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleDOA BUKA & TUTUP MAJLIS
Next articleBERSUCI (CARA BERSUCI ORANG LUKA DAN BERBALUT)
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com