image

Oleh : Najahudin Lateh (Pensyarah UiTM). [Kertas kerja ini dibentangkan di Seminar Wahyu Asas Tamadun Islam pada 29-29 Julai 2009 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), anjuran Fakulti Pengajian al-Quran & al-Sunnah, USIM]

Yayasan Amal Malaysia (Amal Malaysia) merupakan sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam yang berdaftar secara sah telah ditubuhkan pada 30 Mei 2001. Berbekalkan semangat dan slogan ‘Berkhidmat Untuk Kemanusiaan dan Beramal Kerana Allah’, ia bergerak ke pelusuk negara dan dunia bagi menabur bakti kepada umat manusia yang ditimpa musibah. Suatu yang menarik, Amal Malaysia bergerak atas paksi Islam dengan menampilkan imej baik kepada agama dan menyumbang nama baik kepada negara khususnya dan di peringkat antarabangsa umumnya. Justeru, ia bukan bergerak atas nama amal kebajikan semata-mata tetapi juga sebagai pendakwah. Ini kerana melalui amal kebajikan, anggota Amal Malaysia berhadapan terus dengan ahli masyarakat dan kesempatan itu diambil peluang untuk menggunakan kemahiran berdakwah secara personaliti serta amalan. Pendekatan berkhidmat sambil berdakwah adalah pendekatan yang terpuji bagi menonjolkan kesyumulan dan keluasan Islam. Secara jelas, kebaktiannya diterima oleh masyarakat setempat dan antarabangsa tanpa sebarang prejudis. Ini kerana Amal Malaysia tidak terikat dengan keterbatasan ruang lingkup yang sempit serta tidak dibatasi oleh sempadan geografi dan juga keterikatan bangsa dan agama. Gerak kerjanya termasuklah misi bantuan, perubatan, pendidikan dan dakwah, latihan, penyelidikan, pembangunan remaja, penerbitan dan hubungan luar. Skop amalnya di dalam dan luar negara. Penglibatan dalam negara terbukti ketika membantu mangsa Tsunami di Kedah dan Pulau Pinang, menggerakkan pasukan bantuan mangsa banjir di Johor, Kedah dan negeri-negeri lain serta bantuan penduduk miskin dan ditimpa musibah di Sabah, Sarawak dan seluruh negara. Begitu juga bantuan kemanusiaan di luar negara seperti di Acheh, Jogjakarta, Mindanao, Kemboja, Kashmir, Pakistan, Sri Lanka, Iran, Lubnan, Palestin dan sebagainya. Pengalamannya banyak. Pengalaman ini memberi makna yang besar kepada kita. Termasuk juga untuk terlibat sama.

 

 

ORGANISASI BANTUAN DAN KHIDMAT SUKARELA : PENGALAMAN AMAL MALAYSIA

Oleh :
Najahudin Lateh (Pensyarah UiTM)
Kertas kerja ini dibentangkan di Seminar Wahyu Asas Tamadun Islam pada 29-29 Julai 2009 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), anjuran Fakulti Pengajian al-Quran & al-Sunnah, USIM

Abstrak

Yayasan Amal Malaysia (Amal Malaysia) merupakan sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam yang berdaftar secara sah telah ditubuhkan pada 30 Mei 2001. Berbekalkan semangat dan slogan ‘Berkhidmat Untuk Kemanusiaan dan Beramal Kerana Allah’, ia bergerak ke pelusuk negara dan dunia bagi menabur bakti kepada umat manusia yang ditimpa musibah. Suatu yang menarik, Amal Malaysia bergerak atas paksi Islam dengan menampilkan imej baik kepada agama dan menyumbang nama baik kepada negara khususnya dan di peringkat antarabangsa umumnya. Justeru, ia bukan bergerak atas nama amal kebajikan semata-mata tetapi juga sebagai pendakwah. Ini kerana melalui amal kebajikan, anggota Amal Malaysia berhadapan terus dengan ahli masyarakat dan kesempatan itu diambil peluang untuk menggunakan kemahiran berdakwah secara personaliti serta amalan. Pendekatan berkhidmat sambil berdakwah adalah pendekatan yang terpuji bagi menonjolkan kesyumulan dan keluasan Islam. Secara jelas, kebaktiannya diterima oleh masyarakat setempat dan antarabangsa tanpa sebarang prejudis. Ini kerana Amal Malaysia tidak terikat dengan keterbatasan ruang lingkup yang sempit serta tidak dibatasi oleh sempadan geografi dan juga keterikatan bangsa dan agama. Gerak kerjanya termasuklah misi bantuan, perubatan, pendidikan dan dakwah, latihan, penyelidikan, pembangunan remaja, penerbitan dan hubungan luar. Skop amalnya di dalam dan luar negara. Penglibatan dalam negara terbukti ketika membantu mangsa Tsunami di Kedah dan Pulau Pinang, menggerakkan pasukan bantuan mangsa banjir di Johor, Kedah dan negeri-negeri lain serta bantuan penduduk miskin dan ditimpa musibah di Sabah, Sarawak dan seluruh negara. Begitu juga bantuan kemanusiaan di luar negara seperti di Acheh, Jogjakarta, Mindanao, Kemboja, Kashmir, Pakistan, Sri Lanka, Iran, Lubnan, Palestin dan sebagainya. Pengalamannya banyak. Pengalaman ini memberi makna yang besar kepada kita. Termasuk juga untuk terlibat sama.

PENDAHULUAN

Di Malaysia, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) telah berjaya muncul menjadi satu institusi yang dekat di hati rakyat. Khidmat masyarakat dan bantuan sukarela dapat dilihat dan boleh dibanggakan. Ini meliputi perkhidmatan di dalam negara dan lebih membanggakan perkhidmatan mereka juga merentas benua dan dunia. Sebutlah apa sahaja nama NGO Malaysia, pasti ada makhluk di dunia ini yang kenal dengan Yayasan Amal Malaysia (Amal Malaysia), MERCY Malaysia, Aman Palestin, Muslim Care, Global Peace, Islamic Relief, Yayasan Salam dan sebagainya.

Justeru, kertas ini akan melihat perkembangan dan pengalaman Amal Malaysia dalam merencanakan khidmat amal mereka, sama ada di peringkat nasional atau antarabangsa. Perlu dinyatakan, informasi tentang organisasi ini tidak terdapat dalam bentuk buku, prosiding atau jurnal penerbitan. Semua data dalam tulisan ini kebanyakannya dipungut daripada bahan primier seperti undang-undang tubuh, laporan tahunan, minit mesyuarat, ucap utama presiden, wawancara dan keratan-keratan akhbar. Secara umum, keseluruhan cacatan ini merujuk kepada wawancara yang dibuat dengan presiden dan beberapa jawatankuasa tertingginya.

SEJARAH PENUBUHAN

Cadangan penubuhan Amal Malaysia dicetuskan oleh presidennya sendiri, Hj. Husin Ismail melalui kertas cadangan penubuhannya pada tahun 2001. Hasil perbincangan, kerjasama dan buah fikiran beberapa kalangan aktivis masyarakat seperti Hj Jamuliddin Elias (Timbalan Presiden), Hj. Othman Sodikin (Ahli Jawatankuasa), Raja Iskandar Raja Ahmad, Abd Hamid Seman (Ketua Setiausaha) dan lain-lain lagi telah mencetuskan penubuhan sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang dinamakan Yayasan Amal Malaysia (Amal Malaysia). Pada 30 Mei 2001, penubuhannya telah disah dan didaftarkan di Pendaftar Pertubuhan dengan nombor rujukan 514 beralamat di no. 484, Jalan Sultan Mahmud, Gong Kapas, Kuala Terengganu. Kemudian Amal Malaysia dikembangkan ke seluruh negeri hinggalah mempunyai 14 cawangan dengan pendaftaran Amal Sarawak sebagai cawangan yang terakhir pada 2008. Untuk memudahkan urusan pentadbiran dan tuntutan semasa, mulai 21 Ogos 2008, pejabat induk dan pusat operasinya dipindahkan ke 127-2 A, Jalan SBC 1, Taman Sri Batu Caves, Selangor.

Sejak itu, Amal Malaysia mula bergerak menabur bakti, mencipta rentak dan irama ke pelusuk negara dan dunia. Sehingga kini, ia mempunyai lebih daripada 2,000 orang ahli sukarelawan berdaftar. Berbekalkan semangat dan slogan “Berkhidmat Untuk Kemanusiaan – Beramal Kerana Allah” (Working for Humanity – Serving God) serta kegigihan semangat dan kerja sahabat relawan, Amal Malaysia telah berjaya menampilkan imej baik kepada agama dan menyumbang nama baik kepada negara di peringkat internasional. Aktiviti terasnya adalah melakukan misi kemanusiaan meliputi derma darah, khidmat masyarakat, bantuan perubatan, motivasi remaja, pelajar, ibadat korban dan akikah.

Suatu keistimewaan Amal Malaysia adalah gerak kerjanya berpaksikan Islam. Ini jelas dalam visinya, iaitu ‘Menjadi sebuah pergerakan sukarelawan kemasyarakatan dan kemanusiaan yang cemerlang pilihan generasi baru yang berteraskan Islam.’ Menurut Hj. Husin, Amal Malaysia bukan sahaja bergerak atas nama amal kebajikan semata-mata tetapi juga sebagai pendakwah. Ini kerana melalui amal kebajikan, anggotanya berhadapan terus dengan ahli masyarakat, kesempatan ini mesti diambil peluang untuk menggunakan skill berdakwah kepada mereka. Baginya, pendekatan berkhidmat sambil berdakwah adalah pendekatan yang terpuji yang wajar dicontohi. 

ORGANISASI GERAK KERJA

Amal Malaysia mengadakan Mesyuarat Agung Perwakilan dwi tahunan. Sejak penubuhan hingga sekarang, sudah lima kali mesyuarat ini diadakan. Undang-undang tubuhnya mencatatkan mesyuarat agung perwakilan mesti memilih Ahli Jawatankuasa Pusat yang terdiri daripada seorang presiden, seorang timbalan presiden, tiga orang naib presiden, dan enam orang ahli jawatankuasa.  Selain itu, Amal Malaysia membahagikan gerak kerjanya kepada 10 biro. Setiap biro mempunyai pengerusi dan ahli jawatankuasa masing-masing. 

Struktur organisasinya adalah seperti berikut :
Presiden

Timbalan Presiden

Naib Presiden I    Naib Presiden II    Naib Presiden III

Ketua Setiausaha            Bendahari Pusat

Pen. Ketua Setiausaha I    Pen. Ketua Setiausaha II

Biro Hubungan Luar Antarabangsa              Biro Pembangunan & Logistik 
Biro Kemanusiaan & Relief            Biro Penyelamat 
Biro Perubatan & Kesihatan            Biro Kemasyarakatan
Biro Pembangunan Wanita & Keluarga    Biro Pembangunan Belia
Biro Pendidikan, Latihan & S. Manusia    Biro Ekonomi & Kewangan 
Biro Penerangan & Penerbitan        Biro IT & Website        

Setiap cawangan negeri pula mempunyai struktur organisasi yang terdiri daripada Pengerusi, Timbalan Pengerusi, tiga Naib Pengerusi, Setiausaha, dua Penolong Setiausaha, Bendahari dan enam ahli Jawatankuasa. Suatu yang menarik, Amal Malaysia juga memberi peruntukan wajib dalam organisasi kepada wanita, iaitu Timbalan Pengerusi III diperingkat pusat, Timbalan Ketua Setiausaha II diperingkat negeri dan diwujudkan Biro Pembangunan Wanita dan Keluarga.

Di pejabat pusat, Amal Malaysia telah melantik seorang pegawai sepenuh masa dan dua orang pegawai separuh masa untuk berkhidmat di situ. Agak menarik, bayaran gaji kepada staf serta sewaan bulanan pejabat di Batu Caves sebenarnya dibiayai oleh individu tertentu. Tugasan staf pejabat berbayar ini dibantu pula oleh beberapa pegawai dan sukarelawan Amal Malaysia yang tidak bergaji. Malah, sebahagian besar sukarelawan yang berkhidmat dalam misi kemanusiaan di dalam dan luar negara menggunakan wang poket sendiri, khususnya perbelanjaan pengangkutan ke tempat misi.

KEWANGAN DAN SUMBANGAN

Kepekaan pelbagai pihak terhadap nasib serta bencana yang menimpa umat menyebabkan ramai pihak menjadikan Amal Malaysia sebagai orang tengah untuk diberikan sumbangan. Ini terbukti dengan jumlah derma yang banyak diterima, sama ada berbentuk mata wang atau barangan. Selain itu, ia juga menerima sumbangan material dan kepercayaan daripada pelbagai pihak termasuk orang perseorangan, ahli korporat, institusi kerajaan, swasta, sekolah, institut pengajian tinggi dan sebagainya. 

Menurut Hj. Husin, cawangan Amal Terengganu sahaja dapat mengutip sumbangan orang ramai sebanyak RM 350,000 untuk digunakan dalam misi kemanusian. Malah, Amal Malaysia sendiri mendapat kepercayaan kerajaan sebagai pengantara untuk menyalurkan sumbangan mencecah jutaan ringgit kepada pihak yang menerima musibah. Ketika musibah banjir besar di Johor pada akhir 2006, ia telah diamanahkan oleh Kerajaan Kelantan untuk mengagih-agihkan bantuan berjumlah RM 1 juta kepada penduduk yang terlibat. Amal Malaysia juga mendapat sumbangan RM 1 juta daripada Kerajaan Selangor, iaitu setengah juta untuk mangsa banjir di China dan pelarian Mindanao dan setengah juta lagi sumbangan kepada penduduk Gaza, Palestin. Lembaga Zakat Selangor juga memberi sumbangan sebanyak RM 1 juta yang disampaikan sendiri oleh DYMM Sultan Selangor untuk diagihkan kepada penduduk Palestin. 

Pemberian kewangan yang besar sebegini membuktikan kepercayaan pelbagai pihak, termasuk pihak kerajaan terhadap Amal Malaysia supaya sumbangan tersebut terus kepada sasaran. Begitu juga ia merupakan antara 13 NGO Malaysia yang diperakukan oleh Kementerian Luar Negara sebagai wakil kerajaan untuk menyalurkan sumbangan rakyat Malaysia melalui projek khidmat masyarakat di bumi Gaza. Bagi Amal Malaysia, ia telah diamanahkan bersama NGO Haluan dan Dewan Pemuda Masjid Malaysia untuk menyediakan pemasangan ‘tube well’ bekalan air bersih untuk penduduk Gaza. Projek ini juga melibatkan beberapa NGO Palestin yang diiktiraf kerajaan di sana. Perjanjian untuk projek tersebut telah ditandatangani dengan disaksikan oleh Menteri Luar yang melibatkan peruntukkan sebanyak RM 2 juta dan perlu diselesaikan dalam tempoh tiga tahun. Bagi pihak Amal Malaysia sendiri, seorang pengurus tetap untuk projek tersebut telah dilantik dan akan berada di Gaza hingga ia disiapkan. Namun, projek ini sehingga kini masih belum dimulakan kerana masalah sekatan sempadan yang dikenakan untuk memasuki Gaza. Sumbangan ini adalah suatu amanah bagi memastikan sumbangan rakyat Malaysia diberikan sepenuhnya untuk kegunaan rakyat Palestin yang memerlukannya. 

PENGALAMAN DALAM NEGARA

Dalam menjalankan aktiviti amal ke pelusuk negara dan dunia, Amal Malaysia menjadikan kebajikan dan relief sebagai teras utama kegiatan. Kegiatan dalam negara terutama mendampingi masyarakat melalui program amal dijalankan mengikut perancangan cawangan-cawangan negeri. Ia bermula dengan kerja-kerja kebajikan seperti program kempen derma darah, gotong-royong, Program ‘Sekampit Beras Sekilo Gula’ dan sebagainya. Program korban akikah, berkhatan, motivasi pelajar, ziarah amal ke hospital, pusat anak yatim, perkampungan pendalaman dan sebagainya sudah menjadi rutin aktiviti Amal Malaysia di seluruh negara. 

Kemampuan sukarelawannya bergerak agak menonjol terutama apabila berlakunya bencana dengan mengambil beberapa langkah dan tindakan pantas seperti menubuhkan sekretariat dan kerahan relawan contohnya membantu mangsa tsunami di Kuala Muda, Kedah dan Pulau Pinang, serta menggerakkan pasukan bantuan membantu mangsa banjir di Kedah, Shah Alam, dan bencana ribut di Kapar, Selat Klang dan sebagainya. Dalam tragedi banjir besar di Johor, Amal Malaysia yang diberi kepercayaan oleh kerajaan Kelantan dan rakyatnya bagi mengagihkan peruntukkan RM 1 juta telah mempamerkan khidmat yang cukup cemerlang dalam tragedi ini. Petugas-petugasnya bukan sahaja membantu dalam aspek kemudahan material dan pengangkutan semata-mata, malahan turut memberi khidmat rawatan perubatan percuma serta memberi motivasi kepada mangsa.

Amal Malaysia melalui Biro Kesihatan dan Perubatan juga telah berjaya mendaftarkan ratusan tenaga relawan medik dan paramedik bagi menjalankan program perubatan cergas dan pantas di seluruh negara. Ia membabitkan Program Rawatan Perubatan Percuma, Program Khitan, Program Ceramah Kesihatan dan lain-lain. Malah, sebahagian cawangan seperti Amal Terengganu menjadikan program ini sebagai rutin mingguan atau bulanan. Sehingga kini, biro tersebut telah mempunyai sebuah ambulan bergerak (mobile clinic) yang lengkap dengan segala kemudahan yang disumbangkan oleh seorang tokoh korporat. 

Aktiviti Amal Malaysia tidak hanya berorientasikan kebajikan semata-mata, tapi ia juga bergerak atas kesedaran dakwah yang tinggi. Baginya, amal kebajikan merupakan sebahagian daripada dakwah dalam bentuk Lisanul Hal. Pelbagai misi kemanusiaan dan dakwah telah dilakukan seperti ke Pulau Ketam, ke pendalaman Sabah dan Sarawak. Fokus di tempat sebegitu lebih tertumpu di bidang dakwah, kebajikan dan perubatan. Selain itu, program Kembara Dakwah khususnya di Sabah dan Sarawak diadakan pada setiap cuti panjang sekolah. Sukarelawan Amal Malaysia ini akan masuk ke kawasan luar bandar dan pendalaman dan tinggal di sana dua atau tiga minggu. Ini sesuatu tempat sasaran itu, pelbagai program kemasyarakat dan kebajikan diberikan kepada penduduk. Progam ini menerima sokongan daripada pelbagai pihak seperti Jabatan Kefahaman Islam Malaysia (JAKIM) cawangan dan Jabatan Agama Islam Negeri.

Suatu yang agak istimewa yang perlu dicatatkan di sini adalah program kebajikan dan dakwah Amal Malaysia di Sabah. Program yang dianggap besar dan pertama di situ ialah program kampung angkat di Kg. Luanti, Ranau, Sabah. Masjid yang sebelum ini hanya menjalankan rutin solat berjamaah pada waktu-waktu tertentu telah dijadikan pusat khidmat masyarakat kampung tersebut. Kegiatan Amal Malaysia di sini berpusat di masjid dan kegiatannya melibatkan semua anggota masyarakat. Kini Kg. Luanti menjadi cukup menyerlah hingga kesan dari program di situ, sudah ada beberapa keluarga bukan Islam telah memeluk Islam. Pengalaman manis menjalankan aktiviti di Kg. Luanti, mendorong Amal Malaysia cawangan Sabah mengembangkan kegiatan kampung angkat ke Kg. Nunuk Ragang, Kg. Kayu Putih, Kg. Nopong, Ranau, Kg. Letigi, Kota Belud, perkampungan Kiulu, pendalaman Pitas, Kg. Kiansom, Kota Kinabalu dan sebagainya. Aktiviti tahunan seperti ziarah, korban dan akikah diadakan dengan kerjasama penuh JAKIM cawangan Sabah.

Selain itu, Amal Malaysia Sabah cukup kreatif dan inovatif, Program konvoi kembara diaturkan di Sabah dengan melibatkan para pendakwah dan doktor. Program ini juga diterima baik oleh masyarakat setempat. Bagi memudahkan orang ramai mendapat maklumat mengenai Islam dan isu-isu berkaitan, sebuah Islamic Information Centre (IIC) sudah dibuka di Pitas, sebuah kawasan pendalaman Sabah. Amal Malaysia juga merancang untuk menjadikan Sabah sebagai pusat kerja bagi wilayah Malaysia Timur dan seterusnya menjadi pusat kebajikan dan dakwah bagi kawasan jiran seperti Filipina, Kalimantan dan sebagainya pada masa yang akan datang.

PENGALAMAN ANTARABANGSA

Lonjakan khidmat masyarakat Amal Malaysia ke persada antarabangsa bermula selepas berlaku peristiwa tsunami di Acheh pada 26 Disember 2004. Ia terpanggil untuk menghantar sukarelawan yang pertama ke sana dua hari kemudian. Amal Malaysia merupakan antara NGO luar yang terawal tiba ke lokasi bencana tersebut. Malah, ia merupakan pihak yang bertama membina hospital lapangan yang pertama di kawasan bencana di sana, iaitu di Lamlagam, Bandar Acheh dengan nama Hospital Lapangan Darul Iman, Kemudian, operasi ini diperluaskan ke Meulabuh, Acheh Barat. Amal Malaysia juga menjadi relawan pertama bersama Komiti Kemanusiaan Indonesia (KKI) tiba di kawasan paling teruk dilanda bencana di Kecamatan Samutioga dan terus berperanan di sana sehingga sekarang. Operasi di sana diperkemas dengan pembinaan Pusat Anak Yatim bernilai sekitar RM 400,000 di Desa Chot Darat dan sebuah masjid bernilai RM 250,000. Pusat ini diwujudkan dengan perjanjian dan usahasama dengan pimpinan Gabenor Acheh.

Sebanyak 14 misi dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Indonesia (BSMI) dihantar ke Acheh dengan hampir 400 sukarelawan terlibat. Misi ini mendapat kerjasama intim bersama Muslim Aid United Kingdom (UK), KKI, Persatuan Bulan Sabit Merah Indonesia (BSMI), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan NGO-NGO Malaysia serta antarabangsa. Sumbangan kewangan, makanan, pakaian dan sebagainya daripada rakyat Malaysia berjaya disampaikan oleh Amal Malaysia kepada penduduk Acheh. Dua buah klinik bergerak beroperasi aktif di Bandar Aceh dan Meulabuh, Acheh Barat sehingga kini. Selain di Acheh, Amal Malaysia juga menghantar misi bantuan tsunami di Sri Lanka Selatan khususnya di Hambantota dan Kirinda.

Bermula dengan operasi di Acheh, Amal Malaysia hampir tidak pernah terlepas daripada terlibat dengan semua misi kemanusiaan ke kawasan bencana di kawasan serantau dan Asia. Pengalaman di Aceh tersebut mendorongnya yakin untuk aktif di lokasi bencana besar. Pada Ramadhan 2005, dunia dikejutkan dengan gempa bumi terbesar di Pakistan dan Kashmir. Sekali lagi sukarelawan Amal Malaysia turun ke Balakot, Muzafarabad, Bhar di Pakistan dan Khasmir. Belum selesai di Pakistan dan Kashmir, mereka kemudiannya bergegas ke Iran apabila berlaku gempa di Bham. Ini diikuti dengan bantuan bencana letupan Gunung Merapi di Jogjakarta, gempa bumi di Jawa Barat, Padang Sumatera Utara dan taufan Sidr, Bangladesh. 

Selain itu, misi kemanusiaan juga berbentuk ibadat akikah dan korban telah dilakukan di Kemboja, Vietnam, Myanmar, Bangladesh, Sierra Lione, selatan Thailand dan Mindanao. Di Kemboja, program ini dimulakan sejak tahun 2005 dengan mendapat kerjasama penuh daripada Cambodian Muslim Development Foundation. Program ini disepadukan pula dengan program kesihatan, perubatan dan khitan. Apabila berlaku peristiwa serangan keganasan penuh dengan sifat kebinatangan Israel di Lubnan, Amal Malaysia turut menghantar dua misi perubatan dan kemanusiaan bagi membantu mangsa keganasan perang di Lubnan. Malah, pada peringkat awal ia adalah di antara satu-satunya NGO dari Asia yang berjaya tiba memberi bantuan ke situ.

Kemudian, Amal Malaysia juga terlibat membantu mangsa taufan Narjis di Myanmar. Belum selesai di Myammar, telah berlaku gempa bumi di wilayah Sichuan, China. Malah, ia merupakan satu-satunya wakil daripada Malaysia yang tiba ke daerah Guang Yuan, 200km dari bandar Chengdu, ibu negeri wilayah Sichuan pada peringkat awal dan pulang hanyalah selepas ketibaan pasukan perubatan ATM. Pada ketika yang sama, dunia dikejutkan pula dengan serangan Israel ke bumi Gaza, Palestin. Amal Malaysia terus menghantar misi kemanusiaan ke sana dengan tumpuan kepada bantuan penyedian bekalan air, bantuan kepada kilang roti dan membaiki pusat pendidikan. Di Sudan pula, Amal Malaysia telah menerima jemputan daripada pihak sukarelawan tempatan untuk melaksanakan misi kemanusiaan di Darfur, iaitu setelah pihak berkuasa Sudan menghalau 13 NGO luar yang dikatakan mempunyai misi Kritianisasi.

Ketika itu juga berlaku peristiwa peperangan dan pertempuran yang berlarutan di Mindanao, Filipina selepas pembatalan perjanjian perdamaian antara pejuang Bansamoro dengan Kerajaan Filipina yang membabitkan 500 000 pelarian Mindanao (Internally Displaced Persons) di bumi sendiri. Amal Malaysia telah berjaya melaksanakan tiga misi, termasuk satu misi kerjasama perubatan dengan International Monitoring Team (IMT) di bawah pimpinan ATM. Selain itu, ia juga melaksanakan ibadat korban dan akikah di sana dengan fokus di daerah Cotabato dan Marawi. 80 ekor kambing dan 35 ekor lembu telah dikorbankan dalam program tersebut pada tahun 2008. Dari aspek jangka panjang, Amal Malaysia mengfokuskan dua lokaliti dalam memberikan sumbangan kemanusiaan secara berterusan, iaitu di Mindanao dan di Palestin. 

AGENDA MASA DEPAN

Menurut Hj. Husin, terdapat beberapa agenda masa depan Amal Malaysia ke arah memperkasa gerakan bantuan sukarela nusantara dan organisasinya sendiri, antaranya :

(i)    Solidariti NGO Bantuan Sukarela
Setakat sekarang penglibatan Amal Malaysia dalam melaksanakan kerja-kerja kebajikan mendapat dokongan pelbagai pihak, sama ada agensi kerajaan, swasta atau pertubuhan-pertubuhan. Selain itu, kerjasama erat dengan NGO bantuan sukarela tempatan, nusantara serta antarabangsa begitu menggalakkan. Justeru, Amal Malaysia dalam rangka kerja mengadakan sekretariat NGO sukarelawan Malaysia, himpunan NGO sukarelawan antarabangsa di Kuala Lumpur dan mengetuai satu meja bulat NGO Islam rantau Asean dan Asia Selatan. Fokus awal pakatan yang dinamakan Islamic Charity Forum ini adalah gerak kerja membantu rakyat Mindanao secara lebih tersusun. Di peringkat tempatan, ia juga memberi perhatian untuk mengajak semua NGO Islam tempatan supaya bersama-sama melaksanakan misi kemasyarakat di Sarawak dan Sabah. Ini dimulai sendiri oleh Amal Malaysia pada awal 2009 dengan pembentukan jawatankuasa ke arah penubuhan sekretariat Borneo Islamic Centre (Bismic), iaitu suatu institusi khidmat masyarakat untuk menjana fizikal dan spiritual masyarakat di sana. 

(ii)    Pembinaan Pusat Latihan Amal (PULA)
Amal Malaysia sebenarnya telah memiliki sebidang tanah seluas dua ekar di Sayung, Kuala Kangsar, Perak. Lebih satu ekar tanah ini telah diwakafkan oleh seorang ahli sukarelawan Amal Malaysia dan sebahagian lagi telah dibeli. Tanah ini dirancang untuk dibangunkan sebuah pusat latihan kemanusiaan yang mengandungi asrama lelaki dan perempuan, dewan seminar, dewan makan, surau, padang kawad dan kuarters pekerja yang dianggarkan menelan kos sebanyak RM 1.65 juta. Sehingga hari ini, jawatankuasa pengurusan pembinaan pusat tersebut sudah dibentuk. Pusat ini akan berperanan membentuk pembangunan remaja dan belia, di samping boleh dimanfaatkan oleh pelbagai pihak. Amal Malaysia bercita-cita menjadi platform perbagai pihak tanpa mengira ras, ideologi, fahaman politik, jantina dan sebagainya. Ini disalurkan melalui ahli sukarelawan yang terbuka kepada semua. Malah, ia juga berhasrat mengumpulkan ramai sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai kepakaran seperti perubatan, penyelamat dan pendakwah.

(iii)    Amal Charity Shoppe
Amal Charity Shoppe adalah suatu program asas kemanusian yang sedang diuji oleh Amal Malaysia. Konsepnya adalah ia menjadi pusat pengumpulan bahanan keperluan yang didermakan, sama ada barang lebihan atau baru. Pada masa yang sama, barangan tersebut juga dijualkan semula kepada orang awam untuk tujuan derma. Program ini secara tidak langsung akan mengeratkan hubungan kerjasama antara penyumbang, pembeli dan penerima dalam menjana ekonomi. Projek ini secara umumnya diadaptasikan daripada pengalaman dan kejayaan Oxfarm International dalam membiayai kos pengurusannya dengan mengendalikan program sebegini. Sekarang di peringkat percubaan di cawangan Amal Terengganu dan menerima reaksi positif daripada pelbagai pihak. Program ini akan dilancar di pusat dan diperluas ke setiap cawangan negeri.

PENUTUP

Perkembangan dan pengalaman Amal Malaysia cukap menarik dan banyak. Ini menunjukkan kesungguhan dan keprihatinannya menonjolkan ciri keindahan Islam di samping meluaskan jajaran perjuangan amalnya tanpa dibatasi oleh sempadan geografi, keterikatan atas sebab bangsa dan agama. Malah, inilah yang dianjurkan dalam Islam dan diberi tambahan pahala kebaikan kepada sesiapa yang terlibat. Firman Allah SWT yang bermaksud : 
“Itulah kurniaan yang dengan itu, Allah menggembirakan hamba-hambanya yang beriman dan mengerjakan amal soleh. Katakanlah: Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upah pun atas seruanku kecuali kasih sayang dalam kekeluargaan, dan siapa yang mengerjakan kebaikan akan Kami tambahkan baginya kebaikan pada kebaikan itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri” (Surah al-Syura : 23)

Kekuatan Amal Malaysia berdiri di atas kepercayaan yang sangat tinggi, trust from the people untuk deliver atau menyampaikan sumbangan dan bantuan merupakan antara faktor kejayaannya. Ini suatu yang membanggakan ketika wujudnya jurang dalam program kebajikan antara umat Islam dengan masyarakat Kristian atau Eropah yang lain. Justeru, kewujudannya boleh menjadi jambatan penghubung bagi pihak gerakan Islam di Malaysia untuk menggerakkan usaha ke arah kerja sukarelawan dan kemanusiaan sekaligus menjadikan imej Islam itu dilihat cukup cantik dan baik kepada masyarakat keseluruhannya. 

RUJUKAN

Al-Quran

Laporan Dwi-Tahunan 2007 – 2009 Yayasan Amal Malaysia

Laporan Mesyuarat Agung Perwakilan Dwi Tahunan Kali Ke-5 Yayasan Amal Malaysia di Dewan Jugra, Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya

Ucap utama Presiden Amal Malaysia dalam Mesyuarat Agung Perwakilan Dwi Tahunan Kali Ke-4 Yayasan Amal Malaysia di Masjid Ghufran, Petaling Jaya

Ucap utama Presiden Amal Malaysia dalam Mesyuarat Agung Perwakilan Dwi Tahunan Kali Ke-5 Yayasan Amal Malaysia di Dewan Jugra, Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya

Undang-undang Tubuh Yayasan Amal Malaysia

Keratan Akhbar
Berita Harian, 9 Januari 2009 dan 20 Mac 2009
Harakah, 29 Disember 2008
News Stright Times, 20 Mac 2009
Utusan Malaysia, 24 Januari 2009

Wawancara
Hj. Husin Ismail – Presiden (Wawancara 24 Mei 2009 di Batu Caves)
Hj Jamuliddin Elias – Timbalan Presiden (Wawancara 25 April 2009 di Kelana Jaya)
En. Abd. Hamid Seman – Ketua Setiausaha (Wawancara 25 April 2009 di Kelana Jaya)
Dr. Halimah Ali Abdullah – AJK (Wawancara 25 April 2009 di Kelana Jaya)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Comments

comments

SHARE
Previous articleIktibar Fenomena Kerang Rusila
Next articleSiapakah Muslim Chaplain?
mm
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com