image

Pejam celik, genap setahun aku berada di Kemaman. Garis sejarah hidup yang tidak akan dilupakan sepanjang hayat. Baharu sahaja lapor diri, selang beberapa hari banjir paling teruk di Kemaman. Dikatakan lebih teruk dari peristiwa bah besar 60 tahun dahulu.
Setiap kali menoleh beberapa ragam manusia banjir tahun lalu, mataku mula berkaca.

***
“Abang Bot, ambik kami ni… ” laungan seorang mangsa kepada pemandu bot pihak berwajib. Rumahnya sudah tenggelam 3 suku dinding. Semua perabot rumah sudah berselerakan. Tak dapat diselamatkan. Sudah lah hati luluh dan sayu mengenang nasib, malah tiada siapa sanggup membantu menyelamatkan nyawa mereka sekeluarga.
“Harung air lah bang oi, kami tak diarahkan mengambil mangsa. Cuma meronda” jawapan abang bot bagai tidak mengenal erti kemanusiaan. Di saat orang bergelut dengan kematian lemas, masih lagi ikut SOP!

***
“Kami tak nak ubat doktor. Kami nak makanan. Sudah 3 hari tak makan sesuap nasi”. Rintihan seorang janda anak lima yang menginap di sebuah pusat pemindahan surau kampung. Mata anak-anak mereka kuyu menagih sepinggan makanan. Memang bantuan disampaikan oleh berapa pihak berwajib. Tapi memilih bulu. Di saat sebegini pun masih meraih milage politik!

***
“Tuan-tuan, sudah dapat ke bantuan TV, peti ais dan dapur?” Ucapan berapi dari seorang YB dalam satu majlis besar-besaran penyampaian bantuan banjir.
“Sudah Yb!” Sahut para pengundinya tenggelam timbul dalam hiruk pikuk majlis yang ramai itu.
“Ya, inilah nikmat apabila memangkah saya sebagai Yb. Siapa yang pangkah pembangkang tak akan boleh nikmat ini.” Ucapannya lagi sambil mendabik dada beberapa pengisytiharan bantuan lagi.

~~~
Apabila berlaku bencana, semua orang akan merasainya. Tanpa mengira sempadan parti atau kepegawaian. Adakah hanya dengan memilih parti tertentu kita tidak layak menerima bala banjir ini? Atau hanya memangkah calon dari parti tertentu memperolehi nikmat bantuan banjir? Kita semua manusia. Jadi tolonglah atas dasar kemanusiaan, bukan pegangan ideologi politik mereka.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...