, ,

Rawatan Slip Disc dengan Ketuk Tukul

Begitu ramai yang mengaku boleh ubati sakit tulang belakang seperti rawatan betulkan slip disc yang disebarkan meluas melalui media sosial. Testimoni yang ditunjukkan itu menakjubkan dan ajaib sungguh. Dengan hanya gosok atau ketuk dan seumpamanya, kesakitan hilang ibarat mencabut semaian padi.

Saya tidak pasti apa mekanism yang berlaku sehingga begitu mujarab sekali! Kami di hospital berlainan kaedahnya. Doktor akan meneliti secara terperinci jika seseorang itu mempunyai masalah tulang belakang. Selain dari xray, mungkin ct-scan dan MRI akan digunakan untuk mengetahui punca penyakit serta menilai keparahan penyakit. Kemudian, barulah kami memberikan cadangan rawatan samada ubatan, fisioterapi atau pembedahan.

Maksudnya penelitian kami para doktor bukan hanya lima atau sepuluh minit! Tiada yang ajaib dan menakjubkan. Perawatan tulang belakang ini adalah lebih kepada rawatan mekanikal yang berlaku ke atas tulang belakang atau pelapik antara tulang belakang (disc). Jika berlaku tekanan, kerosakan pergerakan, disc tersembur keluar dan sebagainya, rawatan perlu dibuat dengan penuh berhati-hati. Rawatan pun berbeza mengikut jenis penyakit. Pakar tulang akan menilai secara terperinci sebelum sesuatu prosedur dijalankan. Bukannya terus menghentak atau memotong tanpa melihat kepada anatomi (Struktur dan kedudukan) tulang belakang itu. Anatomi sesuatu tulang yang rosak itu tidak boleh dibuat andaian atau agak-agak walaupun kita boleh merasai lokasinya. Ini kerana di antara celah-celah tulang belakang itu tersirat saraf tunjang dan saraf yang menggerakkan tangan serta kaki manusia. Tersalah tekan boleh memparahkan lagi keadaan. Apatah lagi dengan menggunakan hentaman kuat seperti tukul, kayu blok dan sebagainya.

Mungkin telahan saya, ke’ajaib’an yang berlaku terhadap pesakit yang mendapatkan rawatan dari bomoh tulang tradisional itu adalah bersifat sementara. Terasa lega setelah ditekan atau diketuk dan bernasib baik tidak mematahkan tulang temulang. Namun punca dan penyakit sebenar pesakit masih lagi berlegar di situ tanpa rawatan yang khusus. Sakitnya akan menjengah kembali pada satu tempoh yang tertentu.

Kebimbangan kami di sini adalah, andai ketukan itu kuat dan boleh mecederakan tisu sekeliling, meretakkan tulang dan menghimpit saraf, pesakit akan merana sepanjang hidup. Kemungkinan boleh berlaku lumpuh adalah satu risiko yang agak tinggi.

Namun terdapat para penyokong tegar perubatan tradisional ini memperli dan memperlekeh nasihat kami, dengan mengatakan ilmu doktor tidak sama dengan ilmu yang diperolehi oleh bomoh tradisional berkenaan. Ya, saya akui ilmu Allah itu luas dan apa salahnya penerangan yang jitu diberikan. Kita tidak mahu ianya bersifat mistik sehingga tidak boleh diberi penjelasan tuntas mengikut ilmu akal manusia. Andai kata jika ianya benar-benar ajaib dan hebat, sepatutnya mereka:

1) Bergabung “kepakaran” itu dengan pakar ortopedik (tulang) supaya masyarakat lebih ramai mendapat manfaat.

2) Membuka kelas-kelas ilmu resetting tulang kaedah Melayu ini kepada orang ramai atau doktor. Penting penyebaran ilmu ini kerana semakin ramai yang pandai, maka semakin ramai orang dapat manfaat. Bukan setakat sekitar kampung bomoh itu menginap sahaja tetapi ianya perlu dimanfaatkan keseluruh Malaysia. Tidak perlu lokek dengan ilmu. Saya terbuka dalam bab mencari ilmu ini.

Saya kira dua cadangan di atas hanya fatamorgana. Jika hanya pandai lukis atas belakang dan ketuk-ketuk tanpa mengetahui diagnosa sebenar penyakit samada tulang retak, disc terkeluar, disc menipis, saraf tersepit dan banyak lagi, memang mudah melakarkan lukisan. Zaman sekarang ini anatomi boleh dilayar dalam youtube mahupun google sahaja. Tetapi punca dan nama penyakit harus dibuat pemeriksaan teliti oleh pakar dan dibantu oleh alat-alatan terkini seperti xray, CT Scan atau MRI. Tiada keajaiaban yang boleh digunakan untuk mengetahui perkara sebenar, kecuali menggunakan ilmu-ilmu ghaib.

Seruan saya, jangan mudah terpedaya dengan testimoni yang menakjubkan. Fikir dalam-dalam dan berbincanglah dengan ahli yang pakar dalam bab ini. Keputusan silap anda boleh menyebabkan sengsara sepanjang hidup dan banyak wang melayang nanti.

Sekian nasihat tanpa bayaran dari suhazeli.com

Fb.Com/drsuhazeli

29.8.2018

Kuala Dungun

,

Adakah Gula Fruktosa dalam Buah Tidak Bahaya?

Buah-buahan Bahaya tak untuk pesakit Kencing Manis?

.

Sudah menjadi kefahaman umum bahawa doktor akan menasihati untuk makan buah-buahan dengan kadar yang sedikit bagi pesakit kencing manis. Malah pada masa tertentu doktor akan menghalang terus pesakit tidak memakannya kerana paras gula dalam darah mencanak naik. Kandungan fruktosa dalam buah-buahan juga memainkan peranan penting untuk penghasilan bacaan glukosa dalam darah.

.

Akan tetapi, terdapat satu sebaran video seorang penceramah dari India yang membuat ujikaji paras gula dalam darah. Penceramah tersebut membuat pembuktian bahawa fruktosa dalam buah-buahan tidak akan meningkatkan paras gula dalam darah melalui mesin glukometer. Darah yang pertama dicampur dengan glukosa, bacaan glukometer tinggi. Sebaliknya apabila darah dicampur dengan fruktosa, bacaannya turun. Kesimpulan yang beliau buat adalah, makan buah-buahan tidak sesekali akan menaikkan paras gula dalam darah. Kepercayaan yang diberitahu oleh para doktor sejak sekian lama hanyalah tipu. Tuduhan beliau lagi, pihak berkuasa sengaja menutup ‘kebenaran’ ini kerana takut industri perubatan lingkup.

.

Kesian saya tengok para penonton yang dikelentong oleh beliau. Ujikaji sains ini tidak difahami oleh mereka.

.

Glukometer gunanya untuk kesan kehadiran glukosa dalam darah. Strip yang digunakan mengandungi enzim glucose oxidase. Apabila glukosa darah berindakbalas dengan enzim tersebut, bacaan akan boleh dibaca mengikut paras tertentu. Glukometer hanya untuk tindakbalas glukosa (lakaran no 3), maka gula fruktosa tidak sesekali akan bertindakbalas. Oleh yang demikian sudah tentu campur sebakul gula fruktosa pun, bacaan glukometer tidak akan mencanak naik.

.

Bagaimana pula buah-buahan boleh menyebabkan gula dalam darah meningkat? Buah-buahan seperti rambutan, durian, mempelam dan pelbagai lagi mengandungi fruktosa yang tinggi. Apabila kita makan, perut akan memproses dan diserap masuk ke dalam darah. Gula fruktosa itu akan melalui proses penukaran kepada bentuk lain oleh hati (lakaran no 2)

~ 29 – 54% ditukar —> GLUKOSA

~ 25% ditukar—> LAKTAT

(Glukosa dan Laktat inilah akan dijana sebagai tenaga kepada sel-sel badan)

~ 15-18% pula akan disimpan dalam bentuk GLIKOGEN dan kurang dari 1% ditukar kepada TRIGLISERIDA (Sejenis Kolesterol).

.

Justeru, gula fruktosa buah akan tetap ditukar dalam jumlah tertentu dalam badan kita walaupun ianya tidak dapat dikesan melalui glukometer.

.

Beberapa nasihat berikut penting kepada pesakit kencing manis dalam penjagaan makan buah-buahan.

1) Elakkan pengambilan buah-buahan semasa perut kosong. Ini kerana penyerapan gula fruktosa sepenuhnya (setelah ditukar ke glukosa) tidak dapat ditampung oleh insulin yang lemah atau ubat kencing manis.

2) Pengambilan buah disarankan diambil sejurus selepas hidangan utama, dihadkan kepada 1 hidangan sahaja. Pada masa ini tindakan insulin atau ubat kencing manis adalah optima.

3) Maksimum 2 hidangan buah untuk sehari.

Berikut adalah contoh-contoh saiz hidangan buah untuk satu unit karbohidrat. Setiap unit membekalkan 15g karbohidrat:

a) 1 biji sederhana epal/ oren/ belimbing/ pear

b) 1 potong nipis betik/ nenas/ tembikai susu

c) ½ biji jambu batu/ mangga kecil

d) 5 biji sederhana rambutan/ laici

e) 2 biji manggis/ jambu air/ kedondong/ kurma

f) 8-10 biji kecil langsat/ duku/ anggur/ longan

g) 2-3 ulas sederhana cempedak/ durian/ nangka

.

Manakala Makanan berikut ini pula mengandungi karbohidrat ringkas (gula ringkas) yang akan meningkatkan aras glukosa darah dengan kadar yang cepat.

Senarai makanan yang patut dielakkan atau diminimumkan pengambilannya:

1) Gula putih, gula merah, gula melaka, gula batu, gula-gula, glukosa

2) Madu, jem, kaya, susu pekat manis, sirap.

3) Minuman ringan, minuman kordial

4) Biskut manis, roti manis, kuih manis, kek, aiskrim, coklat

5) Air tebu, air kelapa muda, minuman—minuman yang ditambah gula

.

Sekian nasihat pemakanan dari suhazeli.com

Fb.Com/drsuhazeli

5.1.2018

Kuala Berang

,

Air Tulang Belakang Selamat

*Air Tulang Belakang*

“Ayah saya sudah 5 hari terlantar kat ICU, doktor pakar nak minta air tulang belakang. Tidak bahaya ke doktor?” Soalan seorang sahabat melalui corong telefon. Beliau eksekutif Petronas yang bergaji lumayan. 

“Ok, apa sebab ayahanda tuan haji masuk ICU?” Soal ku kembali untuk dapatkan info detail sebelum beri pandangan. Biasanya bab konsultasi melalui telefon ni, saya akan jawab cara cermat dan berhati-hati sebab saya tidak terlibat secara berdepan merawat pesakit yang dibincangkan. Risau jawapan saya memberi konotasi negatif ke atas perawatan doktor pakar yang sedang dijalankan. 

“Ayah saya demam tinggi sebelum masuk wad. Pengsan kat rumah dan terus adik saya panggil ambulans. Doktor pakar syak kuman dalam otak. Jadi dia minta kebenaran untuk ambil air tulang belakang.” Penerangan jelas beliau. 

“Kami sekeluarga risau ni sebab, macam-macam pandangan diberi dalam group wasap. Ada yang kata ambil air tulang belakang ni akan sebabkan lumpuh dan pelbagai lagi komen negatif.” Tegas beliau lagi dengan penuh nada kerungsingan. 

“Saya mungkin tiada diposisi doktor yang merawat ayahanda. Saya doakan perawatan terbaik diberikan oleh doktor berkenaan.” Ujarku bagi tenangkan keadaan. 

… 

Tebuk tulang belakang atau Lumbar Puncture (LP) ini bertujuan untuk mengambil cairannya (Cerebro Spinal Fluid). Perkataan tebuk itu nampak menggerunkan tetapi bukan tebuk, sebenarnya doktor pakar akan cucuk jarum dibahagian tertentu antara celahan tulang belakang. Tempat yang paling tepat LP adalah antara celahan tulang belakang Lumbar 3 dan Lumbar 4. Kita tidak perlu risau, celahan L3 dan L4 ini adalah paling selamat dari tertusuk jarum kepada saraf tunjang. Maknanya saraf tidak akan diganggu sehingga boleh mendatangkan kelumpuhan. Hujung jarum akan terhenti diruangan cairan tulang belakang untuk disedut dan dianalisa dalam makmal. Selain itu dlam masa yang sama, pakar akan mengukur tekanan air tulang belakang (jika perlu).

.

Apa yang diperhatikan, jangkitan kuman berbahaya yang menyerang saraf itu sendiri yang boleh menyebabkan pesakit lumpuh atau membawa maut. Bukannya LP. Namun akibat dari phobia dan cerita-cerita yang tidak tepat, ramai antara kita menyalahkan prosedur ambil tulang belakang lah yang menjadi punca. Sedangkan lambat membuat keputusan akan membantutkan lagi proses rawatan yang optima.

.

Air tulang belakang ini penting bagi menentusahkan jenis kuman yang menyebabkan seseorang pesakit tersebut demam serta tanda-tanda lain yang menjuruskan kepada jangkitan kuman ke dalam saraf. Juseteru rawatan yang lebih tepat dan spesifik akan diberikan dengan kadar segera. Contohnya jika ujian air tulang belakang mengesahkan jangkitan kuman tuberkulosis, maka antibiotik bagi merawat TB akan diberikan.

.

Para pakar tidak wewenang ingin melakukan ujian LP ini tanpa indikasi yang kukuh. Prosedur yang dilakukan pun atas pengalaman dan kemahiran mereka setelah beratus-ratus kes dilakukan demi berikhtiar merawat pesakit. 

.

Dr Suhazeli Abdullah

fb.com/suhazeli

2.8.2017

Bukit Jambul, Penang

,

Al Fashdu atau Berpetik 

Sekali lagi keluar video promosi rawatan blood-letting atau cucuk urat darah ini berlegar dalam dunia maya. Sebelum ini sudah ditularkan satu video yang hampir sama, mencucuk salur darah atau kulit terhadap seorang pesakit Gout. Pengertian kaedah ini dalam bahasa arab menyebut al Fashdu dan bahasa melayu pula disebut sebagai berpetik.

.

Rakan kami dari #MedicalMythBustersMalaysia dan #MedTweetMY, Dr Mahyuddin telah menjelaskan secara panjang lebar di facebook beliau.[1] Beliau adalah seorang pakar Ortopedik yang tersohor di Pahang.

.

Beliau menegaskan bahawa

“rawatan utama bagi Gout ialah dengan ubat-ubatan anti-radang & bukannya pembedahan. Sebab itulah di hospital, pesakit Gout dirawat oleh Jabatan Perubatan dan bukannya Jabatan Ortopedik. Saya sendiri tak pernah buat pembedahan semata-mata untuk keluarkan kristal kapur ni, ia sesuatu yang tidak perlu dan sia-sia kerana kristal ini akan kembali terbentuk. Melainkan jika kita nak pesakit datang berulang kali ke pusat Rawatan kita boleh la. Bisnes.”

.

Tambah beliau lagi, dengan melakukan tirisan pada sendi seperti dalam video tersebut, walaupun ia akan memberi kelegaan kepada pesakit, ia hanyalah bersifat sementara. Kristal Urate ini akan berkumpul kembali dan pesakit perlu kembali mendapatkan rawatan. Apa yang lebih merisaukan beliau sebagai seorang pakar ortopedik yang telah berkhidmat berbelas-belas tahun itu ialah ia meningkatkan risiko kuman masuk ke dalam sendi dan pesakit boleh mendapat Septic Arthritis (jangkitan kuman pada sendi) dan kerosakan sendi tersebut. Apatah lagi jika dilakukan di bilik rawatan biasa, di dalam sinki tanpa menggunakan sarung tangan! 

Video yang ditularkan pada kali ini adalah seorang pangamal perubatan alternatif melakukan kaedah yang hampir sama, iaitu mencucuk salur darah di bahagian kaki, katanya bagi membuang kolesterol dan asid. Ironinya ramai yang percaya.

Bagi kami dibidang perubatan ini, dengan tegas menyatakan kaedah sebegini adalah sesuatu yang membahayakan.

1) Pertama, ia dilakukan tanpa pengawasan ahli yang mahir. Jika pesakit pengsan akibat kehilangan darah yang banyak, tiada ahli yang pandai melakukan rawatan kecemasan seperti CPR dan seumpamanya lagi .

2) Kedua, pesakit tidak disaring terlebih dahulu status kesihatan mereka, termasuklah tekanan darah, paras gula, status HIV atau penyakit-penyakit berjangkit lain. Prosedur yang melibatkan darah ini perlu disaring sebaik mungkin agar tiada jangkitan silang kemudian nanti dari satu pesakit ke pesakit lain.

3) Ketiga, peralatan terutamanya jarum yang digunakan tidak disteril (nyahkuman). Ianya menjadi sumber jangkitan kuman dan virus seperti HIV, hepatitis. Risikonya adalah tinggi. Kajian menunjukkan risiko jangkitan boleh mencapai 30%. 

4) Keempat, persekitaran tidak kondusif, tiada ciri-ciri kebersihan, malah pengamal yang menjalankan prosedur tersebut tidak menggunakan sarung tangan. Darah beku dikaut dengan tangan begitu sahaja. Ya lah, mungkin ada yang menjawab, Allah maha kuasa atas segala sesuatu. Tetapi agak zalim jika kita sendiri yang mencampak diri kepada risiko, kemudian mengharapkan ehsan Allah membantu usaha tidak berakal kita itu. 

.

Isu kedua yang saya ingin bangkitkan adalah berkaitan dengan hukum amalan berpetik ini. Saya berbincang dengan beberapa perawat pengubatan Islam serta para muallim, mereka agak terkejut dengan salah faham segolongan pengamal pengubatan yang mengambil lafaz hadis berkaitan dengan al fashdu itu secara literal tanpa mengambil beberapa peringatan dalam mengamalkan al fashdu. Sedangkan di sana terdapat huraian ulama yang cukup tuntas untuk dijadikan panduan bagi kita orang mutakhir ini.

.

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam bersabda,

إِنَّ أَمْثَلَ مَا تَدَاوَيْتُمْ بِهِ الْحِجَامَةُ وَالْفَصْدُ

“Sesungguhnya kaedah pengubatan yang paling baik bagi kalian adalah hijamah (bekam) dan fashdu (venesection).”

Huraian berkaitan dengan penafsiran hadis di atas tidak dibincangkan di sini. Kerana dalam beberapa riwayat lain perkataan Al Fashdu itu di sebut lafaz yang berbeza.[ Boleh lihat lanjut di pautan 2]. Cuma berikut adalah beberapa catatan para agamawan berkaitan isu al fashdu ini.

.

Ibnu al Qayyim dalam kitab Zad al Ma’ad berkata:

فَفِي الْفَصْدِ لَهُمْ خَطَرٌ انْتَهَى

Maka pada Al Fashd untuk penduduk Hijaz adalah merbahaya (kerana faktor cuaca, mereka lebih sesuai berbekam).

.

Manakala dalam kitab Al Mafatih Fi Syarh Al Masobih karangan Hazrat Mulla Ali al-Qari mengatakan: 

 فإن كان لامرأةٍ وجعٌ شديدٌ يقول الطبيب: لا بدُّ لها من الحِجامة أو الفَصد، أو بها جراحةٌ يُحتاج إلى مداواتها، جاز للحجَّامِ أن يَنظرَ إليها، حتى جاز النظرُ إلى فَرجِها.

Jika sekiranya seorang wanita mempunyai mengidap penyakit yang benar-benar menyakitkan, dan ahli perubatan memutuskan, wanita tersebut perlu berbekam atau berpetik atau perempuan tersebut mengalami kecederaan, maka haruslah tukang bekam melihat perempuan tersebut….. 

Bermakna, sebelum sesorang pesakit itu dirawat, penelitian dan pemeriksaan wajib dilakukan. Bukan semberono menggunakan sesuatu kaedah tanpa memikirkan natijah yang melibatkan nyawa manusia. 

Dr Adil Al Azhari iaitu ulama yang mentahqiq (penterjemah dan penghurai) kitab Al Tibb Al Nabawi mengulas lanjut mengenai bekam dan berpetik ini. Ulasan beliau, berbekam dua bahagian iaitu bekam kering dan bekam basah. Adapun berpetik, ianya dilakukan atas indikasi khusus. Pada masa tersebut, berpetik dilakukan ke atas pesakit mempunyai tanda-tanda; ketika nadi jantung menurun secara mendadak dan disertai dengan dua bibir yang berwarna biru serta sukar untuk bernafas. Cara berpetik ialah dengan menggunakan jarum yang luas lubangnya yang dimasukkan ke dalam urat lengan pesakit tersebut.

.

Jika melihat ulasan dari Dr Adil Al Azhari tersebut, berpetik seolah-olah sama kaedahnya dengan “venesection” atau “Venous Cut Down”. Ia dilakukan di saat kecemasan di mana ketika pesakit pengsan akibat volum darah berkurang (hypovolumic shock) dan memerlukan rawatan segara samada kemasukan air atau darah ke dalam badan. Kaedahnya, para doktor akan mencari saluran urat vena yang tertentu untuk bagi memasukkan aliran air atau darah dengan kadar sesegera mungkin. Ini kerana sesaat lewat dalam tempoh ini boleh mengancam nyawa. Ia bukannya mengeluarkan darah, tetapi memasukkan terapi darah atau air. Kaedah ini sesuai dengan ulasan yang dibuat dalam kitab FATH AL MUN’IM yang menyatakan al fashdu atau berpetik ialah memotong urat supaya mengalir darah. Inilah rawatan yang dilakukan dalam perubatan moden ketika getir. Semua salur darah yang besar sudah sukar dijumpai, maka “venous cut down” wajib dilakukan. 

.

Pun begitu terdapat beberapa kitab ulama yang melarang berpetik ini. Antaranya Kitab Maa Yaf’aluhu Al Atibba Bi Daf’i Syarr Al Toun dan Kitab Nihayah Al Muhtaj. Imam al-Ramli yang terkenal dengan julukan “al-Syafi’i al-Shaghir” (Imam Syafi’i kecil), pengarang kitab An Nihayah Al Muhtaj itu menyebut, jika tiada keperluan, berpetik adalah dilarang, tetapi berbekam tidak dilarang. Para ulama pun memikirkan indikasi tertentu dalam merawat pesakit sesuai dengan ketinggian ilmu perubatan sezaman dengan mereka. 

Manakala Kitab Hasyiah Al Syubra Millisi membahas lanjut perkataan Imam Ramli, BERBEKAM LEBIH DARI BERPETIK, boleh jadi kenyataan ini diterima jika ahli perubatan tidak menyatakan berbekam merbahaya. Jika ahli perubatan menyatakan berbekam merbahaya, maka tidak harus hukumnya sebagaimana yang difahami oleh semua ulamak. Perkataan Imam Ramli JIKA TIADA KEPERLUAN pada zahirnya  ketika tidak menyebabkan mudorat dengan berpetik tersebut.

.

Selanjutnya ulama menambah, Harus bagi mereka itu berpetik dan berbekam dan seumpamanya iaitu setiap rawatan yang selamat menurut pada kebiasaannya yang diakui oleh ahli perubatan tentang kebaikan cara rawatan tersebut. 

( وَ ) لِمَنْ ذُكِرَ ( فَصْدٌ وَحِجَامَةٌ ) وَنَحْوُهُمَا مِنْ كُلِّ عِلَاجٍ سَلِيمٍ عَادَةً ، أَشَارَ بِهِ طَبِيبٌ لِنَفْعِهِ لَهُ

Kesimpulannya, amalan berpetik ini menjadi khilaf ulama. Sebahagian besar mereka mengatakan berpetik dilakukan atas indikasi tertentu dan perlu dijalankan oleh orang yang mahir. Venesection atau venous cut down adalah definisi paling tepat bagi istilah al fashdu. 

Berhati-hati dalam melakukan al fashdu terutama menjaga aspek kebersihan. Risiko jangkitan HIV, hepatitis amat tinggi dalam suasana yang tidak bersih. Begitu juga penelitian ke atas pesakit samada mempunyai penyakit-penyakit darah seperti hemophilia, anemia dan seumpamanya amat penting sebelum menjalankan prosedur. 

Beringatlah sebelum kena, lebih baik dari terkena komplikasi yang boleh membawa maut. 

Dr Suhazeli Abdullah 

Fb.com/drsuhazeli 

12.10.2017

Kuala Berang 

Pautan

[1] Rawatan Gout Tinta Mahyuddin. https://www.facebook.com/TintaMahyuddin/posts/945951758773923

[2] Hadis berkaitan Bekam dan Al Fashdu. https://kautsaramru.wordpress.com/2017/10/03/kritik-terhadap-metode-pengobatan-al-fashdu-%D8%A7%D9%84%D9%81%D8%B5%D8%AF-yang-dikait-kaitkan-dengan-hadits-rasulullah-shallallahu-alaihi-wa-sallam/

[3] Blood Letting. http://suhazeli.com/wp/?p=1516

[4] Review on Canon Al Tibb Ibnu Sina. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4469963/

,

Rawatan Mata Batu Geliga Mak Lang

​BATU GELIGA MAK LANG

.

Tersebar video Maklang Batu Geliga yang merawat penyakit rabun mata. Sekali tengok terkesima saya kehebatan MakLang. Boleh kalahkan pakar mata dengan alatan canggih masa kini, hanya dengan sebiji batu geliga. [Gambar 1]

.

Nasihat saya, jangan mudah teruja dengan sesuatu keajaiban kaedah berubat seperti ni. Pernah satu ketika pesakit batu karang ginjal pergi merawat kaedah bedah batin. Batu karang keluar nyata satu persatu dengan penbedahan batin, tanpa pisau. Beliau bawa batu karang itu jumpa saya untuk pengsahan scan. Saya lihat batu tu bukan komponen batu karang pun sebab sejibik macam batu sungai. Scan dibuat, ternyata batu karang beliau masih terlekat dalam ginjal. Seminggu lepas itu saya terima berita pesakit berkenaan meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang. Orang kita selalu teruja dengan perkara sembuh segera, murah, ajaib dan mistik. Tanpa melihat logika sains disebaliknya. Saya tidak akan menuduh Mak Lang amalkan sihir atau mistik.

.

Menurut ahli Optometris #MedTweetMY, Pn Amira Nadia, rawatan batu geliga yang digunakan itu sama konsep dengan kaedah LASIK atau Orthokeratology [Gambar 2 dan 3]. Ianya satu kaedah perubatan untuk membentuk semula lapisan luar kornea mata supaya imbasan imej yang masuk ke dalam mata terbentuk dengan sempurna. Kaedah ini hanya dilakukan ke atas pesakit yang rabun dekat atau jauh sahaja. Bagi penyakit lain seperti katarak, rosak saraf retina dan seumpamanya, kaedah Lasik atau Ortho-K ini tidak digunakan.

.

Mekanisma yang boleh dijelaskan dengan menggunakan BATU GELIGA ini adalah; batu tersebut akan memberi tekanan kepada kornea mata dalam sela masa tertentu. Dengan itu kornea akan dibentuk semula (reshaping) mengikut lengkung acuan permukaan batu geliga [Gambar 4]. Konsep yang hampir sama dengan lasik atau Ortho-K tadi. Cumanya kaedah batu geliga Mak Lang hanya bersifat sementara. Lama kelamaan kornea akan kembali ke bentuk cengkung asal, kerana batu itu tidak selama-lamanya di situ sebagaimana Ortho-K.

.

Nasihat saya selanjutnya adalah, jauhkan diri dari mengambil kaedah bahaya batu geliga ini. Kornea adalah lembut, nipis dan sensitif. Gosokan secara kasar atau memasukkan bendasing akan merosakkan permukaannya dengan mudah. Sudah berapa banyak kes kecemasan yang kami temui kerosakan ke atas permukaan kornea ini [lihat gambar contoh 5 – kerosakan kepada kornea mata]. Jika ia tidak dirawat sebaiknya, boleh membawa buta mata anda. Batu geliga itupun bukannya bersih. Digunakan terhadap beratus-ratus orang yang hadir mendapatkan rawatan. Tiada jaminan jangkitan kuman tidak berlaku. Peratusannya agak tinggi. Pelanggan yang hadir pun tidak disaring, perebakan bakteria, virus hepatitis malah HIV senang berlaku jika tidak menjaga kebersihan ini.

.

Jika Mak Lang boleh mendakwa batu geliganya boleh mengubati katarak, rosak saraf mata atau lain-lain, baharulah saya boleh menuduh Mak Lang menggunakan unsur mistik dalam merawat.

.

Beringatlah sebelum parah. Doktor mata yang bertauliah masih ramai dan sudi membantu anda. Jangan ambil jalan mudah, segera, ajaib dan mistik!

.

Suhazeli Abdullah

fb.com/drsuhazeli

.

10.10.2017

Kuala Berang

, , , ,

Kuman Bekam

Sedih dengar cerita seorang pesakit yang pernah dijangkiti virus Hepatitis C akibat berbekam. Mungkin ianya satu kes terpencil, tetapi boleh dijadikan iktibar kepada penggemar bekam seluruh dunia.

.

Kisahnya bermula beliau dihinggapi Hepatitis C. Setelah diselidik tiada sumber lain yang menyebabkan sumber jangkitan kecuali beliau pernah berbekam sebulan sebelum itu. Nasib baik beliau segera dirawat dari doktor pakar. Keputusan akhir darah dapati beliau sudah bebas dari Hepatitis C.

.

Gambar Hiasan


Beliau membayangkan kembali di saat bekam dijalankan, pengamal bekam tersebut tidak mengamalkan konsep kebersihan. Pengusaha bekam itu hanya membasuh ‘cup’ bekam dengan cincai sahaja. Walaupun gunakan sabun dan air, tetapi nampak lagi darah kemerahan melekat di dinding cawan tersebut. Kemudian lap dengan tisu tandas darah yang terkumpul. Cawan bekam itu dikongsi dengan pelanggan lain pulak. Sedangkan kini sudah ada cawan bekam jenis pakai buang. Tapi demi jimatkan kos, cawan yang satu itu dikitar semula.

.

Nasihat saya kepada para pengamal bekam agar menjaga kebersihan semasa menjalani prosedur. Perkara ini selalu patut ditekankan dalam kursus-kursus yang mereka hadiri. Paling minima ‘universal precaution’ perlu diamalkan. Membasuh tangan dengan betul, memakai topeng muka, memakai sarung getah tangan yang nyahkuman dan menyelia semua alatan sebaik sahaja prosedur wajib dilakukan demi mengelak jangkitan kuman.

.

Virus bahaya yang berisiko tinggi untuk dijangkiti seperti Hepatitis B, Hepatitis C dan HIV. Kajian mendapati peratus risiko jangkitan virus Hepatitis B sebanyak 30%, virus Hepatitis C sebanyak 2% dan virus HIV sebanyak 0.3%. Begitu juga bakteria stafilokokos, streptokokus dan pelbagai lagi boleh mengundang jangkitan yang menyeksakan jika tidak diurus dengan baik.

.


Pihak KKM melalui Unit Perubatan Tradisional & Komplimentari telah mengeluarkan garis panduan bekam. Antaranya:

1) Peralatan untuk berbekam

a. Alat bekam – cawan

Cawan bekam tanpa perlu memanaskan udara sebelum diaplikasikan kepada pelanggan.

Cawan–cawan ini perlu disterilkan selepas setiap sesi rawatan, dan cawan yang sama tidak boleh tidak boleh digunakan pada tempat yang berbeza atau pada pelanggan yang lain.

Pastikan saiz cawan adalah bersesuaian dengan tempat yang akan diaplikasikan.

b. Lanset steril pakai buang

Hanya lanset pakai buang sahaja yang digunakan untuk menoreh kulit semasa prosedur bekam basah dilakukan.

.

2) Amalan baik langkah berjaga-jaga

a. Pengamal dikehendaki memastikan standard langkah berjaga-jaga dalam penjagaan kesihatan sentiasa diikuti pada setiap masa dan semua pengurusan sisa klinikal perlulah mematuhi garis panduan pengurusan sisa klinikal (rujuk pada Garis Panduan Mengurus Sisa Klinikal di Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, 2009)

b. Bagi memastikan bahagian badan yang digunakan untuk rawatan bekam basah tidak
dijangkiti kuman, pengamal perlulah menggunakan lanset steril pakai buang.

c. Permukaan kulit di bahagian badan yang akan digunakan untuk bekam basah perlu
dibersihkan terlebih dahulu dengan 70% isopropyl alcohol dan dibiarkan kering sebelum membuat torehan.

d. Semua peralatan bekam perlu dicuci hama dan disterilkan mengikut kaedah pensterilan dan disinfeksi yang bersesuaian sebelum digunakan pada pesakit.

e. Pengamal dikehendaki menggunakan peralatan perlindungan peribadi terutamanya sarung tangan semasa prosedur rawatan dan mesti memastikan tahap kebersihan diri sentiasa dijaga.

.

Semoga nasihat ini didengari

.

Suhazeli Abdullah

Fb.com/drsuhazeli

.

5.10.2017

Kuala Berang

.

Pautan

Kecederaan tusukan jarum.

https://www.ccohs.ca/oshanswers/diseases/needlestick_injuries.html

Panduan Bekam dari TCM. http://tcm.moh.gov.my/v4/pdf/guideline/TerjemahanPGBekam.pdf
[Gambar itu sebagai hiasan, bukan gambar sebenar pesakit Hep C yang dinyatakan dalam artikel]

, ,

Ultrasound Penyebab Autism? 

ULTRASOUND SELAMAT DIGUNAKAN
Terdapat sebaran tak tepat berkaitan dengan penggunaan ultrasound yang digunakan oleh para doktor semasa pemeriksaan ibu-ibu hamil. Tanpa kami ketahui niat sebenar sebaran negatif itu. Sekaligus boleh mencetuskan kerumitan di pihak kami bagi melaksanakan tugas perawatan yang sempurna.

.

Pada tahun 1942, Pakar saraf (Neurologist) Karl Dussik adalah pelopor penggunaan alat imbas bunyi (sonography) dalam bidang perubatan. Kemudian tahun 1948 George D. Ludwig, M.D., mencipta alat ultrasound untuk mengesan batu karang dalam hempedu. Berita kejayaan ini tersebar luas hinggalah pelbagai syarikat pengeluar ultrasound wujud dengan kapasiti kecanggihan tertentu. Hingga kini boleh dikatakan setiap klinik mempunyai mesin ultrasound bagi menjadikan perawatan pesakit semakin tersusun.

.

Prof Dr Imelda Balchin, Pakar Perunding Fetomaternal Universiti Malaya, membuat teguran kepada kumpulan AMANI yang menyebarkan keburukan ultrasound dikalangan pengikut mereka. Penggunaan ultrasound semasa hamil tidak menyebabkan bayi dihinggapi penyakit mental, autisma dan penyakit barah.

.

Kata Prof Imelda melalui laman facebook beliau: “Kepada semua ibu-ibu yang hamil dan doula AMANI. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah pun membuat kajian yang terperinci tentang keselamatan penggunaan Ultrasound semasa hamil. WHO telah mengkaji 61 penerbitan, 41 kajian antarabangsa yang berpiawai tinggi yang mengikuti perkembangan kanak-kanak. Keputusan mereka telah membuktikan yang kanak-kanak yang terdedah kepada ultrasound semasa janin, tidak mendapat lebih masalah perubatan atau kesihatan dari segi kesihatan mental, penilaian IQ, autisma atau penyakit barah.”

.

Beliau menyarakan agar kumpulan berkenaan menyampaikan ilmu yang sahih lagi benar. Bukannya mengambil sesuatu yang diluar dari ilmu benar dari dari disiplin perubatan.

“Marilah kita sama-sama menyampaikan ibu-ibu dengan ilmu pengetahuan yang sahih dan benar, supaya ibu-ibu kita diberdayakan membuat pemilihan dengan maklumat yang betul.”

.

Adalah paling merisaukan apabila pihak-pihak tertentu yang kononnya mempunyai kepakaran dalam perubatan tetapi menggunakan teknik menakut-nakutkan (fear monggering) masyarakat melalui tulisan mereka. Fenomena ini amat menyedihkan. Masyarakat kadang-kadang tidak dapat menilai antara batu dan permata dek kerana teknik yang mereka gunakan terlalu licik. Mereka selalu berlapik hujah mereka dengan fakta perubatan yang tidak tepat. Malah ada antara mereka yang menggunakan hujah agama bagi mengukuhkan kefahaman silap itu.

.

“BERKATA BENAR WALAUPUN PAHIT”

.

Suhazeli bin Abdullah

fb.com/drsuhazeli

.

23.9.2017

Kuala Berang

, ,

Air Kangen

#Mitos_Air_Kangen
Oleh Nazzatush Shimar Jamaluddin
Post ini panjang, melibatkan serba sedikit penjelasan berkenaan kimia. Tolong baca dan fahamkan. Nampak sukar difahami tapi sangat penting dalam aplikasi kehidupan seharian.
Apa itu ASID, BES dan ALKALI?
Di sekolah, kita diajar tentang konsep ASID & BES yang mudah menggunakan konsep Arrhenius. Sebatian itu dikatakan asid apabila ia membebaskan ion hidrogen atau hydrogen ion atau H+. Bes pula adalah apabila sebatian itu membebaskan ion hidroksida atau hydroxide ion atau OH-. Ini akan berlaku apabila sebatian2 tersebut berada dalam keadaan akueus atau berair. Memandangkan OH- dibebaskan atau dihasilkan apabila sebatian bes tersebut berada dalam larutan berair, ini bermakna sebatian bes itu larut air. MAKA, SEBATIAN BES TERSEBUT DIKENALI SEBAGAI SEBATIAN ALKALI.
Di peringkat sekolah, ion logam sentiasa bercas positif dan ion bukan logam sentiasa bercas negatif. Ion logam (daripada kumpulan I sehingga XIII) sentiasa bersifat bes dan tidak akan bersifat asid. Ini adalah konsep mudah di sekolah supaya pelajar faham konsep asas asid bes.
**PERINGATAN: Tanda ‘+’ dan ‘-‘ sepatutnya dalam saiz superscript.
Apabila kita berada di peringkat Form 6 atau Matrikulasi atau Asasi Sains, kita didedahkan dengan konsep asid bes yang lebih advance, iaitu konsep Bronsted-Lowry. Di sini, asid ditakrifkan sebagai sebatian yang kehilangan proton atau menderma proton. Proton, di sini bermaksud H+. Bes pula adalah sebatian yang menerima proton atau menerima H+. Memandangkan tidak semua sebatian bes boleh larut air, maka definisi bes adalah berbeza mengikut sebatian.
Apabila berada di peringkat universiti (khas untuk orang yang mempelajari kimia secara khusus juga untuk bidang sains yang lain), konsep asid bes akan dipelajari dengan lebih advance berbanding Arrhenius dan Bronsted-Lowry. Di sini, konsep Lewis diperkenalkan. Dalam konsep Lewis, asid adalah sebatian yang menerima elektron atau mempunyai ruang kosong yang masih boleh membenarkan elektron ditambah. Bes pula adalah sebatian yang menderma elektron atau mempunyai elektron yang berlebihan yang membenarkan ia mendermakannya pada sebatian lain yang kekurangan elektron. Ion logam bukan lagi sentiasa bersifat bes tapi juga bersifat asid.
Isu Kangen Water adalah isu yang mengaitkan kepentingan alkali dalam tubuh. Ye, tidak dinafikan yang badan kita perlukan alkali dan asid. Kedua-duanya sama penting. Strategi marketing pihak Kangen sangat misleading dan memutar fakta untuk disajikan kepada golongan berikut:
1. terdesak untuk sembuh daripada penyakit kronik

2. tidak pernah belajar sains (melibatkan orang kampung + orang kota metropolitan)

3. golongan pencen dan bakal mendapat durian runtuh dalam bentuk kepingan wang

4. golongan yg dilihat mementingkan agama, dalam hal ini agama Islam (dengan cara menyamakan air kangen dengan air zam-zam)
Persamaan air kangen dan air zam-zam: kedua-duanya bersifat ALKALI. Yeay!!! Marketing Kangen telah berjaya dalam hal ini.
Pihak penjual mengatakan bahawa badan berasid adalah punca kanser. Sebenarnya, sel kanser yang menyebabkan pengumpulan asid laktik di sekeliling sel tersebut. Perlu diingatkan di sini bahawa AIR ALKALI yang diwar-warkan dan dihasilkan oleh mesin Kangen TIDAK MENCEGAH ATAU MERAWAT KANSER DAN PENYAKIT-PENYAKIT LAIN.
Air alkali yang dihasilkan melalui mesin Kangen sebenarnya hanyalah mengandungi ion hidroksida (OH-) yang menyebabkannya bersifat alkali. Apabila diminum, air ini masuk ke dalam perut. Perut kita merembeskan jus gastrik yang mengandungi asid hidroklorik atau hydrochloric acid atau HCl. Apabila OH- memasuki perut, ion ini akan mengalami PROSES PENEUTRALAN dengan H+ daripada HCl dalam perut. Dalam hal ini, konsep asid bes Arrhenius diaplikasikan sebab melibatkan OH- dan H+. Proses peneutralan berlaku apabila bes/alkali bertindak balas dengan asid seperti persamaan di bawah:
                         Asid + Alkali —> Garam + Air
Garam ini bukan semestinya garam yang kita jumpa di dapur. Ada beribu jenis garam akibat tindak balas kimia yang berlaku daripada peneutralan asid dan bes/alkali.
Tindak balas peneutralan yang berlaku antara OH- dan H+ akan menghasilkan AIR. Ya, kawan-kawan sekalian, air yang akan terhasil. Untuk pengetahuan semua, air adalah sebatian neutral, bermakna ia bukanlah bersifat asid atau bes/alkali. Ini bermakna, meminum air Kangen yang alkali (sebab kehadiran OH-) itu samalah seperti meminum air yang bukan mengandungi OH- kerana akhirnya yang diserap oleh badan adalah molekul atau sebatian air.
Soalan: Kalau begitu, apa manfaat yang air alkali boleh beri?

Jawapan: Takda apa-apa manfaat. Minum ke tak minum ke, sama saja……
Untuk pengetahuan semua, molekul air tidak tercerai kepada H+ dan OH- begitu saja. Kalau begitu, bagaimana mesin Kangen menghasilkan air alkali yang mengandungi OH-? Ini terjadi melalui proses ELEKTROLISIS, iaitu perceraian menggunakan tenaga elektrik. Perhatikan bahawa mesin itu berfungsi hanya apabila disambungkan ke plug.
Persoalannya: Apa yang menyebabkan para agen mesin Kangen mencanang keistimewaan air Kangen seolah-olah menyerupai sifat alkali air zam-zam? Memang air zam-zam bersifat alkali. SANGAT BENAR tapi kealkalian air zam-zam tidak sama dengan kealkalian air Kangen. Adalah sangat penting untuk mengetahui apa sebenarnya yang terjadi di sebalik kedua-dua air ini.
ADAKAH AIR KANGEN SAMA DENGAN AIR ZAM-ZAM?
SAMA DAN TIDAK SAMA. Bagaimana tu?
1. Sama sebab kedua-duanya adalah beralkali.

2. Tidak sama sebab faktor penyumbang pada kealkalian mereka tidak sama menyebabkan manfaatnya juga berbeza.
Kealkalian air Kangen adalah disebabkan oleh penghasilan ion OH- daripada proses elektrolisis. Kealkalian air zam-zam adalah disebabkan kewujudan mineral penting yang terdiri daripada ion logam daripada unsur-unsur kumpulan II pada Jadual Berkala, iaitu;

Ion kalsium atau calcium ion atau Ca2+

Ion magnesium atau magnesium ion atau Mg2+
** ‘2+’ mestilah dalam bentuk superscript.
Agen Kangen mengatakan dalam beberapa video demonstrasi mereka, bahawa kalau takda air zam-zam, boleh gantikan dengan air Kangen. Kononnya sebab air Kangen beralkali seperti air zam-zam. KEKARUTAN MELAMPAU SEDANG MENELUSURI MASYARAKAT KITA. INI BERLAKU BUKAN SAHAJA DI MALAYSIA MALAH DI SELURUH DUNIA.
Mineral dalam air zam-zam adalah berguna pada badan. Ion logam yang terdapat dalam air zam-zam menyebabkan air zam-zam bersifat alkali. Manfaat ion Ca2+ dan Mg2+ adalah penting untuk kesihatan tulang dan otot manakala ion OH- dalam air Kangen adalah TIDAK BERGUNA pada badan, walaupun air Kangen beralkali.
Kealkalian atau keasidan adalah sama penting tapi manfaatnya dalam memberikan kesan terapeutik (kesihatan) bergantung pada kandungan unsur-unsur tertentu dalam air atau makanan tersebut. Apa yang berlaku selepas dimakan atau diminum adalah jauh lebih penting kerana setiap zat atau unsur yang terdapat dalam makanan dan minuman tidak mengekalkan struktur asal apabila masuk ke dalam badan. Zai-zat ini akan digunakan untuk menjalankan fungsi badan tetapi kalau zat itu tidak berguna, sistem badan akan mengeluarkannya.
Dalam hal air Kangen, kealkaliannya TIDAK BERGUNA atau TIDAK MEMBANTU dalam memberikan kesan pada kesihatan. Agen Kangen yang suka membuat kenyataan palsu secara besar-besaran hanyalah untuk menjual mesin. Memang penjualan mesin Kangen mendapat kelulusan KKM tapi itu untuk dijual sebagai penapis air, bukan sebagai alat untuk merawat. Selain itu, agen Kangen memandai-mandai mengatakan tentang pH terbaik untuk kesihatan. pH 11.5 untuk pesakit kanser, pH 5.5 untuk cuci muka dan sebagainya. Apa semua ini?
Kawan-kawan sekalian, pH 11.5 adalah hampir menyamai pH detergent di rumah. Kalau anda biasa cuci baju guna tangan menggunakan detergent seperti Breeze, Fab, Dynamo etc., anda tentu sangat arif yang tangan anda akan rasa panas. Detergent di rumah kita juga bersifat alkali. Kealkalian detergent sangat penting dalam memastikan cucian kita bersih tapi kealkalian air Kangen boleh dicurah ke longkang untuk memastikan longkang rumah anda bersih.
Saya tak terkejut kalau ada golongan yang mindanya tertutup tapi sangat pandai bercakap tentang ilmu Allah itu luas, ubat tidak menyembuhkan tapi Allah yang menyembuhkan dan sebagainya. Kalau begitu,
1. kalau anda rasa panas, jangan buka kipas atau penghawa dingin sebab kipas dan penghawa dingin tidak menyejukkan, Allah yang memberikan kesejukan.

2. lampu tak perlu pasang sebab lampu tidak berkuasa memberikan cahaya tetapi Allah yang beri cahaya.

3. kalau anda takda duit, tak perlu kerja sebab kerja bukan jaminan dapat duit, Allah yang berkuasa bagi duit.

4. kalau berlaku kecurian, jgn laporkan pada pihak berkuasa sebab nanti masuk TV, akan buka aib orang. Biarkan jenayah dia sebab itu antara dia dengan Allah.

5. SILA ISI SENDIRI heheheheh……
Faham tak maksud points di atas? Sila banyakkan bertanya dan berfikir. Kalau anda ditipu sebab pengetahuan anda terbatas berbanding orang lain, anda tak salah sebab bukan semua orang tau tentang semua perkara. Kalau anda dah cuba selidik tapi tidak jumpa jawapan atau dah tanya orang tapi orang tu tipu anda, anda tidak bersalah.
-Sekian-
Tulisan Nazzatush Shimar Jamaluddin
Bahagian 1.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10209327363757422&id=1122954457
Bahagian 2.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10209327979252809&id=1122954457
Bahagian 3.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10209328273860174&id=1122954457

, ,

Bahayakah Ultrasound Bayi

*#Bahayakah_Ultrasound_Bayi*
Sehari dua ni gegak gempita dalam dunia perubatan mengenai satu dapatan jurnal yang menyatakan ultrasound boleh membahayakan bayi. Kajian ke atas 22 ekor species arnab itu dilaporkan oleh pelajar UiTM.[1] Mereka mendapati bayi-bayi arnab yang didedahkan kepada ultrasound semasa hamil boleh menyebabkan tulang poros (osteoporosis).[2]
Agak pelik dapatan dari kajian ini. Pengsampelan beberapa ekor arnab yang hamil dan didedahkan kepada ultrasound selama 30, 60 dan 90 minit menunjukkan komplikasi negatif sehinggakan tulang temulang bayi-bayi arnab menjadi poros/rapuh.
Pemeriksaan doktor ke atas ibu hamil menggunakan ultrasound tidak lah mengambil masa yang lama sehingga setengah jam dalam sesatu sesi. Paling ringkas 5 minit siap.
Apa yang pelik hasil kajian berkenaan? Penulis yang membuat ulasan kepada kajian itu terus membuat konklusi bahawa jika ultrasound yang serupa didedahkan kepada janin manusia, hal yang sama akan terjadi, tulang poros. Sedangkan anatomi dan fisiologi arnab tidak sama dengan manusia. Jangkahayat arnab pun berbeza. Bayangkan prob ultrasound yang sama diguna ke atas sekecil arnab. Sudah pasti ianya mungkin memberi kesan yang berbeza. Janin arnab 10 kali lebih kecil berbanding dengan janin manusia.
Dari satu sudut, kaedah kajian seperti ini ada sisi benarnya. Kajian seumpama ini diberi nama kajian fasa pra-klinikal makmal. Ia boleh diterima sebagai salah satu kaedah ujikaji. Menggunakan haiwan sebagai subjek kajian ini adalah kaedah biasa dan digunapakai serata dunia. Bukan sahaja arnab, malah tikus, kambing, kuda, monyet, kinzir dan lain-lain. Pemilihan haiwan ujikaji makmal ini dikawal ketat dan perlu mematuhi etikanya tersendiri.
Kajian tersebut sepatutnya disusuli pula dengan kajian klinikal ke atas manusia samada dapatan dari kajian berkenaan memberikan impak yang besar samada sudut negatif atau positif. Ini kerana kajian ke atas haiwan masih dianggap pra matang untuk digeneralisasikan kepada makhluk manusia. Tindakbalas sesuatu ubat atau alat yang sedang dikaji mungkin menghasilkan natijah berbeza dari sudut fizikal serta fisiologi manusia. Jika ianya negatif seperti kajian arnab di atas, perlulah dibuat kajian fasa klinikal ke atas manusia. Jika benar berlaku perkara yang sama ka atas manusia, baharulah kita boleh mendakwa sesuatu ubat atau alat berkenaan mempunyai kesan negatif.
Namun, adakah ianya perlu? Sesetengah kajian ke atas haiwan tidak perlu diteruskan kajian susulan ke atas  manusia atas sebab-sebab tertentu. Ia tertakluk kepada etika dan kesusuaian kaedah kajian berkenaan.
Jika dilihat laporan asal kajian tersebut, termuat dalam jurnal Sciencedirect.com. Interpretasi yang diberikan amat berbeza.[3] Penyelidik mendapati ultrasound meningkatkan kepadatan tulang. Bukannya semakin poros.
Namun diperhatikan bahawa sudah banyak kajian saintifik yang lebih besar sebelum ini menyatakan sebaliknya. Ultrasound adalah selamat dan realiti pengalaman sebahagian besar doktor perubatan pun sebegitu. Ultrasound adalah selamat tanpa mendatangkan mudarat. Boleh lihat meta-analisis kajian yang berkaitan dengan penggunaan utrasound ini sejak lebih dari 3 dekad yang lalu. Sejumlah 61 penulisan diterbitkan dari 41 pelbagai jenis kajian: 16 kajian terkawal (controlled trials), 13 kohort (cohort) dan 12 kajian kawalan kes (case-control studies). Mendapati Ultrasound semasa hamil tidak dikaitkan dengan kesan negatif kepada ibu dan bayi seperti kegagalan fizikal, saraf, kejadian kanser dikalangan kanak-kanak, lemah daya intelektual dan penyakit mental.[4]
Semoga pencerahan ini dapat menghilangkan rasa risau dan takut dikalangan ibu hamil untuk bertemu dengan doktor dan seterusnya bersedia menjalani pemeriksaan ultrasound jika perlu. Tidak perlu terpengaruh dengan para penghasut yang senantiasa tegar memesongkan fikiran masyarakat ke dearah yang semakin jumud.
Suhazeli Abdullah
fb.com/drsuhazeli
#MedTweetMY
#MedicalMysthBustersMalaysia
17.4.2017
Felda Jerangau
Pautan:
[3] Effect of B Mode Diagnostic Ultrasound by UiTM (Original Article). http://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S1078817411001489
[4] Meta-analysis of Safety using Ultrasound in Pregnancy. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/19291813
, ,

Bidaah Air Kosong dalam Perubatan?

Saya diheret untuk berhujah berkaitan manfaat air kosong vs mudarat. Pelbagai hujah diberikan mereka berdasarkan beberapa artikel yang diceduk dari laman web. Antaranya:
Cerita 1:
MANFAAT AIR SUAM 👉👉👉
Sekumpulan Doktor Jepun mengesahkan bahawa air suam adalah 💯% berkesan dalam menyelesaikan beberapa masalah👇 kesihatan, termasuk:
penyakit sakit kepala, migrain, tekanan darah tinggi, tekanan darah rendah, sakit sendi, tiba-tiba meningkatkan dan mengurangkan denyutan jantung, epilepsi, tahap peningkatan kolesterol, batuk, rasa tidak selesa badan, sakit Golu, asma, penyakit batuk kokol, penyumbatan pembuluh darah, yang berkaitan dengan rahim & air kencing, masalah perut, kurang selera makan, juga semua penyakit yang berkaitan dengan mata, telinga & tekak.
Katanya lagi, air batu boleh menutup 4 urat jantung menyebabkan sakit jantung, masalah usus dan penyebab kanser….penyembuh kencing manis, asma dll dalam tempoh tertentu.
Bla…bla…bla…
Cerita 2 ini pula kontradik dengan cerita 1 tadi:
TABIAT MINUM AIR SELEPAS BANGUN TIDUR
Minum air selepas bangun tidur ketika perut kosong adalah DILARANG SAMA SEKALI
Jika anda melawat pusat dialisis atau pesakit yang menjalani rawatan dialisis, anda akan dapati 90% daripada mereka mempunyai tabiat minum air selepas bangun tidur sebanyak 2 – 4 gelas setiap hari.
Anda pasti TERKEJUT !!! apabila mengetahui kebenaran bahawa minum air ketika perut kosong adalah salah satu punca kerosakan buah pinggang..!!
…..
Nabi kita Hadrat Muhammad SAW TIDAK PERNAH minum air ketika perut kosong, sebaliknya baginda campurkan air dgn madu.
PERSOALANNYA SEKARANG….kenapa ramai doktor memberitahu kita kebaikan minum air selepas bangun tidur. Sebenarnya doktor memberitahu kpd pesakit apa yg mereka pelajari dari guru-guru mereka yg terdiri dari Yahudi & Nasrani yg tidak mahu ummat islam sihat serta manusia sejagat sihat.
Saya berada dalam bidang ini (dialysis buah pinggang) selama 11 tahun dan itulah pengamatan saya. Majoriti pesakit buah pinggang mempunyai tabiat ini iaitu minum air berlebihan selepas bangun pagi.
Imam Ibnu Qayyim Al Jauwziyyah (rh) (1292 – 1350 ) seorang ulama Islam tersohor pada zamannya. Beliau menulis dalam bukunya “At Tibb An Nabawi” dengan mengambil kata-kata Imam Shafie (rh) iaitu minum air berlebihan dalam keadaan perut kosong boleh melemahkan badan. (Rujuk buku tersebut terjemahan Inggeris mukasurat 422)
Ulama Deobandi dari India, Maulana Ashraf ‘Ali Thanwi (August 19, 1863 – July 4, 1943) menulis dalam buku masyurnya, Bahisthi Zewar tentang air. Beliau melarang keras minum air sejurus selepas bangun pagi. Dalam bab “Kesihatan” (bab 9) dalam buku tersebut beliau juga menyatakan ais merosakkan buah pinggang.
Imam Tabrani (rh) dalam kitabnya Al Mu’jamul Awsat merekodkan dua hadis berikut :-
Abu Sa’id Al Khudri (ra) menyatakan Nabi SAW bersabda,
“Barangsiapa yang meminum air dalam keadaan perut kosong, badannya akan lemah”
– hadis nombor 4643 dan hadis nombor 6553 (Dari Abu Hurairah ra)
Walaubagaimana pun, majoriti ulama berpendapat hadis ini hadis lemah tetapi ianya bukan hadis palsu. Perlu ditegaskan disini bahawa tiada satu hadis pun (samada hadis sahih atau lemah) yang pernah direkodkan Nabi SAW minum air dalam keadaan perut kosong sejurus selepas bangun pagi. Nabi SAW sentiasa menambahkan madu dalam air sebelum baginda minum selepas bangun pagi.
Saya bukanlah ustaz untuk komen tentang hadis tetapi saya adalah doktor perubatan. Kiblat saya untuk nasihat pesakit saya adalah PERUBATAN NABI bukan seperti kebanyakkan doktor-doktor Muslim di Malaysia ini yang berkiblatkan Barat.
Anda nilai sendiri….
Bla…bla..bla..Tulisan seorang doktor tersohor….
[Boleh baca ulasan saya dalam isu ni di http://suhazeli.com/wp/?p=1601]
Cerita ke 3 ini berlainan pula periwayatannya:
*Buah Pinggang Kita. Amanah Allah.. jgn jadikn ia sebahagian dari statistik Pesakit Buah Pinggang Kronik!*
Mengapa *Rasulullah saw* *menganjurkn umatnya utk tidak minum sambil berdiri?*
Dlm perubatan tubuh manusia terdapat *penapis yg dipanggil sbg penyaring *Sfringer.* Saringan tersebut dpt *terbuka* ketika kita *duduk*, dan *tertutup* ketika kita *berdiri.* *Air yg kita minum* belum tentu *100% disteril utk di olah tubuh.* *Bila kita minum sambil berdiri, maka air tidak tersaring oleh penapis kerana tertutup.**Air yg tak *tersaring terus masuk ke* *pundi kencing, yg dapat* *menyebabkan penyakit buah pinggang*. Subhanallah….
Bla…bla…bla… sambil menggesa pembaca menyebarkan ilmu bermanfaat ini…
[Boleh baca ulasan saya di http://suhazeli.com/wp/?p=1310]
Cerita ke 4 pula sebegini,
Air putih merupakan salah satu minuman segar dan sangat baik untuk kesehatan bagi seluruh anggota tubuh Anda. Tak bisa di bayangkan, jika tubuh kekurangan cairan atau air putih dalam jangka waktu yang relatif lama. Haus adalah salah satu respon tubuh yang membutuhkan asupan cairan dalam waktu segera. Berdasarkan faktanya, seluruh organ tubuh manusia membutuhkan cairan atau air dalam jumlah yang cukup untuk menunjang berbagai aktivitas yang dilakukan. Waktu terbaik untuk mulai mencukupi kebutuhan air putih adalah pagi hari setelah kita bangun tidur. Mengapa?
Karena pagi hari tubuh kita terbangun dari istirahat dan proses pemulihan semalaman. Namun selama itu pula kita kehilangan banyak cairan. Jadi, sangat dianjurkan untuk mengonsumsi air putih begitu bangun tidur. Selain itu, masih ada sembilan manfaat di bawah ini yang perlu Anda ketahui.
◾◾◾◾◾◾◾◾◾
*ULASAN SAYA*
Saya teringat kisah sirah sahabat Nabi SAW, Abdullah ibn ‘Umar Al Khattab ketika ditanya mengenai hukum darah nyamuk oleh seorang muslim dari Iraq yang merantau berbulan lamanya ke untuk mencari jawapan. Lalu beliau menempelak sambil berkata: “Wahai ahli Iraq, alangkah sukanya kamu bertanya mengenai perkara remeh-temeh, dalam masa yang sama lagi suka melakukan jenayah besar (seperti membunuh Husain ibn Ali di Karbala, Iraq) sebahagian kamu memenggal sebahagian yang lain.”
Bermakna kita selalu berbincang perkara yang remeh sehingga bermasam muka jika hujah kita tak diterima. Sehinggakan segala rujukan dari hadis palsu atau dhaif serta fakta ulama yang tidak muktabar dibawa bagi menegakkan hujah. Sedangkan hujah dari hadis sahih kita tidak mengambilnya. Lihat hadis sahih berkaitan anjuran Rasulullah SAW berbuka atau bersahur walau seteguk air. Seingat saya hadis yang dhaif boleh digunakan untuk amalan peribadi, bukan menegakkan hujah.
Isu utama adalah merawat pesakit dengan segala keilmuan dan kepakaran yang ada. Mengambil fakta-fakta bagi kaedah merawat tersebut dalam manuskrip yang lebih berwibawa. Walau ianya mungkin sesuatu yang tidak membuahkan kesembuhan total, namun fakta-fakta yang lebih diyakini itu adalah yang terbaik dari sudut kaedah perubatan setakat ini. Berbanding dengan fakta-fakta lemah yang hanya salin-tampal dari web, tidak ada asas saintifik malah bercanggahan satu sama lain.
Ilmu terbahagi kepada dua cabang utama. Ilmu syariat (yg disebut syariatullah) dan ilmu alat/adat/ghalib (diberi nama sunnatullah).
Ilmu syariat wajib diperoleh secara berguru dan talaqqi. Atau bersanad dari guru yang mursyid. Hadis-hadis dalam perubatan ada disebut oleh Rasulullah SAW. Kebanyakannya ia berbentuk al-jibiliyyah, kaedah pengubatan yang terbaik sezaman itu. Hadis-hadis ini juga gunanya ia bagi memandu perkembangan ilmu alat dalam dunia perubatan kini. Bukannya disalin secara literal dengan menidakkan kajian-kajian emperikal berkait sebab-akibat sesuatu penyakit dan kaedah merawatnya.
Ilmu alat atau sunnatullah adalah hasil cerapan dan penelitian para pengkaji. Ia juga diperolehi melalui guru. Asas yang diletakkan oleh para guru adalah menjalankan kajian pada sesuatu ilmu alat tadi kemudian dicatat dalam manuskrip perubatan. Akhirnya terhasillah buku-buku panduan dalam ilmu perubatan. Inilah asas dalam pemahaman, pengkajian ilmu dalam Islam itu sendiri. Bukan semberono diceduk dari barat. Jika kita menganggap semua itu barat dan yahudi, jumudlah agama ini. Kerana lingkungan kehidupan (ad-deen) hanya berkitar ilmu syariat semata-mata. Sedangkan ilmu alat dalam kehidupan manusia tidak diambil kira. Sebagaimana hadis mashyur menceritakan kisah sahabat mendebungakan tamar. Akhirnya ilmu sunnatullah ini diberikan asasnya oleh Rasulullah SAW. “Kamu lebih mengetahui akan urusan (ilmu) dunia kamu”. Maka bertanyalah kepada orang yang ahli jika kamu tidak mengetahui (mafhum ayat 43 surah An Nahl).
Seorang ulama terkenal masa kini, Dr Sulaiman Asghar pernah menulis: Hadis-hadis tersebut (yang berkaitan dengan perubatan)  tidak wajar dijadikan hujah dalam perubatan, bahkan ianya hendaklah dirujuk kepada ahli perubatan. Merekalah yang menentukan ubat yang sesuai dengan penyakit yang dihadapi. Walau bagaimanapun, ubat-ubat yang disebut itu tidak wajar diketepikan secara total.
Dr Asyqar menambah, jalan yang terbaik ialah penentuan ubat-ubatan hendaklah dilakukan melalui kajian, dan hasil ujian tersebut adalah menjadikan hujah untuk diamalkan, bukannya diambil secara literal dari hadis-hadis. Lebih-lebih lagi hadis yang berkaitan ubat atau rawatan kebanyakan bukanlah hadis yang kuat.
Berkenaan hadis yang tiada kaitan dengan pensyariatan ini, al Bazzar meriwayatkan

إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ فَمَا حَدَّثْتُكُمْ عَنِ اللَّهِ فَهُوَ حَقٌّ وَمَا قُلْتُ فِيهِ مِنْ قِبَلِ نَفْسِي فإنما أنا بشر أخطيء وَأُصِيبُ

Sesungguhnya aku adalah manusia, apa yang aku ucapkan dari Allah, maka ianya benar, apa yang aku ucapkan dari pendapatku, maka aku adalah seorang manusia yang mungkin salah mungkin benar.
Berbalik kepada isu air kosong, tidak menjadi apa-apa kemudaratan atau khasiat yang hebat pun samada tidak minum atau meminum air kosong di awal pagi. Pengalaman-pengalaman individu tidak boleh dijadikan asas untuk dipukul sama rata kejadiannya kepada semua orang. Lebih-lebih lagi ia berbentuk testimoni untuk melariskan produk jualan. Lagilah ianya tidak boleh diterima pakai.
Pihak yang lebih berautoriti seperti Kementerian Kesihatan, Persatuan-persatuan professional perubatan telah banyak mengeluarkan garis panduan demi garis panduan bagi memandu para pengamal perubatan merawat pesakit. Hasilan tulisan mereka adalah dari kajian-kajian yang juga berwibawa. Sebagai contohnya CPG (Clinical Practice Guideline) untuk kencing manis, CPG Asma, CPG Penyakit Buah Pinggang Kronik dan banyak lagi. Kaedah perawatan sebegini lah yang perlu kita utamakan berbanding kaedah “remeh” yang tiada hujung pangkal perbahasannya. Malah kaedah “remeh” tersebut boleh menyebabkan ramai masyarakat salah faham, salah tanggapan dan salah amalan dalam mengubati penyakit mereka, lantas meninggalkan perawatan utama penyakit.
Saya selalu menyeru kepada mereka yang bertegang urat menegakkan hujah sebegini, jika benar mereka menemui banyak kejadian samada positif atau negatif, buatlah kajian dan tulislah supaya ia menjadi catatan sejarah perubatan. Tidak menjadi kesalahan membuat kajian emperikal dan menyusunnya ikut kaedah yang betul, kemudian siarkan untuk seluruh dunia perubatan menilai kepercayaan yang kita yakini itu. Ini juga satu perjuangan, bukannya menuduh doktor masa kini tunggangan barat atau yahudi dek kerana kita kekeringan hujah. Jika kita sendiri tidak dapat membawa bukti malah mereka-reka bukti palsu, ianya “bidaah” dalam bidang perubatan.
Fikir-fikirkan lah.
Suhazeli Abdullah
_Insan Faqir_
Fb.com/drsuhazeli
suhazeli.com
18.1.2017
Khartoum
,

Bayi Kena Panggang

Mesej tular (viral) sebegini senang je merebak seterusnya jadi wabak dalam dunia maya.

Persepsi demi persepsi dilontarkan oleh para netizen dalam komen umpatan, akhirnya membudaya dalam benak masing-masing bahawa hospital cuai dan ingin menyembunyikan fakta.

Yang sebenarnya kita tidak pernah #PelajariAdab dalam menilai sesuatu berita. Apa sahaja yang dipapar dalam media sosial dan terus ditelan, akhirnya termuntah kata-kata nista kepada orang yang tak sepatutnya.

Kes di dalam gambar itu berlaku bukan di Malaysia pun, ia berlaku di negara China. Wartawan yang menulis pun tidak berada ditempat kejadian dan hanya menulis atas persepsi beliau sendiri.

Incubator tidak sesekali boleh membakar bayi seperti ketuhar. Pelarasan suhu maksima hanya 40⁰ C sahaja. Kes sebegini biasanya akibat jangkitan kuman nosocomial.

Andai sekiranya kecuaian sekali pun, undang-undang kan ada untuk mengadili.!

Dr Suhazeli Abdullah
Ketengah Jaya
2.1.17

Fb.com/drsuhazeli 

, , , ,

Cermin Mata Terapi. Mujarab? 

Cermin mata berlubang-lubang boleh sembuhkan rabun??

Gambar hiasan

Pernah tengok cermin mata berlubang-lubang seperti ini.

Ada yang menjual cermin mata ini dengan harga yang mahal dan menyatakan bahawa ia boleh sembuhkan rabun.

Tetapi benarkah perkara ini??

Kami ingin menyentuh sedikit berkenan rabun dan cermin mata ini.

1) Apa itu Rabun?

Rabun ataupun dlm istilah perubatan dikenali sebagai ‘refractive error'(ralat pembiasan) merupakan salah satu masalah mata dimana pembiasan cahaya didalam mata tidak berlaku dengan betul.

Ini menyebabkan titik fokus tidak terjatuh tepat di atas retina dan menyebabkan pandangan menjadi kabur.

Kita ada 3 jenis ‘refractive error’ iaitu:

– Rabun jauh(nearsightedness)

– Rabun dekat(farsightedness)

– Astigmatism. Orang melayu panggil Silau. tetapi sebenarnya istila tersebut tiad tepat bagi menggambarkan Astigmatism

2) Apa itu Astigmatism?

Astigmatism merupakan salah satu penyebab ‘refractive error’ yang menghasilkan jumlah titik fokus lebih daripada satu.

Ianya disebabkan keadaan kornea yang tidak rata. Ini menyebabkan cahaya yang melintasi permukaan cornea terbias tidak sekata dan mempunyai banyak titik fokus.

3) Cermin mata berlubang

Cermin mata berlubang-lubang seperti ini hanya membantu mereka yang mempunyai masalah Astigmatism(silau) sahaja.

Ingin saya tekankan bahawa pemandangan itu akan menjadi semakin jelas apabila memakai cermin mata itu sahaja. Lepas bukak, pemandangan akan masih kabur. Ia tidak akan menyembuhkan astigmatism tersebut

Ini kerana apabila kita menggunakan cermin mata seperti itu, cahaya yang masuk ke dalam mata akan berkeadaan lurus dan menyebabkan hanya satu titik fokus sahaja yang terhasil. Disebabkan perkara itu, pemandangan mata akan menjadi lebih jelas apabila menggunakan cermin mata tersebut.

Perlu diketahui bahawa rabun adalah masalah pada struktur mata. Penggunaan cermin mata kaca ataupun berlubang-lubang seperti itu hanya akan menyelesaikan masalah pada ketika itu sahaja.

Jika benar-benar tidak mahu menggunakan cermin mata ataupun kanta lekap, maka pembedahan seperti LASIK perlu dijalankan untuk membetulkan balik struktur mata.

Penggunaan cermin mata berlubaOng-lubang ini tidak akan membantu dalam memulihkan rabun anda.


Sumber: Facebook Root of Science

, ,

Temberang Ubat Sapu 

Oleh: En Fahmi Hasan | Ahli Farmasi 

Produk penguat tenaga batin bagi lelaki merupakan antara produk yang sering mendapat permintaan yang tinggi di kalangan masyarakat Malaysia. Orang ramai mudah tertipu dengan iklan dan testimoni dari peniaga sehingga menimbulkan rasa perlu bergantung kepada produk-produk untuk menikmati hubungan seksual yang sihat. Manipulasi dari peniaga ini bukan sahaja dilakukan oleh peniaga atas talian malah kadangkala oleh pengamal kesihatan yang ingin mengaut keuntungan dengan cara yang tidak beretika.

Kebanyakan produk yang dijual adalah dalam bentuk krim sapuan luaran yang disapu terus di alat kelamin lelaki. Produk sapuan ini diiklankan untuk tujuan menguatkan tenaga batin, mengubati mati pucuk dan lain-lain tuntutan yang hebat dan melampau. Walaubagaimanapun, tidak dapat dipastikan samada apa yang diiklankan itu terbukti berkesan kepada pengguna.
Produk-produk sapuan tersebut kebanyakannya didaftarkan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai produk kosmetik. Mengikut definisi, produk kosmetik adalah produk yang digunakan di permukaan kulit dan gigi dengan tujuan untuk membersih, mewangi, mengubah keterampilan atau bau badan, melindungi dan mengekalkan anggota tersebut dalam keadaan yang baik. Oleh yang demikian, produk-produk berkaitan yang telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sepatutnya cuma boleh dipasarkan mengikut kriteria produk kosmetik seperti yang telah termaktub di bawah undang-undang.

Apa yang berlaku adalah peniaga dan pengedar produk tersebut kebanyakannya telah menyalahguna kelulusan tersebut untuk memasarkan dan mengiklankan produk-produk mereka di luar kelulusan dan peraturan yang dibenarkan. Iklan-iklan dan testimoni berkaitan merawat tenaga batin dan mati pucuk merupakan sesuatu yang tidak beretika dan menyalahi Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956.

Produk-produk seperti ini sewajarnya cuma boleh diiklankan sebagaimana produk-produk pelembut kulit yang lain. Kita jarang mendengar produk-produk kosmetik lain seperti pencuci dan pelembap muka mengiklankan produk mereka dengan tuntutan tuntutan kesihatan yang melampau dan menyalahi peraturan. Ini kerana produk-produk tersebut diiklankan mengikuti etika dan undang-undang yang telah ditetapkan.

Iklan mengenai ubat-ubatan, produk kesihatan dan perkhidmatan kesihatan dikawal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memerangi masalah iklan-iklan yang mengelirukan dan menipu pengguna. Selain dari produk yang dibincangkan sebelum ini, terdapat banyak lagi produk yang menggunakan tuntutan perubatan yang melampau dan tidak masuk akal serta menggunakan indikasi yang tidak diluluskan untuk melariskan produk dan mendapat perhatian orang ramai. Lebih membimbangkan terdapat juga produk yang langsung tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia mengiklankan produk mereka dengan menggunakan nombor pendaftaran yang palsu.

Hal ini menjadi lebih berleluasa pada masa kini akibat dari pengiklanan produk secara meluas di alam maya. Penjual kini mengiklankan produk-produk mereka di blog-blog dan media sosial secara sewenang-wenang tanpa memikirkan kesan yang bakal dihadapi oleh pengguna. Perkara seperti ini sememangnya bakal membuatkan pengguna tertipu dan berisiko untuk mengancam keselamatan dan kesihatan pengguna.

Bagi mengatasi masalah ini, pengguna perlulah lebih bijak dalam menilai ketulenan dan kegunaan sesuatu produk. Status produk samada berdaftar atau tidak boleh disemak melalui laman web Agensi Regulatori Farmasi Negara secara atas talian. Pengguna perlu mempunai sifat kritis yang tinggi sewaktu membaca iklan-iklan dan testimoni-testimoni produk terutamanya yang dijual di atas talian ataupun yang tidak dibeli di farmasi.
Fahmi Hassan (F. H. Abad)

fb.com/fahmiabad

#Medical_Mythbusters_Malaysia

, , , ,

Gelang Magnet untuk Perubatan 

Berubat menggunakan gelang magnet atau tilam bermagnet semakin berleluasa akhir-akhir ini. Kononnya gelang magnet boleh menyembuhkan pelbagai penyakit termasuk darah tinggi, kencing manis dan beberapa penyakit pelik yang lain. Testimoni yang dipaparkan begitu menakjubkan sehingga tiada lagi ubatan lain yang boleh menandingi gelang atau tilam magnet tersebut. Paling memberangsangkan ada pengguna yang sanggup menghabiskan beribu-ribu ringgit semata-mata ingin memiliki barangan tersebut.

Sejauh manakah gelang, tilam, dan tali pinggang tersebut terbukti keberkesanannya? Di sini saya mengemukakan beberapa bukti kajian sains yang dijalankan terhadap dakwaan di atas.

Satu isu yang hangat dibahaskan adalah pemakaian gelang bermagnet dikalangan lelaki. Lelaki tidak dibenarkan menyerupai wanita kerana hukumnya haram dengan memakai gelang, walaupun bertujuan perhiasan atau perubatan. Tetapi dalam keadaan tertentu ianya diharuskan seperti pengenalan diri semasa berada ditanah suci.

Bahawa Rasulullah s.a.w telah melihat pergelangan tangan seorang lelaki yang memakai gelang yang diperbuat daripada tembaga, maka baginda bertanya kepada lelaki tersebut:

”Apakah bendanya ini?”

Lelaki itu berkata: ”Ia adalah gelang perubatan”.

Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya benda itu tidak memberi apa-apa (faedah walaupun untuk tujuan perubatan), buangkan benda itu daripada diri anda, jika sekiranya anda mati dan benda itu ada pada diri anda, maka anda tidak akan berjaya (selamat) untuk selama-lamanya.” (Sahih riwayat Imam Ahmad).

Majalah i keluaran Mac 2008 mengeluarkan artikel padat mengenai hukum memakai gelang magnet bagi lelaki. Tulisan tersebut saya kira cuba menyelesaikan beberapa salah tanggapan dan salah faham dari sudut hukum agama. Antara huraiannya, ada sesetengah ulama berpandangan harus memakainya bagi tujuan berubat. Ada pandangan yang mengharamkan terus dengan beberapa hujah yang dikemukakan. Artikel tersebut dapat disimpulkan bahawa memakai gelang magnet hukumnya haram melainkan alasan perubatan setelah terdapat bukti secara saintifik.

Artikel dari ulasan Cochrane[1] (salah satu sumber sahih perubatan dalam menjalankan kajian saintifik) tidak menunjjukkan bukti yang jelas bahawa perubatan menggunakan magnet ini berkesan. F Crawford dan C Thompson[2] menyatakan beberapa kajian yang dijalankan menggunakan magnet bagi pesakit tapak kaki, tidak menyokong keberkesanan penggunaannya. Jelasnya lagi suntikan steriod oleh pengamal perubatan mendatangkan kesan yang lebih berbanding dengan perubatan lain seperti magnet, ubat sapu steroid atau perubatan aruhan eletrik. Ubat suntikan steriod hanya boleh dijalankan oleh doktor pakar yang berkemahiran dalam bidang tersebut.

Kroeling P, Gross A, Goldsmith CH[3] pula menyatakan bahawa tiada bukti nyata dan tiada manfaat dalam penggunaan bahan bermagnet dalam merawat sakit tengkuk yang kronik. Pencarian lebih dari 20 artikel kajian saintifik ini tidak menyokong penggunaan alat perubatan berasaskan magnet, menunjukkan bahawa dakwaan sesetengah pihak adalah tidak benar dan hanya bertujuan untuk melariskan jualan mereka sahaja.

*Kesimpulan*:

Perkara yang paling utama yang perlu diberitahu kepada pengguna lelaki muslim adalah, tidak harus bagi mereka memakai gelang bermagnet bagi tujuan perubatan. Ini telah dibuktikan melalui kajian saintifik ketidak berkesanannya. Malah ianya juga merugikan masa dan wang ringgit .
Link:

[1] http://www3.interscience.wiley.com/

[2] Crawford F, Thomson C. Interventions for treating plantar heel pain. Cochrane Database of Systematic Reviews 2003, Issue 3.

[3] Kroeling P, Gross A, Goldsmith CH, Cervical Overview Group. Electrotherapy for neck disorders. Cochrane Database of Systematic Reviews 2005, Issue 2. pub3.
Dr Suhazeli Abdullah

Pakar Perubatan Keluarga

fb.com/drsuhazeli
24.10.2016

Kuala Abang