Ganja Rangsang Saraf Otak Mati

Pesanan saya kepada geng ganja supaya jangan cepat melompat gembira dengan laporan akhbar ini.[1] Tolong baca satu persatu apakah isi yang ingin disampaikan oleh pangkaji dari UPM itu.

1. Kajian atas tikus itu melihat berlakunya rangsangan saraf otak yang sudah mati. Satu pernyataan yang agak keliru, kerana mekanisma penyakit alzheimer adalah kompleks dan bukannya berpunca dari sel otak yang mati semata-mata.[2] Walaubagaimanapun kajian ini telah membuka satu dimensi baru kepada para pengkaji untuk meneruskan fasa kajian lebuh lanjut ke atas manusia. Namun kita tidak boleh melompat membuat kesimpulan bahawa ganja boleh digunakan untuk merawat sel otak yang mati bagi pesakit Alzheimer atau nyanyuk manusia buat masa ini. Jika penyakit nyanyuk tikus mungkin boleh, sebab kajian UPM itu dijalankan ke atas tikus.

2. Lihat dos yang digunakan. Sepertimana biasa kita selalu sebut “The Dose Make The Poison”, dimana, apa sahaja ubatan yang diberikan kepada pesakit adalah dalam bentuk yang tersukat setelah menjalani kajian-demi kajian. Kajian-kajian itu dibuat bagi memastikan sesuatu bahan selamat dan sedikit kesan sampingan jika ada untuk kegunaan manusia secara umum. Kajian ganja yang diberitakan oleh pensyarah UPM itu juga menilai tahap dos yang tertentu. Prof Dr Mohamad Aris berkata, kanabis pada dos rendah boleh memberi kebaikan daripada sudut kesihatan tetapi mendatangkan kemudaratan sekiranya diambil melebihi 2mg/kg. Kajian ini dibuat atas haiwan bukannya manusia. Empat kumpulan tikus yang menerima suntikan Tetrahidrokannabinol (THC) iaitu sebatian psikoaktif yang diekstrak daripada kanabis pada dos serendah 0.5 miligram (mg), 1.0 mg, 1.5 mg dan 2.0mg/kilogram (kg). Sekali lagi, kita tidak boleh melompat gembira bahawa ganja boleh diberi kepada manusia yang waras pemikirannya.

3. Beliau tidak pun menyimpulkan hasil kajian atas manusia. Cuma memberi andaian jika sekiranya terbukti boleh merangsang sel saraf baharu, ini bermakna kanabis boleh digunakan untuk merawat pesakit alzheimer atau nyanyuk yang berpunca daripada saraf otak mati?

4. Kajian ganja itu diberikan kepada tikus normal dengan andaian sel otak boleh terbina terhadap tikus yang mempunyai masalah nyanyuk dalam dos yang tersukat. Tidak semudah itu boleh dibuat konklusi untuk manusia, kajian lanjut atas manusia diperlukan. Cuma adakah berbaloi untuk dibuat kajian ke atas manusia di saat ramai yang cuba mengambil kesempatan untuk mengambil nikmat khayalnya THC itu melebihi dos yang sepatutnya?

5. Apa yang dperhatikan atikel eksklusif ini mungkin sebenarnya terbit dari agenda rentetan dari segelintir individu yang ingin menghalalkan ganja dalam negara kita. Mereka telah memetik keputusan yang telah dibuat oleh Kerajaan Thailand dalam isu menghalalkan ganja perubatan pada awal tahun 2019.

Pegang konsep ini betul-betul; Cuba teliti kaedah membuat kajian sains perubatan, kajian ganja yang dilaporkan di atas sama tarafnya dengan kajian herba lain. Sama seperti kajian yang telah dibuat ke atas Durian Belanda, Daun Rerama dan beberapa herba lain lagi. Terdapat sebahagian besar herba yang baharu sahaja memasuki fasa 1 (ujikaji piring pateri makmal dan haiwan), tetapi belum pun lulus di tahap yang seterusnya terutamanya kajian ke atas manusia dalam skala yang ramai.[3] Tetapi dek kerana publisiti yang telah dibuat oleh media utama tanpa melihat kepada konsep sebenar kajian dalam perubatan, mereka sudah mendakwa bagai. Malah terdapat di antara jurujual yang mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan hasil dari promosi di media massa dan media maya. Masyarakat yang tidak mengetahui konsep kajian itu terus dikelentong atas nama sains.

Sekian teguran dari suhazeli.com.

fb.com/drsuhazeli

30.1.2019

Jerangau

Pautan:

[1] Marijuana Rangsang Saraf. https://www.bharian.com.my/wanita/sihat/2019/01/524836/eksklusif-marijuana-bantu-rangsang-saraf-otak-mati

[2] Jeffrey L. Cummings, Harry V. Vinters, Gregory M. Cole, Zaven S. Khachaturian. Alzheimer’s Disease. http://www.neurology.org/content/51/1_Suppl_1/S2.short

[3] Tujuan Kajian atas Haiwan. http://www.animalresearch.info/en/designing-research/why-animals-are-used/

Kanada pun Tidak Suruh Guna Ganja Perubatan

Oleh En Fahmi Hassan | Ahli Farmasi KKM

Betul tuan-puan, Kanada bukan sahaja telah mengiktiraf ganja untuk kegunaan perubatan, malah untuk tujuan rekreasi juga. Tapi benarkah dengan legalisasi ini membuktikan yang marijuana berkesan untuk merawat penyakit?

Dalam bidang perubatan, kebiasaannya akan ada panduan untuk pemilihan rawatan bagi sesuatu penyakit. Panduan ini dipanggil sebagai CLINICAL PRACTICE GUIDELINE (CPG). Ia adalah satu dokumen yang ditulis oleh sekumpulan pakar dalam bidang bagi menilai bukti-bukti sedia ada tentang rawatan tersebut.

Pada bulan Febuari 2018, Canadian Family Physician telah mengeluarkan untuk para doktor mempeskrib marijuana bagi tujuan perubatan. Canggih kan? Sekiranya anda berminat, boleh baca dokumen tersebut di pautan ini:

http://www.cfp.ca/content/cfp/64/2/111.full.pdf

Sebelum saya tunjuk apa yang tertulis di dalam CPG tersebut, ingat beberapa perkara ini. Pertama, Kanada MENGIKTIRAF dan MELULUSKAN penggunaan marijuana untuk bidang perubatan. Kedua, dokumen ini disediakan oleh ahli-ahli profesional kesihatan di Kanada sendiri.

Jelas?

Berikut adalah beberapa ‘highlights’ dari dokumen tersebut:-

1. “General recommendation: We recommend AGAINST use of medical cannabinoids for most medical conditions owing to lack of evidence of benefit and known harms (strong recommendation)”.

Penggunaan marijuana TIDAK DICADANGKAN bagi majoriti penyakit kerana KEKURANGAN BUKTI dan RISIKO.

2. TIDAK DICADANGKAN untuk rawatan sakit akut.

3. TIDAK DICADANGKAN untuk rawatan sakit kepala.

4. TIDAK DICADANGKAN untuk rawatan kesakitan rheumatologi.

5. TIDAK DICADANGKAN untuk rawatan kesakitan neuropathic.

6. TIDAK DICADANGKAN untuk rawatan kesakitan disebabkan kanser/paliatif.

7. TIDAK DICADANGKAN untuk rawatan loya dan muntah umum.

8. TIDAK DICADANGKAN untuk rawatan loya dan muntah semasa mengandung.

9. TIDAK DICADANGKAN untuk rawatan first-line dan second-line loya dan muntah akibat kemoterapi.

10. TIDAK DICADANGKAN untuk rawatan penyakit spastik am.

11. TIDAK DICADANGKAN untuk rawatan penyakit spastik akibat dari kecederaan saraf tunjang atau multiple sclerosis (MS).

Wah! Negara yang halalkan marijuana perubatan pun sebenarnya tak cadangkan penggunaannya! Jadi tak salahlah jika ada negara yang tak benarkan penggunannya. Kerana ia tidak terbukti secara saintifik berkesan seperti yang diwar-warkan.

Apa yang dicadangkan dalam CPG tersebut adalah menggunakan medical marijuana hanya sebagai RAWATAN TAMBAHAN dalam rawatan kesakitan neuropathic, kesakitan paliatif, loya dan muntah akibat kemoterapi dan spastik bagi pesakit MS atau yang cedera saraf tunjang sekiranya rawatan sedia ada tidak berkesan. Rujuk gambar yang dimuatnaik.

Itu pun yang dicadangkan adalah penggunaan NABILONE atau NABIXIMOLS. Produk ini rasanya boleh didaftarkan di dalam Malaysia berasaskan akta sedia ada. CPG juga MENOLAK penggunaan marijuana dalam bentuk yang dihisap.

Kesimpulan yang ditulis dalam dokumen tersebut berbunyi begini:

“The evidence for medical cannabinoids is unfortunately sparse in many areas and very frequently downgraded by serious bias, limiting the ability to provide clear guidance. Overall, the PGC believed that medical cannabinoids are not recommended for most patients and conditions by far.”

Ia sama dengan pendirian majoriti ahli profesional kesihatan di sini. Bukti keberkesanan marijuana perubatan adalah tidak kuat dan ia tidak dicadangkan untuk majoriti pesakit atau penyakit setakat ini.

Dengarlah cakap pakar-pakar di Kanada jika tak mahu dengar cakap pakar di Malaysia.

Fahmi Hassan

Pharmacist

fahmihassan.net

fb.com/fahmiabad

twitter.com/fahmibinhassan